SAYA terpanggil untuk
mengulas mengenai perkembangan yang berlaku berpunca daripada cadangan untuk
membangunkan loji memproses nadir bumi, Lynas di Gebeng, Kuantan, Pahang.
Titik tolak kegelisahan
ini adalah kewujudan thorium yang terdapat dalam bahan mentah yang akan
diproses. Untuk pengetahuan pembaca, thorium juga terdapat dalam amang (tahi
bijih timah). Di sini saya ingin menyatakan beberapa fakta yang dipersetujui
oleh masyarakat sains sejagat.
Thorium secara semula
jadi mempunyai satu isotop (Thorium 232) dan ia mempunyai separuh hayat 14
bilion tahun. Ia mereput dan menghasilkan zarah alfa dan zarah itu mempunyai
tenaga empat MeV. Tiada keraguan tentang fakta-fakta tersebut. Di sini saya
ingin menjelaskan apa yang dimaksudkan dalam pernyataan tersebut.
Separuh hayat selama 14
bilion tahun bererti separuh daripada thorium yang ada akan mereput dalam masa
14 bilion tahun. Separuh lagi masih utuh. Kalau Lynas dikatakan akan memproses
22,000 tan galian dan kandungan thorium adalah 10 peratus, mengikut anggaran
Save Malaysia Stop Lynas (SMSL). Bermakna akan wujud 2,200 tan thorium. Separuh
daripadanya (1,100 tan) akan mereput. Sekiranya reputan berlaku dalam 1 bilion
tahun, purata reputan harian adalah tiga miligram (mg). Sekiranya reputan
berlaku dalam 10 bilion tahun, purata reputan harian adalah 0.3 mg.
Kesimpulannya daripada
22,000 tan yang diproses, purata yang mereput adalah kurang daripada 0.3 mg
sehari. Angka 0.3 mg adalah tiga gram dibahagi dengan 10,000. Adakah amaun ini
boleh membunuh atau memusnahkan alam sekitar?
Fakta seterusnya, zarah
alfa yang dipancarkan mempunyai tenaga sebanyak empat MeV. Zarah ini boleh
merentasi udara sejauh 2.5 sentimeter atau satu inci. Ini bererti udara setebal satu inci sudah cukup menjadi perisai untuk
melindungi kita dari thorium yang mereput. Thorium yang tidak mereput adalah tidak berbahaya.
Dalam air, sinaran alfa merentasi kurang daripada satu mikron.
Angka ini merujuk kepada satu milimeter dibahagi dengan 1,000 dan ia terlalu
nipis. Zarah alfa dari reputan thorium tidak akan dapat menembusi kulit kita
(andaian bahawa kandungan badan manusia adalah 90 peratus air). Kalau
sinaran itu tak sampai kepada kita dan jikalau sampai pun, ia tidak dapat
menembusi kulit kita, jadi apa masalahnya?
Saya memohon kepada
sesiapa yang menulis tentang keburukan thorium, tolonglah tulis
berlatarbelakangkan fakta. Cerita mesti konsisten dengan fakta sains. Saya
mengakui bahawa setiap pembaharuan mempunyai risiko. Saya bersedia untuk berganding
bahu dengan SMSL memantau loji Lynas di Gebeng dan saya akan menjadi orang
pertama untuk menyatakan kepada khalayak ramai sekiranya ada pelanggaran
peraturan yang ditetapkan oleh piawaian antarabangsa. Akan tetapi saya tidak
akan berdiam diri sekiranya rakyat Malaysia diperbodoh-bodohkan.
Satu fakta lagi yang
perlu di nyatakan adalah thorium wujud
dalam bentuk sebatian kimia thorium dioksida, thorium sulfat dan beberapa
bentuk lain. Sebatian ini didapati tidak larut dalam air dan ketumpatannya adalah
sekitar 10 kali ganda ketumpatan air. Mencampurkan sebatian ini dengan air adalah seperti mencampurkan besi dengan air.
Besi terus mendap ke bawah. Air yang
digunakan Lynas di Gebeng akan disimpan beberapa hari sebelum dilepaskan.
Ini bermakna sebatian thorium akan mendap.
Saya ingin penjelasan
daripada SMSL. Sains dan teknologi apa yang boleh menyebabkan perairan di Laut
Cina Selatan menjadi seperti apa yang berlaku di Fukushima, Jepun?
Bagaimanapun, saya mengakui 'habuk' daripada bijih atau galian dari Australia
itu boleh membawa risiko. Garis panduan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA)
menekankan keselamatan semasa pengangkutan dan pemprosesan berlaku. Saya pasti
Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) mengenakan syarat yang ketat dalam hal ini.
