Showing posts with label Datuk Dr Marshitah. Show all posts
Showing posts with label Datuk Dr Marshitah. Show all posts

Monday, January 26, 2015

Budaya Anti Islam

Kita masih jahil walau sudah bertahun lamanya MERDEKA dari pengaruh penjajahan. Namun masih terbawa-bawa fahaman dan cara kehidupan lumrahnya Kristianiti di dalam institusi Islam.

Sepertimana penaklukan wilayah Cina oleh Barat dimulakan dengan Perang Candu. Kerana membimbangi pengaruh Komunisme; Negara Korea terbahagi dua sehingga hari ini. Jepun ditawan dengan kuasa sains yang hampir menghancurkan budayanya tapi resamnya sudah dimamah lama.

Negara-negara besar itu bangkit dari kemusnahan dan menjadi The Roaring Tigers di dalam ekonomi global, namun hakikatnya mereka didokongi kuasa Barat yang telah menghidupkan budaya Evangelist Christian. Malaysia dan negara-negara dari plateau yang sama tidak dapat menggelak dari asimilasi fahaman luar.

Happy Valentine disambut sedunia oleh pasangan yang masih atau mencuba berkasih sayang. Unsur kepercayaan oleh Saint Valentine sejak dari zaman pemerintahan Roman dan ditetapkan oleh Gereja Katholik hari peringatan setiap 14hb Februari. Berpusu-pusulah anak-anak muda tidak mahu ketinggalan. Si berusiapun tidak jauh di belakang membelikan bunga mawar/ros kepada yang disayangi atau dicintainya.

Sedang Islam melihatkannya sebagai fahaman yang songsang dan diamalkan oleh yang bukan mahram. Umum umat Islam mengetahui, fahaman sedemikian adalah haram, namun kerana tidak mahu dianggap Islam sebagai lapuk dan kolot atau kerana masih jahil, ramai yang tidak mengambil berat atau hanya menegur (selemahnya tindakan melarang perbuatan yang kufur).

Tanpa segan atau silu, perayaan Krismas atau lain-lain perayaan turut diraikan bersama. Bukan sahaja itu, ada perayaan Easter dan Halloween yang skemanya dengan pakaian keraian. 
Kita pernah dikejutkan dengan “Hello Kitty” seawal tahun 2000, hingga banyak pintu-pintu rumah Umat Islam dibuka menerima patung yang berupa haiwan ke dalam rumah kerana sayangkan anak-anak yang terikut dengan kegilaan semasa.

Dengan keterbukaan kepada budaya global, terjah pula “Animax”, sebuah lagi kesenian dari Negara Matahari Terbit; Jepun menghidangkan Adiwira dan Dewa di dalam bentuk kartun dan diselitkan pemandangan atau amulet berterapkan Kristian dengan watak perempuan dengan rupabentuk yang menggiurkan serta mendedahkan.

Masyarakat semasa bagaikan tidak pandang serius dengan pemakaian T shirt yang bercetak yang amat menjelekkan seperti “I Am A Star. A Pornstar”. Lagu-lagu Rock Metal, Goth, berunsur Gospel dan pelbagai hingga dinyanyikan di pelusuk kehidupan walaupun ramai yang berinteraksi dalam Bahas Inggeris dek peranan stesen-stesen radio dan media yang interaktif dengan garis panduan yang longgar, lesu serta mengizinkan untuk rating perniagaan.

Kesedudukan antara bukan Mahram semakin menjadi lumrah kehidupan. Kerana wang, sanggup menjadi Keldai Pemerdagangan Manusia dan Najis Dadah. Kelab-kelab sosial dibuka sehingga awal pagi dan disinggahi benih-benih yang tidak dikawal atau pendidikan akhlak yang dipandang enteng. Botol-botol arak bergelimpangan. Picugari berselerakan. Kondom-kondom dijual di pasaran dengan terbuka di pasaraya mahupun di kedai-kedai tepi jalan. Artis-artis luar negara bukan Islam kerap dijemput bagi mempromosikan sesuatu agenda atau dagangan.

