UCAPAN
DASAR PRESIDEN UMNO
YAB
DATO’ SRI MOHD NAJIB BIN TUN HAJI ABDUL RAZAK
SEMPENA
PERHIMPUNAN AGUNG UMNO KALI KE-63 TAHUN 2012
PADA 29
NOVEMBER 2012 (KHAMIS) 9.30 PAGI
BERTEMPAT
DI DEWAN MERDEKA PWTC, KUALA LUMPUR
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Yang Berbahagia Pengerusi Tetap,
Yang Berhormat Timbalan Pengerusi Tetap,
Yang Amat Berhormat Timbalan Presiden & Puan Sri
Norainee Abdul Rahman,
Yang Berhormat Naib Presiden-Naib Presiden
Ketua-Ketua Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri,
Ahli-Ahli Majlis Tertinggi,
Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad & Tun
Dr. Siti Hasmah,
Yang Amat Berbahagia Tun Abdullah Ahmad Badawi,
Ketua-Ketua Parti Komponen Barisan Nasional,
Dif-dif Kehormat,
Para Perwakilan, Pemerhati, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang
saya hormati sekalian.
MUKADDIMAH
Saudara dan Saudari sekalian,
1.
Alhamdulillah
dibalut rasa tawaduk dan rasa rendah diri, sekali lagi kita berhimpun untuk
menunaikan tanggungjawab lazim sebagai sebuah organisasi bagi mengadakan mesyuarat
agung tahunan parti tercinta yakni Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau
UMNO.
2.
Sesungguhnya
perhimpunan sebegini bukanlah semata-mata acara ritual dalam memenuhi tuntutan taqwim
organisasi. Sebaliknya, ia satu iltizam terbaik melaksanakan proses muhasabah
dan islah demi memperbetulkan kelemahan, memperkejab jentera parti, membugarkan
halatuju pertubuhan, seterusnya mempastikan kelangsungan jemaah.
Saudara dan saudari,
3.
Seperti
semua maklum, ini merupakan perhimpunan agung terakhir sebelum Pilihanraya Umum
yang ke-13. Jadinya, Dewan Rakyat, menurut Perlembagaan, kalau pun tidak
dibubar oleh Yang di-Pertuan Agong berdasarkan nasihat Perdana Menteri, ia akan
terusai juga dengan sendirinya, tanggal 28 April 2013.
4.
Oleh
itu, setiap seorang daripada kita, tidak kira saudara dan saudari yang berada
di bawah, tuan-tuan dan puan-puan yang memenuhi ruang di atas, apatah lagi para
pimpinan di sini, dan pastinya, sekian ramai ahli UMNO di mana sahaja, hatta yang
tidak bernama, walau yang tidak berjawatan, waima yang tidak berkedudukan, sekalipun
yang tidak pernah menjejakkan kaki ke dewan bertuah ini, saya percaya semuanya sedang
berasakan betapa kencang tiupan ke medan juang.
Saudara dan saudari,
5.
Jelas sekali
terasa, parti kita telah semakin pulih semangatnya. Kita yakin bahawa, jentera
parti pula, daripada peringkat cawangan, bahagian, perhubungan sehinggalah ke
peringkat Kebangsaan telah pun bersedia untuk menghadapi pilihanraya umum yang
bakal diadakan.
6.
Kini, semboyan
sedang berkumandang, genderang makin bergema. Masanya sampai, menyusun langkah,
tempohnya matang, memperkemas pasukan, detiknya tiba, mempasak kuda-kuda. Dengan
mendokong peranan masing-masing, ayuhlah, kita kembali kepada rakyat, demi memperbaharui
mandat.
7.
Serentak
itu, saudara dan saudari, marilah kita mengangkat sebanyak-banyak doa, bahawa dengan
izin Allah jua, apabila kita bertemu pada tahun hadapan di Dewan Merdeka ini, Insya-Allah,
kita akan berhimpun semula dengan sokongan kukuh sebagai parti pemerintah,
untuk mengurus kepentingan negara, memakmurkan ekonomi dan mensejahtera rakyat bagi
tempoh lima tahun akan datang.
8.
Malah, lebih
jauh dari itu, moga-moga dengan izin yang Maha Berkuasa juga, kita akan kekal menjadi
parti pemerintah yang akan menjulang darjat Malaysia, sebagai negara maju apabila
menyinsingnya subuh 2020 kelak.
Saudara dan saudari,
9.
Namun
begitu, dalam pada kita sedang memupuk semangat juang yang marak dan membara ini,
janganlah alpa pada kisah-kisah lalu. Beringatlah, Pilihanraya Umum ke- 12 pada
Mac 2008 merupakan pengalaman yang sungguh pahit, sungguh kelat, dalam episod politik UMNO dan Barisan
Nasional.
10.
Sehubungan
itu pada hemah saya, ombak serta rintangan yang membadai, selama bertahun-tahun
ini, sewajarnya, telah benar-benar menghimpunkan bibit-bibit kesedaran di
sanubari semua.
11.
Seharusnya
lagi, bagi sebuah parti politik yang menunjang Kerajaan Persekutuan lebih separuh
abad lalu, episod tersebut, sepatutnya memahatkan iktibar kepada kita semua. Malah
ia merupakan isyarat jelas rakyat Malaysia kepada UMNO dan rakan-rakan dalam
Barisan Nasional untuk berubah, sesuai dengan selera, aspirasi dan jangkaan
rakyat.
12.
Apa
yang pasti, kita tidak boleh banyak berbicara dan bertangguh-tangguh lagi. Kita
perlu memperhebatkan tindakan dan menggandakan usaha. Hanya sanya, melalui cara
itu sajalah parti UMNO akan terus diperhati, sentiasa diperhitung dan selamanya
dipeduli oleh rakyat.
13.
Justeru,
dalam tempoh kurang empat tahun semenjak saya dan rakan-rakan diamanahkan
kepimpinan parti dan kerajaan, kita telah tidak jemu-jemu bekerja keras untuk
memenuhi kehendak dan keperluan rakyat teramai.
14.
Sekalipun
dihadap dengan pelbagai kesulitan dan cabaran, kita cekal berusaha untuk
memulihkan kepercayaan, memulihkan keyakinan serta memulihkan sokongan rakyat
kepada parti dan Kerajaan.
15.
Sesungguhnya
juga, apa yang diupayakan beberapa waktu ini, mana mungkin dilakukan secara enteng
atau semena-mena, sebaliknya ia telah melalui proses rundingan dan mendengar
secara meluas. Bersesuaian dengan prinsip bahawa, era Kerajaan mengetahui
segalanya dan memiliki monopoli terhadap kebijaksanaan sudah berakhir.
16.
Lantas,
menghitung perjalanan kepimpinan ini, kita sebenarnya telah menempa
keberhasilan yang sungguh membanggakan. Antaranya, kita berjaya melindungi
Malaysia daripada krisis ekonomi global, meletakkannya kembali ke landasan
pertumbuhan mapan serta mengeluarkan kita dari perangkap negara berpendapatan
sederhana. Di samping itu, kita memetakan pula secara teliti dan terperinci perjalanan
Malaysia ke arah mencapai status negara maju berpendapatan tinggi.
REALITI BARU LANSKAP POLITIK NEGARA
Saudara dan Saudari,
17.
