Friday, August 14, 2015

Jejak Pengangkutan Trem Di Pulau Pinang

Tahukah anda, di awal pemerintahan British di Pulau Pinang selepas era Revolusi Industri, Bandaraya George Town turut dilengkapi dengan sistem pengangkutan enjin berkuasa wap (trem)? George Town merupakan bandar pertama di rantau ini yang diperkenalkan trem, sebelum Calcutta dan Singapura oleh British. Bagaimanapun, apabila syarikat yang mengendalikan trem mengalami kerugian berikutan kemurungan perdagangan global, sistem trem turut dihentikan pada tahun 1922.

Revolusi Industri yang dimulakan bangsa Inggeris di Britain pada tahun 1750-1850 memungkinkan peralihan penggunaan tenaga kerja oleh manusia dan haiwan digantikan dengan penggunaan mesin/jentera. Perkembangan dan keperluan itu turut merupakan pemangkin Empayar British di dalam mengekalkan penguasaannya di jajahan takluknya bagi memastikan kepentingannya terjamin dan mudah diuruskan. 

Menurut buku "Old Glimpses of Penang" pada tahun 1890 terdapat sebelas buah trem berkuasa wap yang berulang-alik di laluan sekitar George Town, Pulau Pinang. Walaupun demikian, trem berkuasa wap mula diperkenalkan pada tahun 1880 an di Pulau Pinang oleh seorang ahli perniagaan bernama Mr. Gardner menyediakan perkhidmatan di jalan Air Itam dan Air Terjun yang beribupejabat di Jalan Western (kini Jalan Tramway off Jalan Datuk Kramat) yang siap dibina pada 27 Oktober, 1907. Trem berkuasa wap dengan tolok meter tunggal itu turut menghubungkan Weld Quay di pusat bandar dengan Air Itam, lingkungan empat batu perjalanan dengan pemandangan menarik dan kawasan ladang kelapa yang menghijau. 

Garis laluan trem masih boleh kelihatan di Jalan Penang di hadapan Pawagam Odeon sehingga ke pasar Chowrasta. Secara umumnya, pengangkutan trem dianggap sebagai kelas untuk para pekerja yang membanting tulang. Ini lebih relevan kerana ia murah dan sesak digunakan. Manakala golongan profesional lebih gemar menggunakan beca.

Trem berkuasa elektrik pula mula beroperasi pada tahun 1906. Syarikat itu menguntungkan dengan 1913 tetapi bergelut pada tahun-tahun peperangan. Trem telah beransur-ansur digantikan dengan troli-bas dari lewat 1920-an.Trem wap digunakan sebagai satu perkhidmatan pengangkutan penumpang dan mengangkut hasil ladang ke dok untuk ekspot.

Satu garis laluan trem wap turut dibina merentasi Jalan Air Terjun ke Jalan Ayer Itam, Pulau Pinang bagi kerja-kerja mengangkut batu dari Western Quarries untuk pembinaan bangunan-bangunan bersejarah di George Town. Bagaimanapun garis kedua itu ditinggalkan pada tahun 1914 apabila jadual trem dan peta laluan yang digambarkan dibawah dihasilkan.



 Peta yang menunjukkan laluan 1914 trem dari Jeti Swettenham sehingga pejabat Electric Tramway 
(dan Depot) berhampiran Gaol (Penjara). Ia juga menunjukkan garis laluan ke Sungai Pinang

Ini adalah sambungan peta pertama yang menunjukkan laluan Trem Pulau Pinang pada tahun 1914 dari pejabat Electric Tramway ke Ayer Itam, melalui Kampong Bharu

Terdapat banyak laporan kemalangan dan trem telah digambarkan sebagai tidak boleh dipercayai dan pengendalinya (Penang Steam Tramways) mengalami kerugian yang teruk. Pemiliknya telah menyerahkan perkhidmatan kepada New Oriental Banking Corporation pada tahun 1893. Pihak bank pula cuba mendapatkan Pesuruhjaya Perbandaran untuk mengambil alih perkhidmatan itu, tetapi gagal. Syarikat bagaimanapun terus beroperasi tanpa keuntungan.


Selain menyediakan perkhidmatan trem wap, Penang Steam Tramways turut membina landasan trem berkuda. Ini dilakukan pada tahun 1898, apabila kerja-kerja penambakan pesisir George Town untuk melebarkan kawasan pelabuhan hingga ke Weld Quay. Garis laluan trem berkuda dibina dari Magazine Road melalui Jalan Penang dan Chulia Street ke Weld Quay. Ia beroperasi serentak dengan trem berkuasa wap dan pada 4 Mei, 1899 trem berkuda telah bertembung dengan tream berkuasa wap-trem pada jam 5:00 petang di penhujung Chulia Street Ghaut menyebabkan kecederaan ke atas tiga orang penumpang.

Kegemilangan Penang Steam Tramways terhenti pada tahun 1900 dan syarikat telah secara lelongan. Bagaimanapun tiada pembida yang berminat hingga memaksa pihak Kerajaan (bukan Perbandaran) menyelamatkan keadaan bagi membolehkan perkhidmatan disambung semula. Namun pada tahun 1903, pihak Kerajaan memutuskan tidak meneruskan perkhidmatan trem dan keadaan memaksa pihak Perbandaran mengambil alih perkhidmatan.


Pada tahun 1904 kuasa lektrik telah diperkenalkan di George Town, dan bekalan lektrik disambungkan ke perkhidmatan trem. Dalam tempuh dua tahun itu, laluan sejauh empat km menghubungkan Air Itam dan George Town dibina. Pada 23 Disember 1905, Pesuruhjaya Perbandaran telah menaiki trem berkuasa letrik yang pertama. Perjalanan itu sejauh jarak dari Datuk Kramat berhampiran Penjara Pulau Pinang (berhampiran Jalan Tramway) ke Jeti di Weld Quay. Sebanyak lapan trem kuasa letrik beroperasi pada kekerapan sebelas minit. 


Bermula pada tahun 1913 kewangan perkhidmatan trem mulai menguntungkan sehingga tahun 1922 apabila Pulau Pinang dilanda kemurungan perdagangan. Pada masa yang sama, bas troli dicadangkan dan dimulakan. Perkhidmatan trem troli mula menyediakan perkhidmatannya di jalan-jalan di pulau pada tahun 1925 menggantikan trem kuasa letrik sepenuhnya pada tahun 1936.

Pada waktu puncak operasi, terdapat 24 buah bas troli beroperasi. Ia adalah troli bas terkecil di dunia dan digunakan di Pulau Pinang.

Rujukan:

1. Old Glimpses of Penang
2. Penang Trams, Trolley Buses and Railways
3. Penang - Past and Present (1786-1963): © City Council of George Town, 1966 

No comments:

Post a Comment