Showing posts with label Mohamad Nur Ismal Mohamed Kamal. Show all posts
Showing posts with label Mohamad Nur Ismal Mohamed Kamal. Show all posts

Tuesday, September 08, 2015

CEO SPAD Berganti, Keberkesanan Berterusan

Sistem pengangkutan darat awam negara sejak tahun 2010 telah melalui berbagai proses penambahbaikan. Baik dengan pihak pengusaha sistem pengangkutan, perancangan dan perlaksanaan mahupun di dalam organisasi; Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat yang dikenali sebagai "SPAD" sendiri.

SPAD telah mengumumkan perlantikan Encik Mohd Azharuddin Mat Sah selaku Ketua Pegawai Eksekutif SPAD yang baru berkuatkuasa pada 1hb September dan Encik Mohamad Nur Ismal Mohamed Kamal yang telah bersama SPAD sejak tahun 2010 kini berpindah perjawatan selaku Ketua Pegawai Eksekutif di myHSR Corp dalam merealisasikan projek perkhidmatan keretapi laju KL-Singapura.

Encik Azharuddin sebelum ini dari PEMANDU, adalah seorang Pengarah jabatan di "Greater KL/Klang Valley dan pengangkutan bandar di dalam satu unit di bawah Jabatan Perdana Menteri. Beliau pernah menjawat jawatan selaku Pengarah Kumpulan Sektor Awam di Microsoft (Malaysia) dan Naib Presiden Kanan di Khazanah Nasional bagi pagi projek-projek khusus.

Tanggungjawab Encik Azharuddin selaku CEO SPAD adalah antara lain memacu kelancaran dan keberkesanan sistem pengangkutan awam, begitu kata Pengerusi SPAD, Tan Sri Dato' Seri Dr Syed Hamid Syed Jaafar Albar.

"Saya berharap dapat bekerjasama erat dengan Azharuddin membina integrasi yang akan menjadikan pengangkutan awam sebagai pilihan semua rakyat Malaysia," kata Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar dalam satu kenyataan.

Dalam nada yang agak sugul tapi bersemangat, Syed Hamid mengucapkan terima kasih di atas sumbangan mantan CEO; Mohammad Nur yang banyak berjasa sepanjang bersama SPAD dari awal penubuhannya dan percaya kecemerlangan itu akan berterusan di dalam perananan dan tanggungjawabnya yang baru.

Friday, August 21, 2015

ISBSF Memenuhi NKRA Pengangkutan Awam Bandar

Ketika Tambang Baru Perkhidmatan Teksi diumumkan tempoh hari, riuh rendah masyarakat tidak terkecuali mereka yang tidak pun menggunakan perkhidmatan teksi. Rata-rata di kedai-kedai kopi, pejabat malahan isi rumah menjadi agenda atau topik perdebatan "Parlimen Rakyat". Hakikat dan fakta sektor pengendalian perkhidmatan pengangkutan awam tidak menyaksikan kenaikan bagi menampung kos operasi yang ditanggung purata enam (6) tahun hingga ada yang terpaksa gulung tikar tidak pula dipedulikan. Mereka juga adalah Rakyat.

Tertanya pula pengendali bas. Bilakah mereka berpeluang untuk menyaingi kos operasi yang semakin menghimpit kehidupan mereka? Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) tidak leka malahan keresahan mereka mendapat perhatian dan pembelaan pihak berwajib. 

ISBSF (Dana Sokongan Sementara Bas Henti-henti) satu inisiatif oleh Kerajaan bagi memenuhi keperluan NKRA Pengangkutan Awam Bandar. Berikutan keprihatinan YAB Perdana Menteri, Dato 'Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak, dana ini telah ditubuhkan sejak 3hb Januari 2012, untuk membantu meningkatkan kualiti perkhidmatan bas yang akan menggalakkan penumpang untuk terus menggunakan bas henti-henti sebagai mod perjalanan yang berkesan. Inisiatif ini bertindak sebagai langkah sementara untuk menampung kekurangan dalam operasi harian pengendali bas henti-henti yang terjejas, terutama di laluan yang tidak ekonomikal.

Hari ini, Pengerusi SPAD, Tan Sri Dato’ Seri Dr. Syed Hamid Syed Jaafar Albar bersama Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, En. Mohamad Nur Ismal Mohamed Kamal telah menyampaikan cek replika kepada wakil-wakil daripada syarikat bas henti-henti yang berjumlah RM10.3 juta. Sejumlah 172 pengendali bas henti-henti dari seluruh Malaysia telah menerima bayaran dari Dana Sokongan Sementara Bas Henti-henti (ISBSF) bagi meneruskan operasi mereka daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dalam satu majlis yang diadakan pagi tadi.

