Showing posts with label Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong. Show all posts
Showing posts with label Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong. Show all posts

Sunday, December 20, 2015

Contoh Terbaik DS @weekasiongmp

Pastinya berita ini akan didakwa sesetengah pembaca sebagai bahan picisan atau mengada-adakan malah mensensasikan keadaan.

Malahan kisah ini benar-benar berlaku, ibarat skrip lakunan di dalam filem Pendekar Bujang Lapuk, "Ini betul-betul, bukan cobaan!". Bukan dibuat-buat...
Potret ini menggambarkan Yang Berhormat Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri merangkap Timbalan Presiden MCA sedang membantu menolak seorang warga emas Melayu di atas kerusi roda ke perlepasan penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

Kejadian berlaku ketika Datuk Wee yang kebetulan berada di sana, tanpa berlengah menghulurkan bantuan setelah mendapati wanita tersebut yang kelihatan panik keseorangan tanpa ahli keluarga yang telahpun menaiki pesawat penerbangan ke destinasi mereka ke Kuala Lumpur, turut bersikap mengambil hati akan keadaan dirinya.

Sikap prihatin sebegini tanpa mementingkan diri amat dikagumi berbanding keadaan orangramai masa kini yang bersikap bersahaja dan seolah berasa janggal untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan bantuan. Inikan pula, dibantu oleh seorang Menteri di dalam Kabinet Kerajaan Malaysia, satu sikap terpuji yang wajar dipuji dan dicontohi.

Peristiwa ini telah dirakam melalui Facebook seorang kenalan dengan pelbagai persepsi dan komen yang dimuatkan. Tidak perlulah saya, warkan komen-komen yang rata-rata berlandaskan andaian dari mata kasar.

Pokoknya, sebagai seorang anggota masyarakat yang dipupuk dengan budaya penuh kesopanan dan susila keTimuran, keadaan sebegini menggamit betapa, kita semakin menjadi masyarakat yang "self centric" dan cepat melatah negatif tentang persekitaran kecuali apabila keadaan sebegitu rupa menimpa diri sendiri.

Sebagaimana kita didedahkan dengan konsep "Kepimpinan Melalui Teladan", Datuk Seri Wee turut mempraktikkan sikap tolong menolong tanpa mengenal warna kulit dan fahaman atau agama.

Saturday, December 19, 2015

Dr. Wee: Guan Eng Berhentilah AduDomba Fakta!

Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar yang menemukan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Abdul Razak, membuat DAP tidak senang duduk sehingga mengkritik hebat di medan sosial.

Panas telinga dan sakit hati DAP, melihatkan usaha pendekatan pihak ketiga ke atas PAS dan UMNO terserlah detik pertemuan.

Masih ada saki-baki kasih pada PAS, atau sekadar berpura-pura prihatin tapi jauh di lubuk hati, menyimpan dendam kesumat? Agak pelik juga memandangkan perikatan yang sebelum itu melibatkan PAS dicemari dengan menyunting bunga larangan. Hakikatnya PAS hanyalah sebuah "vehicle" atau lebih tepat lagi kuda tunggangan Pakatan Harapan untuk kekal berkuasa di Selangor. 

Gara-gara beberapa ahli politikus PAS yang tegas tidak menjadi Pak Turut di dalam pentadbiran, maka PAS ditolak tetapi masih dikekalkan untuk muafakat di negeri seperti Selangor dan Pulau Pinang, apalagi sebagai satu pakatan yang relevan. Boleh yang itu, tidak pula yang ini, ibarat memilih antah dari beras, PAS dibuat Pakatan Harapan yang didalangi DAP.
Datuk Seri Ir. Dr Wee Ka Siong, Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Timbalan Presiden MCA, berasa janggal dan membidas gambaran yang dibuat DAP, mereka-reka cerita mengenai kerjasama UMNO dan PAS berpandukan majlis yang dihadiri kedua pemimpin tertinggi dua parti tersebut.

"Apakah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng tidak menyedari persefahaman antara PAS dan UMNO? Tidakkah DAP sedari agenda PAS mengenai "Hudud"?

Hakikatnya, UMNO dan PAS telah mulai berkerjasama memulihkan keadaan rakyat sejak berlakunya banjir buruk di Kelantan. 

