Showing posts with label ETS. Show all posts
Showing posts with label ETS. Show all posts

Friday, September 18, 2015

Jom Pakat Naik ETS Sempena Cuti Sekolah

Menaiki keretapi merupakan satu pengalaman perjalanan yang luar dari kebiasaan. Tambahan kini, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah menyediakan perkhidmatan Elektrik Train Service (ETS) sesuai dengan "dual track'" dan penambahbaikan perkhidmatan yang melingkari trek di antara KL Sentral hingga ke Padang Besar.

Segala usaha ini adalah dengan kerjasama dan hubungan rapat antara Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dengan KTMB bagi memastikan pengguna perkhidmatan dan rakyat Malaysia dapat memanafaatkan perkhidmatan darat tertua negara yang penuh bersejarah dan mengalami perasaan mencintai alam kehijauan yang damai dengan menerapkan teknologi pengangkutan yang pantas, profesional dan mesra pelanggan. 

Dalam satu kenyataan yang dibuat KTMB, sempena musim percutian sekolah dan Hari Raya Aidil Adha tidak lama lagi, KTMB menyediakan tren ETS tambahan bagi menampung permintaan masyarakat pengguna bagi perjalanan pergi dan balik antara KL Sentral dan Padang Besar.

ETS tambahan tersebut akan berlepas pada pukul 11 pagi dari KL Sentral dan dijadualkan tiba di Padang Besar pada 4.35 petang. Manakala ETS tambahan dari Padang Besar pula akan berlepas pada pukul 6 petang dan dijadual tiba di KL Sentral pada pukul 11.45 malam.
Kedua-dua perjalanan tren itu akan bermula esok; 19hb September. Seterusnya pada 22hb, 23hb, 25hb, 26hb dan 27 September ini. Perkhidmatan tren ETS ini akan berhenti di stesen utama iaitu Tanjung Malim, Ipoh, Kuala Kangsar, Taiping, Bukit Mertajam, Butterworth, Sungai Petani, Alor Setar dan Arau.
Tiket perjalanan bagi tren ETS tambahan boleh dibeli mulai sekarang dan maklumat lanjut mengenai perkhidmatan itu boleh hubungi talian 1 300 88 5862

Thursday, July 09, 2015

Jom BerETS, KL-Pdg Besar, ESOK!

"Perkhidmatan Keretapi Elektrik (ETS) akan berkhidmat dari Kuala Lumpur ke Padang Besar bermula esok."

Begitulah kenyataan yang dibuat Menteri Pengangkutan, YB Dato' Seri Liow Tiong Lai, di dalam satu sidang media yang dibuat di Stesen Keretapi Kuala Kangsar sebentar tadi. Ini adalah sempena menyediakan perkhidmatan tambahan Hari Raya Aidil Fitri yang akan disambut pada minggu hadapan dan memandangkan orang ramai ternanti-nanti perkhidmatan yang lebih selesa dan dan lebih cepat.

Menurut Datuk Liow, sebagai permulaannya perkhidmatan ETS hanya akan dibuat sebanyak dua kali sehari iaitu satu perjalanan dari Kuala Lumpur ke Padang Besar dan satu lagi dari Padang Besar ke Kuala Lumpur. Perjalanan  perkhidmatan ETS akan singgah di semua stesen utama dari kedua arah perjalanan termasuklah di Ipoh dan Butterworth dengan perjalanan antara Kuala Lumpur dan Padang Besar mengambil masa dijangkakan selama empat jam empat puluh lima minit (4 jam 45 minit) satu arah perjalanan.

ETS yang bakal memulakan perkhidmatannya boleh memuatkan 312 penumpang dengan enam (6) gerabak untuk satu perjalanan. Maklumat itu dikongsikan Liow setelah beliau bersama pegawai Kementerian Pengangkutan (MoT), Keretapi Tanah Melayu (KTMB), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan media menaiki tren baharu ETS dari Stesen Kereta Api Batu Gajah ke Kuala Kangsar, tadi. 

Bagi penulis, ini adalah satu usaha menambahbaik perkhidmatan awam darat hasil kerjasama MoT dan SPAD demi kemudahan rakyat Malaysia juga pelancung luar. Apalagi buat penulis yang amat menantikan untuk menaikinya yang lebih pantas berbanding perkhidmatan awam yang lainnya.

Hubungi Stesen KTMB setempat untuk jadual perjalanan dan pembelian tiket Anda. Atau layari laman sesawang KTMB di www.ktmb.com.my

Apa tunggu lagi...Jom kita berETS?!

Wednesday, July 01, 2015

ETS Menantikan Kelulusan Operasi

Tempoh hari penulis telah memuatkan berita gembira buat penggemar perkhidmatan keretapi yang bakal melalui fasa evolusinya dari keretapi locomotif disel kepada keretapi berjana elektrik; perkhidmatan tren eletrik (ETS). Lebih pantas, Menjimatkan masa perjalanan, jadual perjalanan yang bertambah dan pastinya lebih ergonomik dan mesra hijau. ETS dijangka dilancarkan pada dalam bulan Julai selari dengan migrasi warga kota dalam aktiviti balik kampung sepanjang sambutan perayaan Hari Raya Aidil Fitri 

Namun terkini, ETS Kuala Lumpur-Padang Besar hanya boleh beroperasi selepas mendapat kelulusan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) di dalam satu kenyataan yang dipetik dari Pengerusinya Tan Sri Dato' Seri Dr Syed Hamid Syed Jaafar Albar bahawa ETS masih dalam proses pemeriksaan tren dan landasan dan belum boleh beroperasi.