Sekiranya
kemenangan kita impikan, seandainya kelangsungan kita dambakan, sebagai sebuah
pertubuhan siasah, sebelum terus mengatur gerak, sejenak perlu menoleh ke
belakang, supaya dapat mengetahui letak duduk sebenarnya keadaan parti kita.
Adakah lebih baik dari semalam? Cukupkah pula persediaan untuk menghadapi
hari-hari mendatang?
18.
Pastinya,
dalam meniti garis-garis besar perjuangan, langkah-langkah konkrit ke hadapan
mestilah penuh berhemah dan berhikmah, ikhlas mendahulukan kepentingan rakyat,
bukan dengan helah, menabur janji-janji kosong, tipu daya atau fatamorgana.
Barulah segala ikhtiar mendapat rahmat dan keberkatan Ilahi.
Saudara dan saudari,
19.
Berdiri
atas kesedaran dan semangat itu, mari kita tinjau hakikat demografik Malaysia yang
telah berubah secara radikal. Majoriti daripada 29 juta penduduk hari ini
dilahirkan pasca Hari Malaysia dengan hampir 70 peratus tinggal di kawasan
bandar. 40 peratus pada lingkungan 17 hingga 23 tahun, sedang mengikuti
pelbagai peringkat pendidikan pasca menengah.
20.
80 peratus
pula, merupakan mereka yang berumur kurang empat puluh lima tahun manakala
separuh daripada rakyat kita berusia di bawah 25.
21.
Satu
faktor penting lagi, transformasi pengundi khasnya dan rakyat Malaysia amnya
tidak berlaku dalam tempoh sehari dua, tetapi telah berlangsung secara berdikit
semenjak lebih lima dekad. Ia digerakkan oleh kejayaan dasar-dasar serta
program hasil prakarsa Kerajaan Perikatan dan kemudiannya diteruskan oleh Kerajaan
Barisan Nasional.
22.
Hakikatnya,
peningkatan taraf hidup, proses pembandaran, akses kepada pendidikan, kemajuan
teknologi maklumat, komunikasi serta pengangkutan telah merubah keutamaan,
selera, sistem nilai dan profil pengundi Malaysia. Citarasa dan jangkaan mereka
terutamanya golongan muda telah bertukar dengan mendadak. Tambahan pula, rata-rata
pengundi kini sifatnya lebih bermaklumat serta kritikal.
23.
Selain
itu, fakta yang sedia ada menunjukkan sejak Mac 2008 terdapat 2.9 juta pengundi
baru tidak kira golongan umur telah mendaftar sebagai pemilih.
24.
Angka
ini, saudara dan saudari, sangat signifikan kerana ia mewakili lebih satu
perlima daripada jumlah pengundi Malaysia yakni 13.1 juta orang. Ini bermakna,
setiap seorang daripada lima pengundi bagi Pilihanraya Umum Ke-13 nanti, ialah
pengundi baru atau pengundi yang pertama kali.
CABARAN UMNO
Saudara dan saudari,
25.
Sepanjang
berdepan mehnah dan cabaran politik semasa, UMNO dan Barisan Nasional tidak
lagi boleh berasa lepas lega dan mengambil mudah dengan mengharapkan sokongan rakyat
berasaskan nostalgia jasa-jasa dahulu atau apa yang telah dibuat parti serta
kerajaan pada hari-hari kelmarin.
26.
Mendakap
cabaran kini, Pilihanraya Umum ke-13 menghadapkan kita dengan satu pilihan,
iaitu sama ada kita sebagai individu dan secara kolektif mahukan kemenangan untuk
parti atau sebaliknya.
27.
Serentak
itu, bercakap tentang sistem demokrasi berparlimen seperti di Malaysia, Kerajaan
dibentuk oleh parti atau gabungan parti politik yang memenangi majoriti kerusi
dalam Dewan Rakyat. Ertinya, kemenangan majoriti daripada 222 kerusi yang
dipertandingkan adalah penentu kesinambungan kerajaan Barisan Nasional.
28.
Walau
bagaimanapun, kemenangan dalam pilihanraya sebenarnya bergantung kepada banyak
faktor seperti pengundi setempat, kecekapan jentera di setiap bahagian serta calon
yang dipertandingkan. Selain itu, realiti semasa menyaksikan bahawa sokongan
rakyat kepada kepimpinan nasional dan negeri tidak semestinya, diterjemahkan
dalam bentuk undi kepada calon tempatan parti.
29.
Kata
orang, dulu lain, sekarang dah lain. Jika dahulu, siapa pun yang diketengahkan
oleh parti, merupakan calon boleh menang. Hakikatnya tidak lagi begitu. Maknanya
di sini, kejayaan calon dalam pilihanraya kontemporari ini bergantung kepada
penerimaan mereka yang hendak diwakili.
30.
Calon
boleh menang yang dipilih oleh parti hendaklah mampu memberi nilai tambah,
yakni, bukan sahaja sekadar diterima oleh lingkungan parti, malah, hendaklah
juga disenangi oleh masyarakat setempat sebagai pengundi, lebih daripada itu,
boleh bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan sukarela serta masyarakat madani,
kerana merekalah sebetulnya para pengundi.
31.
Kenyataannya
lagi, lebih 95 peratus rakyat Malaysia dilahirkan pasca penubuhan UMNO. Oleh
sebab itu, penilaian yang dibuat pengundi generasi baru hari ini bukan
didasarkan kepada pengalaman masa lalu apatah lagi apa yang telah dilakukan
semalam sebaliknya ia berasaskan merit hari ini berserta wawasan masa depan.
32.
Kesimpulannya
di sini, kemenangan dalam perjuangan pada analisa akhirnya adalah hasil usaha
bersama-sama semua rakyat Malaysia dari pelbagai kaum, agama dan ideologi, muda
dan tua, lelaki dan wanita, warga bandar dan warga desa, pekerja kolar biru dan
putih, sektor awam, swasta dan Syarikat Berkaitan Kerajaan, pertubuhan bukan
kerajaan serta masyarakat seramai. Ringkasnya, setiap dari kita berperanan dan
bertanggungjawab memilih yang terbaik untuk Malaysia.
33.
Atas
segalanya, rakyat hari ini sudah bijak untuk membezakan yang mana kaca yang
mana manikam. Pengundi pula dapat menilai bahawa empati kepada rakyat oleh calon
bersifat sejati dan berterusan bukanlah hanya untuk musim pilihanraya.
34.
Dalam konteks
ini, saya ingin menyeru, jadilah pemimpin parti yang rajin mengkhidmati rakyat,
berwibawa dan bersikap rendah diri. Bak kata orang tua-tua, ular yang menyusur
akar, pasti tidak akan hilang bisanya.
Saudara dan saudari
sekalian,
35.
Bersuluhkan
jamung pejuangan mulia yang cerah menyala, kita mesti cekal bekerja keras, kita
mesti terus tabah meyakinkan rakyat bahawa, kitalah pilihan kepimpinan yang
utama, bahawa kitalah yang mampu membawa masa depan yang lebih baik kepada
mereka dan anak-anak cucu mereka.
36.
Apa
yang dapat saya katakan, berikhlaslah dalam memberi khidmat kepada rakyat.
Berpeganglah kepada kata-kata para ulama dan pujangga, bahawa yang baik akan akhirnya
tertampak, yang buruk itu, hujungnya kelak, pasti terpandang jua.
Saudara dan saudari,
37.
