Monday, May 28, 2018

Asas Sistem Demokrasi BerParlimen, Raja BerPerlembagaan

7 Wasiat Raja-Raja Melayu adalah dokumen terakhir selepas "Kontrak Sosial" sebelum Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948 dipersetujui dan dimaktubkan.
Persetujuan yang diturunkan oleh sembilan orang Raja-Raja Melayu yang terdiri dari empat Negeri Melayu Bersekutu dan lima Negeri Melayu Tidak Bersekutu, disampaikan sebelum "MERDEKA" kepada rakyat Melayu, yang merupakan rakyat asal dan subjek Raja-Raja Melayu.

7 WASIAT RAJA-RAJA MELAYU

1. Kami namakan dan kami panggil dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung PERSEKUTUAN TANAH MELAYU (sekarang dikenali dengan nama Malaysia);
2. Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, TANAH SIMPANAN MELAYU sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain;
3. Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kamu serta harta hak milik kamu, kami tubuhkan REJIMEN ASKAR MELAYU selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara;
4. Kami kekalkan dan kami jamin Kerajaan dan Kedaulatan RAJA-RAJA MELAYU memerintah negara ini;
5. Kami isytiharkan ISLAM adalah Agama Persekutuan;
6. Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah BAHASA MELAYU;
7. Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi KEDUDUKAN ISTIMEWA ORANG MELAYU dan KEPENTINGAN SAH KAUM-KAUM LAIN. (kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).

Wasiat ini dihasilkan atas kehendak Raja-Raja Melayu untuk mengekalkan kesinambungan sejarah, kedaulatan, dan kuasa politik Melayu (yang terletak pada Raja-Raja Melayu) kepada kesinambungan kedaulatan negara kepada Raja-Raja Melayu serta mendapat penerimaan rakyat melalui wakil-wakil sah yang mempunyai "locus standi".


Maka Perlembagaan Persekutuan yang digariskan mempunyai fasal-fasal tertentu menyentuh kepentingan dan haknya dan merujuk khusus kepada :
Perkara 3; Agama bagi Persekutuan (1) (2) (3) dan (5),
Perkara 11; Kebebasan berAgama,
Perkara 12; Hak berkenaan dengan Pendidikan,
Perkara 38; Majlis Raja-Raja (5),
Perkara 152; Bahasa Kebangsaan,
Perkara 153; Perizaban Kuota berkenaan dengan Perkhidmatan, Permit dan sebagainya bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak,
Perkara 181; Kecualian bagi KeDaulatan dan sebagainya Raja-Raja (1).

Fasal-fasal ini memerlukan izin dan persetujuan Majlis Raja-Raja Melayu untuk sebarang pindaan.

Menariknya, Perlembagaan Persekutuan turut digarap berasaskan Perjanjian dan Dokumen Lama Malaysia sejak tahun 1791 sehingga 1965, tidak seperti perlembagaan negara dunia kebanyakan.
Perlu diingatkan Perlembagaan Persekutuan mempunyai sejarah yang jelas dan konteksnya ke arah pembentukan sebuah negara bangsa dari masyarakat majmuk.

7 Wasiat Raja-Raja Melayu ini juga perlu dirungkai dan difahami sejelasnya, terutama Perkara 1, 2, 4, 5, 6 dan 7 wasiat tersebut sebagai asas kepentingan orang Melayu yang mesti dihormati dan dipertahankan.

Penerimaan dan memahami dua elemen ini; 7 Wasiat Raja-Raja Melayu dan Perlembagaan Persekutuan hanya akan menyatu dan teguhkan penduduk negara menempuh badai masa, yang dituntaskan sistem Demokrasi BerParlimen, Raja BerPerlembagaan.

No comments:

Post a Comment