Menurut beliau, SPAD sudah memaklumkan mengenai penangguhan operasi kepada KTMB dan kelulusan hanya diberikan selepas pihaknya menentukan keselamatan awam yang menggunakan perkhidmatan itu.

“Kita telah memberitahu mereka (penangguhan operasi). Tapi kalau mereka (KTMB) langgar undang-undang, kita terpaksa ambil tindakan. Kita perlu periksa beberapa landasan dan tren mereka,” kata Tan Sri Syed Hamid.


Pada Khamis lepas, KTMB mengumumkan perkhidmatan ETS sejauh 329 kilometer itu akan mula beroperasi hari ini dan boleh digunakan orang ramai yang ingin pulang ke utara bagi menyambut Aidilfitri.

Dalam pada itu, Syed Hamid berkata SPAD dijangka mengeluarkan sebanyak 400 Lesen Perubahan Sementara (LPS) untuk perkhidmatan bas tambahan sempena Aidilfitri ini. KTMB turut telah memaklumkan pertambahan koc bagi semua perjalanan sepanjang tempuh 10hb - 17hb Julai yang telah habis dijual.
    
"Pada tahun lepas kita mengeluarkan lebih 300 LPS dan kita jangka tahun ini kita akan keluarkan lebih atau sama bilangan dengan jumlah LPS yang dikeluarkan tahun lepas," katanya.
    
Berkenaan tambang bas, beliau berkata sebarang kenaikan tambang perkhidmatan awam mesti diluluskan di peringkat Kabinet terlebih dahulu.

Wednesday, June 24, 2015

KL-Pulau Pinang Dalam Masa 3 Jam Dengan ETS

Tiga jam perjalanan menggunakan perkhidmatan keretapi elektrik (ETS) yang menghubungkan Kuala Lumpur ke Butterworth akan beroperasi pada bulan Julai tahun ini. Laluan yang bakal diteruskan hingga ke Padang Besar dan menagambil masa perjalanan 4 jam satu laluan.

Berita ini merupakan satu khabar yang menyenangkan kepada pengguna perkhidmatan alternatif yang lain seperti bas ekspres.  


Perkhidmatan ETS yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Butterworth akan siap digunakan pada bulan depan, kata Menteri Pengangkutan; YB Dato' Seri Liow Tiong Lai.

Pemimpin-pemimpin kerajaan Persekutuan dan negeri Perak akan mencuba percubaan itu dari dari Ipoh ke Kuala Lumpur untuk melihat sendiri keberkesanan perkhidmatan sebelum ia beroperasi sepenuhnya.

"ETS akan merupakan rahmat bagi penduduk yang tinggal di sepanjang laluannya. Saya akan mengumumkan apabila ia akan dibuka kepada orang ramai pada 9 Julai dan pakej-pakej dan jadual perjalanan yang akan ditawarkan, " menurut kata Liow.

Liow, yang juga Presiden MCA. berkata demikian selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan MCA Lumut di Kampung Selamat di sini, pada hari Ahad baru ini.

Perjalanan baru ini mampu memuatkan kira-kira 350 orang ke Pulau Pinang dari Kuala Lumpur dan mempunyai 10 set koc baru menjelang Januari 2016 bagi perjalanan hingga ke Padang Besar, Perlis kelak.

Set koc keretapi tersebut dihasilkan oleh syarikat kereta api yang berpangkalan di China iaitu CSR Zhuzhou, yang juga membina 'Class 92 trains' untuk laluan Komuter KTMB. Tiga set akan memulakan perjalanan mereka pada laluan KL-Butterworth pada bulan Julai 2015. Manakala baki tujuh lagi akan digunakan secara berperingkat menjelang Januari 2016.

Keretapi ETS ini mampu bergerak pada kelajuan 160 kph berbanding model keretapi sediada hanya berkelajuan 140 kph. Berpandukan itu, masa perjalanan dijangka selama 3 3 jam berbanding 7 jam denagn  keretapi sediada. Semua ini adalah sebahagian daripada usaha yang lebih besar untuk menghubungkan Kuala Lumpur ke Padang Besar melalui projek landasan berkembar elektrik.

Dilaporkan bahawa laluan sepanjang 329km dari Ipoh-Padang Besar akan diserahkan kepada Kementerian Pengangkutan menjelang akhir tahun ini. Apabila siap nanti perkhidmatan ETS dari Padang Besar, Perlis ke Kuala Lumpur bakal memakan masa hanya 4 jam 15 minit berbanding kira-kira 12 jam menerusi perkhidmatan lokomotif diesel.

Menurut satu laporan China Daily memetik CSR Zhuzhou Electric Locomotive Co (CSR ZELC) dalam kenyataannya, kereta api ini akan digunakan di sepanjang laluan 900 km yang akan datang antara Padang Besar dan Johor Baru.