Pada
kesempatan ini, renungkanlah sirah perjuangan Nabi Muhammad S.A.W sebagai
iktibar parti. Kita telah membaca bagaimana dalam Perang Badar, tentera Islam
yang serba kekurangan telah berjaya menewaskan musuh yang jauh lebih besar bilangan
serta lebih lengkap peralatannya.
38.
Manakala
peristiwa Uhud, walaupun kekuatan tentera Islam dan musuh lebih setara, tentera
Islam mengalami kekalahan. Diriwayatkan, ketewasan semasa Uhud berpunca
daripada kelemahan rantaian kawalan dan pemerintahan pasukan serta kelalaian
mentaati arahan oleh para pemanah berbanding ketika pertempuran Badar.
39.
Di
sini, pengajaran yang dapat kita ambil daripada sepotong rentetan sirah
tersebut ialah, tentang pentingnya disiplin organisasi dalam sesebuah parti
politik. Implikasi apabila tiada kepatuhan dalam perjuangan berjemaah, kita
akan menempa kegagalan, kita akan kecundang, kita akan tumpas dan tewas.
Saudara dan saudari,
40.
Hal disiplin
berorganisasi ini perlu dimengertikan baik-baik. Ia merupakan faktor tonggak
yang akan menentukan kejayaan atau kegagalan sesebuah pertubuhan untuk mencapai
matlamat yang diingini. Dalam bidang ketenteraan, ia mampu menentukan
kemenangan atau kekalahan di medan perang.
41.
Dalam
sebuah pertubuhan siasah pula, yang wujud dalam sistem demokrasi berparlimen,
disiplin berorganisasi menentukan sama ada parti politik itu berpeluang menang
atau kalah dalam pilihanraya. Inti patinya, disiplin berorganisasi bermaksud
meletakkan kepentingan organisasi secara di atas..., di atas kepentingan
individu.
42.
Lalu, mengambil
sempena Ayat 83, Surah An-Nisa’, kedisiplinan berjemaah menuntut kita berlapang
dada dan bersedia menerima keputusan yang dibuat oleh kepimpinan parti, dan,
jika tidak dipersetujui, hendaklah menggunakan saluran organisasi yang
sewajarnya bagi menyampaikan pendapat tersebut.
43.
Termustahak,
jika keputusan muktamad telah dibuat, terimalah dengan hati terbuka dan
laksanakanlah dengan sebaik mungkin. Benarlah seperti dimadahkan
pemimpin-pemimpin besar dahulu kala, satu petua yang memang kecil, namun sangat
sulit hendak diamalkan, itulah dia taat dan patuh kepada arahan.
KEBERTERUSAN TRANSFORMATIF
YBhg. Tan Sri Pengerusi Tetap, Saudara dan saudari,
44.
Pada
sisi lain, pendapat dan teori politik konvensional yang mengatakan bahawa
perubahan dan pembaharuan akan hanya berjaya jika kita menukar kerajaan tidak
boleh diterima pakai di Malaysia.
45.
Semenjak
lebih 50 tahun yang lalu, Parti Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional secara tali menali, menerajui negara tercinta
ini dengan membawa perubahan dan pembaharuan bukan pada kadar berdikit malah
dengan lonjakan berganda dengan konsep atau prinsip Keberterusan Transformatif.
46.
Kita
telah menyaksikan bagaimana Malaysia telah berubah dari sebuah negara yang
terjajah kepada sebuah negara merdeka, daripada sebuah negara berstatus negara
pertanian berpendapatan rendah kepada sebuah negara perindustrian moden
berpendapatan sederhana tinggi.
47.
Oleh
itu, dengan Keberterusan Transformatif, rakyat boleh melihat sekalipun
kepimpinan ini datang dari parti yang sama, namun perubahan dan pembaharuan
berlaku secara dinamik, berterusan, tertib dan teratur.
48.
Ertinya,
parti pemerintah sentiasa memikirkan kaedah atau rekayasa terkini bagi memenuhi
keperluan dan kehendak semasa. Kita terus-terusan membuat pembaikan dan
perubahan idea, dasar, program yang tuntas lagi menyeluruh. Pokoknya, kita pada
tiap ketika mendepani kelok zaman dengan membuat perubahan yang tepat pada
masanya.
Saudara dan saudari,
49.
Kita
ada mendengar pendapat yang mengatakan, apa salahnya memberi peluang kepada
pembangkang untuk menang bagi dinilai kemampuan dan keupayaan mereka mengurus
negara dan rakyat.
50.
Namun,
ini adalah satu risiko yang amat tinggi kerana masa depan negara, keluarga dan
anak-anak kita terlalu berharga untuk
dijadikan bahan uji kaji. Tanpa penilaian yang betul, teliti dan kritikal,
menukar kerajaan ibarat mengamanahkan tikus membaiki labu atau mempercayai serigala menjaga biri-biri.
Saudara dan saudari,
51.
Sememangnya
menjadi aspirasi setiap parti politik untuk memperoleh mandat dari rakyat bagi
membolehkannya membentuk kerajaan dan pemimpinnya menjadi Perdana Menteri. Ke
arah itu pelbagai janji dan komitmen ditawarkan.
52.
Bagi
parti yang sedang menerajui Kerajaan, penilaian dilakukan oleh rakyat
berdasarkan dua kayu ukur. Pertama, adakah janji-janji lepas, telah ditunai dan
dilunaskan? Manakala kayu ukur kedua, adakah janji-janji baru yang dibuat akan lebih
membawa manfaat.
53.
Manakala,
bagi parti yang tidak pernah membentuk Kerajaan, mereka perlu dinilai
berasaskan janji yang sedang dibuat. Jika pada peringkat janji lagi sudah tidak
boleh dipegang dan dipercayai, maka, lebih selamat untuk para pengundi agar menjauhi
parti tersebut.
Saudara dan saudari,
54.
Berhubung
hal demikian, Malaysia hari ini merupakan contoh sebuah negara membangun yang amat berjaya sama ada diukur dari segi
keampuhan institusi negara mahupun kemajuan sosioekonomi.
55. Kejayaan
ini bukannya sebuah fantasi yang dikhayalkan oleh kerajaan Barisan Nasional
sebaliknya satu kejayaan nyata yang dapat disaksikan dan dinikmati setiap
rakyat Malaysia. Bahkan ia juga merupakan kejayaan yang diiktiraf oleh institusi
dan masyarakat antarabangsa.
56.
Jika
dinilai dari kayu ukur global, Malaysia hari ini tercatat antara negara
dagangan terbesar di dunia dengan nilai eksport dan import lebih RM 1 trilion.
Hari ini kita diiktiraf Institute for Management Development atau IMD dan The
World Economic Forum atau WEF dalam barisan 20 negara paling berdaya saing di dunia.
57.
Hari
ini juga kita diiktiraf Bank Dunia
sebagai negara ke-12 paling mudah untuk berurusniaga, sementara Program
Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau UNDP pula menilai status
Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai “High Human Development
Index”.
58.
Kendatipun
begitu, Kerajaan pimpinan UMNO tidak hanya berpeluk tubuh dan berpuas hati
dengan kejayaan sedia ada. Kita mahukan setiap anak Malaysia terus mampu mengoptimakan potensi, kita mahukan
setiap anak Malaysia dapat merealisasikan impian, agar hari ini lebih baik dari
semalam dan hari esok, sarat dengan kemungkinan.
59.
