Monday, April 08, 2013

DEMOKRASI dan PILIHANRAYA


ASAL-USUL DEMOKRASI


Tidak kurang daripada masyarakat Islam yang terkeliru dan terpedaya menyangka bahawa sistem politik Demokrasi adalah selari dengan Islam.


Mereka beranggapan bahawa tidak ada percanggahan antara keduanya. Bahkan ada yang menganggap apa yang terkandung dalam Demokrasi juga terkandung dalam Islam.


Demokrasi diistilahkan sebagai ‘Kerajaan rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat’ (Government of the people, by the people, for the people).


Demokrasi berasal daripada perkataan Yunani dan dikatakan orang yang pertama menggunakan istilah ini adalah Ahli Falsafah Yunani yang bernama Plato.


Perkembangan Demokrasi dapat dilihat dalam revolusi berdarah Perancis (1789-1799M) yang berdiri di atas slogan “Kebebasan, Persaudaraan dan Kesaksamaan” (Liberté, Fraternité et la rigueur) yang mana kerajaan baru Perancis pada tahun 1791M telah menjadikan Demokrasi sebagai asas perlembagaannya.


Demokrasi terus berkembang di negara-negara Barat dan akhirnya sampai ke negara Islam pada awal kurun ke-20 setelah kejatuhan Kerajaan Uthmaniyah pada sekitar tahun 1922.


Satu demi satu kerajaan Islam telah menjadikan Demokrasi sebagai sistem pemerintahan negaranya. Kerajaan Mesir sebagai contohnya dalam perlembagaannya yang pertama pada tahun 1923 telah menyebutkan bahawa ‘Kedaulatan Negara adalah untuk rakyat dan rakyat menjadi sumber pemerintahan’.


Malaysia seperti negara-negara Islam di Asia Tenggara yang lain turun mengamalkan Demokrasi setelah kemerdekaannya pada tahun 1957 kesan daripada pengaruh penjajahan Barat.




DEMOKRASI BUKAN ISLAM


Sistem pemerintahan demokrasi berdiri di atas TIGA asas iaitu :-

1. Perundangan (Legistlative),

2. Kehakiman (Judiaciry) dan

3. Eksukutif (Exercutive).


Dalam Demokrasi, perlembagaan dan undang-undang negara digubal di dalam Parlimen berasaskan kehendak majoriti wakil rakyat.


Hukuman Mahkamah perlu selari dengan Perlembagaan dan undang-undang parlimen ini. Begitu juga dengan kuasa Eksekutif. Ia tidak boleh bercanggah dengan perlembagaan dan undang-undang Parlimen.


Hakikatnya, Demokrasi bercanggah dengan Islam daripada asasnya.


Berbeza dengan Demokrasi yang berdiri di atas kehendak majoriti wakil rakyat dalam Parlimen, Islam berdiri di atas Al-Quran dan as Sunnah.


Segala Perlembagaan dan Undang-undang perlu kembali kepada keduanya. Walaupun ijtihad aqal dibenarkan tetapi ia hanya dibolehkan dalam ruang lingkup yang terhad sahaja dan ia tetap perlu bersandarkan kepada Al-Quran dan as Sunnah.


Dalam Islam, manusia wajib tunduk kepada kehendak Allah serta hukumNya.


Firman Allah:


إِنِ الْحُكْمُ إِلاَّ لِلّهِ


“Sesungguhnya segala hukum itu milik Allah”

Surah Yusof; ayat 40


Seseorang itu sama sekali tidak boleh menjadikan selain daripada Allah sebagai sumber hukumnya.


Firman Allah:


وَلَا يُشْرِكُ فِي حُكْمِهِ أَحَداً


“Dan Dia tidak melantik sesiapa pun untuk masuk campur dalam hukumNya”

Surah Al-Kahf; ayat 26


Oleh itu, Allah memberi AMARAN terhadap mereka yang berhukum dengan selain hukum Islam dalam firmanNya:


أَمْ لَهُمْ شُرَكَاء شَرَعُوا لَهُم مِّنَ الدِّينِ مَا لَمْ يَأْذَن بِهِ اللَّهُ


“Adakah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan -mana-mana bahagian daripada Agama mereka- sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah?”