MCA, menurut Dr. Wee berpandangan tidak wajar ada perasaan ini hati atau terkejut dengan keadaan sedemikian, malahan tambah beliau, perbincangan dan persefahaman di antara kedua buah parti tersebut adalah menyentuh perihal perpaduan agama Islam. 

Wee turut menghimbau kembali, peristiwa berpelukan di antara Tan Sri Nazri Aziz sebagai Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Malaysia dengan Lim Guan Eng di dalam mempromosikan aktiviti pelancongan di Pulau Pinang.

"Apakah itu satu kerjasama di antara DAP dan UMNO?" sinis pertanyaan Dr. Wee. "Janganlah diputarbelitkan kebenaran semata-mata untuk mencapai kepuasan perjuangan politik yang digulakan kata-kata manis," tambah Wee lagi.

Dalam satu sidang akhbar yang dihadiri saya, pada lewat bulan November, Datuk Seri Wee turut mendedahkan putarbelit fakta oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng. Lim Guan Eng telah mengejek Datuk Wee sebagai menipu masyarakat Cina, kononnya Kerajaan Malaysia telah mengiktirafkan Sijil Peperiksaan Bersepadu (Unified Examination Certificate).
Tidak timbul sebarang unsur penipuan, malahan tegas Datuk Wee, rundingan menyentuh pengiktirafan UEC sebenarnya akan dibuat Kerajaan Malaysia dan prosesnya perlu melalui beberapa pendekatan langkah demi langkah.

Lim Guan Eng sebaliknya dengan sombong, memperlihatkan satu contoh terbaik pengiktirafan pemegang UEC oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan mengumumkan Penang Green Council (PGC) Thing Siew Shuen sebagai Pengurus Besar.

Dr. Wee mendedahkan Thing Siew Shuen adalah pelajar dari Sekolah Tinggi Foon Yew, Johor Bahru, namun diambil bekerja setelah memperolehi ijazah Sarjana Sains Alam Sekitar di universiti dari Australia. Tambahan pula, Penang Green Council adalah sebuah syarikat swasta, ini tidak mencermin atau membuktikan Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengiktirafkan UEC.

Kerajaan Malaysia belumpun lagi mengiktiraf UEC, walaupun demikian, pemegang UEC diterima masuk memasuki institut latihan perguruan sejak 2010 dan menerima sebahagian pelajar dari sekolah tinggi swasta Cina.

Jelas pihak Pembangkang amat gemar memanipulasi dan memesongkan sokongan rakyat dari fakta sebenar. AWAS dan Jangan terpedaya! tindak-tanduk Pembangkang, lebih-lebih lagi DAP yang hanya mengadudomba situasi berdasarkan pemerhatian tanpa maklumat yang betul dan tepat.

Monday, December 14, 2015

Vape dan Amalan Muafakat Johor

Keghairahan kegunaan Vape sudah memuncak hingga campurtangan Sultan Johor bertitah mengharamkan penggunaan peralatan tersebut di negeri Johor Darul Takzim. Di dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor yang baru lalu, larangan atau pengharaman penjualan Personal Vaporizers (PV), atau yang kerap juga disebut vape, adalah satu dari banyak jenis rokok elektrik akan menempatkan negeri Johor secara rasminya yang pertama dan akur kepada titah yang dibuat Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor itu, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkuatkuasa pada 1hb Januari 2016.

Disebalik penafian oleh pelbagai pihak yang menampakkan kedegilan dan mencabar kuasa dan undang-undang, penggunaan Vape telah didapati menggunakan bahan kawalan 'nikotin' yang hanya boleh digunakan di bawah pemerhatian dan kawalan pengamalan perubatan yang terlatih dan berlesen. 
Tambahan lagi, Vape seolah satu fenomena baru dengan alasan berhenti merokok, yang mendapat liputan meluas di medan sosial hingga ada ketagihan penggunaannya di peringakat kanak-kanak seawal usia 11 tahun, amatlah mengemparkan khalayak ramai. Komuniti pengguna Vape juga dilihat seolah mencabar masyarakat umum dan penguatkuasa, menghela asap tebal di kawasan larangan menghisap rokok dan dengan terbuka.