Untuk
itu, Dasar Transformasi Nasional telah digubal dan dilaksanakan semenjak saya
dan rakan-rakan mengambilalih kepimpinan parti dan kerajaan lebih tiga tahun yang
lalu. Melalui dasar ini, kita telah memeta transformasi kerajaan, ekonomi dan
politik secara rapi bagi mempastikan
Wawasan 2020 akan tercapai.
60.
Hasil pelaksanaan
Program Transformasi Kerajaan, Program Transformasi Ekonomi, dan Model Ekonomi
Baru misalnya, pendapatan per kapita GNI negara meningkat 30 peratus di antara
tahun 2009 hingga 2011 iaitu daripada US$6,700 kepada US$9,700.
61.
Kemuncaknya
nanti saudara dan saudari, ialah bagi mencapai pendapatan per kapita sebanyak US$15,000.
Hakikatnya, jika kita menggunakan kayu ukur mutakhir Bank Dunia bagi
mengklasifikasi sebuah negara sebagai berpendapatan tinggi, iaitu US$12,476
dolar, maka ia jelas menunjukkan, walaupun tempohnya masih tinggal tujuh tahun
lagi, kita, Malaysia, sudahpun berada pada landasan yang betul, untuk lebih
awal mencapai taraf tersebut.
Saudara dan saudari yang dikasihi sekalian,
62.
Kita
maklum bahawa, pihak pembangkang dalam usahanya untuk menawan hati rakyat telah
mengeluarkan Buku Jingga sebagai manifesto kenapa mereka perlu dipilih menjadi
kerajaan menggantikan Barisan Nasional dengan tema “Ubah Sekarang” “Selamatkan
Malaysia”.
63.
Dalam
dokumen ini terkandung sejumlah 59 janji yang dikatakan akan dilaksanakan oleh
Kerajaan Pakatan Rakyat. 10 daripadanya, kononnya, akan ditunai dalam tempoh
100 hari pertama pentadbiran mereka.
64.
Sebaliknya,
semua itu hanya nampak muluk-muluk. Padahal, cerita yang betul tentang kesan
buruk jika janji-janji tidak munasabah itu dilaksanakan, tidak pula disampaikan
kepada pengetahuan rakyat.
65.
Jika
disenarai, mereka mendakwa kononnya mampu menjamin pendapatan purata bulanan
setiap isi rumah Malaysia pada kadar RM4,000, menghapuskan tol dan hutang
PTPTN, memberikan elaun khas kepada guru sebanyak RM500 sebulan dan menaikkan
royalti petroleum sehingga 20 peratus kepada negeri-negeri. Mana mungkin semua
itu diperbuat kerana natijahnya akan memusnahkan ekonomi negara, antaranya;
66.
Pada
tahun pertama seandai dilaksanakan, defisit bajet Kerajaan pusat akan melonjak
kepada hampir 30 peratus. Kedua, menjelang tahun 2015 kadar nisbah hutang
negara kepada KDNK akan melambung kepada 140 peratus.
67.
Dalam
tahun ketiga, kita akan mencapai tahap keparahan dan hilang kedaulatan negara seperti
negara Greece. Waktu itu pengurusan iktisad negara tidak lagi berada dalam
tangan Kerajaan yang dipilih rakyat, tetapi beralih ke tangan institusi
antarabangsa. Adakah itu yang kita inginkan?
Saudara dan saudari sekalian,
68.
Inilah...
inilah tahap kualiti dan hal ketidak mampuan perancangan ekonomi parti lawan. Namun,
ia tidak langsung mengejutkan kita, kerana, semasa krisis kewangan Asia melanda
Malaysia pada tahun 1997-1998, terbukti, Menteri Kewangan, saya ulang, Menteri
Kewangan ketika itulah orangnya, yang kini, menjadi Ketua Pembangkang, bukanlah
pengurus ekonomi yang cekap.
69.
Beliaulah
yang menggunapakai dasar maya Tabung Kewangan Antarabangsa atau IMF bagi menangani
krisis ekonomi ketika itu. Semua orang mengetahui IMF masa tersebut diketuai oleh
sahabat karibnya. Tindakan beliau memotong perbelanjaan pembangunan serta
menaikkan kadar faedah di saat-saat keyakinan pasaran menurun dan memerlukan
suntikan oleh Kerajaan telah menyebabkan kesengsaraan kepada rakyat terbanyak
khususnya masyarakat perniagaan.
70.
Orang
ini memang selayaknya digelar sebagai sesumpah politik. Bila bercakap di Amerika
Syarikat dan kepada bangsa lain, berbeza nadanya, bila bersyarah kepada orang Melayu
dan orang Islam, lain pula ceritanya. Semasa bersama kita dalam UMNO, caranya
sekian, sekarang jadi Ketua Umum Pembangkang, segala pendirian dan fe’elnya
berubah pula.
71.
Kalau
ikut pepatah dulu, orang menyebut, dia ini lidahnya bercabang. Jelasnya, tiada
orang boleh meneka watak sebenar beliau yang secara terang-terang mendukung usaha
menjamin keselamatan Israel, pada kala dunia sedang mengutuk Rejim Tel Aviv
yang kejam itu kerana membantai dan mengganyang umat Islam di Gaza. Akan
tetapi, apabila kerajaan membentang usul mengecam Israel di Parlimen...dah..
dia menyokong pula.Hairan...hairan.
Saudara dan saudari,
72.
Dalam
Buku Jingga juga pembangkang menjanjikan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam
Negeri 1960 tetapi realitinya Kerajaan Barisan Nasionallah yang berani
mengambil langkah, tidak setakat memansuhkan ISA tetapi juga Akta Kediaman
Terhad, Akta Buang Negeri, membatalkan 3 perisytiharan darurat serta membiarkan
ordinan-ordinan yang digubal, lupus.
73.
Tidak
sekadar itu, kita juga telah meminda AUKU bagi membenarkan keahlian pelajar
dalam parti politik, meminda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan bagi menghapuskan
keperluan lesen tahunan, serta mengembalikan semula hak semakan kehakiman secara
amnya kepada mahkamah.
74.
Atas
sebab-sebab yang demikian, rakyat Malaysia perlu menilai dan membuat keputusan
sama ada mereka mahukan keberterusan transformatif ini oleh UMNO dan kerajaan
Barisan Nasional atau akan terumbang-ambing dalam kata-kata muslihat serta mainan
tanggapan tidak masuk akal oleh pembangkang.
UMNO TEGAR
DALAM MEMPERJUANGKAN ISLAM
Saudara dan saudari sekalian,
75.
Sesungguhnya,
UMNO sentiasa memperjuang dan mempertahankan Islam sepertimana termaktub dalam
Perlembagaan parti, sesuai dengan kedudukannya sebagai Agama Persekutuan.
76.
Dek
kerana itu, tuduhan-tuduhan oleh pihak tertentu bahawa UMNO parti nasionalis
yang sekular amatlah tersasar. Baru-baru ini, sampai kepada tahap, sanggup mendoakan
kecelakaan kepada UMNO. Sedangkan kita, adalah saudara seakidah.
77.
Alangkah
peliknya perbuatan mereka ini. Dalam detik-detik saudara kita di Gaza sedang ditimpa
musibah dan begitu memerlukan solidariti umat, mereka di sini pula sibuk mahu
menghancurkan umat Islam yang lain.
78.