Surah Al-Syuura; ayat 21


Maka golongan yang berhukum dengan selain daripada hukum Allah dianggap sebagai golongan munafik yang tidak beriman dengan Allah dan hukumNya dengan erti kata yang sebenarnya.


Firman Allah:


أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ يَزْعُمُونَ أَنَّهُمْ آمَنُواْ بِمَا أُنزِلَ إِلَيْكَ وَمَا أُنزِلَ مِن قَبْلِكَ يُرِيدُونَ أَن يَتَحَاكَمُواْ إِلَى الطَّاغُوتِ وَقَدْ أُمِرُواْ أَن يَكْفُرُواْ بِهِ وَيُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَن يُضِلَّهُمْ ضَلاَلاً بَعِيداً


“Tidakkah engkau melihat orang-orang yang mendakwa bahawa mereka telah beriman dengan apa yang telah diturunkan kepadamu dan dengan apa yang telah diturunkan sebelum kamu?


Mereka hendak berhukum kepada taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar terhadap taghut itu; dan Syaitan pula sentiasa hendak menyesatkan mereka sejauh-jauhnya”

Surah Al-Nisaa’; ayat 60




ISLAM MENGAJAK KEPADA KESATUAN UMAT


Di antara ciri utama Demokrasi adalah mewujudkan parti-parti politik yang berbeza fahaman dan ideologi di mana mereka akan menentang antara satu sama lain demi untuk menang dalam pilihanraya yang diadakan.

Akhirnya parti yang menang akan membentuk kerajaan manakala parti-parti yang kalah akan menjadi pembangkang.


Pendek kata, tidak ada Demokrasi tanpa kepartian dan tidak ada kerajaan tanpa pembangkang.


Inilah REALITI DEMOKRASI. Sama ada kita sedar atau tidak ia mengajak kepada perpecahan dan perbalahan sesama umat walhal perkara ini jelas ditegah sama sekali dalam Islam.


Sebagai umat yang bersaudara, Allah subhanahu wata’ala memerintahkan supaya umat Islam sentiasa menjaga kesatuan mereka.


FirmanNya:


وَاعْتَصِمُواْ بِحَبْلِ اللّهِ جَمِيعاً وَلاَ تَفَرَّقُواْ


“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (Agama Islam), dan jangan kamu bercerai-berai”

Surah Al-Imraan; ayat 103


Oleh itu, umat Islam dilarang berbalah sesama mereka kerana ia akan menyebabkan mereka gagal dan menjadi lemah.


Firman Allah:


وَأَطِيعُواْ اللّهَ وَرَسُولَهُ وَلاَ تَنَازَعُواْ فَتَفْشَلُواْ وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ وَاصْبِرُواْ إِنَّ اللّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ


“Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbalah; kalau tidak nescaya kamu akan gagal dan kekuatan kamu akan hilang; dan bersabarlah; sesungguhnya Allah bersama dengan orang-orang yang sabar”

Surah Al-Anfaal; ayat 46


Bukan sahaja diperintahkan supaya menjaga kesatuan mereka, umat Islam turut diingatkan supaya tidak menjadi seperti orang-orang Kafir yang telah memecah-belahkan agama mereka sehingga menjadi berpuak-puak dan berparti-parti.