Aurat lelaki dan wanita sudah jelas dilaksanakan. Jatuh hukumnya apabila sudah akhil baligh. Bukan sekadar aurat menutup kemaluan tapi rupa bentuk badan si pemunya. Menutup aurat bukan satu fesyen satu bahan atau cop intelek perniagaan. Menjaga aurat dan tingkah laku bukan sekadar luaran namun harus diikut dan disebatikan dari dalam seseorang insan apalagi beliau mengaku seorang Islam. 

Hari ini. tersebar desas-desus sebuah premis perniagaan "HOOTERS" dari Barat yang menggayakan pakaian mendedahkan akan beroperasi di bumi ini yang lazim dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan; Islam sebagai Agama Persekutuan.

Malunya sesama insan sudah tiada. Tidakkah malu kita dan kelu untuk mengadap Illahi nanti?

Islam TIDAK bersikap Anti Sosial. Bersosial dalam Islam dibolehkan namun perlu dipatuhi berdasarkan Al-Quran dan As Sunnah yang telah mengariskan panduan dan hukumannya. Islam bukan tanggungjawab yang diletakkan di tangan Penguasa tapi pertanggungjawaban semua ahli masyarakat yang mengaku umat Islam keseluruhannya. IbuBapa, ahli keluarga, jiran, kampung, bandar dan Qaryah. Pemimpin, pelaksana Undang-undang dan mereka yang dipimpin.

Pendekatan dan penubuhan Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia yang diterajui oleh YBhg Datuk Dr. Marshitah adalah satu usaha yang wajib disokong masyarakat yang mengakui sebagai umat Islam lebih-lebih lagi dalam usaha menanggangi ketirisan Aqidah dan keImanan dewasa ini.

Melentur Buluh biarlah dari rebungnya. Walaupun sekeras Batu, dititis Air berlekuk jua.

Aqidah dan Keimanan Semakin Parah

Ketika kaum Yahudi mendakwa mereka dizalimi dengan keganasan melampau oleh Kristian dari Jerman, mereka memilih untuk berada di Negara Islam Palestin.

Kaum Yahudi Andalusia diberi kata dua oleh tentera Kristian pimpinan Ratu Isabela untuk memilih berpindah keluar atau tukar agama kepada Kristian, mereka memilih berhijrah ke Morocco negara Islam.

Persoalannya, kenapa mereka memilih negara Islam yang hari ini mereka tuduh sebagai agama yang mencetuskan keganasan ...???

Eric Paulsen, pengasas Lawyers For Liberty (LFL) yang mendapat dana khas dari Kongres Amerika melalui National Endowment for Democracy (NED) turut terlibat mengucar-kacirkan kefahaman masyarakat terhadap Kanun Jenayah Islam. Beliau pernah melontar 20 soalan terbuka terhadap PAS berkenaan Hudud. Terbaru, beliau menimbulkan kecurigaan apabila mendakwa JAKIM mempromosikan ekstremisme pada setiap Jumaat melalui laman twitternya.

Bahkan sebelum PRU13 lalu lagi, duta Amerika berjumpa Presiden PAS untuk mengetahui hasrat PAS jika ingin menang pilihanraya. Begitu mendalam kesannya Islam yang dilihat akan menggagalkan pandangan umum yang menjangkakan PR bakal memerintah Negara selepas PRU13.

Perlaksanaan undang-undang Islam terutama di Kelantan bukan sekadar mendapat tentangan dalaman sahaja, malah kini melibatkan campur tangan asing yang taksub dengan Islamofobianya dan masih bersembunyi. Barat tidak takut kepada kumpulan Islam yang sekadar memperjuangkan dari sudut-sudut lain, tetapi yang dibimbangi ialah kumpulan yang bercita-cita menjalankan undang-undang Islam.

Keadaan ini menimbulkan keresahan dan dibangkitkan YBhg Datuk Dr Marshitah, di dalam memperkukuhkan tali Allah SWT dalam urusan seharian umat Islam terutamanya dengan fahaman yang dimuatkan kelompok Ulama dalam memenangi sokongan kepartian.

Kuasa dunia terpaksa melibatkan diri kerana tembok perundangan Barat sejak MERDEKA dilihat tidak mampu menahan kemaraan dan pengaruh Islam. Fasal 3 Perlembagaan telah digunakan semaksimanya oleh PAS hingga akhirnya kerajaan terpaksa akur di Dewan Rakyat. Tindakan itu menyebabkan ramai kaum Kuffar berasa tidak selamat akan Doktrin yang dimainkan merka akan musnah.