Soalnya,
adakah sebuah parti yang menguruskan ehwal pentadbiran negara seperti UMNO
dengan begitu cemerlang layak dituduh sebagai tidak Islamik dan dinista
semahunya?
79.
Walhal,
UMNOlah parti yang selama ini membolehkan Islam diamal sebagai cara hidup syumul
di negara ini. Apakah tidak mereka melihat bahawa, selama berpuluh-puluh tahun semenjak
merdeka, syiar Islam yang murni, begitu meluas di negara ini, yang bukan
terbatas di bidang ibadah sahaja, bahkan merangkumi lapangan munakahat,
muamalah dan jinayah.
Saudara dan saudari,
80.
Pada
kedudukan ini, kita sebenarnya telah membuat sekian banyak dalam mempastikan
keberlangsungan Islam. Malaysia misalnya ialah antara negara Islam yang
memiliki agensi khusus bagi pelaksanaan ibadah haji secara komprehensif.
81.
Penubuhan
Lembaga Urusan Tabung Haji telah membolehkan umat Islam yang dahulunya terpaksa
menggadai harta benda, kini, bukan sahaja menabung tetapi juga dapat mengerjakan
Rukun Islam kelima itu secara sistematik lagi selesa.
Begitulah
dalam bidang muamalah. Malaysia ialah satu-satunya negara Islam yang menawarkan
khidmat perbankan dan kewangan Islam secara komprehensif dan meluas. Dari
sistem pajak gadai sehinggalah kepada pengeluaran sukuk dan kita adalah
penerbit sukuk terbesar di dunia. Dewasa ini, kita berasa bangga dan gembira
kerana sebuah forum global telah mengiktiraf kejayaan Malaysia sebagai pusat
kewangan Islam terulung dunia.
83.
Hakikatnya
umat Islam di Malaysia bukan sahaja boleh membuka akaun simpanan di bank yang
menggunakan kaedah tanpa riba tetapi juga boleh membuat pinjaman perumahan,
kenderaan, pelajaran, membuat pelaburan di pasaran saham dan lain-lain
transaksi kewangan dengan menggunakan kaedah patuh syariah.
84.
Melangkah
dari situ, selain menjadi contoh sebuah negara Islam yang aman dan maju, Malaysia
juga rancak menyumbang secara besar kepada kesejahteraan di seluruh dunia. Seperti
ramai maklum, kita telah menghantar anggota pengaman, pemerhati tentera termasuk pasukan perubatan ke negara Islam berkonflik
seperti Bosnia, Somalia, Lubnan dan Afghanistan.
85.
Malah,
mutakhir ini Malaysia telah menjadi
pendamai dan orang tengah meleraikan konflik yang telah berlarutan lebih 40
tahun di Selatan Filipina, sehingga
berjaya membuka lembaran baru kepada Bangsa Moro.
86.
Malaysia
turut komited untuk mendapatkan keadilan bagi rakyat Palestin. Kita telah dan
akan sentiasa memperjuangkan hak sah mereka untuk bernegara sendiri di
forum-forum serantau dan global. Kita menyarankan agar masyarakat antarabangsa
menghormati aspirasi ini melalui prinsip dua negara yang telah dipersetujui.
Insya-Allah, Malaysia akan menjadi negara pertama untuk membuka kedutaan di ibu
kota negara Palestin yang merdeka dan berdaulat kelak.
87.
Malaysia
juga prihatin terhadap nasib yang menimpa masyarakat Rohingya di Myanmar. Kita
menyeru agar keganasan yang dilakukan terhadap mereka ini, dihentikan serta
merta dan penyelesaian yang adil akan dibuat.
Saudara dan saudari,
88.
Merujuk
semua itu, janganlah sumbangan kepada Islam diukur hanya dengan tahap retorik
dan kuatnya bunyi pekikan slogan semata-mata, sedangkan sumbangan sebenar serta
isi kandungannya tidak seberapa.
89.
Sebetulnya
pun, pencapaian memenuhi tuntutan Islam sebagai cara hidup ini berjaya
dizahirkan dalam pada Malaysia merupakan sebuah negara berbilang etnik, budaya
dan agama.
90.
Kenapa
dan mengapa? Tidak lain tidak bukan, kerana sejak merdeka, berpaksikan prinsip
wasatiyyah, UMNO dan rakan-rakan dalam Barisan Nasional dengan penuh keikhlasan
telah mampu mencapai tahap muafakat yang tinggi bersama-sama memajukan negara.
91.
Berlandaskan
semua itu, ingin ditegaskan di sini, tanpa ragu-ragu lagi, bahawa, UMNO komited
bagi terus mempertinggikan Islam berteras maqasid syariah, demi memelihara
agama, nyawa, harta benda, akal, maruah dan keturunan.
92.
Kita
tidak rela untuk memecah belahkan perpaduan umat Islam. UMNO tidak sekali-kali akan
mencaci atau menista saudara seagama seperti yang dilakukan parti lawan. Kita tetap
tegas untuk mempertahan kesucian dan kemurniaan akidah.
93.
Di atas
pentas perhimpunan ini juga, kita mahu menyatakan tanpa berbasa-basi lagi
bahawa, kita menentang... menentang sekeras-kerasnya mereka yang mendokong fahaman
pluralisma mahupun liberalisma.
Saudara dan saudari,
94.
Komitmen
UMNO ini, selaras dengan peruntukan Perkara 11 Fasal 1 dan Fasal 4 Perlembagaan
Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara. Perkara 11 Fasal 1, menjamin kebebasan
beragama di negara ini sekalipun di bawah Perkara 3 Fasal 1, Islam ialah agama
bagi Persekutuan.
95.
Perkara
11 fasal 1 menyatakan bahawa tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan
agamanya, namun tertakluk kepada Fasal 4 yang berbunyi “Undang-Undang Negeri
dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan
Putrajaya, undang-undang Persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa
doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam”.
96.
Jadinya,
kita ingin berpesan, cukup-cukuplah cuba memperdaya rakyat. Suatu ketika dahulu
UMNO dituduh kafir melalui amanat Tuan Guru, yang tidak perlulah saya sebut
namanya kerana seluruh Malaysia pasti kenal siapa dia. UMNO dicap kafir kerana bekerjasama
dengan rakyat Malaysia yang tidak beragama Islam, kononnya tidak menyokong penubuhan
negara Islam dan pelaksanaan hudud.
97.
Kesan amanat
pada tahun 1981 itu bukan sahaja telah memecahkan perpaduan, tetapi juga telah
menanamkan benih-benih kebencian di kalangan sesama Islam. Natijahnya,
muncullah tragedi Memali, peristiwa Lubok Merbau, kejadian sembahyang dua Imam,
perceraian suami isteri, perseteruan keluarga serta wujudnya fahaman haram
memakan sembelihan oleh orang-orang UMNO.
98.
Soalnya,
adakah layak pemimpin seperti ini, yang hendak diangkat oleh rakyat untuk
membela untung nasib mereka? Waima, dulu pun, selepas saja satu penggal menjadi
Menteri Besar, orang Terengganu terus menolak kepimpinan beliau.
99.
Tambahan
lagi, kita dapati, hari ini, pemimpin yang sama dan parti yang sama mengecam
UMNO itu, sudah tidak lagi memperjuangkan negara Islam, sebaliknya pula mahu
menubuhkan Negara Berkebajikan. Mereka juga hari ini bekerjasama dengan sebuah
parti yang menentang penubuhan negara Islam malah mahukan Malaysia dijadikan
sebuah negara sekular.