Sebagai salah seorang Bangsa Johor, Yang Berhormat Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri merangkap Timbalan Presiden MCA, keputusan yang dibuat adalah bersesuaian dengan konsep Muafakat Johor yang diamalkan sekian lama dan menyanjungi titah ke bawah Duli Tuanku yang prihatin dan bimbang dengan gaya hidup yang melanda masyarakat sekarang sekaligus bakal menjejaskan tahap kesihatan rakyat.
Dakwaan yang dibuat oleh Pengerusi Pertubuhan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Mohd Ridzuan Abdulah bahawa 41% daripada 11 juta pengundi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu adalah golongan muda dan berhasrat mengumpul sejuta tandatangan bantahan usaha larangan Vape, merupakan satu usaha menggalak dan tegar akur kepada perintah dan Undang-undang.

Hasil kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan jurnal-jurnal perubatan dunia turut membangkitkan isu vape dengan penagihan nikotin, penyalahgunaan alat vape untuk menghisap dadah tanpa dikesan serta kesan jangka panjang vape yang mengandungi formaldehyde yang diketahui merupakan agen karsinogenik yang boleh mengakibatkan kanser.

Nikotin merupakan antara dadah yang termaktub di bawah Akta Racun. Membenarkan penggunaannya untuk menghasilkan liquid vape oleh orang ramai akan mendedahkan dan mengundang bahaya kepada kesihatan ramai.
Keputusan yang telah dibuat Kerajaan Negeri Johor berlandaskan titah Sultan Ibrahim Sultan Iskandar itu adalah berdasarkan pandangan dan keprihatinan kesihatan semata-mata tanpa sebarang agenda kepentingan atau perkauman.

Pandangan Datuk Wee, amanat menjalankan  arahan dan titah Sultan ini  menjadi mudah kerana ada Konsep Muafakat Johor yang diamalkan di negeri ini sekian lama. Pastinya arahan itu akan dikuatkuasakan tanpa sebarang bantahan.

Begitulah isu e-rokok ini. Adakah kita mahu menambah satu lagi masalah dengan vape/e-rokok pula?

Saturday, November 21, 2015

Sins of Thy Fathers; Apa Motif Pertemuan Nurul?

Peristiwa tanahair bermandi darah masih terngiang di hati rakyat Malaysia. Bumi Lahad Datu dan Semporna, Sabah dicerobohi Pengganas Sulu yang menuntut wilayah kesultanan Sulu dikembalikan. Pencerobohan berperingkat dimulakan di Felda Sahabat 17, Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah.
Tarikh 1hb dan 2hb Mac 2013, detik hitam kedaulatan negara dicabar hingga gugurnya wira bunga bangsa yang mempertahankannya. Pencerobohan oleh kumpulan pengganas yang dikenalpasti pengikut Jamalul Kiram III yang mendakwa sebagai waris kesultanan Sulu itu, dengan kekuatan 235 orang bersenjata berat telah memulakan operasi pencerobohan di Kampung Tanduo, Lahad Datu seawal 12hb Februari gagal mencapai persetujuan yang ditawarkan pihak Kerajaan Malaysia sehingga tarikh rundingan tamat pada 26hb Februari 2013. 

Keadaan yang getir memaksa Kerajaan bertindak menubuhkan kawalan keselamatan Kawasan Keselamatan Khas Pantai timur Sabah (ESSCOM) disusuli Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) sebagai satu perundangan pencegahan dan pertahan negara bersempadanan selatan Filipina. 

Sehingga 21hb Mac, 173 orang lagi telah ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA). Lapan orang rakyat Filipina telah disabitkan kesalahan dan berdepan hukuman mati dan penjara seumur hidup kerana melancarkan perang ke atas Yang DiPertuan Agong.
Terbaru belum sembuh luka di dada, kecoh semula dengan berita Nurul Izzah, Ahli Parlimen (PKR -Lembah Pantai) merangkap Naib Presiden PKR bergambar dengan Puteri Jacel H Kiram. Beliau turut mengesahkan pertemuan dengan Jacel puteri kepada pengganas Sulu itu pada 9hb November lalu di Manila, Filipina. 