Persoalannya, apa kena mengena Kelantan, Malaysia dengan Amerika? Kenapa sampai begitu sekali takutnya dunia terhadap Islam?

Allah SWT telah berFirman dalam Al-Quran:

وَلَن تَرْضَى عَنكَ الْيَهُودُ وَلاَ النَّصَارَى حَتَّى تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ قُلْ إِنَّ هُدَى اللّهِ هُوَ الْهُدَى وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُم بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ مَا لَكَ مِنَ اللّهِ مِن وَلِيٍّ وَلاَ نَصِيرٍ

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan sekali-kali akan berseteju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehinggalah engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka); Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu.”

Al-Quran, Surah 2; Al-Baqarah ayat 120

Islam bukan zalim. Bukan Undang-undang Syariah yang menindas. Bukan kolot atau tidak sah di sisi undang-undang Negara. Hakikatnya kerana kebencian dalam diri mereka yang tidak pernah  padam akan kebenaran yang dibentangkan dan mengajak tunduk kepada perintah Allah SWT; Tuhan Sekian Alam. Bawalah 1001 hujah kebenaran sekalipun kepada musuh Islam, pendirian mereka tidak akan berubah terhadap Islam dan perjuangannya.

Mereka akan sentiasa cuba padamkan cahaya Islam, tetapi Allah telah menjamin, cahayanya akan terus bersinar di sebalik kesumat Kuffar. Oleh itu, Allah ajarkan umat Islam menangani karenah musuh dari ayat yang sama dengan maksud:

Katakanlah (kepada mereka); Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar.

Al-Quran, Surah 2; Al-Baqarah ayat 120

Bukan dengan memperlahankan kemaraan Islam. Bukan membelakangkan ajaranNya atas nama keadilan atau integriti. Bukan jua menyembunyikan Islam sehingga ke waktu yang entah bila. Tetapi dengan menyatakan, Islam tetap Islam. Jangan gentar walau digertak. Jangan malu dan takut mendabik dada untuk mengaku, 'inilah ajaran Islam'.

Allah SWT menegaskan dalam Firman sebagai amaran kepada yang tidak bertegas dengan Islam:

“dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu.”

Al-Quran Surah 2; Al-Baqarah ayat 120

Justeru itu, musuh Islam sedang menyeringai bak Singa yang kelaparan terhadap Islam ini, dengan seluruh jenteranya diaktifkan bagi membatalkan segala hasrat umat Islam.  

Siri-siri bantahan dan amarah BERSIH yang dilaungkan mendesak Kebebasan, Hak Bersuara serta Hak Manusia amat sinis lagi sadis ke atas Islam. Menerima konsep Pluralisme dengan meLiberalkan Islam amat jelas satu usaha yang mendapat sokongan kaum Kuffar di benteng terakhir Islam di Asia Tenggara; Malaysia.

Bukan hanya Kelantan, malahan mobilisasi Muslim Malaysia perlu berlaku di segenap pelusuk juga seantero dunia. Kini tiba masanya umat Islam bersolidariti menjunjung hukum Allah dengan segala semangat dan keringat.


Nahnu Ansarullah! Sesungguhnya kitalah pejuang Allah.

Monday, January 19, 2015

Memahami Maqasid Syariah

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Didahulukan dengan Segala pujian bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti pesanan Baginda hingga ke hari Kiamat.

Dewasa ini Islam kerap menjadi topik perdebatan dan persoalan negatif di kalangan anggota masyarakat dilontarkan dari kota minda mereka walaupun dalam kekurangan ilmu apalagi mereka mendakwa  penyuluh Agama namun begitu daif mengukuhkan. Islam adalah mesej Allah S.W.T kepada seluruh umat manusia di serata dunia dan di setiap zaman yang diakui sebagai “The Way of Life” atau Ad Deen.

