Ada baiknya kita
memahami konsep institusi penggajian ini yang sejak sekian lama di kalangan
masyarakat Melayu di dalam mencari ilmu pengetahuan lebih-lebih lagi berkaitan
ilmu agama. Banyak yang diperkatakan tidak kurang yang mempunyai pandangan yang
tidak tepat malah bersifat negatif
terhadap pembelajaran pondok dewasa ini.
Pendidikan Islam sebenarnya telah beroperasi di bawah zaman penjajahan
selama lebih 400 tahun; sejak Empayar Melaka lagi. Pendidikan pada zaman
tersebut adalah berteraskan Islam hasil daripada kedatangan agama suci tersebut
ke rantau Asia yang kemudiannya merebak ke Melaka. Sejarah ada menyebutkan
bahawa pendidikan Islam pada awal usianya mula diajar di rumah-rumah guru,
kemudian berpindah ke masjid, surau, madrasah sebelum berpusat sepenuhnya di
sekolah pondok.
Sehinggalah muncul Penyata Razak 1956 dan Penyata Rahman Talib 1960.
Kedua-dua penyata ini telah menyebut untuk meletakkan mata pelajaran Pendidikan
Islam dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan. Pernyataan tersebut telah
dipersetujui maka pada tahun berikutnya, Akta Pelajaran 1961 telah memuatkan
mata pelajaran Pendidikan Islam dalam jadual waktu persekolahan dengan diberi
peruntukan masa sebanyak 120 minit seminggu.
Pada hujung tahun 1960-an hingga awal 1970-an, beberapa orang pelajar telah mengemukakan usul agar masa untuk mata pelajaran Pendidikan Islam ditambah. Selain itu, mereka juga menuntut agar mata pelajaran tersebut turut diajar di maktab-maktab perguruan, manakala subjek Agama Islam dan Tamadun Islam hendaklah diperkenalkan di pusat-pusat pengajian tinggi. Lebih prihatin akan keperluaan dan kehendak akan datang, mereka mendesak sebuah universiti Islam diwujudkan dalam negara dan mata pelajaran Agama Islam hendaklah diwajibkan dalam peperiksaan awam bagi memartabatkan lagi agama persekutuan ini.
Pondok adalah
satu institusi teristimewa dan tinggi kedudukan dalam masyarakat Melayu yang
mengamalkan ilmu secara tradisional. Sebuah gedung ilmu ini yang diwarisi
secara turun-temurun yang berperanan dalam mengenal Allah dan Islam melalui
ilmu Tauhid, Tafsir, Usul al-Fiqh, Tasawuf, Hadis, Tajwid, Sirah, Fardhu Ain
dan sebagainya. Perkataan pondok berasal dari perkataan Arab " Funduqun" (فندوق ) yang
membawa maksud rumah tumpangan atau tempat menginap pengembara-pengembara zaman
lampau di dalam perjalanan. Terdapat juga definisi sebagai rumah kecil atau
pondok kecil yang didirikan untuk sementara waktu di sawah-sawah, ladang atau
lain-lain tempat yang mempunyai deretan rumah kecil. Ada pula yang mengatakan
perkataan langgar yang berasal dari perkataan Parsi seerti dengan pondok.
Di Tanah Melayu yang tertumpu di Pattani,
Kelantan, Terengganu dan Kedah; pondok-pondok itu dikenali berdasarkan nama
guru yang menjadi pengasas atau nama tempat/kampung seperti pondok Tok Kenali
dan pondok Pasir Tumbuh di Kelantan. Proses pemindahan ilmu dan budaya dalam
hidup bersyariat samaada secara formal atau tidak formal. Selain itu, institusi
pondok adalah sistem pendidikan secara formal dan tinggi.
Institusi pengajian pondok adalah institusi
pendidikan yang tertua di Tanah Melayu. Namun, tidak ada sebarang bukti atau catatan
yang jelas dan sahih akan tarikh sebenar
kewujudan institusi ini. Apa yang pasti, sekolah pondok muncul tanpa dirancang.
Ia telah berkembang atas dasar keperluan dan
sambutan orang ramai yang amat dahagakan ilmu hingga ramai yang datang
ke satu-satu tempat untuk berguru dengan Tok Guru mereka.
Dari perspektif Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka,
‘sekolah pondok’ merupakan
institusi pengajian dan pendidikan Islam mengikut kaedah
tradisional. Terdapat pelbagai nama yang diberikan kepada sekolah pondok
seperti Pesantren di Jawa, Penjentren di Madura, Ranggang di Aceh dan Surau di
Minangkabau.