Gambar yang dimuatnaik oleh Jacel di laman sosial menunjukkan Nurul bersama memegang poster yang diterakan perkataan "Release Anwar Immediately" adalah secara langsung membuktikan kesepakatan dan kesefahaman pembabitan di antara kedua pihak yang diberitakan termasuk berita luar negara?
Seorang ahli Yang Berhormat, Nurul dengan fahaman sempit dan terdesak menyanggupi bersua ‘jurucakap’ kumpulan pengganas yang menceroboh negara kononnya, pelembut lidah – FILIPINO FRIENDS? 

Lantaran itu, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong, Timbalan Presiden MCA bagai tersentak mendengarkan berita sokongan dan kesamaan dua pihak yang pernah membibitkan sejarah pahit negara. Apakah niat dan maksud sebenar di sebalik pertemuan itu? 

Sudah pasti kenyataan Datuk Wee yang juga Ahli Parlimen (BN - Ayer Hitam) dan selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri wajar menuntut pertanggungjawaban Nurul melihatkan sandiwara terbaru itu. Berbanding dengan sikap diambil oleh Ahli Parlimen, Teresa Kok Suh Sim (DAP - Seputeh) yang tidak berperi kemanusiaan dan ATAU sensitif di atas kedaulatan negara yang tercalar hingga melibatkan 8 (LAPAN) anggota keselamatan negara terkorban mempertahankan dari ancaman pencerobohan itu.
Tindakan Teresa mengaitkan pertemuan YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak yang secara kebetulan bertembung Benjamin Netanyahu di pintu masuk bangunan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York, sebagai usaha memesongkan angkara pihak Pembangkang samada secara terang lagi bersuluh atau tidak langsung usaha mereka untuk memporak-perandakan negara. 

Apakah pertemuan di Manila yang dikatakan satu pertemuan yang diatur pemimpin politik Filipina sebenarnya bertujuan mensahihkan tuntutan Kerajaan Sulu yang tidak boleh diterimapakai dengan sejumlah 235 orang pengganas dari selatan Filipina menceroboh untuk membuat onar?
https://ms.wikipedia.org/wiki/Krisis_pencerobohan_Lahad_Datu_2013
https://en.wikipedia.org/wiki/Sultanate_of_Sulu
Maka benarlah desas-desus sebelum pencerobohan yang mengaitkan Anwar Ibrahim dan konco-konconya seperti dimaklumkan di dalam http://theunspinners.blogspot.my/2015/11/nurul-sahkan-anwar-terlibat-dgn.html?utm_medium=twitter&utm_source=twitterfeed

Pembabitan  Ahli Parlimen,  Chua Tian Chang (PKR - Batu) dan R. Sivarasa (Subang) turut terbabit untuk salurkan dana untuk pencerobohan..? Ini semua antara benih permusuhan Anwar Ibrahim yang terbabit dengan isu pemberian kad pengenalan kepada pendatang asing di Sabah hingga mencetuskan penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja. 

Masih ingatkah lagi perkataan yang diluahkan Tian Chua, kononnya pencerobohan di Sabah itu satu "sandiwara" oleh Kerajaan Malaysia sebagai usaha untuk memenangi Pilihan raya yang bakal berlangsung? 

Sandiwara...hingga 8 nyawa terpisah dari jasad dan ahli keluarga ditinggalkan tanpa seorang ketua keluarga, Tian Chua??? Jika benar, di mana mereka dan kenapa masih belum pulang ke pangkuan ahli keluarga yang merindukan kasih dan sayang?! 
Perkataan "MAAF" tidak mempunyai nilai moral sering digemburkan oleh pemimpin yang tiada perasaan kecuali untuk diri sendiri....dan belum terungkap dari mulut mereka yang Hipokrit!
Keghairahan berSELFIE, sudah cukup membuktikan keserasian dan kemesraan antara Nurul dan Jacel di samping gambar yang tidak langsung menunjukkan sebarang keraguan oleh seorang ahli Yang Berhormat memimpin rakyat dan menghormati kedaulatan negara yang pernah diancam oleh Allahyarham Kiram, bapa kepada Jacel bersama pengganas Sulu. 