Firman Allah:



وَلَا تَكُونُوا مِنَ الْمُشْرِكِينَ ,مِنَ الَّذِينَ فَرَّقُوا دِينَهُمْ وَكَانُوا شِيَعاً كُلُّ حِزْبٍ بِمَا لَدَيْهِمْ فَرِحُونَ


“Dan janganlah kamu tergolong dalam golongan orang-orang musyrikin. (Iaitu) mereka yang telah memecah-belahkan agama mereka dan menjadi berpuak-puak; setiap puak berbangga dengan apa yang ada padanya”

Surah Al-Rum; ayat 31-32




DEMOKRASI SENJATA MUSUH UNTUK MENGUASAI UMAT ISLAM



Sebagai umat Islam yang sedar akan permusuhan orang-orang Yahudi dan Nasrani terhadap Islam, kita wajar mempersoalkan mengapa orang-orang Barat beriya-iya menjaja Demokrasi ke negara-negara Islam.


Adakah Demokrasi benar-benar menjanjikan keadilan dan kemakmuran seperti yang didakwa?


Kita perlu berhenti sejenak dan bertanya. Sejak bilakah orang-orang Yahudi dan Nasrani berdamai dengan orang Islam dan berusaha ke arah kebaikan dan maslahat mereka?


Jawapannya, mereka tidak pernah berdamai. Bahkan permusuhan mereka berterusan sehingga ke hari ini.


Bagi yang sedar dan tidak tertipu dengan propaganda Barat, mereka akan dapat lihat dengan jelas bagaimana Demokrasi digunakan sebagai senjata untuk memporak-perandakan negara Islam serta melemahkan mereka.


Masyarakat Islam dipecah-belahkan kepada parti-parti politik yang berbeza fahaman dan ideologi semata-mata kerana mengejar kuasa dan harta dunia. Perbalahan politik tidak lebih daripada kerana ada yang merasakan bahawa diri mereka lebih layak memegang tampuk kuasa daripada yang lain. Atau kerana perselisihan yang timbul akibat pembahagian harta kekayaan dunia.


Akhirnya, berlakulah tuduh-menuduh zalim, rasuah, menyeleweng, gila kuasa dan seumpamanya semata-mata kerana tamakkan kuasa dan harta dunia.




HUBUNGAN RAKYAT DENGAN PEMERINTAH MENURUT ISLAM


Hakikatnya Syarak tidak membenarkan perbuatan melawan pemerintah Islam atas apa jua alasan dan cara.

Sama ada dengan membangkang melalui kepartian, menyebut keaiban, memperlekeh, menghina dan mencaci-maki, mengguling dengan cara ‘aman’ ataupun kekerasan, dengan lisan mahupun dengan senjata. Kesemuanya dilarang oleh Syarak.


Hal ini dinyatakan secara jelas dalam banyak Hadith Nabi Muhammad SAW.

Antaranya:


سَألَ سَلَمَةُ بن يَزيدَ الجُعفِيُّ رسولَ الله فَقَالَ : يَا نَبِيَّ الله ، أرأيتَ إنْ قامَت عَلَيْنَا أُمَرَاءٌ يَسألُونَا حَقَّهُم ، وَيمْنَعُونَا حَقَّنَا، فَمَا تَأْمُرُنَا؟ فَأعْرَضَ عنه ، ثُمَّ سَألَهُ ، فَقَالَ رسولُ الله اسْمَعْوا وَأَطِيعُوا ، فإنَّمَا عَلَيْهِمْ مَا حُمِّلُوا ، وَعَلَيْكُمْ مَا حملْتُمْ


Salamah bin Yazid Al-Ju’fi radiyallhu anhu bertanya kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam dan berkata: "Wahai Nabi Allah, bagaimana sekiranya kami diperintah oleh pemerintah yang meminta hak mereka tetapi tidak memberi hak kami. Apa yang patut kami lakukan?"

