Sunday, June 23, 2013

Memahami Konsep Peguam Syarie

Mahkamah Rayuan Putrajaya di dalam kes Victoria Jayaseele Martin melawan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan pada 21 Jun lepas memutuskan MAIWP bertindak di luar batas undang-undang ketika enggan memproses permohonan Victoria untuk beramal sebagai peguam syarie:

1. http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130622/dn_06/Bukan-Islam-boleh-mohon-jadi-peguam-syarie
2. http://m.utusan.com.my/Dalam_Negeri/20130623/dn_14/Peguam-syarie-mesti-beragama-Islam
3. http://www.malaysiakini.com/news/233659 Peguam syarie: Kes Victoria iktibar untuk 4 negeri
4. http://www.anwaraidc.com/?p=36480 PPMM : Bukan Islam Jadi Peguam Syarie
5. http://www.malaysiakini.com/news/233663 Penghakiman mungkin 'floodgate' 9 lagi Seksyen

Apabila kita memperkatakan tentang Peguam Syarie, tergambar bahawa Peguam Syarie  adalah seseorang yang menjadi peguam membela anak guamannya di Mahkamah Syariah di dalam kes-kes yang Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa. 
Pelanggan atau anak guaman biasanya mengharapkan perkhidmatan sepenuhnya dari peguamnya. 
Dengan harapan dari anakguam tersebut timbul persoalan samada Peguam Syarie yang dilantik oleh anakguam tersebut akan membela anakguamnya tanpa mengira samada anakguam mereka itu benar atau salah. 
Di dalam menentukan bahawa samada seseorang Peguam Syarie itu dapat menyempurnakan tugasnya sebagai Peguam Syarie amanah Allah hendaklah diutamakan. 

Dalam melaksanakan amanah Allah ini seorang Peguam Syarie hendaklah meletakkan pada dirinya suatu sikap untuk menegakkan keadilan serta menentang sebarang kezaliman termasuk tidak bersekongkol dengan kezaliman. 
Sehubungan dengan itu Peguam Syarie mestilah:
1. seorang yang beragama Islam serta mempunyai roh atau 
2. kepercayaan Islam bagi menentang segala kezaliman serta menegakkan keadilan.
3. seorang yang berakhlak mulia seperti yang dituntut dan menghayati konsep akidah, tauhid dan rukun Islam agar yang hak dapat ditegakkan dan yang batil dapat dihapuskan seperti dituntut Islam. 
4. seorang Peguam Syarie juga perlu mempunyai niat yang baik serta meniatkan tugas dan peranannya sebagai suatu ibadah kerana ianya adalah tugas yang mulia yang pernah dimainkan oleh para sahabat Nabi.
5. hendaklah berpengetahuan syariah yang mendalam. Pengetahuan syariah tidak akan mendalam jika mereka tidak berkemampuan untuk merujuk kepada kitab-kitab muktabar. 6. mengetahui undang-undang yang berkaitan dengan tugas mereka seperti Perlembagaan Malaysia, Kanun Tanah Negara dan sebagainya.
7. hendaklah mempertingkatkan kemampuan mendalami ilmu pengetahuan yang berhubung kait dengan tugas mereka agar profesion ini dipandang tinggi.

Apa perlu seorang Peguam Syarie menegakkan keadilan?. 

Allah mengutus Nabi Muhammad s.a.w. adalah sebagai rahmat untuk sekalian alam dengan membawa agama Islam yang terdiri dari akidah, syariah dan akhlak
Syariah atau undang-undang Islam adalah bertujuan untuk menegakkan keadilan mutlak. Islam menghendaki agar hak diberikan kepada yang berhak. Islam tidak pernah bertolak ansur di dalam menegakkan keadilan. 

Firman Allah bermaksud:
“Katakanlah (Wahai Muhammad): Aku beriman kepada segala kitab yang diturunkan oleh Allah dan Aku diperintahkan supaya berlaku adil di antara kamu.” 

Surah As-Syura: 15

Berlaku adil dalam semua tindakan adalah menjadi tuntutan Islam.
 