100. Kenapa matlamat perjuangan mereka semalam berbeza dengan matlamat
perjuangan mereka hari ini? Sedang ia melibatkan perkara asas. Terbukti, pelaksanaan
negara Islam ala PAS di antara parti itu dan DAP masih belum diselesaikan malah
cuba untuk disembunyikan. Kalau isu
pokok yang paling besar membezakan mereka masih belum diputuskan bagaimana
halnya hendak membentuk kerajaan campuran.
101. Adakah nafsu untuk berkuasa mengatasi prinsip perjuangan?
Adakah matlamat telah menghalalkan cara? Tidak mengapalah kalau tidak
melibatkan orang lain, tetapi apa yang tragisnya, ia telah menjadi pesta
fitnah, propaganda jahat dan pendustaan yang ditujukan kepada UMNO serta seluruh
rakyat Malaysia.
102.
Berbicara
tentang negara Islam, walau apa pun tohmahan yang diasak kepada UMNO, hasil perjuangan
kita dalam memartabatkan Islam di bumi Malaysia ini dan seantero dunia, tetap
menyinar, tetap murni dan akan tetap dipersadakan.
103. Terbaru, sekumpulan ulama antarabangsa telah memulakan
usaha bebas untuk merangka dan mengukur negara-negara berdasarkan Indeks
Syariah. Kita bersyukur kerana, kajian mereka di peringkat global mendapati
Malaysia menduduki kedudukan lima teratas dalam pematuhan indeks berkenaan.
KITA ATAU MEREKA
Rakyat Malaysia yang
dikasihi sekalian,
104. Pilihan kepada kita semua kini, antara Barisan Nasional
sebagai sebuah parti dengan rancangan holistik tentang halatuju masa depan
negara atau parti pembangkang yang kelam kelibut serta bercelaru dibelenggu
matlamat pakatan mereka, sama ada mahu menjadikan Malaysia sebuah negara
sekular, sebuah negara teokratik atau sebuah negara berkebajikan.
105. Suka tidak suka, persoalan ini sangat asasi.
Sesungguhnya, rakyat Malaysia berhak untuk mengetahui secara nyata sebelum
membuat keputusan paling penting bersabit masa depan mereka. Pilihanraya bukan
satu uji kaji.
106. Lima tahun ialah jangkamasa yang lama dalam pentadbiran
sesebuah Kerajaan. Pelbagai bentuk kerosakan boleh berlaku hatta sebuah negara
yang berjaya pun akan gagal dan tersungkur.
107. Kerana itu, menyisir waktu, UMNO bukanlah parti yang
mengamalkan taqiyah atau tipu muslihat dalam kerjasamanya dengan parti-parti
komponen Barisan Nasional. Tidak seperti gabungan DAP, PKR dan PAS, yang
tiada bertunjangkan ketulusan.
108. Contohnya, di Pulau Pinang yang diterajui DAP, parti PAS
tidak menyertai kerajaan, di Kedah yang diterajui PAS, parti DAP tidak
menyertai pentadbiran. Kita maklum, puncanya, kerana mereka saling tidak
mempercayai antara satu sama lain.
109. Selanjutnya marilah kita menyingkap tabir di sebalik
dakwaan parti DAP, yang mendabik dada bahawa merekalah yang paling demokratik
di negara ini. Namun begitu, sungguhkah
bagai dicanang? Apakah cerita sebenar dalam DAP?
110. Semua orang mengetahui DAP ialah parti anak, bapa dan
menantu. Walaupun hanya memegang jawatan pemimpin Parlimen DAP yang tidak
dipilih oleh ahli parti, ternyata Lim Kit Siang ialah individu yang begitu
berkuasa dalam DAP.
111. Anaknya pula merupakan Setiausaha Agung parti dan Ketua
Menteri Pulau Pinang. Manakala menantunya, merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri
Melaka merangkap Naib Pengerusi Seksyen Wanita DAP.
112. Begitulah juga kisahnya dengan parti PKR. Di mana ia
melibatkan suami, isteri dan anak. Si suami adalah Ketua Umum yang tidak
dipilih. Isteri pula Presiden parti manakala anak sulung Naib Presiden.
113. Berbalik kepada DAP, kalau kita kaji lagi, sifir dan
tafsiran demokrasi ala parti itu amat mudah. Jika bersetuju dengan kepimpinan,
semuanya ok. Akan tetapi, seandainya seseorang ahli mempunyai pandangan berbeza,
misalnya Tunku Aziz, mantan Naib Pengerusi mereka, yang tidak bersetuju dengan
demonstrasi jalanan Bersih 3.0, dan dan tu.... tempoh jawatannya sebagai
Senator tidak disambung untuk penggal kedua.
114. Inilah sebenarnya demokrasi cara DAP. Baru saja nak menyuarakan
pendapat, hukuman sudah dijatuhkan. Kita tidak dapat bayangkan sekiranya mereka memegang tampuk kerajaan, apakah yang akan
berlaku terhadap rakyat Malaysia yang tidak bersetuju atau berselisih pandangan
dengan pihak kepimpinan. Apatah lagi seteru politik mereka.
115. Seperkara lagi, hari ini, tinggal seorang saja orang
Melayu di kalangan 30 kepimpinan pusat DAP. Inikah yang dinamakan demokrasi?
Inikah yang dinamakan tidak perkauman? Inikah dinamakan kepelbagaian seperti
yang selalu dimomokkan? Cubalah rakyat Malaysia renung dalam-dalam dan fikir
masak-masak.
Saudara dan saudari,
116. Pucuk pangkalnya, UMNO akan terus memperjuangkan agenda
Melayu dan Bumiputera supaya kita mampu duduk sama rendah dan berdiri sama
tinggi dengan bangsa-bangsa lain di negara tercinta ini. Kaedah yang
digunapakai oleh UMNO bagi mencapai matlamat ini berubah mengikut era yang
ditempuhi.
117. Perjuangan UMNO semenjak merdeka demi memartabatkan
bangsa Melayu bolehlah dibahagikan kepada beberapa fasa. Fasa pertama, melalui
penubuhan agensi seperti MARA, FELDA dan FELCRA.
118. Ia juga diperkukuhkan dengan kewujudan Dewan Latihan RIDA
yang berkembang kepada Institut Teknologi MARA pada akhir 60an dan kemudiannya
menyaksikan institusi ini dinaik taraf menjadi Universiti Teknologi MARA.
119. Fasa kedua menyaksikan penggubalan Dasar Ekonomi Baru dan
pelaksanaannya melalui Rangka Rancangan Jangka Panjang Pertama yang merangkumi
empat Rancangan Malaysia selama 20 tahun. Usaha berterusan dijalankan demi
membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat.
120. Ia menyaksikan penubuhan organisasi seperti RISDA, Lembaga
Pertubuhan Peladang, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia serta penyediaan kredit
mikro melalui Amanah Ikhtiar Malaysia dan Tekun.
121. Usaha juga ditumpukan untuk mencipta masyarakat perdagangan
serta perindustrian Bumiputera. Lantas kerajaan pimpinan UMNO telah menubuhkan
Perusahaan Awam Bukan Kewangan atau syarikat milik kerajaan bagi membolehkan
bangsa Melayu berkecimpung dalam dunia perniagaan.
