Segala masalah yang mengganggu fikiran para peneroka apabila
cadangan untuk menyenaraikan FELDA Global Ventures Holdings (FGVH) diumumkan,
kini boleh dikatakan selesai sepenuhnya.
Peneroka sebelum ini telah ‘diganggu’ oleh pembangkang yang
menyebarkan berita-berita palsu dan berniat jahat bagi menggagalkan
penyenaraian ini. Alasan mereka kononnya
Felda tidak layak disenaraikan berdasarkan rekod kewangan syarikat tersebut,
serta penyenaraian itu akan merugikan peneroka.
Kemuncak usaha jahat pembangkang ini ialah menggagalkan
mesyuarat yang bertujuan mendapatkan pandangan peneroka serta memfailkan
injunksi di mahkamah bagi menghalang anak syarikat Felda, Felda Plantation,
memajakkan tanahnya seluas 360,000 kepada Felda Global Ventures Holdings
(FGVH).
FGVH bukanlah syarikat kecil atau kampungan yang terletak di
atas rumah kedai berderet di sebuah pekan kecil. FGVH adalah syarikat bertaraf
dunia dengan rekod tidak pernah rugi.
Syarikat ini menjalankan perniagaan global seperti perniagaan minyak dan
lemak, oleokimia, logistik dan perkhidmatan serta beroperasi di 12 negara,
termasuk Amerika Syarikat, Kanada, Afrika Selatan dan Asia Barat dengan
memiliki lebih 80 anak syarikat aktif.
Hari ini, ramai anak-anak Felda kini bekerja di syarikat-syarikat Felda
di luar negara malah ada juga yang menjadi tenaga pengajar mengenai
proses-proses pembuatan minyak sawit kepada orang-orang asing tersebut.
Keuntungan terkumpul daripada operasi luar negara sahaja
sejak ditubuhkan pada tahun 2009, kini berjumlah RM569 juta.
Bagi penyenaraian ini, lima buah bank pelaburan iaitu
Maybank, CIMB, Morgan Stanley, JP Morgan dan Deutsche Bank telah dilantik untuk
menguruskan proses penyenaraian, sementara audit pula akan dilakukan oleh
Pricewaterhouse Coopers (PwC).
Oleh yang demikian, menuduh FELDA ‘menempah maut’ melalui
penyenaraian ini adalah tidak masuk akal sama sekali kerana tidak mungkin pihak
yang telah berjaya membangun dan memperkasakan FELDA sehingga menjadi sebuah ‘empayar’
akan dengan sengajanya membuat keputusan yang tidak bijak dan merugikan.
Apa yang pasti ialah pembangkang telah mengambil kesempatan
atas kurangnya pemahaman peneroka mengenai proses penyenaraian dan pasaran
saham serta memanipulasi fakta semata-mata untuk memburukkan kerajaan.
Mujurlah ramai peneroka yang bijak dan mampu merasionalkan
perkara ini. Mereka tahu yang mana harus
dipercayai antara pihak kerajaan yang telah banyak berjasa kepada mereka
atau pihak pembangkang yang hanya tahu
berkata-kata.
Menurut sumber-sumber dalaman, pada 8hb Mei nanti, Dato’
Seri Najib akan mengumumkan ‘durian runtuh’ yang telah dijanjikan kepada para
peneroka.
Durian runtuh tersebut
dikatakan cukup besar untuk membolehkan para peneroka menunaikan haji. Jika benar, jangan pula ada yang lupa untuk
memanjatkan rasa syukur ke hadhrat Illahi atas segala nikmat yang telah
dikecapi.
Walaubagaimanapun, memandangkan peneroka kini berpendapatan
agak lumayan, mungkin ada yang merasakan yang ‘durian runtuh’ tersebut tidak
membawa makna yang besar.
Namun, apa
yang lebih penting ialah hasil jangka panjang di mana melalui penyenaraian ini,
Felda juga akan mendapat manafaat dari segi pengurusan yang lebih professional
sekali gus menamatkan persepsi kononnya syarikat ini dikuasai atau hanya
mengikut telunjuk politik.
Selain itu, ia juga akan dapat meluaskan lagi potensi
jangkauan perniagaan dalam berbagai bidang lain.
Dengan itu, Felda serius menjangkakan
pendapatan berlipat ganda di masa hadapan.
Pastinya, keuntungan berganda itu akan berbalik ke bahu para
peneroka dan generasi masa depan mereka bukan sahaja dalam bentuk wang tetapi
juga dalam bentuk berbagai-bagai kemudahan dan program yang mampu memacu warga
Felda ke satu tahap yang jauh lebih tinggi.
Tidak mustahil, generasi Felda di masa hadapan akan menjadi warga contoh
iaitu berfikiran kehadapan, berdaya saing serta mempunyai jati diri yang kuat.
No comments:
Post a Comment