Peguam-peguam juga hendaklah mematuhi perintah Allah ini. Mereka wajib menegakkan keadilan walaupun ianya bertentangan dengan kepentingan diri mereka sendiri atau pelanggan mereka, tetapi berpegang kepada prinsip dan mempertahankan nilai yang murni, patuh kepada Allah dan menegakkan keadilan hendaklah diutamakan. 
Keredhaan Allah hendaklah menjadi matlamat hidup. Hawa nafsu, perasaan kasihan, marah tidak boleh menjadi motif tindakan.

Peguam Syarie berperanan menegakkan kebenaran, Peguam Syarie juga berperanan menentang segala bentuk kezaliman. Undang-undang Islam bertujuan memberikan keadilan dan mengelakkan kezaliman, kepentingan individu hendaklah dipelihara di samping kepentingan masyarakat, hak individu dijamin, dipelihara dan dipertahankan, setiap pencabulan dan kezaliman hendaklah dielakkan dan dihapuskan. 

Firman Allah s.w.t bermaksud:
“Dan Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim” Surah A-li Imran: 57


Ayat Al-Quran ini menjelaskan betapa Islam membenci kezaliman dalam semua bentuk, kezaliman hendaklah dibanteras dan dihapuskan.
Seperti yang telah dijelaskan bahawa Allah s.w.t memerintahkan agar keadilan mutlaq ditegakkan, kezaliman dibanteras dan seterusnya dihapuskan. 

Lebih jauh dari itu, Islam juga mengharamkan kita dari membantu orang-orang zalim di dalam perbuatan zalimnya. 

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
“Sesungguhnya kami menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya engkau menghukumkan di antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyunya) dan janganlah engkau menjadi pembela bagi orang–orang yang melakukan khianat”  
Surah An-Nisaa: 105

Berdasarkan ayat di atas jelas Islam bukan sahaja menentang kezaliman malah ia juga menentang perbuatan dan tindakan yang bertujuan membantu orang zalim yang ingin meneruskan kezaliman, menolong mereka, bererti melakukan kezaliman, bersimpati, bersekongkol dan bersepakat dengan orang zalim adalah haram, apatah lagi untuk membela dan mempertahankan mereka. 
Sikap Islam terhadap golongan yang membela dan mempertahankan kezaliman ini adalah jelas, iaitu perbuatan sedemikian adalah berdosa dan merupakan satu kezaliman juga.
Peguam Syarie mempunyai peranan yang besar di Mahkamah. Tugas Peguam Syarie sebagai pegawai Mahkamah ialah membantu Mahkamah agar dapat menghukum dengan adil, tepat dan berkesan.
Peguam Syarie juga bertindak sebagai wakil anak guamannya di dalam sesuatu pertikaian. Ini bermakna, kesahihan lantikan Peguam Syarie, tugas dan tanggungjawab, kuasa dan peranannya adalah tertakluk kepada prinsip-prinsip wakalah. 
Umumnya hubungan di antara Peguam Syarie dengan anak guamnya adalah hubungan di antara wakilnya dengan yang mewakilkan berdasarkan prinsip wakalah di dalam Islam. (wakalah yang bererti menjaga, menjamin, melengkap dan menyerah).

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
“Janganlah kamu jadikan yang lain daripada Allah sebagai tempat menyerah urusan kepadanya.”  

Surah Al-Isra:2

Peguam Syarie bertindak sebagai peguam membela anak guamannya di Mahkamah Syariah di dalam kes-kes yang Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa. Bidangkuasa ini merujuk kepada kuasa yang diberikan oleh Perlembagaan Malaysia yang telah meletakkan undang-undang Islam di bawah Jadual Sembilan, Senarai 2, Senarai Negeri yang menjadikan segala hal-hal berkaitan dengan agama Islam adalah terletak di bawah negeri masing-masing. Bidangkuasa yang diperuntukan adalah terhad memfokuskan terhadap undang-undang diri serta undang-undang keluarga Islam. Manakala undang-undang lain seperti muamalat terletak di bawah bidangkuasa Persekutuan.
 

