بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ
Sebagai umat Islam, pengikut ajaran Nabi Muhammad S.A.W., di
akhir zaman ini, semakin bercelaru dan menyimpang dari tuntutan Agama, yang
telah diwahyukan perintah ALLAH Azza wa
jalla. Siapa Yang Maha Pencipta dan Pemberi Rezeki dan siapa makhluknya? Namun,
kerana dan asbab menjaga kepentingan diri, ramai yang lalai dan mulai bersikap
MUNAFIQ.
Ketahuilah… pembalasan kepada makhluk yang engkar dan kufur akan perintahNya
akan dihumban ke Neraka dan mereka yang munafik adalah bahan bakar di Neraka
Jahanam.
Umar R. A pernah berkata, “Sesuatu yang paling aku khuatiri di kalangan
kalian adalah “Munafiq Alim”. Seraya beliau ditanya, “Bagaimana pula, seorang
munafiq memilik sifat alim?’
Jawab Umar R.A, “Apabila berbicara, ia berhikmah sedang ia menzalimi
diri (melakukan kemungkaran)”.
Apa itu *MUNAFIQ*? Ramai antara kita mengandaikan sifat munafiq
sekadar; Apabila bercakap, dia berdusta. Ketika berjanji, beliau mungkiri.
Tajuk ini telah diutarakan di dalam khutbah Jumaat oleh Khatib sebagai
peringatan diri saya dan semoga bermanafaat buat saudara sekalian.
Hakikatnya terdapat 50 sifat / perbuatan yang menjuruskan seseorang
sebagai *Munafiq*. Berikut dikongsikan sifat munafiq dan semoga, dijauhkan dari
amalan kita ketika bertemu ALLAH S.W.T nanti.
1. Lupa Kepada
ALLAH S.W.T.
Orang-oang munafiq
sering mengingati sesuatu kecuali ALLAH S.W.T. Dalam fikiran dan batin mereka
tidak pernah terlintas untuk mengingat (zikir) ALLAH S.W.T., kecuali sebagai
suatu helah penipuan (tontonan sesame makhluk) sahaja.
2. Mempercepat
Solat Agar Segera Selesai
Mereka
(orang-orang munafik) adalah mereka yang tergesa-gesa di dalam solatnya tanpa
ada rasa khusyuk sedikit pun. Tidak ada ketenangan dalam mengerjakannya, dan
hanya sedikit mengingat Allah S.W.T. di dalamnya. Fikiran dan hatinya tidak
menyatu. Dia tidak menghadirkan keagungan, kehebatan, dan kebesaran Allah S.W.T.
dalam solatnya.
Hadith Nabi
Muhammad S.A.W.: “Itulah solat orang munafik…lalu mempercepat empat rakaat
(solatnya).”
Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: “Pencuri yang paling
jahat ialah yang mencuri di dalam solat; tidak menyempurnakan ruku’nya dan
sujudnya.” - Hadith Ibnu Abi Syaibah, Al-Tabarani dan
Al-Hakim
3. Malas
Beribadah Kepada ALLAH S.W.T.
Firman ALLAH S.W.T.: ”Sesungguhnya golongan munafiqin, mereka mahu menipu ALLAH
S.W.T. sedang ALLAH yang memperdayakan mereka dan apabila mereka mendirikan
solat, mereka dirikan dalam keadaan malas, mereka menunjuk - nunjuk dan
tidaklah mereka mengingati ALLAH kecuali sedikit ” - Surah An-Nisa’: 142
Jika orang munafik
pergi ke masjid/surau, dia menyeret kakinya seakan-akan terbelenggu rantai.
Oleh kerana itu, ketika sampai di dalam masjid/surau dia memilih duduk di saf
yang paling akhir. Dia tidak mengetahui apa yang dibaca Imam dalam solat, apa
lagi untuk menyemak dan menghayatinya.
4. Melalaikan
Solat Fardu
Firman ALLAH S.W.T.: “Maka
kecelakaanlah bagi orang-orang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai dari
solatnya.” - Surah Al-Ma’un : ayat 4-5
5
Meninggalkan Solat Jumaat
Sabda Rasulullah S.A.W. ketika
berkhutbah di atas mimbar, “Hendaklah orang-orang yang suka meninggalkan
Jumaat menghentikan perbuatan mereka itu, atau adakah mereka mahu ALLAH
membutakan hati mereka dan sesudah itu mereka betul-betul menjadi orang yang
lalai?” - Hadith Riwayat Muslim r.a.
6.