Dalam satu kenyataan pada tahun 2013, Jacel, Puteri Sulu Kiram menafikan mempunyai kaitan dengan pembangkang di Malaysia. Hari ini, bagaimana pula pembabitan beliau dalam isu pembebasan Anwar Ibrahim, “Kami tidak ada kaitan dengan pembangkang Malaysia dan tidak pernah bercakap dengan mana-mana pihak pembangkang sekalipun,” kata puteri Sultan Sulu Jamalul Kiram III, Puteri Jacel Kiram dipetik dari http://www.interaksyon.com/article/56346/sabah-journey-was-kkb---sulu-sultanate

Gara-gara "Sins of thy fathers, the torch marches on". Apakah motif di sebalik perjumpaan dengan jurucakap kumpulan pengganas ini, Nurul?!"
Penulis berpandangan, wajar langkah-langkah pencegahan khas diperhebatkan bagi menanggani sebarang usaha yang dilihat boleh mengancam negara dan disegerakan ke atas mana-mana pihak luar mahupun dari dalam negera.

Thursday, November 19, 2015

Bravo Datuk Wee, Pembangkang Banyak Helah!

Baru-baru ini, seramai kira-kira 100 ahli-ahli MCA telah menghadiri latihan yang diketuai oleh Ahli Parlimen Labis, Datuk Chua Tee Yong, dalam usaha mengukuhkan lagi kawasan Parlimen Labis, Johor. Ini adalah sebahagian sasaran yang ditetapkan oleh pihak MCA Negeri Johor MCA untuk merampas kembali Dewan Undangan Negeri Johor; Bekok daripada pembangkang.

Timbalan Presiden MCA; Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong berkata, usaha sedang digiatkan MCA bagi mendekati pengundi di kerusi Dewan Undangan Negeri itu, di mana parti telah kalah kepada DAP pada pilihan raya umum yang lepas.

"Kami akan turun padang lebih kerap untuk memperjelaskan semua isu-isu berbangkit berdasarkan fakta dan angka agar rakyat agar tidak keliru atau dikelirukan," katanya selepas merasmikan satu sesi latihan pengkaderan anjuran MCA Labis.

Di dalam isu berlainan, Datuk Seri Wee, menyatakan rasa kurang senang dengan kebiadapan yang dipamirkan Alvin Tan melalui medan sosial, menghina Al-Quran dan Islam yang jelas tidak langsung menghormati atau perasaan menjaga sensitiviti agama lain lebih-lebih lagi di dalam kepelbagaian agama dan budaya di negara ini.

Tindakan Alvin hanya menimbulkan perasaan marah dan syak curiga di kalangan masyarakat berbilang kaum hingga menyebabkan beliau berasa dirinya terancam dek perbuatannya sendiri. 

Kenyataan yang dibuat Datuk Seri Wee, ternyata membuktikan keharmonian antara kaum adalah antara faktor keserasian dan kerjasama yang sekian lama dipupuk dan terjalin di kalangan kepimpinan negara. Malang sekali, di pihak Pembangkang seperti Lim Kit Siang, Lim Guan Eng di antaranya gagal menghayati demokrasi yang kononnya mereka perjuangkan. Kenapa diam seribu bahasa???

Sikap Pembangkang ini seolah mengiyakan, sokongan mereka kepada Alvin Tan untuk mencabar Perlembagaan dan Undang-undang Negara. Lantaran itu, setiap komentar yang dibuat beliau akan menimbulkan ancaman ke atas keselamatan dirinya serta perhatian dan simpati Kerajaan Amerika untuk melanjutkan suaka politik.

Rakyat harus menyedari sandiwara yang ditontonkan oleh Pembangkang di dalam isu yang mengguris perasaan ini. Cara gaya kedua-dua pihak sebenarnya mempunyai motif yang serupa; membuktikan kepada kuasa asing untuk campurtangan di dalam urusan negara dengan menabur fitnah dan menimbulkan kacau-bilau antara kaum dan ugama. 

Melihatkan keadaan terkini, tindakan yang diambil pihak FaceBook menutup lamannya kepada Alvin Tan, adalah satu kenyataan bahawa unsur-unsur menghina dan tidak menghormati budaya dan ugama orang lain bukan satu amalan yang baik tetapi bersifat jahat.

Marilah bersama Datuk Seri Wee membuktikan perasaan "MUHIBBAH" masih wujud dan kental di kalangan rakyat Malaysia.