Perlembagaan Persekutuan memperuntukan seperti berikut;-
1. Kecuali mengenai Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, hukum Syarak dan undang-undang diri dan keluarga bagi orang yang menganut agama Islam, termasuk hukum Syarak yang berhubungan dengan pewarisan, berwasiat dan tidak berwasiat, pertunangan, perkahwinan, perceraian, mas kahwin,nafkah, pengangkatan, kesahtarafan, penjagaan, alang, pecah milik dan amanah bukan khairat; Wakaf dan takrif serta pengawalseliaan amanah khairat dan agama, pelantikan pemegang amanah dan pemerbadanan orang berkenaan dengan derma kekal agama dan khairat, institusi, amanah, khairat dan institusi khairat Islam yang beroperasi keseluruhannya di dalam Negeri; adat Melayu; Zakat, Fitrah dan Baitulmal atau hasil agama Islam yang seumpamanya; masjid atau mana-mana tempat sembahyang awam untuk orang Islam, pewujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu, kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan; keanggotaan, susunan dan tatacara mahkamah Syariah, yang hendaklah mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang yang menganut agama Islam dan hanya berkenaan dengan mana-mana perkara yang termasuk dalam perenggan ini, tetapi tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan kecuali setakat yang diberikan oleh undang-undang persekutuan; mengawal pengembangan doktrin dan kepercayaan di kalangan orang yang menganut agama Islam; penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin Syarak dan adat Melayu. 

Bidangkuasa jenayah juga terhad sebagaimana yang diperuntukan di dalam Akta Mahkamah Syariah (bidangkuasa jenayah), 1988 yang menghadkan hukuman yang boleh dikenakan terhadap pesalah yang terlibat dengan jenayah syariah iaitu denda tidak melebihi RM5,000.00, penjara tidak melebihi 3 tahun serta sebatan tidak melebihi 6 kali sebatan. Oleh yang demikian, dari sudut amalannya peguam syarie hanya mempunyai bidangkuasa setakat yang diberikan oleh undang-undang kepadanya.
 

Peguam Syarie sememangnya sinonim dengan tuntutan serta pembelaan kes-kes di Mahkamah samada di dalam bidangkuasa mal serta jenayah. 
Pemahaman terhadap profesion Peguam Syarie perlu diperluaskan kepada bidang-bidang yang lain seperti pentadbiran harta, penulisan wasiat serta hibah, maka apa salahnya sekiranya penulisan wasiat dan hibah juga dilaksanakan oleh Peguam Syarie sebagai salah satu altenatif kerjaya. Sekiranya tiada ilmu berkenaan, maka apa salahnya pula sekiranya Peguam Syarie tersebut mendalami ilmu yang baru untuk masa-masa akan datang.
Peguam Syarie juga berperanan sebagai orang tengah atau perantara (mediator) kepada pihak-pihak yang bertikai yang ingin menyelesaikan pertikaian mereka diluar Mahkamah. Penyelesaian secara baik diluar Mahkamah adalah merupakan satu medium penyelesaian yang terbaik dan cara ini adalah amat digalakkan oleh Islam.

2. Masakini
a. Undang-Undang Kawalselia Hal Ehwal Peguam Syarie dari aspek kemasukan, kelayakan dan hal tatatertib ditentukan oleh kaedah-kaedah negeri yang diwujudkan berdasarkan Enakmen Pentadbiran Agama Islam negeri-negeri atau Enakmen Mahkamah Syariah negeri-negeri. Negeri-negeri yang mempunyai kaedah-kaedah atau peraturan-peraturan tersebut adalah seperti berikut;
1. Selangor - Kaedah-Kaedah Peguam Syarie (Negeri Selangor) 2008
2. Wilayah Persekutuan – Kaedah-Kaedah Peguam Syarie 1993
3. Melaka - Kaedah-Kaedah Peguam Syarie 1989
4. Johor - Kaedah-Kaedah Peguam Syarie 1982
5. Perak - Kaedah-Kaedah Peguam Syariah 1980
6. Pulau Pinang - Kaedah-Kaedah Peguam Syarie 1997
7. Perlis - Kaedah-Kaedah Peguam Syarie 1991
8. Pahang - Kaedah-Kaedah Peguam Syarie 1995
9. Kedah - Kaedah-Kaedah Peguam Syarie 1988
10. Terengganu - Kaedah-Kaedah Peguam Syarie 1986
11. Sarawak - Kaedah-Kaedah Peguam Syarie 1992
12. Kelantan - Kaedah-Kaedah Peguam Syarie 1983