Baginda berpaling daripadanya. Dia bertanya lagi, lalu Rasulullah SAW bersabda,

“Hendaklah kamu dengar dan patuh, mereka akan memikul tanggungjawab mereka dan kamu akan memikul tanggungjawab kamu”

Riwayat Muslim


Dalam hadith yang lain Nabi Muhammad SAW bersabda:


يَكُونُ بَعْدِي أَئِمَّةٌ لا يَهْتَدُونَ بِهُدَايَ وَلا يَسْتَنُّونَ بِسُنَّتِي وَسَيَقُومُ فِيهِمْ رِجَالٌ قُلُوبُهُمْ قُلُوبُ الشَّيَاطِينِ فِي جِثْمَانِ إِنْسٍ قَالَ حُذَيْفَةَ : قُلْتُ: كَيْفَ أصْنَعُ يَا رَسُولُ اللهِ إِنْ أَدْرَكْتُ ذَلِكَ ؟ قَالَ: “تَسْمَعْ وَتُطِيعَ الأمِيرِ وَإِنْ ضَرَبَ ظَهْرَكَ وَأَخَذَ مَالَكَ فَاسْمَعْ وَأَطِعْ


“Setelah pemergianku akan ada pemerintah yang tidak beramal dengan petunjukku mahupun dengan Sunnahku, dan akan ada di kalangan mereka lelaki yang hati mereka (seperti) hati syaitan dalam badan manusia.”

Berkata Huzaifah (perawi hadis): Saya bertanya: Apa yang perlu aku lakukan sekiranya aku berdepan dengannya?

Sabda Baginda: “Engkau dengar dan taat terhadap pemerintah walaupun dia memukul belakangmu dan mengambil hartamu. Kamu dengar dan taat”

Riwayat Muslim


Sabda Nabi Muhammad SAW:


ألا مَنْ وُلِيَ عَلَيْهِ وَالٍ، فَرَآهُ يَأتِي شَيْئاً مِنْ مَعْصِيَةِ اللهِ، فَلْيَكْرَه مَا يَأتِي مِنْ مَعْصِيَةِ اللهِ، وَلا يَنْزَعَنَّ يَداً مِنْ طَاعَة


“Barangsiapa daripada kalangan kamu yang diperintah oleh pemerintah yang dilihat melakukan hal-hal kemaksiatan, maka hendaklah dia membenci kemaksiatan itu dan jangan (pula) dia menarik tangan ketaatannya”

Riwayat Muslim


Dalam hadis yang pertama di atas, Nabi Muhammad SAW jelas ditanya tentang pemerintah yang tidak menunaikan tanggungjawab mereka terhadap rakyat.


Tetapi Baginda tetap mengarahkan supaya umat Islam taat kepada pemerintah mereka yang zalim itu.

Baginda menyimpulkan bahawa masing-masing memikul tanggungjawab masing-masing. Pemerintah berkewajipan untuk berlaku adil manakala rakyat perlu taat kepada pemerintah walaupun mereka zalim.



Sebagaimana pemerintah akan menanggung akibatnya sekiranya mereka tidak melaksanakan tanggungjawab mereka, begitu juga dengan rakyat mereka akan menanggung akibatnya sekiranya mereka tidak melaksanakan tanggunggujawab mereka untuk taat kepada pemerintah mereka walaupun mereka zalim.


Hadith ini jelas menunjukkan bahawa ketaatan tidak terhad kepada pemerintah yang adil sahaja.


Dalam hadith yang kedua, Nabi Muhammad SAW jelas mewajibkan ketaatan terhadap pemerintah walaupun mereka adalah seburuk-buruk manusia yang hati mereka seperti syaitan.


Bahkan walaupun pemerintah bertindak zalim memukul dan merampas harta rakyat, Baginda tetap menyatakan bahawa rakyat perlu dengar dan taat.


Oleh itu, keadaan pemerintah yang zalim, menyeleweng, rasuah, menyalah gunakan kuasa dan apa jua perbuatan maksiat yang lain bukan alasan yang membolehkan untuk tidak taat kepada pemerintah.


Seperti mana dalam hadis yang ketiga, walaupun Umat Islam disuruh supaya membenci kemaksiatan yang dilakukan oleh pemerintah tetapi dalam masa yang sama rakyat perlu terus taat kepadanya.