Seramai sebelas (11) wakil pengendali yang menerima cek replika itu adalah Wawasan Sutera Travel & Tours (Seleangor), Seranas Sdn Bhd (Selangor), Setara Jaya Sdn Bhd (Kuala Lumpur), Sri Indah Jaya (Kuala Lumpur), The Combined Bus Service Sdn Bhd (Perak), The Kulim Baling Road Transport Co. Sdn Bhd (Kedah), KTB Group (SMKK, KKBB, SRT, STK, KLSK), (Selangor, Kelantan, Pahang & Negeri Sembilan), Syarikat Kenderaan S & S Sdn Bhd (Johor), Handal Indah Sdn Bhd (Johor), Mustika Enterprise Sdn Bhd (Sabah), dan City Public Link Bus Services Sdn Bhd (Sarawak).

Namun sebagai dana sementara untuk membantu pengendali bas henti-henti yang terjejas ekoran daripada peningkatan kos operasi, ia perlu digantikan dengan skim yang lebih kekal iaitu Skim Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-henti (SBST) dengan pelancaran myBAS di negeri-negeri lain.

“Pada bulan Ogos ini, RM28 juta telah dibayar kepada pengendali bas henti-henti di bawah ISBSF. Bayaran keseluruhan daripada dana ini dari permulaan sehingga kini adalah sebanyak RM386.16 juta. 

Dana ISBSF bagaimanapun akan digantikan oleh Skim Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-henti (SBST) yang menggunakan bas jenama myBAS sebagai penyelesaian jangka panjang untuk meningkatkan tahap perkhidmatan bas henti-henti di seluruh Negara.

Operasi myBAS telah bermula di Perlis sejak 1hb Ogos dan akan dilancarkan secara rasmi pada 25 hb Ogos nanti. Pelancaran myBAS yang seterusnya akan dilakukan di Seremban, Ipoh, Kuala Terengganu dan Kuching.” kata Tan Sri Dato’ Seri Dr. Syed Hamid.


“ISBSF telah memberi manafaat kepada 332,232 penumpang sehari yang merentasi 656 laluan di seluruh tanah air. Ini melibatkan perjalanan terkumpul sejauh 38,65 juta kilometer yang dikendalikan oleh 1,704 bas sebulan.” tambah En. Mohamad Nur Ismal.

Friday, August 14, 2015

Warisan 1936 Bakal Kembali Di Pulau Pinang

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan mencadangkan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat (PAD) 2010 pada persidangan Parlimen pada bulan Oktober nanti; memungkin kepulangan perkhidmatan trem di Pulau Pinang sejak tahun 1936 pada tahun 2017 nanti?

Pindaan yang bakal dicadangkan adalah sejajar dengan rancangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi memulihkan perkhidmatan trem sebagai pengangkutan 'alternatif' kepada masalah jumlah trafik yang pesat di Pulau Pinang.

Di dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PMTP) Kerajaan Negeri telah memohon kepada Kerajaan Persekutuan lesen menjalankan perkhidmatan trem sebagai alternatif kepada cadangan pembinaan LRT atau Monorel yang tidak menepati syarat-syarat UNESCO dalam memelihara nilai dan aspek sejarah George Town sebagai Tapak Warisan Dunia.
http://darikacamatarakyat.blogspot.com/2015/08/jejak-pengangkutan-trem-di-pulau-pinang.html


Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Tuan Mohamad Nur Ismal Mohamed Kamal memberitahu pemberita di dalam satu sidang media pada 27hb Julai lalu, terkini tiada peruntukan undang-undang bagi perkhidmatan trem disediakan di negara.

Usaha yang dibuat Bandar Bersejarah Melaka dan George Town untuk mengembalikan warisan tertangguh kerana Kerajaan Persekutuan memerlukan cadangan peruntukan diusahakan ke arah hasrat tersebut terlebih dahulu disebabkan keunikannya berbanding sistem pengangkutan darat awam seperti LRT, Monorel dan perkhidmatan rel. 