 
Namun terdapat dua (2) buah negeri yang masih tidak mempunyai kaedah-kaedah atau peraturan-peraturan yang seumpamanya iaitu Negeri Sembilan dan Sabah. Oleh itu, hal ehwal berkaitan Peguam Syarie ini hanya dikawal secara pentadbiran oleh satu jawatankuasa majlis sesuatu negeri atau perkara ini ditentukan oleh Ketua Hakim Syarie Negeri berdasarkan peruntukan umum yang terkandung di dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam negeri-negeri atau Enakmen Mahkamah Syariah negeri-negeri.


b. Kelemahan
Akibat ketidakseragaman ini menjuruskan perbezaan atau tidak keseragaman dalam aspek kelayakan, penerimaan masuk serta tatatertib Peguam Syarie di seluruh negara. 

Perbezaan ini mengundang beberapa kelemahan dan masalah. Masalah-masalah yang dikenal pasti adalah seperti berikut:-
i) Pengantungan Kelayakan Akademik.
Di beberapa negeri, sesiapa yang ada ijazah Syariah semata-mata tidak melayakkan seseorang itu menjadi Peguam Syarie di mana mereka masih memerlukan memiliki Diploma di dalam bidang-bidang Amalan Guaman Syarie. 

Manakala di beberapa negeri lain, Diploma ini tidak diperlukan. Mereka boleh melayakkan diri diterima masuk sahaja sebagai Peguam Syarie. Di Pulau Pinang, pemegang ijazah Syariah tidak memadai untuk diterima masuk sahaja Peguam Syarie tanpa mempunyai kelulusan dari dalam undang-undang sivil. Ini menunjukkan setiap negeri mempunyai perbezaan di dalam mengiktiraf kelayakan-kelayakan akademik tertentu untuk menjadi Peguam Syarie.
ii) Perbezaan Dalam Tatacara Penerimaan Masuk Di Setiap Negeri.
Hal ini ditentukan oleh undang-undang sesebuah negeri dan proses penerimaan masuk sesebuah negeri tersebut. Sesetengah negeri tidak mempunyai kaedah peguam syarie yang khusus. 

Oleh itu, undang-undang yang terpakai adalah sesebuah bahagian, berdasarkan kepada Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri sebagai contoh, negeri Sabah dan Negeri Sembilan.
iii) Proses Permohonan dan Penerimaan Masuk
Terdapat perbezaan di antara negeri-negeri dalam proses penerimaan masuk. Terdapat negeri-negeri yang menetapkan proses penerimaan masuk ini dibuat ke Majlis Agama Islam Negeri, seperti apa yang berlaku di Terenggganu, Pahang dan Pulau Pinang. Manakala negeri-negeri lain meletakkan proses penerimaan masuk ini dibuat di mahkamah syariah negeri-negeri. 

Berbeza di negeri Johor, setiap permohonan penerima masuk dibuat kepada Setiausaha Bahagian undang-undang Jabatan Agama Negeri Johor.
iv) Peruntukan dan Prosedur Tatatertib
Terdapat negeri-negeri yang mempunyai peruntukan berhubung tindakan tatatertib terhadap peguam syarie yang terdapat di dalam kaedah-kaedah peguam syarie. 

Bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai kaedah-kaedah Peguam Syarie, tiada sebarang peruntukan terhadap tindakan tatatertib ini.
v) Bayaran Penerimaan Masuk
Dari segi pembayaran masuk sebagai peguam syarie, wujudnya perbezaan dari segi jumlah bayaran serta di mana bayaran itu dilakukan. Sesetengah negeri meletakkan bayaran terima masuk peguam syarie di bawah Majlis Negeri-Negeri dan ada juga bayaran dibuat terus kepada Mahkamah Syariah Negeri. 