122. Bagi meningkatkan ekuiti Bumiputera, kita mewujudkan
Permodalan Nasional Berhad yang menguruskan skim pelaburan saham amanah seperti
ASN, ASB dan lain-lain. Sesungguhnya, kejayaan terbesar fasa kedua ini ialah
tumbuhnya institusi pendidikan menengah seperti Maktab Rendah Sains Mara,
Sekolah Menengah Berasrama Penuh aliran sains, dan kemasukan ke Institut
Pengajian Tinggi Awam melalui program matrikulasi.
123. Secara nyata, perjuangan UMNO semenjak merdeka melalui
fasa pertama dan kedua ini telah memperlihatkan kejayaan yang monumental
melalui penciptaan kelas menengah profesional Melayu yang besar di samping
menangani permasalahan kemiskinan di kalangan bangsa kita.
124. Bertapak di atas fasa pertama dan kedua tersebut, kita
kini merangka dasar serta program yang lebih terarah serta berfokus antaranya
inisiatif penubuhan Model Ekonomi Baru, Teraju, Skim Jejak Jaya dan Pelaburan
Hartanah Bumiputera. Alhamdulillah, hasilnya, pemilikan ekuiti Bumiputera telah
meningkat daripada 21.9 peratus pada tahun 2008 kepada 23.09 peratus pada tahun
2010.
125. Sungguhpun begitu, dalam helaan nafas yang sama, memetik
iktibar daripada Firman Allah S.W.T, Ayat 8, Surah Al-Maidah, kita tidak pernah
leka daripada mempertahankan hak serta berlaku adil kepada semua kaum. Ia juga terpelihara
oleh Perlembagaan Persekutuan yang digubal berasaskan ijmak Kebangsaan.
126. Sedang UMNO komited bagi memperjuangkan nasib bangsa
Melayu dan Bumiputera, kita juga penuh iltizam bagi mempastikan bantuan dan
pertolongan kerajaan sampai kepada dan mampu dinikmati golongan miskin,
golongan berpendapatan rendah dan
sederhana rendah daripada semua kaum di Malaysia. Kita mahu kemakmuran Malaysia
dikongsi bersama dan tidak ada rakyat Malaysia yang akan ketinggalan.
127. Bahkan, UMNO menghargai dan menyanjung tinggi sumbangan setiap
warga Malaysia tidak kira apa latar belakangnya demi kejayaan nasional.
128. Pastinya, kita sering menginsafi bahawa, kemajmukan yang kita miliki inilah tiang seri
yang mempaterikan kekuatan sebuah negara bangsa. Sememangnya lagi, sebagai organisasi
siasah, kita mendukung tanggungjawab untuk terus mempersatukan rakyat melalui
titik-titik persamaan, bukannya mendamak racun-racun perbezaan. Itulah jua teras
falsafah pemandu 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.
Saudara dan saudari,
129. Perbezaan yang terbesar antara kita dan pembangkang ialah
bagi kita, janji dibuat untuk ditepati. Bukan seperti pembangkang yang sering
berkata palsu apabila memancing undi, tetapi sesudah menjadi kerajaan semuanya
kosong belaka.
130. Tanyalah kepada penduduk Kampung Buah Pala di Pulau
Pinang, di manakah kata-kata manis yang ditabur oleh Ketua Umum PKR semasa
pilihanraya 2008?
131. Beliau berjanji kononnya dalam masa dua minggu selepas
memenangi pilihanraya, akan selesailah masalah penduduk di sana. Kini sudah
hampir masuk empat tahun, bak kata orang Penang... “ilekkk...”. Akhirnya,
Barisan Nasional juga yang selesaikan masalah ini.
132. Selain itu, macam kata orang Tanjung jugak, boleh jadi caca
marba seandainya Pakatan Rakyat membentuk Kerajaan. Tukang buat janji, Perdana
Menteri mereka, tak kisahlah siapa yang akan dilantik sama ada Ketua Umum PKR atau
Presiden PAS, tetapi si Ketua Menteri Pulau Pinang dari DAP akan tetap “buat tak
tau dan buat dek jer” atas janji itu. Mungkin inilah sebabnya Timbalan Ketua
Menteri 1 Pulau Pinang menggelar bosnya sebagai Cocky, Arrogant dan Tokong.
Saudara dan saudari,
133. Selanjutnya; “tanyalah kepada oghe Kelate, selesa doh ko
masalah air? Sedar tak sedar, dah lebih dua puluh tahun PAS memerintah, tak
selesa-selesa jugak”.
134. Tanyalah pulak kepada orang Kedah; “pasai PAS. Depa janji
apa kat hampa tahun 2008 hari tu? Cuba habaq mai, tak ka macam-macam depa tabuq
janji kita tau sampai la ni, macam-macam tak selesai, habuk pun tak dak”.
135. Seterusnya, kita tanya pulak penduduk flat kos rendah dan
pangsapuri yang memakai meter pukal di Selangor. Mana janji-janji indah nak
bagi air percuma? Satu lagi isu, kita tanya kepada ibu-ibu tunggal juga di Selangor,
apa sudah jadi dengan elaun bulanan sebanyak RM100 yang nak dibagi? Tak patut,kasihan
ibu tunggal ini.
Saudara dan saudari,
136. Berbeza dengan kita UMNO dan Kerajaan Barisan Nasional.
Buktinya, semenjak saya dan rakan-rakan mengambil alih kepimpinan parti dan Kerajaan,
melalui pelbagai usaha dan ikhtiar, parti ini dan Kerajaan ini, bukan sekadar
suka-suka membuat janji dan memberi harapan, namun kita juga pasti berusaha,
merintis sejuta jalan untuk menunaikannya.
137. Misalnya, di bawah pelan jangka pendek, antaranya :
·
kita ada
BR1M untuk rakyat berpendapatan rendah
·
kita
ada baucer buku 1Malaysia untuk mahasiswa
·
kita
ada bantuan RM100 untuk semua pelajar sekolah
·
kita
ada Skim tayar 1Malaysia untuk pemandu teksi
138. Untuk jangka sederhana :
·
kita menyediakan
Pusat Transformasi Luar Bandar
·
kita
menyediakan Pusat Transformasi Bandar
· kita ada
KR1M, Klinik 1Malaysia, Kedai Kain 1Malaysia, Kedai Buku 1Malaysia, dan
lain-lain.
139. Bagi jangka panjang pula, kita dipayungi Dasar
Transformasi Nasional melalui inisiatif Program Transformasi Kerajaan dan
Program Transformasi Ekonomi hinggalah kita mencapai status negara maju. Insya-Allah.
Saudara dan saudari,
140. Pada sesetengah pihak, kita ingin ingatkan, kalau tidak
pandai menari, janganlah lantai dikata jongkang jongkit. Hari ini, pelbagai institusi
negara diserang dan dituduh sesuka hati secara melulu, dengan tujuan jahat
untuk mengeliru dan menimbulkan syak di kalangan rakyat.
141. Misalnya, Suruhanjaya Pilihanraya yakni SPR difitnah
bertubi-tubi. Sehinggakan tunjuk perasaan dianjur. Kita tahu, mereka lakukan
ini sebagai tindakan awal jangka. Sebab, seandainya mereka kalah dalam pilihanraya
nanti, bukan faktor tidak mendapat sokongan rakyat akan dibangkitkan namun,
pihak SPRlah yang akan disalahkan dan dianggap tidak adil serta tidak berwibawa.