Meninggalkan Solat Berjemaah
Apabila seseorang
itu sihat, kuat, mempunyai waktu terluang dan tidak memiliki uzur syari’i,
namun tidak mahu mendatangi masjid/surau ketika mendengar panggilan azan, maka
saksikanlah dia sebagai orang munafik.
7. Menghina
Nabi dan Sahabat Rasullullah S.A.W.
Termasuk dalam
kategori Istihzaa’ (berolok-olok) adalah mempersendakan hal-hal yang disunnah
Rasulullah S.A.W. dan amalan-amalan lainnya. Orang yang suka memperolok-olok
dengan sengaja hal-hal seperti itu jatuh Kafir.
Firman Allah S.W.T.: “…Katakanlah: ‘Apakah dengan ALLAH SWT, Ayat-Ayat-Nya, dan Rasul-Nya kamu
selalu mengejek-ejek?’ Tidak usah kamu minta maaf, kerana kamu kafir
sesudah beriman…” - Surah At-Taubah: 65-66
8. Mengubah Dan
Menyalahguna Ayat-Ayat ALLAH
Menggunakan dalil
dan ayat Al-Quran untuk kepentingan diri semata-mata. Menjadi perosak agama di
atas nama agama.
9. Mempersenda
Kesucian Agama
Perbuatan
mempersenda kesucian ALLAH dan agama Islam adalah suatu yang amat dibenci dan
dilarang dalam Islam kerana ianya seolah-olah menentang sesuatu yang diturunkan
ALLAH.
10. Bersumpah
Dengan Selain Nama ALLAH S.W.T.
Dan dalam hadith
Ibnu Umar radhiallahu ‘anhuma; “Sesiapa bersumpah dengan
nama selain ALLAH, maka dia telah berbuat syirik.” - Hadith Riwayat Imam Ahmad
Di dalam hadith lain
pula, Nabi Muhammad S.A.W. bersabda, “Sesiapa
bersumpah demi amanat, maka dia tidak termasuk golonganku.” - Hadith
Riwayat Abu Daud
11. Sombong
Diantara Sesama Manusia
Orang-orang
munafik selalu sombong dan angkuh dalam berbicara. Mereka banyak cakap dan suka
memfasih-fasihkan ucapan. Setiap kali berbicara, mereka akan selalu
mengawalinya dengan ungkapan menakjubkan agar nampak seperti orang mulia,
hebat, berwawasan luas, mengerti, berakal, dan berpendidikan. Padahal, pada
hakikatnya dia tidak memiliki kemampuan apa pun. Sama sekali tidak memiliki
ilmu bahkan lagi terserlah kemunafikannnya.
12. Riak
Berbuat sesuatu
atau meninggalkan sesuatu kerana selain daripada ALLAH S.W.T. dikategorikan
sebagai riak. Apabila bersama orang lain dalam suatu majlis, dia nampak
zuhud dan berakhlak baik, demikian juga pembicaraannya. Namun, jika dia seorang
diri, dia akan melanggar hal-hal yang diharamkan ALLAH S.W.T.
13. Melampaui
Batas Yang Telah Digariskan Oleh ALLAH
Perbuatan yang
menurut kehendak nafsu sehingga boleh tersesat dan menyesatkan pada jalan yang
benar sebagaimana diamali kaum Yahudi dan Nasrani.
14. Suka
Berbantah Dan Bertengkar Sesama Muslim
Sabda Rasulullah
S.A.W.: “Dan apabila bertengkar (berbantah), dia melampau.”
15. Fitnah
Menyampaikan
keburukan orang lain di kalangan orang ramai supaya mereka membenci atau
memusuhinya. Membuat laporan tanpa fakta dan usul periksa serta mengada-adakan
cerita. Ia juga tergolong dalam sifat-sifat munafik dan dosa-dosa besar.
16. Mencaci
Maki
Tidak berhikmah di
dalam berkata-kata dan dalam menyampaikan dakwah. Menggunakan kata-kata kesat
terhadap orang lain terutama yang tidak bersependapat dengannya.
Firman ALLAH S.W.T.: “…mereka
mencaci kamu dengan lidah yang tajam, sedang mereka bakhil untuk berbuat
kebaikan…” - Surah Al-Ahzab: 19
17. Mengumpat
Berkata dan
menyampaikan sesuatu keburukan orang lain yang tidak benar adalah berdosa
kerana ia berupa fitnah. Akan tetapi berkata tentang keburukan orang lain yang
benar tetap juga mendapat dosa iaitu dosa mengumpat.
18. Hasad
Dengki
Tidak senang
dengan kejayaan orang lain. Tidak senang juga jika sesuatu kejayaan itu
terhasil di tangan orang lain dan bukan oleh tangannya sendiri.
