Wednesday, May 09, 2012

Agenda Memperkasakan Melayu

Pernah suatu ketika seorang penulis Barat meramalkan Malaysia adalah antara negara di Asia yang akan muncul sebagai salah satu gergasi ekonomi dunia.  Dalam bukunya, Asia's New Little Dragon : The Dynamic Emergence of Indonesia, Thailand and Malaysia, Steven Schlosstein, meramalkan dengan penuh optimistik bahawa negara-negara ini akan bangun menerajui perkembangan ekonomi dunia dalam kerangka budaya Asia yang unik dan tersendiri.  

Di Malaysia, kemunculan ini diramalkan akan berlaku dalam acuan yang dicorakkan oleh budaya Melayu, kerana rata-ratanya ramai yang berbangsa Melayu dan yang menjadi pemimpin negara juga adalah dari kalangan orang Melayu walaupun terdapat bangsa-bangsa lain yang turut menjadi penghuni negara ini. Ramalan-ramalan sebegini yang berkaitan dengan kemajuan, kemakmuran, pembangunan dan seumpamanya berterusan ditulis dan diungkapkan dalam pelbagai bentuk sehingga semua lapisan masyarakat bercakap mengenainya.  

Mutakhir ini pula kita disajikan dengan agenda perpaduan Melayu yang hangat dibicara oleh parti-parti politik tanahair dengan penuh semangat dan pemikiran-pemikiran baru untuk diketengahkan.

  1. Namun apabila berbicara tentang perpaduan, kemajuan dan kemakmuran masa depan itu, sebenarnya kita berbicara tentang siapa?  
  2. Tentang nasib dan masa depan siapa?  

Maka pastinya yang dibincangkan itu ialah umat Islam Melayu di negara ini. Memang kita tidak dapat menyembunyikan rasa cemas terhadap kemampuan umat Islam Melayu di negara ini untuk menghadapi persaingan masyarakat dunia yang begitu hebat  persaingannya masa kini. Mungkin dari rasa cemas itulah juga suatu ketika dahulu muncul pandangan bagaimana untuk membina apa yang dinamakan sebagai ‘Melayu Baru', iaitu satu generasi Melayu yang memiliki segala intipati yang diperlukan untuk tampil ke hadapan sebagai umat yang maju.

Soalnya sekarang ialah apa yang harus ada pada bangsa Melayu itu?
Apakah ini juga bererti akan berulang lagi zaman ‘Polemik Kebudayaan,' iaitu satu zaman di mana kita masih mencari-cari asas pembinaan tamadun kita sendiri?

Sehinggakan generasi awal abad ini terpaksa membuat pilihan sama ada untuk kembali kepada asal budaya sendiri, iaitu budaya dan semangat Islam yang ketika itu kelihatan agak suram kerana kejahilan dan ditindas dari setiap sudut, ataupun mengambil bulat-bulat tamadun Barat yang tampak gah dan sedang berada di puncak kehebatannya ketika itu.  

Tetapi bagi generasi Melayu masa kini, masih banyak perkara baru yang perlu dipelajari, terutamanya sejarah. Kerana sejarah telah mengajar kita bahawa memutuskan diri dari akar budaya sendiri dan menerima budaya asing secara mutlak tidak dapat menjadikan sesuatu bangsa itu maju atau kuat.  

Lihat saja kepada 'Turki Moden' sebagai satu contoh kegagalan suatu bangsa untuk maju, kuat dan makmur dengan memutuskan dirinya dari agama dan akar budaya tradisinya lalu memilih jalan sekularisasi dan pembaratan. Hasilnya tidak mendatangkan apa-apa melainkan Turki itu sendiri sukar untuk diterima oleh kalangan negara-negara Islam yang lain, dan malah ia juga tersisih dari negara-negara Barat. 

Berbeza pula dengan Jepun yang telah berjaya muncul sebagai raksasa industri tanpa mencabut dirinya dari akar budaya tradisi sendiri. Memang dalam hal-hal tertentu Jepun menerima pengaruh Barat tetapi ia memperolehi kekuatan asasnya dari warisan budaya tradisinya sendiri iaitu ajaran Zen Buddhism. Begitu jugalah halnya dengan Taiwan yang mengasaskan kekuatannya kepada ajaran Confucianisme.

Maka dengan itu membangunkan bangsa Melayu yang dimaksudkan itu seharusnya difahami sebagai Melayu yang dikembalikan kepada akar budaya tradisinya. Dengan kata lain Melayu yang membangun dan maju itu ialah Melayu yang diperbaharui 'komitmen'  keIslamannya. 

Sejarah juga telah mengajar kita bahawa bangsa Melayu pernah muncul buat kali pertama dalam sejarah setelah umat ini menjalani proses pengIslaman sekitar abad ke-13 hingga abad ke-16. Bermula dari saat itu bangsa Melayu ini telah melalui suatu proses perubahan manusiawi yang memberikan jiwa dan citarasa baru kepada umat Melayu. Iaitu suatu perubahan budaya yang memberikan mereka nilai-nilai segar dan cemerlang yang terpancar dari ajaran Islam, dan juga satu perubahan pemikiran yang mengakhiri zaman budaya tahayul dan kurafat ketika itu. Malah bangsa Melayu ini juga berupaya untuk memulakan tamadun ilmu dan membawa satu perubahan di rantau ini.

Dengan azam dan nafas baru ini, bangsa Melayu ini pandai membawa diri dan tahu arah tuju yang perlu dibawa dalam kehidupan ini. Ini adalah kerana mereka diasuh dengan jiwa tauhid yang dengannya mereka menjadi Melayu Islam yang berjiwa merdeka yang sujud, ruku' dan taat setia mutlaknya hanya kepada Allah.  

Dan bangsa Melayu inilah juga yang telah mendapatkan semula kemuliaan darjat dan martabat keinsanannya, sehingga Melayu itu sendiri berasa bangga menjadi umat terbaik (khayra ummah) kerana kekentalan imannya.

Inilah golongan Melayu yang tahu erti hidup dan mati sebagai persaingan terhadap kecemerlangan amal (ayyukum ahsanu amala) Iaitu golongan Melayu pejuang yang dengan semangat jihadnya sanggup menghadapi segala cabaran dan dengan semangat mujahadahnya pula ia memperolehi kekuatan rohaniah untuk menghidupkan yang  makruf dan memerangi kemungkaran.

Begitulah antara ciri-ciri dan watak yang dibawa oleh bangsa Melayu yang telah melalui perubahan Islamisasi itu.  

Namun begitu, keunggulan watak Melayu Islam ini turut terhakis setelah masa berlalu kerana selalu terdedah kepada pelbagai hakisan pengaruh budaya. Hinggalah ke saat ini proses penghakisan Islam dari jiwa dan cara hidup Melayu  ini terus berlaku sehingga kadang-kala berasa hairan dan tercabar apabila terlihat Melayu Islam yang sudah sangat terhakis keIslamannya.

Proses penghakisan ini semakin lama semakin membarah sehingga tidak ada lagi dari kalangan Melayu Islam ini yang terselamat melainkan yang benar-benar kukuh genggaman KeIslamannya.  

Kini hampir semua peringkat masyarakat Melayu Islam sudah hampir terhakis keIslamannya.  

digarap dari Sdr Azuddin Jud Ismail; GAMIT Sidang

No comments:

Post a Comment