Dalam wacana ilmiah di
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada 28 Mac 2011, Pengerusi AELB,
Profesor Datuk Dr. Sukiman Sarmani menyatakan sekiranya Lynas melanggar
mana-mana peraturan yang ditetapkan, AELB akan mengeluarkan perintah 'Hentikan
Operasi'.
Harus diingatkan ketumpatan udara adalah lebih
sedikit daripada ketumpatan gas nitrogen yang berat molekulnya 28 gram (gm) per
mol. Berat molekul thorium dioksida adalah (232 + 32 >264) gm per mol.
Berdasarkan angka 264 gm per mol berbanding 28 gram per mol sudah pasti habuk
thorium dioksida tidak akan wujud lama sebagai habuk dalam udara. Lebih cepat
penurunan kewujudan habuk thorium sekiranya hujan. Kajian mengenai kanser
paru-paru harus dijalankan untuk mengetahui kesan thorium kepada kesihatan. Kajian
darah yang dicemari oleh thorium juga harus dilakukan sebelum membuat sebarang
tuduhan melulu.
Saya tertarik dengan
langkah Himpunan Hijau yang
berkunjung menemui Pesuruhjaya Tinggi Singapura pada Mac lalu. Di dalam memorandum yang diberi, mereka meminta kerajaan Singapura menyatakan
kebimbangan terhadap Lynas. Himpunan Hijau juga menyatakan kebimbangan makanan laut dari Kuantan yang dihantar ke
Singapura akan mengandungi unsur radioaktif. Ironinya, Perdana Menteri Singapura pernah berhasrat membina janakuasa nuklear berasaskan bahan api thorium iaitu
'Liquid Fluoride Thorium Reactor (LFTR)' dengan alasan ia tidak berbahaya dan
efisien. Cadangan itu dimasukkan dalam pelan induk pembangunan tenaga
republik itu. Cuba layari artikel "Thorium for Singapore" di www.thoriumsingapore.com.
SMSL mahukan zon
penampan Lynas adalah 30 kilometer (km) daripada penempatan penduduk. Oleh
kerana susah hendak mencari mana-mana kedudukan di republik itu yang jauhnya
melebihi 30 km dari Malaysia, saya cabar mereka membuat demonstrasi di
sepanjang Selat Tebrau, Johor bagi menyatakan pendirian membantah janakuasa
nuklear tersebut.
Jadi, apakah pendirian
Himpunan Hijau sekarang. Masihkah hendak menyembah pemimpin Singapura untuk
menyelesaikan masalah thorium di Gebeng?
Loji Lynas adalah kilang kimia dan ia sangat kecil jika dibandingkan dengan janakuasa nuklear yang akan dibina oleh
Singapura. Thorium dari Australia
adalah 1,900 bahagian per sejuta (ppm)
atau 0.19 peratus tulen. Nanti di
Singapura, thorium yang diguna adalah 100 peratus tulen. Adakah Himpunan
Hijau akan diam seribu bahasa?
Perbuatan mengadu
kepada Pesuruhjaya Tinggi Singapura adalah paling melucukan. Saya ingin juga
menarik perhatian kepada mereka yang menggunakan lampu minyak gas. Mentol yang digunakan menggunakan thorium. Saya
ingin tahu apakah pendirian pertubuhan bukan kerajaan yang menyokong SMSL
setelah mengetahui fakta ini. Lampu
minyak gas inilah yang menerangi kota, desa dan pelbagai jenis kediaman lebih
daripada satu abad. Thorium yang
digunakan dalam mentol ini 99 peratus dan thorium di Gebeng nanti tak sampai satu peratus.
Di laman sesawang pihak
Singapura itu kita akan mendapati kata-kata aluan "Welcome to the
Future".
Adakah kita akan
menolak hakikat ini hanya berdasarkan hujah harga hartanah di Kuantan akan
merudum hingga tiada nilainya. Harga hartanah di Singapura adalah beratus atau
beribu ganda lebih tinggi berbanding nilai hartanah di Kuantan.
Loji nuklear akan dibina di
tengah bandar raya Singapura, sedangkan Lynas di Gebeng. Kalau menggunakan ukuran 30 km dari kediaman yang
dituntut SMSL, mana Singapura nak cari tempat sedemikian.
Pandangan rakyat dan
kerajaan Singapura nampaknya berbeza sekali dengan pihak pembangkang. Oleh itu,
benarkah kita ini lebih maju dalam pengetahuan sains berbanding dengan mereka?
Dr. A. Rahman Omar ialah lulusan
Doktor Falsafah (PhD) Fizik Nuklear daripada Kansas State University, Amerika
Syarikat.
No comments:
Post a Comment