Pada tahun 2011, Kerajaan Negeri Melaka telah mencadangkan pembinaan 40km laluan trem berciri mesra dengan enjin NGV, meliputi 11 daripada 14 kawasan pelancongan dari Plaza Tol Ayer Keroh ke Bandar Warisan Melaka dan bersambung ke Alor Gajah, Merlimau, Jasin, Durian Tunggal dan Masjid Tanah.

Turut difahamkan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu telah menggariskan perkhidmatan trem sebagai sebahagian daripada pelan kerajaan tempatan dalam usaha meningkatkan pelancongan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada awala tahun telah menyuarakan hasrat memperkenalkan trem di pusat daerah perniagaan (CBD) KL dalam cadangan SPAD memperkenalkan 'tuk-tuk' atau basikal roda tiga bermotor di kawasan pinggir bandar pada akhir tahun ini.

"Perkhidmatan trem memerlukan pindaan kepada undang-undang memandangkan ia akan berkongsi laluan yang sama di jalan raya bersama kenderaan yang lain. Tidak seperti Monorel, trem adalah sesuai, lebih mudah untuk dinaiki dan turun serta mampu membawa orangramai pada jarak dekat di CDB ataupun pusat bandar.

Di pihak kami akan mencadangkan pindaan kepada Akta PAD bagi menampung permintaan oleh majlis kerajaan tempatan." kata Nur Ismal.

"Ia juga perlu menggunapakai teknologi yang terbukti selamat, boleh dipercayai dan berkesan." tambahnya sebagai mengalukan usaha majlis kerajaan tempatan di dalam memulakan perkhidmatan trem.

Thursday, July 23, 2015

Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 Akan Lebih Sengat

Memandangkan perkembangan terkini yang melibatkan aplikasi mudahalih melalui telefon pintar di dalam perkhidmatan pengangkutan awam yang menyangalahi undang-undang, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menjangkakan beberapa pindaan kepada peruntukan yang lebih tegas bagi menanggani dan mengawalselia aplikasi tersebut di dalam industri pengangkutan awam darat.

Langkah ini perlu memandangkan penguatkuasaan SPAD agak terbatas dan sebagai usaha untuk memberi kuasa penuh bagi mengekang aplikasi mudahalih seperti Uber, GrabCar, Blacklane, EasyTaxi dan pemanju aplikasi yang menawarkan perkhidmatan yang serupa yang hakikatnya adalah perkhidmatan pengangkutan haram dan menjejaskan industri pengangkutan awam yang sah.

Pindaan kepada Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 itu bakal dibuat pada bulan Oktober tahun ini. 

Ketua Pegawai Eksekutif SPAD Mohamad Nur Ismal Mohamed Kamal, berkata pindaan yang dicadangkan akan mengenakan kawalan ke atas syarikat-syarikat aplikasi mudahalih yang bertindak sebagai perantara untuk perkhidmatan pengangkutan awam yang tidak berlesen sebelum ini.

"Kami ingin memastikan perkhidmatan yang diberikan mematuhi tahap perkhidmatan dan peraturan yang ditetapkan oleh kami," katanya. Beliau turut menambah tidak salah mana-mana aplikasi mudahalih yang menawarkan perkhidmatan pengangkutan awam namun ia adalah tidak sah apabila aplikasi tersebut menghantar pemandu tanpa lesen PSV dan memandu kenderaan persendirian tanpa permit yang sah.

Uber dan GrabCar dikenalpasti telah mengekspoitasi ruang lingkup kawalseliaan SPAD dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menggunapakai konsep panggil dan pandu aplikasi mereka, menurut kata Pengerusi SPAD Tan Sri Dato' Seri Dr Syed Hamid Syed Jaafar Albar.

"Pindaan yang dicadangkan akan menambahbaik kekurangan sediada di dalam menangani isu  Uber dan GrabCar. SPAD sedang berunding Pejabat Peguam Negara untuk menggubal undang-undang baru. Kami berusaha untuk memastikan semua perkara yang melibatkan  pengangkutan awam berada di bawah kita dan  memboleh mengambil tindakan terhadap pihak-pihak yang terlibat pada masa akan datang." kata beliau lagi.


Syed Hamid menegaskan bagaimanapun cadangan untuk mengawal aplikasi mudahalih bukanlah langkah menghalalkan Uber.

