Showing posts with label Pusat Kajian Pondok. Show all posts
Showing posts with label Pusat Kajian Pondok. Show all posts

Sunday, March 22, 2015

Bak Sireh Pulang ke Ganggang

Bak sireh pulang ke ganggang. Begitulah akhirnya dan sesuai entiti dan individu yang berlatarkan negeri Kedah Darul Aman disatukan dalam satu tanggungjawab memartabatkan Islam, sebagai Agama pada umat dan Negara.

Yang Berbahagia Dato' Dr. Mashitah Binti Haji Ibrahim, ramai mengenali sejak mulai terpampang di kaca televisyen di dalam program bercirikan Agama yang bersiaran dari masa ke semasa pada lewat tahun 90an.

Dato' Dr. Mashitah binti Haji Ibrahim dilahirkan di Kedah. Beliau disediakan pendidikan awal ke Sekolah Rendah Sultanah Asma, Alor Star dan Sekolah Taufiqiah Pondok Shaikh Yahaya Junaid, Padang Lumat, Kedah oleh kedua ibu dan bapanya. Berbekalkan keputusan yang cemerlang, Mashitah telah menyambung pelajaran di Maktab Mahmud, Alor Star dan seterusnya memperolehi Ijazah dari Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir pada tahun 1987. Dalam tahun yang sama juga, beliau meneruskan pengajian Doktor Falsafah dalam bidang Syariah Islamiyyah pengkhususan Tafsir dan Hadis di Darul Ulum, Universiti Kaherah, Mesir.

Tidak berhenti di situ sahaja, beliau telah melengkapkan pengajian di peringkat sarjana di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam bidang 'Revealed Knowledge and Heritage' pada tahun 1992. YBhg Dato' Dr. Mashitah merupakan pelajar wanita Malaysia pertama memperolehi Ijazah Kedoktoran Kelas Pertama (Syaraf Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) dari salah sebuah universiti terkenal di Mesir, iaitu Universiti Kaherah pada tahun 1997.

Penglibatan Dato’ Dr. Mashitah dalam dakwah bukanlah baru. Sebenarnya beliau telah dilatih ibubapanya dan diceburi sejak berusia 13 tahun lagi. Beliau giat berceramah sekitar Universiti Islam Antabangsa Malaysia (UIAM) di zaman pelajarnya. Kemudian memulakan program motivasi keluarga yang menggabungkan unsur kaunseling, motivasi dan kekeluargaan yang bersifat 'universal'. 

Kemunculannya di Radio Malaysia KL membuka pintu yang meluas dan bermulalah siri dakwahnya melalui program Adikku Sayang, Al Kuliyyah dan Forum Ehwal Islam yang mendapat sambutan ramai.

Pada 27hb Mac tahun 2004 Dr. Mashitah dilantik sebagai Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri.  Beliau mengangkat sumpah pada 31hb Mac 2004. Seterusnya, pada 14hb Februari tahun 2006, Mashitah telah dilantik sebagai Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri. Beliau berjaya mengekalkan kedudukan walaupun selepas rombakan kecil kabinet. Beliau juga merupakan Ahli Majlis Agama Islam Negeri Pahang.

Secara rasminya dengan pelancaran Pusat Kajian Pondok di Kolej Universiti Islam Malaysia sebagai Pengarahnya, YBhg Dato' Dr. Mashitah dilihat mampu mencorak dakwah yang lebih dinamis dan mencerminkan Islam mengikut tuntutan dan ajarannya.

Sepanjang kariernya beliau telah mebabitkan diri sebagai:
  • Penceramah/Pendakwah
  • Panel program motivasi dan kekeluargaan Islam Media Cetak dan Elektronik
  • Tenaga pengajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebagai Penolong Profesor di Jabatan Quran dan Sunah Kuliyyah Wahyu dan Sains Kemanusiaan.
  • Ahli Parlimen Baling, Kedah
  • Pengerusi Eksekutif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM)
  • Pengarah Pusat Kajian Pondok, Kolej Universiti Islam Insaniah (KUIN) Kedah.
  • Ahli perniagaan butik pakaian bercirikan Islam, di Gombak, Selangor.
Sebagai penghargaan sebagai pendakwah, beliau dianugerahkan pingat Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Dato’ daripada Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur pada 23hb Oktober tahun 2000.
Pada 22hb Januari tahun 2006, Dato' Dr. Mashitah dianugerahkan pingat Dato’ Setia DiRaja Kedah (DSDK) yang membawa gelaran Dato' daripada Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman.


Manakala Kolej Universiti Insaniah (KUIN) Kedah dahulunya dikenali sebagai Institut Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman (INSANIAH) berperanan melahirkan intelektual-intelektual dan  profesional Islam dalam segenap lapangan; ilmiah, pendidikan, dakwah, perundangan dan lain-lain bidang selaras dengan kehendak pembangunan masyarakat yang beriman, berilmu, beramal, bertaqwa dan berakhlak mulia.

Berputiknya hasil lawatan bekas Menteri Besar Kedah; Tan Sri Dato' Seri Haji Osman Aroff dan Pengurus Besar Yayasan Islam Negeri Kedah (YINK) ke Universiti Al Azhar pada pertengahan September 1993 dengan tujuan memupuk kerjasama ke arah penubuhan program berkembar di antara ke dua pihak. Maka merintis sejarah dalam bidang pendidikan sebagai institusi unggul dan pertama menawarkan program pengajian berkembar dengan Universiti Al-Azhar.

