Friday, January 06, 2017

RASUAH DAN KELEMAHAN NTEGRITI

Bulan Januari 2017, baru disingkap tirainya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meniti hari-hari dengan pelbagai warna, memastikan integriti kakitangan awam dan masyarakat agar tidak menjejaskan pentadbiran dan mencemar nama negara..

Rasuah merupakan musuh utama negara. Ia mencabar dan memberi satu tamparan hebat kepada integriti dan keyakinan rakyat ke atas sesuatu pentadbiran yang merupakan satu pengkhianatan terhadap rakyat dan negara.


Senario Rasuah

Skandal “Sabah Watergate” pada Oktober 4hb 2016 oleh SPRM telah mendedahkan betapa campurtangan pegawai tertinggi menyalahguna kuasa dan meraih kekayaan lebih dari RM150 juta dalam pelbagai bentuk termasuk tunai dan aset dari peruntukan RM3.3 bilion Kerajaan Pusat untuk kemudahan air rakyat.

Perletakan jawatan Pengarah Bahagian Siasatan Khas (BOK) Datuk Bahri Mohamad Zin di SPRM menghiasi berita negara dengan tiga episod kenyataan mengaitkan SRC International, kekayaan Tun Mahathir dan ahli keluarga serta kenyataan balas SPRM yang boleh dipertikaikan.

Terbaru, Bahri, bekas pengarah BOK memberitahu pihak media, beliau akan mengeluarkan kenyataan balas kerana tercabar dengan dakwaan tidak berasas oleh beberapa pihak tanpa mendapatkan maklumat sahih dari beliau sendiri.


Nasihat SPRM

Datuk Dzulkifli Ahmad, Ketua Pesuruhjaya SPRM turut menasihatkan penjawat awam terutama pegawai-pegawai tinggi kerajaan dan mereka berhubungkait secara langsung di dalam pemberian projek tidak pergi ke luar negara untuk bermain golf.

They are not professionals golfers dan tidak ada keperluan untuk mereka ke luar negara semata-mata untuk bermain golf,” satu pandangan yang sinis memandangkan tahap amalan di kalangan penjawat awam semakin membimbangkan.


Kenyataan SPRM Penangkapan KSU KKLW

Dalam pada itu SPRM terus berusaha melaksanakan tanggungjawabnya dan melalui satu kenyataan rasmi oleh Dato’ Azam Baki, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM telah menahan dua individu termasuk seorang Ketua Setiausaha (KSU) sebuah Kementerian bergelar Dato’ kerana disyaki terlibat dalam perbuatan rasuah.

Kedua-dua suspek itu telah ditahan di sekitar Subang Jaya kira-kira jam 8 pagi Rabu. KSU yang berusia 59 tahun itu, dipercayai telah menyalahgunakan kuasa jawatan dan kedudukannya menerima rasuah daripada mereka yang berkepentingan.

Turut ditahan, seorang individu lelaki berusia 29 tahun yang dipercayai berperanan menerima serta menyimpan wang hasil rasuah daripada kontraktor, pembekal dan vendor yang mempunyai kepentingan dengan KSU terbabit.

Pihak SPRM turut telah merampas dan menyita wang tunai dan jongkong emas yang dianggarkan bernilai kira-kira RM3 juta hasil pemantauan dan kerja keras pihak SPRM melebarkan jaring yang semakin menggena mereka yang terlibat dengan gejala rasuah.
CPI Malaysia

Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) meningkat daripada tangga ke 53 pada 2013 ke tangga 50 pada 2014 dan kini pada tahun 2015 menurun ke tangga 54 dari 168 buah negara. Skor CPI telah kembali kepada 50/100 berbanding 52/100 pada tahun 2014. https://www.transparency.org/country/MYS#

Gejala rasuah adalah berkaitan rapat dengan “supply and demand” yang disemarakkan oleh nafsu dua pihak yang inginkan kekayaan melalui kuasa di tangan. Melihat kepada perkara ini, tidak hairanlah bahawa ahli politik turut memainkan peranan penting dalam memerangi isu rasuah.

Ahli Politik seharusnya bersama-sama agensi anti rasuah negara, SPRM dalam memerangi rasuah dan penyelewengan, bukannya bergaya hidup mewah dan mengguna isu rasuah untuk menjatuhkan lawan.


Saranan

Skema pemantauan oleh SPRM sepatutnya menyedari terdapat lebih sedikit bilangan “jerung” berbanding “ikan bilis’ di lautan ekonomi. Maka dengan penelitian dan pemantauan rapi terhadap golongan “jerung” akan menjadi lebih efisien dan cost effective keberhasilan tangkapan ke atas kegiatan tegar perasuah.

Larangan bermain ‘golf’ di luar negara bukan sahaja harus dikenakan ke atas penjawat awam tetapi juga dibuka ruang lingkup kepada ahli politik yang berkemungkinan dan mempunyai kepentingan peribadi di dalam sesuatu urusan dan pentadbiran negara.

Perundangan perlu selari di dalam menjatuh atau menghukum pelaku atau pesalah rasuah dalam menjamin tindakan setimpal di atas perlakuan mereka. Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah yang pada awalnya dibebaskan dengan jaminan SPRM tanpa deposit dan dua penjamin tidak setimpal dengan rampasan berjumlah RM150 juta di premis rumah dan pejabatnya.

Namun jaminan itu dibatalkan setelah mendapat kecaman dari ‘netizen’ yang sentiasa mengawasi tindakan perasuah dan kini beliau telahpun didakwa.

Wajar dilihat semula kriteria Akta Rahsia Rasmi yang sepatutnya hanya merahsiakan dokumen keselamatan, maklumat risikan dan perkara-perkara berbangkit yang perlu dilindungi demi kepentingan awam.

Dokumentasi seperti perjanjian konsesi haruslah diklasifikasikan agar dapat meningkatkan kepercayaan orang awam dan integriti penjawat awam serta Kerajaan.

Laporan Ketua Audit Negara setiap tahun sering kali melaporkan ketirisan pengurusan pelbagai kementerian, jabatan dan badan berkanun Kerajaan Pusat dan Negeri.
Seringkali juga, kelemahan pengurusan peruntukan dan kegagalan perlaksanaan pembangunan dikecualikan dari dikenakan tindakan tegas atau dipandang serius oleh pihak pentadbiran dan kepimpinan negara. Kenapa?

Seramai lebih 1.8 juta penjawat awam termasuk ketua jabatan dan tidak terkecuali pegawai tertinggi keselamatan harus menjalani latihan dan kursus di Institut Integriti Malaysia yang diperkasakan dan menitikberatkan ‘good governance’ di kesemua peringkat perjawatan dan penuh pertanggungjawaban.

Peperiksaan Jabatan Perkhidmatan Awam lebih menekankan kepada ujian dan kemahiran kompetensi penjawat awam dan bukan berdasarkan ‘seniority’ atau kelayakan penjawat awam dalam kenaikan pangkat atau tangga gaji.

Sehubungan itu hanya dengan kesungguhan memerangi rasuah dan sikap ‘tidak apa’, rakyat akan bertambah keyakinan dan menyokong serta menggembeling usaha bersama SPRM membersih pengaruh rasuah ke atas agenda pembangunan negara di dalam mencapai dasar yang digariskan Demi Bangsa Agama dan TanahAir.

No comments:

Post a Comment