19. Dusta
Hadith Rasulullah
S.A.W. yang diriwayatkan Imam Ahmad Musnad dengan sanad Jayid: “Celaka
baginya, celaka baginya, celaka baginya. Iaitu seseorang yang berdusta agar
orang-orang tertawa.”
Di dalam kitab
Shahihain (Shahih Bukhari dan Muslim), Rasulullah S.A.W. bersabda: “Tanda
orang munafik ada 3, salah satunya adalah jika berbicara dia dusta.”
20. Mungkir
Janji
Sabda Rasulullah S.A.W.: “Tanda orang munafik ada 3: jika berbicara dia dusta, jika berjanji dia
ingkar, dan jika dipercaya (diberi amanat) dia berkhianat.” - Hadith
Riwayat Bukhari dan Muslim
21. Bakhil
Orang-orang munafik
sangat bakhil dalam soal kebajikan. Mereka menggenggam tangan mereka dan tidak
mahu bersedekah atau menginfaqkan sebahagian harta mereka untuk kebaikan,
padahal mereka orang yang mampu dan mencukupi.
22. Mengungkit
Kembali Pemberian Kepada Seseorang Dan Menyakiti Hatinya
Mengungkit kembali
pemberian kepada orang lain dengan harapan dikenang jasa dan sumbangannya serta
ingin menyakiti hati orang lain. Perbuatan ini dicela di dalam Islam bahkan
menghilangkan pahala ikhlas.
23. Enggan
Berjihad Di Jalan Allah S.W.T.
“Kalau kamu
melakukan perdagangan dengan riba, hanya menjadi penternak-penternak dan
gembira hanya dengan bertani saja dan meninggalkan jihad (perjuangan) maka
Allah akan menimpakan kehinaan atasmu. Kamu tidak dapat melucutkan kehinaan itu
sehingga kamu kembali kepada Ad dienmu.” - Hadith Riwayat Abu
Dawud dan Ibnu Majah
*24.
Menyembunyikan Ilmu Pengetahuan
Orang-orang yang
memiliki ilmu dan apabila ditanya orang lain sedang dia mengetahui persoalan
yang ditanyakan itu tetapi tidak menjelaskannya. Ini merupakan perbuatan yang
menghalang kemajuan ummat Islam dan menutup kebenaran.
*25.
Mengkhianati Sesuatu Amanah
Diberi amanah
tetapi menyalahgunakan kuasa dan mengkhianati amanah.
Sabda Rasulullah S.A.W.: “Dan apabila berjanji, dia berkhianat.”
Sesiapa
memberikan janji kepada seseorang, atau kepada isterinya, anaknya,
sahabatnya, atau kepada seseorang dengan mudah kemudian dia mengkhianati janji
tersebut tanpa ada sebab uzur syar’i maka telah hinggap pada dirinya salah satu
tanda kemunafikan.
26. Ghasab
Ghasab ialah
mengambil atau menguasai harta (tanah) orang lain dengan jalan penganiayaan;
iaitu jalan yang tidak diredhai Islam. Perbuatan ini walaupun dengan mengambil
cuma sedikit, adalah termasuk perbuatan dosa besar dan munafik.
27. Memakan
Harta Anak Yatim
Orang yang
mengambil dan menggunakan harta anak yatim serta orang yang tidak amanah di
dalam mentadbir harta anak yatim. Berselindung di atas nama pemegang amanah
akan tetapi menggunakan harta anak yatim untuk kepentingan diri sendiri ataupun
orang lain hukumnya berdosa besar.
28. Menipu
Dalam Jual Beli
Perbuatan menipu
ini adalah melibatkan amalan timbang atau sukat sesuatu barang tanpa kadar yang
mencukupi atau menjual barangan yang rosak di mana menimbulkan rasa kecewa dan
tidak puas hati pembeli pada akhirnya.
29. Menangguh
Pembayaran Hutang
Hutang adalah
wajib dibayar. Sabda Rasulullah S.A.W.: “Demi yang jiwaku ada ditangan-Nya,
seandainya seorang laki-laki terbunuh di jalan ALLAH, kemudian dihidupkan lagi,
lalu dia terbunuh lagi dua kali, dan dia masih ada hutang, maka dia tidak akan
masuk syurga sampai hutang itu dilunaskan.” - Hadith Riwayat Ahmad
30. Membuka
Rahsia Orang Lain
Suka mencari-cari
keaiban dan rahsia orang lain dan kemudian menyebarkan dan war-warkan keburukan
dan kelemahan itu samada di dalam majlis rasmi dan kuliah ataupun dengan cara
menyampaikan daripada individu kepada individu; lebih-lebih lagi sebahagai
bahan perkongsian di media sosial dewasa ini.