Sekolah pondok adalah sebuah kawasan yang
di dalamnya terdapat institusi pengajian Islam yang berbentuk tradisional.
Terdapat rumah-rumah kecil yang didirikan berasingan. Bentuknya hampir sama
antara satu dengan yang lain. Rumah-rumah ini didirikan secara tersusun yang
berhampiran dengan rumah Tuan Guru dan Surau atau Masjid. Rumah-rumah
kecil tersebut merupakan tempat tinggal pelajar, manakala Surau atau Masjid
dijadikan tempat belajar dan beribadah.
Ciri-ciri Pendidikan Sekolah Pondok
Sepertimana dikongsikan di atas, namun diperhalusi
mengikut skop pemahaman yang lebih jelas dibawah ini.
Ilmu
agama
Dari segi pembelajaran sukatan pembelajaran yang
didedahkan kpd para pelajar adalah tidak tersusun, ia bergantung kepada
kemahiran guru. Antara mata pelajaran yang diajar ialah tauhid, tafsir, fekah,
nahu saraf, hadis, doa-doa yang ada kaitan dengan kehidupan seharian. Para
pelajar juga didedahkan dengan kaedah menulis dan menguasai kaedah jawi dan
bahasa Arab.
Ilmu
perubatan
Sesetengah institusi pendidikan pondok
mendedahkan ilmu perubatan tradisional yang menggunakan bahan-bahan seperti
akar kayu di samping jampi-jampi yang menggunakan ayat-ayat Al-Quran. Antara
kitab yang berkaitan ialah Tashil al Manafi fi al Tibbi wa al Hikmah,
Kitab Mujarabad dan lain-lain.
Mata
pelajaran sampingan
Untuk menghilangkan rasa jemu di kalangan para
pelajar mata pelajaran seperti berNasyid, berZanji, Marhaban dan Qasidah
sebagai selingan dan menarik minta yang lebih mendalam.
Bahasa
pengantar
Pembelajaran dijalankan dalam bahasa Melayu
memandangkan banyak kitab-kitab Arab telah diterjemahkan ke dalam bahasa
Melayu.
Tenaga
pengajar
Para pelajar kebiasaannya diajar secara percuma,
guru di sekolah pondok hanya mendapat khidmat tenaga anak-anak muridnya yang
mengerjakan tanah sawah atau kerja-kerja pertukangan.
Keadaan sedemikian Berjaya menjalin hubungan
antara guru dan anak-anak muridnya menjadi rapat, bukan sahaja kerana kealiman guru
berkenaan, bahkan rasa tanggungjawab guru berkenaan apabila para IbuBapa
menyerahkan anak-anak mereka untuk dididik oleh guru berkenaan maka tersimpul
satu hubungan keluarga.
Tempoh belajar
Tempoh masa belajar di sekolah pondok tidak terhad, ada di kalangan para pelajar berada di institusi ini selama 10 tahun, malah ada di kalangan yg berpindah dari satu pondok ke pondok yang lain
Kaedah pembelajaran
Kebiasaannya dalam bentuk “Halaqah”, di mana
para pelajar akan membuat separa bulatan mengelilingi guru mereka. Selain itu
guru-guru juga menggunakan kaedah Hafalan, syarahan (kuliah), perbincangan
(muhadatah), soal jawab perdebatan (mujadalah), pengembaraan (rehlah) dan
lain-lain.
Lepasan
pondok
Mereka akan menjadi tenaga pengajar di institusi
pondok. Bagi yang berpeluang melanjutkan pelajaran ke Aceh, Mekah dan Madinah, apabila
kembali mereka lazimnya akan mengajar di pondok yang sama atau di tempat lain.
Mereka turut bertindak menjadi pendakwah di surau atau masjid berdekatan atau
setempat.
Faktor-faktor yang Menyebabkan Sekolah Pondok Masih Kekal
Sebelum ini, kita telah melihat sejarah perkembangan sistem pengajian
pondok yang pada mulanya mendapat sambutan tetapi kian merosot permintaannya
berikutan kewujudan sekolah-sekolah sekular dan sekolah-sekolah agama. Walaupun
institusi ini mengalami pasang surut, para alim Ulama dan guru tidak pernah
berpatah hati berputus harap sebaliknya terus berusaha memperjuang institusi
warisan Rasulullah S.A.W. ini. Hal ini terbukti apabila sistem pengajian pondok
mencapai zaman kegemilangannya pada abad ke-20. Kejayaan ini adalah hasil usaha
para alim Ulama yang terdahulu telah
berjaya melahirkan ramai anak murid berkebolehan dan menanam semangat kecintaan
mereka dan masyarakat terhadap agama Allah.