BENCI KEPADA MAKSIAT & TAAT DALAM PERKARA MAKRUF


Kita perlu jelas bahawa ketaatan kepada pemerintah tidak semestinya bererti kita kasih dan sayang kepadanya sepenuhnya.


Sekiranya pemerintah Islam itu adil maka kita akan kasih kepadanya kerana keIslaman dan keadilannya. 

Adapun sekiranya dia zalim, walaupun kita masih kasih kepadanya atas dasar persaudaraan Islam tetapi dalam masa yang sama kita membenci kezaliman yang dilakukannya.


Oleh itu, ketaatan kepada pemerintah sama sekali tidak bererti kita bersetuju dan redha dengan maksiat yang dilakukannya. Bahkan kita wajib membenci segala bentuk maksiat yang dilakukannya kerana ia adalah sebahagian daripada tuntutan iman.


Sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW,


 “Barangsiapa kasih kerana Allah dan benci kerana Allah; memberi kerana Allah dan menghalang kerana Allah; maka dia telah menyempurnakan iman”

Syarah Sahih…Abu Daud


Maka tidak ada percanggahan antara ketaatan kepada pemerintah dan benci terhadap maksiat yang dilakukannya.


Taat kepada pemerintah adalah dalam bentuk perbuatan anggota lidah dan tangan manakala benci terhadap maksiat yang dilakukannya adalah dalam hati.


Ketaatan kepada Allah mengatasi segala-galanya dan ia perlu sentiasa didahulukan.

Tidak ada ketaatan kepada manusia dalam perkara-perakara maksiat kepada Allah walau sesiapa pun manusia itu termasuklah pemerintah.



Sabda Nabi Muhammad SAW :


عَلَى المَرْءِ الْمُسْلِمِ السَّمْعُ والطَّاعَةُ فِيمَا أحَبَّ وكَرِهَ ، إلا أنْ يُؤْمَرَ بِمَعْصِيةٍ ، فَإنْ أُمِرَ بِمَعْصِيةٍ فَلا سَمْعَ وَلا طَاعَةَ

“Wajib atas seorang Muslim untuk mendengar dan patuh (kepada pemerintah) dalam perkara yang disukai dan yang dibenci, kecuali jika disuruh melakukan maksiat; sekiranya disuruh melakukan maksiat maka tidak ada ketaataan (dalam hal kemaksiatan itu)”

Riwayat Muslim


Maka ketaatan kepada pemerintah hanya dalam perkara-perkara makruf (kebaikan) sahaja. Adapun sekiranya diperintah supaya melakukan maksiat, kita tidak boleh menurutinya. Masakan kita boleh mendahulukan ketaatan kepada manusia atas ketaatan kita kepada Allah.


Walaupun tidak taat kepada maksiat yang diperintahkan, hal ini tidak bererti bahawa kita sudah tidak taat sama sekali terhadap pemerintah itu.


Kita hanya tidak taat dalam perintah maksiat, adapun ketaatan kita terhadap pemerintah itu secara umumnya ia masih kekal dan berterusan.




ANTARA HUKUM SYARAK DAN HUKUM DEMOKRASI


Ramai yang ketika membicarakan tentang politik, mereka lebih gemar melihatnya daripada sudut demokrasi Barat berbanding dengan Syariat Islam.

Sebagai seorang muslim, hal ini tidak wajar berlaku. Ini kerana Islam telah mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia apatah lagi dalam urusan penting yang membabitkan maslahat masyarakat Islam sejagat seperti politk negara.


Firman Allah :


مَّا فَرَّطْنَا فِي الكِتَابِ مِن شَيْءٍ


“Tidak Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam Kitab (Al-Quran) ini”

Surah Al-An’aam; ayat 38


Perbuatan mendahulukan hukum demokrasi jelas bertentangan dengan perintah Allah supaya kita sentiasa berhukum dengan hukum Syarak yang menjadi panduan dan petunjuk hidup kita.