- sumber akhbar The Sun


Tuesday, June 23, 2015

Go KL Mula Tunjuk Taring

Setiap kali berpeluang ke Kotaraya Kosmopolitan Kuala Lumpur, penulis tidak lepaskan bersiaran atau menggunakan perkhidmatan awam darat di sana. Light Rail Transit (LRT), Monorail/MyRapid lebih tertumpu dan melingkari pusat bandar Kuala Lumpur sejak tahun 2004, menyediakan penjimatan masa dan aliran wang yang rendah berbanding sistem pengangkutan konvensional sebelumnya. Sistem rangkaian rel kesampingan itu turut menjamin kehijauan sekitar dengan pengurangan penggunaan bahanapi fosil.

Mass Rapid Transit (MRT) pula bakal siap tidak lama lagi akan menghubungkan bahagian kependudukan seramai 1.2 juta orang meliputi Sg. Buloh, Kota Damansara, Dataran Sunway, Bandar Utama, Taman Tun Dr. Ismail (TTDI), Seksyen 16 Petaling Jaya, Pusat Bandar Damansara, KL Sentral, Warisan Merdeka, Bukit bintang, Pasar Rakyat, Cochrane, Maluri, Cheras dan Kajang.

Go KL, sistem pengangkutan bas awam diperkenalkan dalam versi baru pada tahun 2012 meliputi 2 laluan sahaja yang dikenali 'laluan Hijau' dan 'laluan Ungu' melalui  kawasan KLCC-Bukit Bintang dan Pasar Seni ke Bukit Bintang. 

Kini sudah masuk 3 tahun, Go KL menelusuri laluan jalanraya sejak ia dilancarkan pada tahun 2012 oleh Perdana Menteri; YAB Dato' Seri Mohd Najib Tun Abd Razak. Go KL turut mempunyai pengguna tegarnya yang kini menawarkan peningkatan perkhidmatan dengan penambahan 20 buah bas untuk laluan yang diperluaskan. 

Selaras dengan perkembangan teknologi semasa dan trend yang meluas, bas Go KL kini dilengkapkan dengan capaian 'WiFi' percuma untuk pengguna perkhidmatannya melayari dunia maya. 


Kemudahan buat warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) yang sering mengguna dan memerlukan perkhidmatan Go KL tidak terlepas pandang. Ciri 'ramp' yang bersesuaian ketinggian adalah ciri bas yang terkini di samping sesuai di perhentiannya. 

Sebagai langkah keselamatan, terdapat 4 kamera 'CCTV' dilengkapi pada setiap unit bas di samping sistem suara yang lebih jelas sebagai pemberitahuan kepada pengguna di setiap hentian lauan.

Selain itu antara ciri ciri menarik ada lah ia di lengkapi 4 kamera cctv pada setiap unit.
Sistem audio yang jelas serta menarik juga turut di pasang bagi pemberitahuan kepada penumpang pada setiap hentian. Sistem penjejakan 'GPS' turut dipasang sebagai memastikan keselesan dan keselamatan para pengguna bas Go KL ini.

Pastinya, orang seperti penulis yang berasa lebih santai menggunakan perkhidmatan awam darat di sekitar Kuala Lumpur adalah golongan sasaran Go KL. Tidak terkecuali golongan pelajar, petugas di pejabat, rakyat biasa mahupun pelancong pasti tertarik dengan kelainan yang ditawarkan Go KL.

Lebih-lebih lagi kekerapan pengangkutan awam darat termasuklah Go KL akan mengurangkan pergantungan kepada kenderaan persendirian yang semakin bertambah di jalanraya dan pengeluaran asap toksik yang berlebihan di udara. 

CEO Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD); Tn Mohamad Nur Ismal sempat melapangkan masa bersama rombongan SPAD bersiaran keliling Kuala Lumpur dengan Go KL memastikan mutu perkhidmatan yang diberikan sesuai dan sepertimana yang diharapkan untuk keselesaan pengguna.

Sasaran Go KL untuk mencapai muatan seramai 27,000 orang penumpang sehari atau 40% kegunaan kenderaan awam dijangka tercapai dengan penambahbaikan ke atas mutu perkhidmatan bas di samping perjalanan yang dijadualkan dan dijaga dengan baik.

Sunday, June 21, 2015

Singapura Salah Tanggap HSR

Menjawab pertanyaan satu soalan dari media, jurucakap Kementerian Pengangkutan (MOT) Singapura berkata projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura telah dipersetujui oleh kedua-dua negara pada satu Pemukiman Pemimpin 2013, dengan kajian dilaksanakan oleh kedua-dua negara berkenaan. 