Usaha gigih itu menjadi realiti pada 22 Jun 1995, apabila diwartakan dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman. Institusi ini ditubuhkan menurut Enakmen Bil. 4 tahun 1995 di Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman yang diwartakan pada 22 Jun 1995 merupakan sebuah institusi pengajian tinggi Islam milik penuh Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman. INSANIAH memulakan pengajian sulungnya pada Disember 1995, dengan seramai 75 orang pelajar mengikuti tiga bidang kursus yang ditawarkan pada peringkat ijazah pertama.


Pada 15 Mei 2006 INSANIAH melakar sejarah baru apabila secara rasminya dinaik taraf sebagai Kolej Universiti Insaniah (KUIN). INSANIAH diberikan status (Institusi Pendidikan Tinggi Kerajaan [IPTK]) oleh Kementerian Pendidikan Malaysia serta berdaftar di bawah Akta Pendidikan 1996 dengan nombor pendaftaran K/IPTK/07 (021).
Kini Kolej Universiti Insaniah (KUIN) merupakan sebuah Institusi Pengajian Tinggi Swasta yang berdaftar di Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia KPT/JPS/DFT/US/K03 dan dimiliki penuh oleh Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman.

KUIN terus menaikkan imej Kedah dengan menjadi pusat pengajian Islam yang terulung dirantau ini apabila dianggap oleh Universiti al Azhar sebagai cawangannya di Asia Tenggara. Lebih menarik lagi ramai pelajar warga asing datang menyambung pengajian ke sini seperti dari Thailand, Indonesia, Australia, Singapura, Brunei, Rep. Rakyat China, Kemboja, Iraq, Iran dan banyak lagi.

KUIN menawarkan bidang pengajian seperti:
. Kulliyyah Hospitaliti dan Perkhidmatan Halal
. Kulliyyah Usuluddin
. Kulliyyah Syariah
. Kulliyyah Muamalat
. Kulliyyah Pengajian Al-Quran
. Kulliyyah Multimedia dan Kreatif
. Kulliyyah Kejuruteraan dan Teknologi
. Kulliyyah Kejururawatan
. Pusat Pengajian Umum dan
. Pusat Bahasa

Beroperasi di dua lokasi kampus; di Mergong, Kota Setar, Kedah dan kampus induknya di Kuala Ketil, Baling, Kedah.

Simbiosis di antara YBhg Dato' Dr. Mashitah dan KUIN pastinya akan beroleh keredhaan Allah SWT demi martabat Islam dan sejahtera Malaysia. Sekalung tahniah Anak Kedah.

KUIN dan YPPM Melakar Sejarah

Di dalam menelurusi kehidupan di kalangan masyarakat majmuk, tidak dinafikan bakal terhasil beberapa kefahaman dan budaya yang tergesel. Justeru terhasillah satu usaha yang padu mengadakan Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia; satu konsep budaya yang disenyawa dan diadaptasi dengan nafas yang lebih jelas memahami budaya dan ilmu melalui Al-Quran dan Islam sebagai Agama di samping memartabatkan pengajian ugama yang sekian lama menerima persepsi yang sinis di kalangan ramai anggota masyarakat.
Yang Amat Berhormat Dato' Seri Haji Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak pada 14hb Mac lepas, telah melancarkan Pusat Kajian Pondok di Kolej Universiti Insaniah (KUIN) Kedah yang bertanggungjawab menjalankan kajian lebih giat dan meluas terhadap institusi pondok dan sistem pengajiannya di Malaysia serta luar negara.

Pelancaran Pusat Kajian Pondok sebagai salah satu pusat kecemerlangan KUIN yang diumumkan akan diterajui Pengerusi Eksekutif, Yayasan Pembangunan Pondok (YPPM), YBhg Dato’ Dr Mashitah Ibrahim selaku Pengarah yang pertama, berlangsung di TH Hotel and Convention Centre, dengan sendirinya melakar sejarah memeterai MoU bersama Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIN) menubuhkan Pusat Kajian Pondok (PKP).

Majlis tandatangan persefahaman tersebut telah disaksikan oleh YAB  Dato’ Seri Najib  Razak Perdana Menteri Malaysia yang merupakan Penaung bagi Yayasan Pembangunan Pondok. Mungkin umum tidak mengetahui Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia adalah ilham peribadi YAB Perdana Menteri dengan hasrat  membangunkan Institusi Pondok yang mana selama ini terbiar dengan serba kekurangan.

Memorandum persefahaman (MoU) antara KUIN dan YPPM untuk menjalinkan kerjasama lebih erat bagi membela, memperkasa dan pembangunan antara kedua-dua entiti itu melalui kepakaran entiti masing-masing.
Usaha KUIN yang diwakili Rektor, YBhg Prof Datuk Mohd Yusof Kasim, manakala YPPM diwakili Mashitah mengesahkan kesepaduan tenaga telah menarik minat beberapa  buah universiti seperti Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Utara Malaysia, dan Universiti Sains Islam Malaysia melibatkan diri untuk memperkembangkan idea dan kajian demi mempertingkatkan martabat Institusi pondok negara.

Turut hadir ialah Menteri Besar;  Dato' Seri Mukhriz Mahathir dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Pendidikan Negeri; Datuk Tajul Urus Mat Zain.