Terdapat negeri-negeri yang menetapkan bayaran-bayaran peguam syarie dibuat kepada pengarah Jabatan Agama Islam Negeri seperti yang berlaku di negeri Johor di mana bayaran terima masuk ditetapkan kepada pengarah Jabatan Agama Negeri Johor.
vi) Tiada Kod Etika Yang Teratur
Ketidakseragaman kaedah yang mengawal terutama sekali dari sudut tingkah laku dan etika peguam, seringkali menimbulkan tohmahan terhadap tindakan dan tingkah laku mereka. Ini juga boleh menimbulkan keadaan di mana keangkuhan seseorang peguam syarie yang telah diambil tindakan di sesebuah negeri akibat daripada pelanggaran etika untuk moral, masih boleh melepaskan diri dengan berperoleh dan beramal di negeri lain serta memungkinkan orang tersebut megulangi kesalahan yang sama.
c. Kesan Terhadap Integriti Dan Imej Peguam Syarie
Perbezaan dan ketidakaturan sistem dan tahap kelayakan yang diperuntukkan di dalam peraturan dan kaedah di negeri-negeri tertentu boleh menjurus kepada perbezaan tahap kebolehan dan kualiti peguam-peguam syarie di antara dua buah negeri yang memperuntukkan syarat kelayakan berbeza, contohnya ada negeri yang menetapkan seorang peguam syarie mendapat latihan amali tertentu dan ada yang tidak.
Perkara ini juga boleh menimbulkan gambaran di golongan orang awam, terutama yang menggunakan khidmat Peguam Syarie membandingkan antara dua orang Peguam Syarie yang beramal di negeri yang berbeza. Kalangan orang awam ini yang juga menjadi pengguna perkhidmatan Mahkamah Syariah akan hilang keyakinan kepada Mahkamah Syariah di negeri tertentu dan akan menukar permastautinan di negeri yang mereka mempunyai andaian lebih baik dari negeri yang lain. Keseluruhannya, orang awam akan sentiasa hilang keyakinan terhadap profession Peguam Syarie dan Mahkamah di negeri-negeri tertentu.

Penggubalan Akta Guaman Syarie adalah perlu bagi menaiktaraf profesionalisme di kalangan Peguam Syarie di Malaysia ini. Bagi menjadikan profesion Peguam Syarie sebaris dengan rakan mereka Peguam Sivil yang mempunyai akta khusus mereka sendiri iaitu Akta Profesion Undang-Undang, 1976. 
Justeru, Akta Profesion Guaman Syarie ini adalah amat diperlukan bagi Peguam Syarie agar dapat mengawalselia serta memantau Peguam Syarie daripada pelbagai sudut.

Di dalam hal ini, adalah wajar dan amat kritikal Menteri di Jabatan Perdana Menteri; Hal Ehwal Agama Islam mengusahakan dan mencari titik persamaan agar kemelut dan pertembungan serta jurang dan ruang yang terlopong dapat diatasi dengan segera, lebih-lebih lagi apabila asakan dan pencerobohan semakin hebat dibuat secara harfiah.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-92 yang bersidang pada 15-17 Disember 2010 telah membincangkan Hukum Melantik Orang Bukan Islam Sebagai Peguam Syarie.http://tanya-ustaz.com/hukum-melantik-orang-bukan-islam-sebagai-peguam-syarie/
Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa untuk menjadi seorang peguam syarie, seseorang itu perlu mampu menguasai ilmu al-Quran dan al-hadith, bahasa Arab, Ilmu Usul Fiqh dan Fiqh secara keseluruhannya dan ia perlu didasari dengan keimanan kepada Allah s.w.t. agar tanggungjawab yang dipikul disandarkan hanya kepada Allah s.w.t. dan demi kemaslahatan umat Islam dan keadilan menurut perspektif Islam.

Oleh yang demikian, demi menjaga kesucian dan kehormatan agama dan umat Islam, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa orang bukan Islam adalah tidak dibenarkan dilantik sebagai Peguam Syarie berpandukan kepada kaedah-kaedah fiqhiyyah dan peruntukan undang-undang berikut:


a. سَدُّ الذَّرِيعَةِ : Kaedah ini merujuk kepada perlunya menutup pintu-pintu yang boleh membawa kemudharatan. Sekiranya orang bukan Islam dibenarkan untuk dilantik sebagai peguam syarie, ia memberi ruang kepada orang bukan Islam untuk menguruskan hal ehwal orang Islam terutama sekali isu-isu syarak. Keadaan ini boleh menimbulkan kecelaruan di kalangan umat Islam.