Wahyu yang diturunkan Allah S.W.T melalui al- Quran dan dihuraikan oleh as-Sunnah oleh Baginda Rasullullah SAW adalah landasan yang tepat dan jelas di dalam meniti kehidupan di alam Fana menuju ke Jannah. Berzaman lamanya sedari kemunculan Islam sehingga kini terus menggungguli rupabentuk peradaban manusia. Agama Islam amat bersifat dinamik dengan objektif atau maqasid yang jelas dan bertepatan dengan hidup manusia sejagat akan pertanggungjawabannya sesama insan, makhluk lain, alam semesta dan kepada Allah S.W.T; Tuhan Maha Agung Lagi Mengetahui dan Mengasihani.

Apa yang dimaksudkan “Maqasid Syariah”?
Secara literalnya, “Maqasid” membawa pengertian kepada – kehendak, matlamat atau tujuan. Sebagai mewujudkan kebaikan (manafaah) dan menolak keburukan serta menghilangkan kemudaratan (mafsadah).
Manakala “Syariah” – adalah syariat Islam atau syariat Allah S.W.T.

Sayugia itu, Maqasid Syariah membawa pengertian kepada tujuan atau maksud  mengapa Allah S.W.T menurunkan sesuatu hukum. Maqasid merupakan matlamat yang ingin dicapai dalam melakukan sesuatu ibadah. Dalam konteks ini Maqasid Syariah atau juga dikenali sebagai Maqasid Al-Syariah bermaksud tujuan, natijah atau maksud yang dikehendakki oleh syarak melalui sumber dalilnya menurut Al-Quran dan Al-Sunnah.


Di dalam Qanun Jinayah Syar'iyyah terdapat 4 jenis hukum iaitu hukuman Hudud, Qisas, Diyat dan Takzir adalah bertujuan untuk menjaga prinsip perundangan Islam yang tertakluk di bawahnya lima perkara:

1. Menjaga agama.
2. Menjaga nyawa.
3. Menjaga akal fikiran.
4. Menjaga keturunan.
5. Menjaga harta benda.

Huraiannya :

1. Menjaga agama
Perkara pokok perundangan Islam adalah memelihara Aqidah orang-orang Islam agar tidak terpesong atau tersimpang dari akidah yang sebenar dan menjadi murtad. Islam begitu prihatin dan mengasihani walaupun seseorang itu murtad akan diajak bertaubat terlebih dahulu. Namun masih engkar bertaubat maka hukuman bunuh akan dikenakan ke atas mereka.

Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud: "Sesiapa yang menukar agamanya (murtad), maka bunuhlah dia."

Hadis Riwayat Bukhari

2. Menjaga nyawa
Menjaga nyawa, iaitu menjaga jiwa seseorang dari dibunuh termasuklah menjaga anggota tubuh badan seseorang dari dicederakan atau dirosakkan. Sesiapa yang membunuh manusia atau mencederakan anggota tubuh badan mereka itu dengan sengaja wajib dijatuhkan hukuman Qisas (hukuman bunuh) atau Diyat (penalti mengikut Undang-undang Syariah) .

وَلَكُمْ فِي الْقِصَاصِ حَيَاةٌ يَاْ أُولِي الأَلْبَابِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Firman Allah SWT. yang bermaksud: "Dan di dalam hukuman Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran supaya kamu bertakwa."

Al Quran: Surah 2, al-Baqarah ayat 179

3. Menjaga akal fikiran
Akal yang jelas dan bersih amat ditekankan dalam Islam. Menjauhkan diri dari terpengaruh dengan meminum arak atau sebarang elemen yang memabukkan atau mengkhayalkan secara terusnya merosakkan dan tidak mampu mengawal atau  memelihara akal fikiran manusia. Mereka yang meminum arak wajib dijatuhkan hukuman sebat tidak lebih dari lapan puluh kali sebatan sebagaimana yang telah diriwayatkan.