31. Bergaul
Dengan Orang Yang Memperolok Al-Quran
Firman ALLAH S.W.T.:
“Dan jika kamu tanyakan kepada mereka (tentang apa yang mereka lakukan
itu), tentulah mereka akan menjawab, “Sesungguhnya kami hanyalah bersenda gurau
dan bermain-main saja.” Katakanlah: “Apakah dengan ALLAH, ayat-ayat-Nya dan
Rasul-Nya kamu selalu berolok-olok?” Tidak usah kamu meminta maaf, kerana kamu
telah kafir sesudah beriman.” - Surah At-Taubah; ayat 65-66
32. Berasa
Aman Daripada Murka ALLAH Apabila Melakukan Dosa
Apabila seseorang
melakukan dosa dan merasa selamat dari kemurkaan dan seksaan ALLAH, maka
anggapan ini adalah berdosa besar dan amalan orang-orang munafik.
33.
Bermuka-Muka
Sikap penuh
kepura-puraan menjadi musuh kerana sifatnya menjadi gunting dalam lipatan, api
dalam sekam, duri dalam daging, talam dua muka, gergaji dua mata dan lidah
bercabang dua.
“Sesungguhnya
suatu yang paling ditakuti terhadap apa yang aku takut menimpa ummatku ialah
semua munafiqin yang petah lidahnya.” sabda Rasullullah S.A.W.
34. Memanggil
Orang Dengan Gelaran Buruk Yang Tidak Disukai
Panggilan yang
buruk ialah gelaran-gelaran yang tidak disukai oleh orang yang dicemuh dengan
gelaran itu, seperti panggilan “hai fasiq”, “hai kafir”, “hai pelacur”, “hai
penjudi”, dan lain-lain. Lebih-lebih lagi sekiranya orang tersebut sememangnya
beriman dan telah bertaubat.
“Orang-orang
yang beriman seperti satu jasad, sekiranya satu anggotanya merasa sakit maka
seluruh tubuhnya akan merasakan sakitnya dan demam.” - Ibnu Jarir
Firman ALLAH S.W.T.: “Neraka Wail (kecelakaaan yang amat besar) bagi setiap Luzamah (orang yang
mencela dengan ucapan) dan Huzamah (orang yang mencela dengan perbuatan).” - Surah Al Humazah: 1
35. Menuduh
Orang Beriman Bodoh
Orang munafik
mempunyai pendirian yang lemah dan amat sedikit memiliki ilmu pengetahuan
tentang perkara yang bermanfaat dan lebih memudaratkan. Justeru, mereka menuduh
orang beriman bodoh atau kurang ilmu pengetahaun dalam urusan kehidupan.
36. Memutuskan
Silaturrahim
Memisah dan
merosakkan hubungan silaturahim, merosakkan hubungan sesama keluarga, sahabat
handai, sesama jemaah ataupun organisasi mahupun sesama masyarakat.
37.
Memecahbelahkan Perpaduan Kaum Muslimin
Menjadi batu api
serta membuat laporan dan menaburkan fitnah sehingga berlaku perpecahan dan
hilang kasih sayang di kalangan sesama umat Islam.
38.
Menyembunyikan Kesaksian Pada Jalan Yang Benar*
Sebagai orang yang
beriman, umat Islam tidak seharusnya sedia menjadi saksi yang palsu atau berdusta
di dalam memberi keterangan bagi menyelesaikan sesuatu perkara pada jalan yang
benar. Justeru itu, berdusta ketika menjadi saksi adalah golongan orang-orang
munafik dan dibenci oleh ALLAH S.W.T.
“Dan janganlah
kamu (wahai orang-orang yang menjadi saksi) menyembunyikan perkara yang dipersaksikan
itu. dan sesiapa menyembunyikannya, maka sesungguhnya ia adalah orang yang
berdosa hatinya. dan (ingatlah) ALLAH S.W.T. Maha Mengetahui apa yang kamu
kerjakan.” - Surah Al-Baqarah:
283
39.
Menghalalkan Perkara Yang Haram
Menjadikan
matlamat sebagai sasaran utama sehinggakan sanggup melanggar batas aqidah,
syariat dan akhlak. Matlamat tidak menghalalkan cara.
40. Menyanjung
Dan Memuji Orang Tanpa Diketahui Keadaan Sebenarnya
41. Membazir
Dalam Memanfaatkan Nikmat ALLAH
Membuat sesuatu perkara
dan keputusan kemudian megubah semula dalam masa yang singkat, umpama membina
rumah kemudian diruntuhkan semula.