Lantaran itu Singapura 'terkejut' dengan kenyataan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bahawa ia telah memilih untuk menamatkan terminal HSR di Kompleks Kastam (CIQ) di Johor Baharu dalam satu kenyataan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SPAD, Tn Tn. Mohamad Nur Ismal Mohamed Kamal.

Tahun lepas, Malaysia memutuskan untuk menempatkan terminal HSR Kuala Lumpur di Bandar Malaysia, manakala MOT berkata Singapura akan mempunyai terminal di Jurong East.
Bagaimanpun SPAD menjelaskan bahawa kenyataan CEOnya,Tn. Mohamad Nur telah disalah tulis oleh pihak media negara itu berhubung projek HSR antara Kuala Lumpur dengan Singapura.
Turut dikongsikan melalui The Edge Malaysia yang diterbitkan Isnin lepas, Tn Mohamad Nur sebagai berkata bahawa SPAD mencadangkan terminal kereta api laju itu berakhir di Kompleks Kastam (CIQ) Johor Bahru, dan bukan di Jurong East. 
"Seperti mana kami ingin membangunkan Bandar Malaysia, mereka mahu menggunakan projek ini untuk memacu pembangunan di Jurong East. Daripada perspektif kami, dengan mengakhiri laluan tersebut di CIQ, keseluruhan projek ini akan berada dalam sempadan negara kita dan kita akan mempunyai lebih banyak kawalan ke atasnya. Ia lebih dekat dengan Orchard Road atau Central Business District (CBD) Singapura berbanding Jurong East. Namun tentunya, kita harus mengambil kira pertimbangan ekonomi dan komersial Singapura untuk mencapai satu persetujuan.” kata beliau.
SPAD mencadangkan terminal kereta api laju itu berakhir di kawasan Central Business District (CBD) Singapura, kerana ia lebih dekat dengan Orchard Road berbanding Jurong East.
Memandangkan projek kerjasama ini yang bakal memanafaatkan keduadua buah Negara, maka masing-masing perlu bertimbang rasa terumtamnya melihatkan aspek kesempadanan, pengawalan dan kepentingannya.

Pengerusi SPAD, YABhg Tan Sri Dato' Seri Dr Syed Hamid Syed Jaafar Alba, juga turut menjelaskan kepada MediaCorp bahawa kedua-dua agensi pengangkutan itu perlu melaksanakan persetujuan yang dicapai para pemimpin kedua-dua negara.


Bagaimanapun Kementerian Pengangkutan Singapura (MOT) berpandangan menghentikan terminal khidmat kereta api laju itu di Johor Bahru tidak akan memenuhi matlamat projek itu untuk menyediakan sistem pengangkutan yang cepat antara kedua-dua negara. 

Sunday, May 24, 2015

Laluan Metro Makkah Kebanggaan Negara


Kementerian Perbandaran dan Hal Ehwal Luar, Arab Saudi baru-baru ini telah menganugerahkan kontrak kendalian dan selenggaraan laluan Metro Al Mashaaer Al Mugaddasah - Makkah kepada Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana). Kontrak bagi tempuh tiga tahun yang bernilai 807 juta Riyal itu bakal beroperasi secara khususnya semasa musim umat Muslimin dunia berkunjung mengerjakan Haji di dalam struktur perkhidmatan yang telah sedia ada.

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menyifatkan kejayaan Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) memperoleh kontrak pengendalian operasi dan penyelenggaraan sistem metro musim haji di Makkah, sebagai satu pencapaian besar untuk negara.

Kejayaan itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Tn. Mohamad Nur Ismal Mohamed Kamal, turut menjadi satu pengiktirafan untuk sebuah syarikat tempatan yang diberikan peluang mengendalikan operasi sistem sedemikian di negara asing. Pada akhir tahun lalu, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) juga telah memenangi bida Makkah Metro mengalahkan saingan operator rel bertaraf dunia daripada Turki dan Korea.

"Ia sejajar harapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar lebih banyak syarikat tempatan mampu menjadi pengendali pengangkutan bertaraf dunia. Kita juga mengharapkan lebih banyak lagi (pengendali) bagi segmen lain pengangkutan seperti bas ekspres akan menyusulinya. Ini kerana perkhidmatan sebegini lazimnya ditawarkan sebagai bidaan kompetitif di serata dunia. Malaysia perlukan pengendalinya menjadi syarikat bertaraf dunia dengan menawarkan perkhidmatan lebih baik," katanya kepada wartawan selepas menghadiri majlis pra pelancaran bas dua tingkat RapidKL Prasarana, di sini, 15hb Mei lalu. 