Sebab lain yang menjadi pendorong masyarakat menerima semula institusi ini adalah kerana kitab-kitab yang digunakan telah diterjemah oleh para guru yang mahir. Tambahan pula, kitab-kitab tersebut tidak lagi ditulis tangan tetapi dicetak mengikut peredaran zaman. Dengan adanya kitab-kitab bercetak ini, masyarakat dapat mengikuti “Halaqah” pengajian agama di pondok-pondok mahupun di masjid-masjid. Kewujudan kitab yang dicetak dan dikarang dalam Bahasa Melayu turut membantu perkembangan institusi pondok menjadikan ia sebuah institusi yang paling terkenal dengan pengajaran agama.
Tahun demi tahun berlalu, pusat pengajian pondok telah mengalami era
kebangkitan semula setelah sekian lama dipulaukan. Demi mempertahankan
fungsinya sebagai pusat pengajian agama yang paling berkesan pada tahun 1981,
Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan telah diserapkan ke dalam Universiti
Malaya dan dikenali dengan Akademi Pengajian Islam. Manakala pada tahun 1995,
para guru dan alim Ulama telah mengambil inisiatif menubuhkan Pusat Pembangunan
Pondok Berhad (PPPB).
Pusat yang dibina di Kelantan itu bermatlamat membangunkan
pondok-pondok yang bernaung di bawahnya samaada dari aspek pentadbiran pondok,
kemudahan asas ataupun guru-guru yang yang mengajar. Antara sekolah-sekolah
pondok di bawah naungan PPPB ialah:
1) Madrasah Diniah Bakriah (Pondok Pasir Tumbuh)
2) Madrasah Rahmaniah (Pondok Lubuk Tapah)
3) Madrasah Muhammadiah (Pondok Sungai Durian)
4) Madrasah Yusufiah (Pondok Gelang Mas)
5) Madrasah Fununiah Tunjuniah (Pondok Tunjung)
1) Madrasah Diniah Bakriah (Pondok Pasir Tumbuh)
2) Madrasah Rahmaniah (Pondok Lubuk Tapah)
3) Madrasah Muhammadiah (Pondok Sungai Durian)
4) Madrasah Yusufiah (Pondok Gelang Mas)
5) Madrasah Fununiah Tunjuniah (Pondok Tunjung)
Institusi pondok semakin tersinar indah dan jelas kelihatan apabila ia
melahirkan ramai cendekiawan terkenal di rantau ini. Walaupun sistem pendidikan
moden tumbuh bagai cendawan selepas hujan, itu sedikit pun tidak menggugat sistem pengajian
pondok secara keseluruhannya. Para pencinta dan pendokong institusi pondok
masih mengekalkan sistem pengajian pondok yang asal, dan ada juga yang
menggabungkan kedua-dua sistem persekolahan dan sistem pengajian pondok,
dikenali sebagai “sistem ala-pondok”. Di antara sekolah-sekolah pondok yang
masih mengekalkan identiti dan sistem pengajian tradisional adalah Pondok Pasir
Tumbuh Kota Bharu, Pondok Sungai Durian Kuala Krai dan Pondok Lubuk Tapah Pasir
Mas.
Walaupun begitu, terdapat sedikit pengubahsuaian dari sudut kurikulum dan kokurikulum dalam sistem pengajian pondok. Umumnya, kurikulum di sekolah pondok selepas Merdeka masih mengekalkan asasnya.
Tahap 1 : Mengenal al-Quranul Karim.
Tahap 2 : Belajar kitab-kitab Jawi kecil dan asas Bahasa Arab
Tahap 3 : Belajar kitab-kitab Jawi besar dan kitab Arab kecil
Tahap 4 : Menghabiskan kitab-kitab.
Kaedah digunakan sebelum merdeka diteruskan, seseorang pelajar akan didedahkan kepada kitab yang rendah (asas) sebelum berpindah ke kitab yang besar. Berkaitan dengan kokurikulum pula, para pelajar diajar cara-cara untuk bersyarah, berzanji, berzikir, menjadi Imam solat dan menyampaikan ceramah atau tazkirah. Tidak terhad dengan itu, para pelajar juga didedahkan dengan kerja-kerja kebajikan yang membabitkan masyarakat setempat.
Terbukti sudah, sistem pengajian pondok telah mengambilkira keperluan semasa dengan mendedahkan pelajar kepada aktiviti-aktiviti sosial. Bermuamalah dengan orang sekeliling adalah salah satu cara mereka berdakwah selain cara berpakaian dan perilaku yang sopan yang mampu menjadi teladan terutama kepada golongan belia di luar.