أَتَسْتَبْدِلُونَ الَّذِي هُوَ أَدْنَى بِالَّذِي هُوَ خَيْرٌ

“Adakah kamu mahu menukar sesuatu yang kurang baik dengan meninggalkan yang lebih baik?”

Surah Al-Baqarah; ayat 61


Syariat Islam jelas lebih baik dan lebih mulia daripada segala hukum-hakam taghut yang ada termasuk Demokrasi kafir Barat.



Ia dicipta oleh golongan yang tidak beriman dengan Allah dan Hari Akhirat, yang tidak mengenal halal dan haram dan yang sentiasa memusuhi umat Islam dan berusaha untuk menghancurkan Islam.


Masakan kita mahu menukar hukum Allah Tuhan Sekelian Alam dengan hukum taghut seperti Demokrasi. Ini bukan akhlak seorang Muslim.


Dalam urusan pemerintahan negara, Syariat Islam menuntut supaya rakyat taat kepada pemerintah Islam mereka dalam apa jua keadaan.


Hal ini menjadi suatu ijmak (persepakatan) bahkan menjadi antara prinsip utama Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berbeza dengan golongan sesat seperti Khawarij dan Syiah.


Imam Al-Nawawi menjelaskan, “Adapun menentang (pemerintah) serta memerangi mereka, ia adalah haram menurut ijmak (persepakatan) umat Islam walaupun mereka (pemerintah) fasik dan zalim.


Hadis-Hadis cukup jelas dalam hal ini dan Ulama Ahli Sunnah telah ijmak (sepakat) bahawa pemerintah tidak boleh diturunkan dengan hanya kerana kefasikan mereka

Syarah Sahih Muslim; Imam Al-Nawawi




AMALAN-AMALAN DEMOKRASI DALAM KONTEKS MALAYSIA


Tidak dinafikan bahawa amalan Demokrasi di Malaysia adalah suatu sistem yang telah kita warisi daripada penjajah.


Dalam masa yang sama harus kita sedar bahawa untuk menukar sistem taghut ini ia tidak boleh dilakukan dalam sehari semalam.


Hanya mereka yang jahil Agama dan jahil realiti dunia sekelilingnya akan beranggapan sebegitu. Mereka tidak sabar dan terburu-buru mahu merealisasikan impian mereka tanpa berfikir panjang dan tanpa mengira kesan buruk yang jauh lebih besar daripada maslahat yang ingin direalisasikan.


Walhal kaedah Syarak menetapkan bahawa ‘Menghindari Mudarat Lebih Utama daripada Meraih Maslahat’.


Walaupun demokrasi diamalkan atas dasar darurat kerana keterpaksaan berdasarkan kaedah Syarak ‘Keadaan Terdesak (Darurat) Akan Mengharuskan yang Terlarang (Haram)’ tetapi dalam masa yang sama kaedah Syarak ‘Keadaan Darurat Ditentukan Berdasarkan Kadar Keperluannya’ juga perlu diraikan.


Dengan erti kata lain, keterpaksaan untuk beramal dengan Demokrasi tidak bererti bahawa segala aspek-aspek Demokrasi itu turut dibenarkan. Hanya sekadar untuk memenuhi keperluan sahaja yang diharuskan.


Maka amalan kepartian memecah-belahkan masyarakat kepada parti-parti politik tetap haram.


Membangkang kerajaan atau pemerintah secara terang-terangan tetap dilarang.


Menghasut masyarakat supaya benci kepada pemerintah tetap tidak dibolehkan.


Begitu juga dengan menyebut keaiban, memperlekeh, menghina dan mencaci-maki pemerintah; kesemuanya tetap haram.