Saaib bin Yazid r.a berkata : " Apabila peminum arak dibawakan kepada kami pada zaman Rasulullah SAW, zaman pemerintahan Abu Bakar dan permulaan zaman Umar al-Khattab, kami memukulnya dengan tangan , kasut dan serban. Di akhir pemerintahan Umar, mereka dirotan sebanyak 40 kali. Sehinggalah perbuatan itu berlaku semakin menjadi-jadi dan melampaui batas, lalu mereka dirotan sebanyak 80 kali."
Hadis Riwayat Bukhari : 6281

4. Menjaga keturunan
Menjaga keturunan iaitu memelihara manusia dari melakukan perzinaan supaya nasab keturunan, perwalian dan pewarisan anak-anak yang lahir hasil dari persetubuhan haram itu tidak rosak. Orang yang melakukan perzinaan dengan langsungnya telah mungkar dan menyebabkan salasilah keturunan dicemari maka wajib dijatuhkan hukum sebat dan rejam.

Sabda Rasulullah SAW dalam hadisnya yang diriwayatkan `Ubadah bin As-Somit r.a. yang bermaksud: "Ambillah peraturan daripada aku, ambillah peraturan daripada aku. Sesungguhnya Allah telah memberi jalan untuk mereka. Perawan dengan jejaka yang berzina hukumannya disebat sebanyak seratus kali sebat, dan dibuang negeri selama setahun. Dan janda dengan janda yang berzina hukumannya disebat sebanyak seratus kali sebat dan direjam."

Hadis Riwayat Muslim dan Abu Daud

5. Menjaga harta benda
Harta benda manusia perlu dijaga dan dipelihara haknya dari perlakuan kecurian dan ATAU rompakan dengan hukuman potong tangan ke atas pencuri, dan menjatuhkan hukuman mati atau potong tangan dan kaki kedua-duanya sekali atau dibuang negeri ke atas perompak. Hukuman ini juga tertakluk kepada cara rompakan atau jenayah itu dilakukan.

وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُواْ أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالاً مِّنَ اللّهِ وَاللّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Firman Allah S.W.T yang bermaksud: "Dan orang lelaki yang mencuri dan perempuan yang mencuri maka (hukumannya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah maha Kuasa lagi Maha Bijaksana."

Al Quran, Surah: 5, Al-Maidah ayat 38

إِنَّمَا جَزَاءُ الَّذِينَ يُحَارِبُونَ اللّهَ وَرَسُولَهُ وَيَسْعَوْنَ فِي الأَرْضِ فَسَادًا أَن يُقَتَّلُواْ أَوْ يُصَلَّبُواْ أَوْ تُقَطَّعَ أَيْدِيهِمْ وَأَرْجُلُهُم مِّنْ خِلافٍ أَوْ يُنفَوْاْ مِنَ الأَرْضِ ذَلِكَ لَهُمْ خِزْيٌ فِي الدُّنْيَا وَلَهُمْ فِي الآخِرَةِ عَذَابٌ عَظِيمٌ 

Firman Allah S.W.T lagi yang bermaksud: "Sesungguhnya balasan orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi (melakukan keganasan merampas dan membunuh orang di jalan ) ialah dengan balasan bunuh (kalau mereka membunuh sahaja dengan tidak merampas), atau dipalang (kalau mereka membunuh dan merampas), atau dipotong tangan dan kaki mereka dengan berselang (kalau mereka merampas sahaja, atau dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman awam). Hukuman yang demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab siksa yang amat besar."

Al Quran, Surah: 5, Al-Maidah ayat 33

Dari itu kefahaman konsep “Maqasid Syariah” yang betul serta meyakini bahawa setiap hukum-hakam yang diturunkan oleh Allah S.W.T kepada hambaNya dimuka bumi adalah sebaik-baik peraturan. Tujuan Allah S.W.T menghalal ataupun mengharamkan sesuatu perkara adalah mengandungi sebab musabab yang munasabah dan sesuai dengan fikiran yang waras dan fitrah manusia.

Terlalu banyak penemuan sains dan kajian manusia didapati bahawa setiap sesuatu yang diharamkan oleh Allah S.W.T mempunyai alasan yang kukuh dan bersesuaian dengan kesihatan dan jiwa manusia. Contohnya daging babi diharamkan di sebabkan terdapat banyak keburukannya, penyelidikan barat turut mengesahkan di dalam daging Khinzir mengandungi cacing pita yang merbahaya untuk kesihatan diri manusia dan hikmah pengharaman daging babi kerana adanya cacing pita.