Kesimpulan
Institusi pondok terus tersergam dengan wajah-wajah generasi yang
berganti-berganti, mereka dinilai sebagai penyambung warisan para Ulama.
Sejarah telah menceritakan bagaimana institusi warisan Rasulullah S.A.W. ini
telah mengalami jatuh bangun sehingga ada sebilangan sekolah pondok terpaksa ditutup.
Sejarah juga menceritakan jerit perih para alim ulama yang bergadai usaha dan
tenaga demi menyelamatkan institusi ini Semuanya hanya kerana satu matlamat;
memartabatkan agama Allah.
Dewasa ini, kita melihat kewujudan sekolah pondok di kebanyakan negeri. Setiap satu tetap menjunjung cita yang sama, dari dulu, kini dan selamanya, yakni melahirkan generasi celik al-Quran dan cintakan Islam. Namun, kita harus berpijak ke bumi yang nyata berdasarkan perkembangan semasa, matlamat ini hanya tinggal cebisan kata-kata kerana masyarakat sekarang fikirannya sudah jauh berbeza berbandingkan dengan masyarakat dahulu. Kalau dulu sekolah pondok ini diagung dan dipuja, tapi sekarang sekolah pondok semakin dilupa kerana mereka lebih mementingkan pendidikan yang lebih moden. Tidaklah menjadi suatu kesalahan untuk menghantar anak-anak ke sekolah biasa kerana manusia punya pilihan. Sekolah harian biasa juga ada kelebihannya sendiri. Tetapi jauh dari itu, jika difikir dalam-dalam, sebenarnya hal ini menyebabkan negara semakin tandus pimpinan Ulama.
Siapa lagi yang boleh diharapkan untuk menyebarkan
dakwah Islam secara terus dan telus kepada masyarakat kalau bukan mereka? Di
mana lagi tempat untuk melahirkan golongan agama serupa ini kalau bukan di
sekolah-sekolah pondok? Bila lagi mahu si anak menjadi insan yang mampu
menghafaz dan mengamalkan al-Quran, kalau bukan dari sekarang?
Memang bertepatan seperti yang disabdakan
Rasullullah s.a.w,
“Bahawasanya Allah SWT tidak mencabut
(menghilangkan) ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) manusia. Tetapi Allah SWT
menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim Ulama. Maka apabila sudah
ditiadakan alim-Ulama, orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai
peminpin mereka. Maka apabila pemimpin yang jahil itu ditanya, mereka akan
berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan orang lain.”
Diharapkan semoga kita semua dapat menjadikan hadis ini sebagai pedoman dan perhatian. Kalau bukan orang Islam sendiri yang mempertahankan institusi pondok, siapa lagi? Adalah diharapkan agar institusi ini terus mendapat tempat dan mekar di jiwa masyarakat supaya agama Islam terus gah di hati rakyat, di mata dunia.
Semoga usaha yang dilakukan oleh warga-warga sekolah pondok ini tidak
terhenti di tengah jalan dan terus bernafas demi menaikkan lagi nama institusi
tersebut dan seterusnya meningkatkan penguasaan mereka dan masyarakat
sekeliling terhadap agama Allah dengan kalimah
Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!
Rujukan
Buku:
Choon Lean Keow, 2008, Falsafah dan Pendidikan di Malaysia, Kumpulan Budiman Sdn. Bhd., Subang Jaya, Selangor.
Haji Abdullah Ishak, 1995, Pendidikan dan Pengaruhnya di Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka, Selangor Darul Ehsan
Ismail Ab. Rahman, 1992, Pendidikan Islam Malaysia, Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, Selangor Darul Ehsan
Choon Lean Keow, 2008, Falsafah dan Pendidikan di Malaysia, Kumpulan Budiman Sdn. Bhd., Subang Jaya, Selangor.
Haji Abdullah Ishak, 1995, Pendidikan dan Pengaruhnya di Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka, Selangor Darul Ehsan
Ismail Ab. Rahman, 1992, Pendidikan Islam Malaysia, Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, Selangor Darul Ehsan
Internet:
http://www.al-bakriah.com.my
http://kongrespendidikan.blogspot.com
http://www.iluvislam.com
http://melayu-pipi.tripod.com
http://mohamadzahrawi.blogspot.com
http://riwayat-hidupku.blogspot.com
http://tunteddy.blogspot.com
http://www.al-bakriah.com.my
http://kongrespendidikan.blogspot.com
http://www.iluvislam.com
http://melayu-pipi.tripod.com
http://mohamadzahrawi.blogspot.com
http://riwayat-hidupku.blogspot.com
http://tunteddy.blogspot.com
No comments:
Post a Comment