Ditubuhkan pada 1998 dan beroperasi sejak 2002, Prasarana adalah pemilik aset dan pengendali dua rangkaian pengangkutan negara iaitu LRT dan KL Monorail selain perkhidmatan bas RapidKL, RapidPenang serta RapidKuantan.

Menembusi pasaran di Makkah bukan sesuatu yang mudah apabila yang pasti membida kontrak ini terdiri daripada syarikat-syarikat bas yang bertaraf dunia dengan menawarkan perkhidmatan yang sangat kompetitif dan berkesan.

Sekaligus, pengiktirafan dunia diberi kepada negara kita dan lebih membanggakan ia adalah sebuah syarikat tempatan. 
Syarikat tempatan juga perlu terus mencontohi langkah Prasarana untuk membangun dan memperbaiki pengendalian sistem pengangkutan mereka, tetapi juga aspek penyenggaraan dan baik pulih serta reka bentuk kenderaan pengangkutan awam.

HSR Menghubungkan Kuala Lumpur-Singapura


Pada 2013, Malaysia dan Singapura mencapai persetujuan untuk membina landasan kereta api laju menjelang 2020. Apabila pembinaan landasan berkenaan siap kelak, ia dijangka mengurang masa perjalanan antara Kuala Lumpur dan Singapura kepada 90 minit. 

Projek usaha sama dua negara yang melibatkan jarak 330 kilometer itu dianggar menelan kos sebanyak AS$12 bilion (RM40 bilion). 

Sebagai di antara pengguna pengangkutan darat awam; keretapi, berita ini disambut baik kerana sistem pengangkutan ini banyak membawa kenangan dan nostalgik dengan kebangkitan negara dari sebuah negara berasaskan pertanian kepada negara industri berteknologi dan strategik di benua sebelah tenggara Asia. 

Tidak hairanlah Jepun menunjukkan minat yang bersungguh-sungguh untuk terlibat dalam membekalkan gerabak kereta api berkelajuan tinggi (HSR) antara Malaysia dan Singapura itu. Begitu juga negara China serta Korea Selatan tidak mahu ketinggalan untuk berkerjasama membangunkan projek HSR tersebut. 

Dalam itu, pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dipetik berita daripada MalayMail Online melalui dua rencana http://www.themalaymailonline.com/malaysia/article/report-on-kl-singapore-high-speed-rail-link-finalised dan http://www.themalaymailonline.com/print/malaysia/spad-kl-singapore-rail-link-users-to-pay-below-rm400-per-round-trip bahawa, Malaysia sedang mengkaji had kadar tambang kereta api berkelajuan tinggi (HSR) perkhidmatan baru yang menghubungkan Kuala Lumpur ke Singapura di bawah RM400 (S $148) untuk tiket dua hala. 

"Harga tiket, akan berpatutan bagi menampung setiap sudut pasaran, termasuk perniagaan dan para pelancong." begitu kata Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Tn. Mohamad Nur Ismal Mohamed Kamal. 

"Bagi melaksanakan projek HSR itu, kami menjangkakan purata harga yang lebih rendah sehingga kurang dari RM200 untuk satu perjalanan. Walaupun pulangan pelaburan akan mengambil masa yang lebih lama, pengendali akan mempunyai beberapa pilihan untuk mendapatkan balik pelaburannya dalam projek ini," jelas beliau. 

Tambahnya lagi, HSR dijangka akan merancakkan sektor pelancongan tempatan kerana para pelancong boleh ditawarkan lawatan ke Malaysia dan Singapura sebagai satu pakej. 

Pada kelajuan 350-450 km/h, HSR dijangka dapat mengurangkan masa perjalanan dari Jurong East di Singapura ke ibu negara Malaysia Kuala Lumpur kepada 90 minit, berbanding dengan 5 jam melalui jalanraya atau 7 jam melalui perkhidmatan rel sedia ada. 


Kereta api berkelajuan tinggi (HSR) akan menjadi perkhidmatan baru yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura di beberapa stesen di Malaysia; Kuala Lumpur, Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh, Batu Pahat, Muar dan Nusajaya. 

Bagi pengguna perjalanan jauh, pastinya tidak sabar menantikan berita perkhidmatan HSR dan tentunya, kos perjalanan yang ekonomikal.