Firman Allah S.W.T, dalam Al-Quran di antaranya:

إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنزِيرِ وَمَا أُهِلَّ بِهِ لِغَيْرِ اللّهِ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلاَ عَادٍ فَلا إِثْمَ عَلَيْهِ إِنَّ اللّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya : “Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, daging babi dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang dia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu),, maka tidaklah dia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Al Quran: Surah 2, al-Baqarah ayat 173

Diperkuatkan lagi dengan FirmanNya yang berikut:

الْيَوْمَ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ وَطَعَامُ الَّذِينَ أُوتُواْ الْكِتَابَ حِلٌّ لَّكُمْ وَطَعَامُكُمْ حِلٌّ لَّهُمْ وَالْمُحْصَنَاتُ مِنَ الْمُؤْمِنَاتِ وَالْمُحْصَنَاتُ مِنَ الَّذِينَ أُوتُواْ الْكِتَابَ مِن قَبْلِكُمْ إِذَا آتَيْتُمُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ مُحْصِنِينَ غَيْرَ مُسَافِحِينَ وَلاَ مُتَّخِذِي أَخْدَانٍ وَمَن يَكْفُرْ بِالإِيمَانِ فَقَدْ حَبِطَ عَمَلُهُ وَهُوَ فِي الآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ

Maksudnya : “Pada masa ini dihalalkan bagi kamu (memakan makanan) yang lazat-lazat serta baik-baik. Dan makanan (sembelihan) orang-orang yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi kamu dan makanan (sembelihan) kamu adalah halal bagi mereka (tidak salah kamu memberi makan kepada mereka) dan (dihalalkan kamu berkahwin) dengan perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya di antara perempuan-perempuan yang beriman, dan juga perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya dari kalangan orang-orang yang diberikan Kitab dahulu daripada kamu apabila kamu beri mereka mas kahwinnya, sedang kamu (dengan cara yang demikian), bernikah bukan berzina dan bukan pula kamu mengambil mereka menjadi perempuan-perempuan simpanan dan sesiapa yang ingkar (akan syariat Islam) sesudah dia beriman, maka sesungguhnya gugurlah amalnya (yang baik) dan adalah dia pada hari Akhirat kelak dari orang-orang yang rugi).”

Al Quran, Surah: 5, Al-Maidah ayat 3

Masyarakat kita semakin dikelirukan kumpulan yang anti hukum Hudud dengan dakwaan yang bersifat negatif hingga menambahkan kegusaran tidak bertempat sekadar ditanam penjelasan logik dengan; tanggapan buruk dunia terhadap Malaysia, kehilangan pekerjaan, kehilangan punca pendapatan dari pelancung luar negara malah dari dalam negara, huru hara dan sebagainya.

Realitinya mereka yang befahaman secular dan logik akal tidak pernah memandang positif pelaksanaan Hudud di Arab Saudi (http://www2.bharian.com.my/articles/Peguammuslimmenulis_Undang-undangsyariahgerunkanpenjenayah/Article/cetak); kadar jenayah di Arab Saudi terlalu rendah (http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/27754-tidak-adil-menilai-hudud-ikut-global-peace-index) berbanding Malaysia (http://www.sinarharian.com.my/semasa/jenayah-melonjak-20-000-kes-dalam-60-hari-1.257252) yang mana kadar jenayah mencuri, pecah rumah, merompak, menyamun bersenjata, ragut antaranya berada di tahap yang cukup membimbangkan, lebih-lebih lagi di dalam masyarakat majmuk kini.

Penerapan dan pengukuhan menurut Syariah dilihat satu ibadah yang kian luntur di kalangan umat Islam, maka benarlah langkah-langkah yang diambil oleh YBhg Datuk Dr Marshitah di dalam penghujahan dan pendedahan beliau.

Fakta dan mesej yang jelas tidak dapat disangkal barangsiapapun, angkara perbuatan jenayah tidak mengenal mangsa; Agama, fahaman politik, jantina, darjat mahupun taraf kehidupan. Justeru itu, segala sifat-sifat keburukan telahpun disebut dan dinasihatkan dijauhi berkali-kali.

