Showing posts with label Datuk Che Hasni Che Ahmad. Show all posts
Showing posts with label Datuk Che Hasni Che Ahmad. Show all posts

Friday, September 18, 2015

Mati Katak Guna Teksi Haram

Perkhidmatan 'kereta sapu' atau bahasa yang kerap digunakan sebagai 'teksi haram' bagaikan satu penyakit kronik di dalam sektor pengangkutan awam darat. Liat dan amat tegar dicegah lantaran sikap para pengguna itu sendiri.

Sikap para pengguna yang tidak ambil kesah kesahihan perkhidmatan teksi banyak mengundang keburukan kepada industri teksi yang sering dicemuh juga kerana sikap sesetengah pemandu teksi berlesen sendiri. Ada pemandu yang bersikap terlalu memilih pelanggan, laluan dan "jual mahal" apabila terdapat pengguna yang ingin mendapatkan perkhidmatan mereka.

Para pengguna juga bagai memekak telinga akan realiti sebenar di sebalik menggunakan perkhidmatan 'teksi haram'. Berbanding teksi berlesen, andai berlaku sebarang kemalangan, perlindungan tetap diberikan kerana perlindungan insurans "First party compensation" kepada pemandu, kereta dan penumpang perkhidmatan. 

Dengan 'teksi haram'...MATI kataklah!

Benarlah 'kereta sapu/teksi haram' mudah sebab tidak ada karenah laluan perkhidmatan. Murah??? Tidak juga,jika dikirakan penumpang mempertaruhkan nyawanya di dalam keadaan sebuah kereta yang tidak "berpermit", berjadual penjagaan kenderaan ataupun seorang pemandu yang berkelayakan di belakang stering teksi. Sebenarnya harga yang dikenakan pemandu kereta sapu/teksi haram adalah jauh lebih mahal dan memberi keuntungan penuh kepada pemandu dan bukan keselamatan pengguna.

Bagi pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sikap pengguna yang sebegini menyukarkan lagi operasi membanteras perkhidmatan 'kereta sapu/teksi haram'. Ini berikutan perkhidmatan tersebut mendapat permintaan yang menggalakkan terutamanya di kawasan pelancongan atau 'tourist belt'.

Bercakap kepada pemberita dalam sidang media setelah satu operasi banteras teksi sapu di Johor Bahru semalam, Ketua Jabatan Penguatkuasa SPAD; Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata, "Di Johor Baharu sahaja, kenderaan sapu boleh didapati di setiap pelosok termasuk di Mersing. Perkhidmatannya juga bukan hanya terdiri daripada kereta jenis Perodua Myvi malah melibatkan kereta mewah seperti BMW dan Mercedez. Ini yang menyukarkan usaha kita, sebab itu SPAD meminta orang ramai menggunakan perkhidmatan yang sah".

Dalam sidang media tersebut, Datuk Che Hasni turut memaklumkan sejak bulan Oktober tahun lepas, hampir 450 kes membabitkan kereta sapu/teksi haram atau kenderaan persendirian yang menawarkan perkhidmatan sewaan tanpa permit di Semenanjung telah direkodkan SPAD. Di Johor sahaja, sebanyak 93 buah kenderaan yang melakukan kesalahan tersebut ditahan.

"Sejak Oktober tahun lepas juga, SPAD telah menyita sebanyak 130 kenderaan, 13 telahpun didenda oleh pihak Mahkamah. 96 kes dipohon untuk dilucutkan hak pemilikan kenderaan dan 49 lagi kes sedang dihadapkan ke Mahkamah untuk proses pendakwaan," menurutnya.

Bagi menekankan betapa SPAD memandang serius perkara ini, Datuk Che Hasni mengingatkan mana-mana individu yang melakukan kesalahan memberi perkhidmatan sewaan tanpa permit boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 atau dipenjara selama setahun atau kedua-duanya sekali jika tersabit kesalahan di bawah Seksyen 16 Akta Pengangkutan Darat.

Denda maksimum RM100,000 akan dikenakan ke atas pengusaha syarikat yang memiliki kenderaan yang terbabit di bawah akta yang sama.

Monday, August 17, 2015

Bauksit Lebih Lumayan vs Saman

Pulangan lumayan pemandu lori bauksit antara faktor mereka tidak menghiraukan peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa. Walaupun banyak aduan dibuat, tindakan penguatkuasaan dikenakan namun pemandu lori bauksit masih tidak serik dan terus bermaharajalela di jalan utama menuju ke Pelabuhan Kuantan, Pahang.

Terbaharu, dalam tempoh tiga jam Ops Hippo dijalankan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang bermula pada jam 8.00 pagi di Jalan Kampung Sungai Ular-Gebeng dekat Pelabuhan Kuantan, sebanyak 25 buah lori berjaya ditahan dan kesemuanya membawa muatan berlebihan kira-kira dua kali ganda berbanding had muatan asal.