b. إِذَا تَعَارَضَ الْمَانِعُ وَالْمُقْتَضَى قُدِّمَ الْمَانِعُ : Apabila bertentangan antara dalil-dalil yang menegah dengan dalil-dalil yang menghendaki, hendaklah diutamakan perkara yang menegah. Larangan melantik orang bukan Islam sebagai peguam syarie perlu diutamakan, walaupun kemungkinan ia mempunyai kebaikan dari suatu segi, tetapi keburukannya perlu diambil kira dan diberi perhatian.

c. المَصْلَحَةُ الْعَامَّةُ تُقَدِّمُ عَلَى الْمَصْلَحَةِ الْخَاصَةِ: Kaedah ini bermaksud maslahah (kebaikan) am perlu didahulukan daripada maslahah khas. Maslahah am atau umum merujuk kepada maslahah umat Islam di Malaysia secara keseluruhannya. Manakala maslahah khas merujuk kepada kebaikan yang mungkin diperolehi oleh orang tertentu. Dalam situasi hari ini, maslahah orang awam (umat Islam) perlu diutamakan.

d. تَصَرَّفُ الإمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوْطٌ بِالْمَصْلَحَةِ : Kaedah ini bermaksud tindakan yang dijalankan oleh pemerintah terhadap rakyat bergantung kepada maslahah. Dalam konteks ini, pemerintah berhak membuat keputusan berpandukan kepada kemaslahatan rakyat dengan berlandaskan kepada syariat Islam.

e. Berdasarkan peruntukan undang-undang yang sedang berkuatkuasa, sekiranya seorang bukan Islam dibenarkan untuk beramal sebagai peguam Syarie dan didapati tidak mematuhi etika sebagai Peguam Syarie atau apa-apa prosedur yang berkaitan dengan Mahkamah Syariah, tiada tindakan yang boleh diambil kerana beliau tidak tertakluk kepada bidang kuasa Mahkamah Syariah. Oleh yang demikian, tiada tindakan yang boleh diambil ke atas beliau kerana Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa ke atas orang bukan Islam.


Percayalah azab Allah SWT bakal mengetuk pintu masyarakat Muslim di Negara yang mendaulatkan Islam sebagai Agama Persekutuan.

Setidaknya seorang ummat Nabi Muhammad S.A.W melafazkan Syahadah dan bertanggungjawab sepenuhnya akan amalan semasa hayatnya.
Namun melihatkan perundangan Dunia yang semakin menghimpit Undang-undang Allah dan "the way of life" kerana ketidakpuasan dan melangsungkan serangan Sivil adalah suatu kebiadapan minda mahkluk menentang Maha Pencipta.


Apalagi mereka-mereka yang berhajat besar tidak mengamal ajaran dan Sunnah Pesuruh Allah yang terakhir.

Apakah maksud dan agenda yang sebenar? Secara harfiahnya Perlembagaan Persekutuan tidak menyatakan dengan jelas kini ditafsirkan sebagai menggantung maslahah yang sudah sekian lama menjadi amalan dan ikutan.

1 comment:

  1. TAWARAN PERKHIDMATAN PINJAMAN, MOHON SEKARANG DAN DAPATKAN KELULUSAN TANPA STRESS ATAU BERTANGGUH.




    Hello, Adakah anda memerlukan pinjaman daripada Syarikat yang paling dipercayai dan boleh dipercayai
    di dunia? jika ya, hubungi kami sekarang kerana kami menawarkan pinjaman kepada semua
    kategori pencari sama ada syarikat atau untuk kegunaan kakitangan.Kami menawarkan
    pinjaman pada kadar faedah 2%, Hubungi kami melalui Whatsapp +918794792073
    mghfbibdgf@gmail.com

    BORANG PERMOHONAN PENCARI PINJAMAN
    *******************************
    1) Nama Penuh:
    2) Jantina:
    3) Amaun Pinjaman Diperlukan:
    4) Tempoh Pinjaman:
    5) Negara:
    6) Alamat Rumah:
    7) Nombor Mudah Alih:
    8) Nombor Faks:
    9) Pekerjaan:
    10) Pendapatan Bulanan:
    11) Tarikh Gaji:
    12) Tujuan pinjaman:
    13) Di manakah anda mendapat iklan pinjaman kami:
    mghfbibdgf@gmail.com

    ReplyDelete