Begitu juga dengan amalan-amalan Demokrasi yang lain seperti penetapan hukum halal dan haram melalui parlimen, pembubaran parlimen, penetapan tempoh pemerintahan kerajaan, pilihanraya dan berkempen yang tidak selari dengan Syariat Islam ia tetap batil dan tidak boleh dipakai.


Sabda Nabi Muhammad SAW :


فَمَا بَالُ رِجَالٍ يَشْتَرِطُونَ شُرُوطًا لَيْسَتَ فِي كِتَابِ اللَّهِ مَا كَانَ مِنْ شَرْطٍ لَيْسَ فِي كِتَابِ اللَّهِ فَهُوَ بَاطِلٌ وَإِنْ كَانَ مِائَةَ شَرْطٍ فَقَضَاءُ اللَّهِ أَحَقُّ وَشَرْطُ اللَّهِ أَوْثَقُ

“Mengapa ada kaum yang meletakkan syarat-syarat yang tidak terdapat dalam Kitab Allah? Sesungguhnya apa jua syarat yang tidak terdapat dalam Kitab Allah maka ia adalah batil walaupun ia seratus syarat. Ketetapan Allah lebih benar dan syarat Allah lebih sempurna”

Riwayat Bukhari dan Muslim





PENDOKONG DEMOKRASI JATUH DALAM JERAT MUSUH


Sungguh malang bagi mereka menggunakan Demokrasi sebagai jalan ke arah mengislahkan umat akibat tertipu dengan propaganda musuh kononnya demokrasi adalah jalan ke arah kemajuan dan kemakmuran.


Masakan kemajuan dan kemakmuran bukan sahaja di dunia tetapi lebih penting lagi di Akhirat akan dapat dicapai melalui produk orang kafir Yahudi dan Nasrani yang ingin menghancurkan Umat Islam.


Ramai yang tertipu dengan slogan kebebasan dan keadilan demokrasi menyebabkan mereka bertindak membantah dan membangkang kerajaan secara terang-terangan.


Usaha mereka akhirnya tidak lebih daripada membawa kepada ketegangan, benci-membenci, perpecahan dan huru-hara sesama saudara seIslam.


Apakah mereka menyangka bahawa kemenangan dan pertolongan Allah akan dapat dicapai dengan tidak patuh dengan perintah Syarak supaya taat kepada pemerintah semata-mata kerana Demokrasi taghut membenarkannya?


Tidak kurang juga yang keliru tentang kewajipan taat kepada pemerintah sehingga mereka membezakan antara pemerintah kerajaan persekutuan dan negeri.


Syarak sama sekali tidak memerintahkan supaya taat kepada dua pemerintah yang saling bermusuhan. 

Ketaatan hanya kepada pemerintah yang tertinggi serta wakilnya. Mana-mana golongan yang menentang dianggap sebagai bughat atau Khawarij walaupun Demokrasi mengiktiraf mereka sebagai pemimpin kawasan atau negeri dalam sesebuah negara.


Akibat terikut-ikut dengan rentak demokrasi, ramai yang menyangka bahawa sesebuah kerajaan Islam itu tidak akan lagi dianggap sebagai sah sekiranya tempoh pemerintahannya sudah berakhir dan parlimen sudah dibubarkan. Akhirnya pilihanraya dianggap sebagai satu jalan yang sah untuk menukar sesebuah kerajaan Islam yang ada.


Amalan ini jelas tidak selari dengan Syarak yang tidak menetapkan sebarang tempoh bagi sesebuah kerajaan.


Amalan para Khulafa’ Al-Rasyidin dan pemerintah Islam yang datang sesudah mereka menjadi buktinya.


Jelas bahawa pilihanraya adalah satu muslihat musuh yang sangat licik bertujuan untuk menjatuhkan sesebuah kerajaan dan menawan negara tanpa peperangan.


Tanpa disedari rakyat dipergunakan oleh musuh untuk menghuru-harakan negara serta melantik pemimpin yang mereka suka.

No comments:

Post a Comment