Operasi yang dianggotai 42 anggota SPAD, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan Polis mendapati mereka yang ditahan melakukan pelbagai kesalahan lain termasuk menambah panel pada badan lori, membawa muatan yang tidak dibenarkan dan membawa muatan melebihi paras yang ditetapkan.

Ketua Jabatan Penguatkuasa SPAD, Datuk Che Hasni Che Ahmad maklumkan sebanyak  50 kes telah dikenalpasti pelbagai kesalahan mebabitkan lori bauksit di dalam operasi tersebut. 
Menurutnya lagi, ada antara pemandu lori yang ditahan melakukan kesalahan berulang sebanyak dua atau tiga kali namun terus berdegil kerana ditawarkan pulangan lumayan hasil aktiviti mengangkut bahan mineral itu.

“Mereka sedar bahawa tindakan tersebut  membawa muatan berlebihan adalah salah namun disebabkan sifat tamak dan ditawarkan komisen oleh majikan, mereka sanggup melanggar peraturan yang telah ditetapkan. 
Tindakan mereka mengangkut bauksit dengan muatan sehingga 80 tan meskipun had muatan asal lori mereka hanyalah 40 tan boleh membahayakan pengguna jalan raya yang lain selain menyebabkan kegagalan sistem brek dan masalah tayar,” kata Che Hasni selepas meninjau Ops Hippo di sini pada 14hb Ogos lalu.

SPAD akan terus mengesan pemandu lori menggunakan lori yang tidak sesuai untuk mengangkut bauksit. Kenderaan yang tidak sesuai boleh menyebabkan bahan mineral tersebut terkeluar dari kenderaan mereka dan merosakkan kawasan sekeliling, tambah Che Hasni. 

“Keadaan akan bertambah teruk pada hari hujan dan berisiko mengakibatkan kemalangan. Berdasarkan statistik sepanjang tahun ini,  sebanyak 699 buah lori telah diambil tindakan di negeri Pahang atas kesalahan membawa muatan berlebihan dan pelbagai kesalahan melibatkan keselamatan.” kata Datuk Che Hasni.

Sunday, May 24, 2015

Bas Ekspres dan Musim Perayaan...Jangan Naikkan Tambang!

Musim perayaan semakin hampir. Seperti lazimnya berpusu-pusulah rakyat di perantauan akan mengambil peluang untuk balik kampung. Para pelajar yang jauh di menara gading mengambil masa untuk bertemu ibubapa di kampung. Yang bekerja di kotaraya bakal turut mengambil cuti panjang dari bekerja untuk bersama keluarga dan merehatkan badan.
Ruang sebegini turut membuka pintu rezeki bagi mereka yang terlibat di dalam industri pengangkutan lebih-lebih lagi industri pengangkutan awam darat negara. Teksi, bas ekspres lebih lagi menjadi pilihan masyarakat umum untuk tiba ke destinasi masing-masing.

Melihatkan golongan industri teksi telahpun dibenarkan kenaikan harga tambang, kini para pengusaha bas ekspres turut memohon agar mereka dibenarkan menaikkan tambang. Pun begitu, Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (PEMBAWA) dalam usaha memohon Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengkaji semula harga tiket bas, belum lagi mendapat maklumbalas rasmi yang berkaitan.

Ketua Jabatan Penguatkuasa SPAD; YBhg Datuk Che Hasni Che Ahmad telahpun memberi amaran kepada pengusaha bas ekspress agar tidak mengambil kesempatan menjual tiket bas dengan harga lebih mahal terutamanya pada musim-musim perayaan sebelum sebarang kenyataan rasmi SPAD.

Pihak SPAD menegaskan sekiranya ada pihak pengusaha bas yang didapati bersalah menaikkan harga tiket, akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 205 (1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) yang mana hukuman maksimum sebanyak RM 50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya jika disabitkan bersalah.

Perkara menaikan harga tiket sesukahati ini tidak boleh dibiarkan, jika dibiarkan ia akan menjadi melarat dan menyusahkan penguna yang lain.

Kerjasama para pengguna perkhidmatan bas ekspres amatlah dihargai di dalam memastikan sebarang salahlaku melibatkan kenaikan harga tambang bas dilapurkan dengan kadar segara agar pihak berkenaan dapat menangganinya.


SPAD boleh dihubungi di :

Nombor talian: 1800- 88- SPAD (7723) atau 
Twitter: @SPADchannel atau @AduanSPAD. 

Pengguna juga boleh membuat pengaduan di Facebook rasmi SPAD https://www.facebook.com/SPAD.my