142. Sebab itulah tanpa segan silu mereka mengadu kepada kuasa
asing bagi mengantarabangsakan masalah dalaman, sedangkan mereka tahu tindakan
berkenaan hanya mengaibkan negara dan menghina intelek rakyat Malaysia.
143. Sebenarnya saudara dan saudari, tak perlulah kita
libatkan orang asing untuk menunjuk ajar bagaimana menguruskan negara. Janganlah
menjadi Si Kitul moden sampai sanggup mengkhianat bangsa dan tanahair.
144. Dah lebih separuh abad pun kita merdeka... tahulah kita
selok belok negara sendiri. Persoalannya, selepas mereka menang di lima negeri
pada pilihanraya lalu tiada pula rumah siap pahat berbunyi.
145. Seperti yang saya kata, bukankah Parti PAS sudah 22 tahun
menerajui Kerajaan Kelantan? Bukankah juga Parti PAS yang telah memenangi
pilihanraya negeri pertama tahun 1959? Bukankah Parti PAS sedang menerajui
Kerajaan Kedah? Bukankah Parti PAS pernah menerajui Kerajaan Terengganu dan
Perak?
146. Tidakkah pula PKR sedang menerajui Kerajaan Selangor
manakala DAP kini mengepalai Kerajaan Pulau Pinang?
S Selain itu, barangkali ramai masih ingat, bahawa sebelum
menyertai Barisan Nasional, Parti PBS dan Gerakan merupakan Parti Pembangkang,
dan bukankah PBS telah memenangi pilihanraya Sabah tahun 1985 dan Parti Gerakan
telah memenangi pilihanraya Pulau Pinang tahun 1969.
148. Akhirnya, seperti terakam dalam peristiwa, bukankah Barisan
Nasional gagal memperoleh majoriti dua pertiga semasa Pilihanraya Umum 2008?
Saudara dan saudari,
149. Jadi, jika sungguhlah tuduhan bahawa SPR tidak berwibawa
dan tidak jujur, ini semua tidak mungkin berlaku. Ternyata, demokrasi tetap
berfungsi, malar dan segar di Malaysia. Ternyata, pilihanraya di negara ini ialah
proses yang bersih dan rakyat sudah matang serta bijaksana untuk memilih.
Saudara dan saudari,
Pilihanraya
Umum ke-13 ini bukanlah satu pilihanraya yang biasa. Ia merupakan titik penentu
kepada destini rakyat dan negara.
Pilihanraya
inilah yang akan mencorakkan rupawajah Malaysia hari esok untuk ditinggalkan
pada anak-anak kita. Antara sebuah Malaysia yang maju berteraskan nilai serta
matlamat dikongsi bersama, atau, Malaysia yang mundur terpisah oleh tembok
ghaib dipalit rasa prasangka dan prejudis.
Hakikatnya,
hasil kerja keras setiap generasi, kita telah membentuk Malaysia yang dikagumi
rakan dan dihormati taulan. Siapa menjangka bumi yang sarat dengan segala
rencam ini, mampu melepasi, apatah lagi berjaya menangani cabaran bernegara.
Pilihannya
juga amat jelas, untuk kita melihat anak-anak tanpa mengira kaum mahupun agama
berhilai ketawa, membesar dan berlibur bersama-sama, atau didewasakan dengan
kebencian yang membara.
Di satu
sudut, jalan mulia yang telah terintis semenjak merdeka, bersiram darah,
bermandi air mata dan dibasahi keringat para patriot sepanjang zaman.
Hendaklah
kita selalu beringat. Betapa susah payahnya bapa-bapa pengasas kita membina apa
yang dinikmati hari ini. Sesungguhnya kita terhutang budi kepada Almarhum Tunku
Abdul Rahman, Allahyarham Tun Abdul Razak, Allahyarham Tun Hussein, Tun Dr.
Mahathir dan Tun Abdullah.
Sebaliknya,
saudara dan saudari, di satu sudut lagi, jalan bersimpang siur, kelam dan gulita,
dibina atas fitnah, kepalsuan dan janji-janji bohong. Jika rakyat terpedaya
dengan siulan menuju lorong itu, percayalah, negara yang permai ini akan
hancur, runtuh dan tenggelam.
Sudah
barang pasti UMNO tidak akan membiarkan semua itu berlaku. Jika kita kehilangan
harta, ia boleh dicari ganti. Jika kita hilang darjat kedudukan, ia dapat
dipulih semula. Tetapi, jika kita kecundang dalam perjuangan ini, kita sudah
tidak punya apa-apa lagi. Kita akan melukut di tepi gantang. Akhirnya,
terbangsat dan merempat di tanah sendiri.
Bumi
mana tak ditimpa hujan, laut mana tidak bergelora, bahagian dunia manakah yang
wujudnya orang, atau pimpinan, atau persyarikatan atau parti yang tidak pernah
tersandung atau tersalah. Di atas segalanya, sebagai kepimpinan parti dan
kerajaan, kami menyusun jari nan sepuluh memohon maaf atas kekhilafan.
Justeru,
saya selaku Presiden UMNO, bersama-sama Timbalan Presiden, serta seluruh saf
kepimpinan parti, bersumpah dengan nama Allah dan Rasul-Nya, berikrar dan
berjanji, terus mendahulukan kesejahteraan rakyat, terus memartabat rumpun
Melayu, terus membenteng akidah umat dan terus memelihara agama Islam.
Walau
apapun rintangan yang melanda, biar apapun cabaran menghalang, UMNO tidak akan
berpulang walau setapak, UMNO tidak mungkin berpatah jalan. UMNO takkan berdalih
dalam menjulang sebuah kebaktian. UMNO dan Barisan Nasional akan mara di
barisan hadapan, menghadapi musuh dari luar mahupun dalam.
Saudara dan saudari,
Kita
akan menggunakan segala kudrat yang ada bagi memenangani hati dan fikiran
rakyat di gelanggang demokratik. Kita akan bersaing untuk setiap undi, kita
akan berusaha untuk menyakinkan setiap rakyat Malaysia, kita juga akan mengetuk
setiap pintu hati dan membuka setiap gerbang harapan.
Kita
percaya, rakyat Malaysia berhak mendapat kerajaan yang terbaik dan kita yakin
bahawa, UMNO dan Barisan Nasionallah yang mampu untuk menawarkan yang terbaik
untuk rakyat Malaysia.
Saudara
dan saudari yang dikasihi sekalian,
Di
sini, di sinilah kita dilahirkan, di sini, di sinilah tangis kita mula bergema.
Di sini kita membina keluarga dan di sinilah kita melakar masa depan. Di
sinilah juga, dengan izin Allah yang Maha Berkuasa, kita akan bersemadi untuk
selama-lamanya.
Penuhkanlah
tanah bertuah ini dengan rakyat yang mencintai harumnya perdamaian.
Makmurkanlah watan ini sehingga labanya melimpah ke kaki halaman.
Duhai
putera puteri, duhai para pejuang bangsa, segeralah, segeralah semua menyembah
bakti. Pertahankan, pertahankan satu-satunya Bahtera Merdeka ini, pertahankan,
pertahankanlah Putrajaya.
Fajar
telahpun tiba, nan menyinsing membawa harapan, Tanah Malaysia, Tanah
Malaysiaku, Permata Nilam.
Hidup
UMNO
Hidup
Barisan
Hidup
Malaysia
Wabillahi
Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
No comments:
Post a Comment