42. Melakukan
Dosa Dan Kemungkaran Secara Sembunyi
Berpura-pura
melakukan kebaikan di tengah-tengah orangramai dan gemar melakukan kemungkaran
di belakang orang adalah dibenci ALLAH S.W.T.
Firman ALLAH S.W.T.: “Mereka
bersembunyi dari manusia, tetapi mereka tidak bersembunyi dari ALLAH, padahal ALLAH
beserta mereka, ketika pada suatu malam mereka menetapkan keputusan rahsia yang
ALLAH tidak redhai…” - Surah An-Nisa’: 108
43. Menghalang
Orang Daripada Mengamalkan Ajaran Islam
44. Menyuruh
Yang Mungkar Dan Melarang Yang Makruf
Mereka (orang
munafik) amat inginkan perbuatan keji tersiar di kalangan orang-orang beriman.
Mereka menggembar-gembur tentang kemerdekaan wanita, persamaan hak, penanggalan
hijab/jilbab. Mereka juga berusaha memasyarakatkan nyanyian dan konsert
(hedonis), menyebarkan majalah lucah (tidak menjaga aurat) dan narkotik
(merosakkan masyarakat).
45. Suka
Kepada Kesesatan Dan Suka Menyesatkan Orang
46. Berasa
Gembira Apabila Musibah Menimpa Orang Beriman
Orang munafik
apabila mendengar berita yang tidak diingini; umpamanya seorang ulama yang
soleh ditimpa suatu musibah, maka iapun menyebar berita duka itu kepada
masyarakat sambil menampakkan kesedihannya dan berkata: “Hanya ALLAHlah
tempat memohon pertolongan. Kami telah mendengar bahawa si polan telah tertimpa
musibah begini dan begitu… semoga ALLAH memberi kesabaran kepada kami dan
beliau.”
Padahal, di dalam
hatinya dia merasa senang dan bangga akan musibah itu menimpa orang lain.
47. Membuat
kerosakan di muka bumi
Membuat kerosakan di muka bumi seperti
menggondolkan hutan dan bukit bukau tanpa mengadakan perbaikan.
Firman ALLAH S.W.T.: “Dan
apabila dikatakan kepada mereka: janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi,
mereka menjawab: ‘Sesungguhnya kami orang-orang yang mengadakan kebaikan.’
Ingatlah, sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang membuat kerosakan, tetapi
mereka tidak sedar.” - Surah Al-Baqarah: 11-12
48. Berputus
Asa Dalam Menghadapi Cabaran Hidup
49. Berkeluh kesah
Apabila Ditimpa Musibah
50.
Mengingkari Takdir ALLAH S.W.T.
Orang munafik
selalu membantah dan tidak redha dengan takdir ALLAH S.W.T. Sesungguhnya
orang yang tidak dapat menerima kekalahan dan menolak, membenci atau mengingkari
takdir ALLAH, tergolong dalam golongan kufur, rosak iman dan mendapat azab
serta kemurkaan ALLAH S.W.T.
.
Ingatlah firman ALLAH S.W.T. di dalam
Al-Quran:
الْمُنَافِقُونَ وَالْمُنَافِقَاتُ بَعْضُهُم مِّن بَعْضٍ ۚ يَأْمُرُونَ بِالْمُنكَرِ
وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمَعْرُوفِ وَيَقْبِضُونَ أَيْدِيَهُمْ ۚ نَسُوا اللَّـهَ فَنَسِيَهُمْ ۗ إِنَّ الْمُنَافِقِينَ هُمُ
الْفَاسِقُونَ﴿٦٧﴾
“Orang-orang
munafik lelaki dan perempuan, setengahnya adalah sama dengan setengahnya yang
lain; mereka masing-masing menyuruh dengan perbuatan yang jahat, dan melarang
dari perbuatan yang baik, dan mereka juga menggenggam tangannya. Mereka telah
melupakan (tidak menghiraukan perintah) ALLAH dan ALLAH juga melupakan (tidak
menghiraukan) mereka. Sesungguhnya orang-orang munafik itu, merekalah
orang-orang yang fasik.” - Surah At-Taubah, ayat 67
Semoga dijauhkan diri kita dari sifat
Munafiq dan dijauhkan dari azab ALLAH S.W.T. Nauzubillah min zaliq.
Wallahu a’alam bishawab.
ReplyDeleteWebsite paling ternama dan paling terpercaya di Asia
Sistem pelayanan 24 Jam Non-Stop bersama dengan CS Berpengalaman respon tercepat
Memiliki 8 Jenis game yang sangat digemari oleh seluruh peminat poker / domino
Link Alternatif : arena-domino.net
100% Memuaskan ^-^