Cuti hujung tahun kali ini, diambil kesempatan untuk bersama
keluarga bercuti menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam. Tujuannya agar
berpeluang memenuhi hasrat anak bongsu pengalaman menaiki keretapi di samping
keberkesanan masa di samping menyambung tugasan. Perjalanan bermula di Stesen KTMB
(Keretapi Tanah Melayu Berhad) Bukit Mertajam ke KL Sentral pada jam 10.40
malam dan tiba keesokan harinya pada kurang lebih jam 07.00 pagi.
KL Sentral; pusat perkhidmatan pengangkutan awam yang
begitu pesat di dalam kesibukan manusia; urusan migrasi interaksi sesama
manusia dan pekerjaan. Di kelilingi pusat membeli belah, perhotelan dan
sebagainya. Penuh karisma dan warna-warna kehidupan.
KL Sentral lebih sinonim dengan integrasi perkhidmatan
sistem bas, rel dan teksi yang meluas hingga ke penghujung sebuah destinasi kunjungan
dan penduduk kotaraya.
Dari KL Sentral ke Putrajaya, perjalanan yang mengambil masa
kurang lebih 30 (tiga puluh) minit bernilai tidak lebih dari RM9.50 menaiki
KLIA Transit; satu perjalanan untuk seorang dewasa.
Dalam pengalaman ini, sempat saya bertanyakan salah seorang
dari ribuan pengguna perkhidmatan pengangkutan awam; Monorel KL. Beliau hanya
ingin dikenali sebagai Encik Zul dari Gombak dalam perjalanan bertemu seorang
kenalan kerja di Bangsar. Beliau merasakan perlunya perkhidmatan ini
ditambahbaik dalam bentuk kekerapan perjalanan dan bilangan koc untuk memuatkan
jumlah penumpang. Rata-ratanya, Encik Zul kagum dan mensyukuri dengan adanya
perkhidmatan ini, jelas lebih menjimatkan masa juga perbelanjaan sebuah
perjalanan.
Bersyukurlah usaha yang dilaksanakan melalui Makmal Bidang
Keberhasilan Utama Negara – Mempertingkatkan Pengangkutan Awam Bandar (NKRA
–UPT) pada bulan Oktober tahun 2009, sasaran nisbah 25% penggunaan mod
pengangkutan awam di Lembah Kelang semakin mencapai matlamatnya.
Sesuailah Suruhanjaya
Pengangkutan Awam Darat (SPAD) ditubuhkan secara rasmi pada 3 Jun 2010, untuk
merancang dan membuat polisi serta mengawalselia pengangkutan awam darat di
negara ini seperti keretapi, bas dan teksi serta pengangkutan barangan yang
menggunakan jalan raya atau rel.
Berpeluang pula saya bertemu Encik Ron seorang pensyarah dari Canada dan
pasangannya Michelle dari Filipina yang berasa kagum dengan kepesatan kotaraya
Kuala Lumpur. Melihatkan pula inisiatif yang diambil Kerajaan Pusat dengan
pengenalan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020 sebagai usaha yang intensif dan
ekstensif; melibatkan integrasi terminal pengangkutan dan hab bandar dengan
pemerkasaan penguatkuasaan dan pemantauan ke atas semua pengusaha pengangkutan
awam adalah satu sifat pendekatan yang holistik dan keselesaan penduduk satu
usaha yang amat murni.
Apapun perkhidmatan bas selain RapidKL, perlulah ditingkatkan dari segi mutu
penjagaan masa perjalanan dan Ulat-ulat tiket Bas Ekspres yang masih leluasa
dan masih tegar mengengkari peraturan dan adakalanya begitu angkuh dalam urusan
mereka.
Walaupun semua perkhidmatan teksi terpamir pelekat penggunaan meter,
masih lagi ada pemandu teksi yang enggan mematuhi. Pernah beberapa kali pemandu
teksi enggan menyediakan khidmat apabila ditanyakan tentang penggunaan meter.
Mereka ini kerap beroperasi di KL Sentral, laluan Jalan Sambanthan dan
berderetan di hadapan Pudu Sentral.
Sekurangnya peluang ke Kuala Lumpur kali ini, ahli keluarga dapat
melihat kemajuan dan kepesatan perhubungan dari perpekstif pengangkutan awam.
Penambahbaikan akan terus berlaku lebih-lebih lagi yang diutarakan melalui
Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020, adalah satu komitmen buat Rakyat, khususnya
bagi masyarakat kosmopolitan yang sentiasa bergerak aktif. Konsisten, Tepat dan
Murah.
No comments:
Post a Comment