Tiada satu Agama yang dianuti mana-mana kaum dan Bangsa menggalak atau menghalalkan jenayah. Namun kerana desakan untuk menyesat dan memudahkan aturcara dan niat sesetengah pemimpin yang terdesak dan gelap hati, menggunapakai alasan dan kaedah dengan sokongan penyokongnya menggaburi ramai akan niat jahat mereka itu.

Jenayah merompak dan ragut, merogol, bersekedudukan dan banyak lagi hanya mengakibatkan kerugian kepada Negara dan penduduk, mana lagi impaknya kepada Umat Islam. Kerugian tidak sahaja dari sudut “tangible” nilaian jutaan Ringgit Malaysia tetapi lebih teruk lagi akhlak dan mentaliti ahli masyarakat. Andaipun penjenayah berjaya dipenjarakan, mereka akan diberikan makan dan minum percuma dan bila tamat tempoh tahanan mereka boleh mengulangi tabiat buruk mengambil harta orang lain. Oleh itu semua umat Islam perlu yakin terhadap undang-undang Allah S.W.T kerana ianya bersangkut paut dengan persoalan Aqidah dan kepercayaan kepada kitab suci al-Quran nul karim.

Wallahu a'lam bishawab

Tuesday, January 13, 2015

Hilang Sudah Maruah Agama DiUliti Musuh

Bangganya menjadi Melayu yang mengkhianati perjuangan Agama dan Bangsanya sejak berzaman.

Acapkali retorik Sang Kafir membela keadilan dan hak bersuara...yang keluar menjulang dan menyokong tidak lain dari Melayu Liberal tidak terlepas juga mereka dari PAS yg keramatnya sebagai  pejuang Islam yang sejati....?!

SUARA RAKYAT MALAYSIA (SUARAM) - Solidariti 4eric
-----------------------------------------------
Pada 13 JAN 15, jam 2025 tadi, Solidariti 4eric anjuran PSM bagi memberi sokongan kepada ERIC PAULSEN - Presiden Lawyers For Liberty yg mula diadakan di hadapan IPD Dang Wangi (di seberang jalan bertentangan dengan pintu utama IPD Dang Wangi)

Hadir.
Seramai lebih dari 30 orang  yang terdiri daripada wakil SUARAM telah hadir di antaranya:-

a) AHMAD SHUKRI B ABDUL RAZAD
- Penyelaras Media SUARAM;
b) ADAM ADLI - Aktivis pembangkang;
c) HISHAMUDDIN RAIS - Aktivis pembangkang.

Maka mekarlah bunga-bunga Petualang Melayu yang sudah luluh aqidahnya.

Pedih dan pilu, pendidikan Islam dan jatidiri Melayu dijadikan bahan dagang untuk perjuangan palsu Sang Kafir Harbi.

Kerana terpukau dan terpesona janji-janji pujaan manuanusia Kufur, berleluasa fahaman Pluralisme dan Liberalisme hingga aqidah digadai.

Segala usaha mesti dijuruskan mengembali dan menyinari syiar Islam tambahan pula dengan keberadaan Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia, YBhg Datuk Dr Marshitah tanpa serik mendepani isu-isu yang menjerihkan pandangan dan pembudayaan Islam masa kini.

Thursday, January 08, 2015

Nak Hidup Selamat Amalkan Wasiat Imam Syafie

 Diriwayatkan, sebelum Imam Syafie kembali ke Rahmatullah, beliau sempat berwasiat kepada sebahagian daripada muridnya yang boleh dijadikan panduan kepada umat Islam. Wasiat yang dimaksudkan ialah pesanan dan nasihat beliau yang sangat bernilai.

Berikut ialah antara kandungan wasiat itu: "Sesiapa yang ingin meninggalkan dunia dalam keadaan selamat, maka hendaklah ia mengamalkan sepuluh perkara."

Pertama: Hak kepada diri - mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.

Kedua: Hak kepada Malaikat Maut - mengqandakan kewajipan yang tertinggal , mendapatkan kemaafan dari orang yang dizalimi, membuat persediaan untuk mati dan berasa cinta kepada Allah.

Ketiga: Hak kepada kubur - membuang tabiat suka menabur fitnah, membuang tabiat kencing merata-rata, memperbanyakkan Solat Tahajud dan membantu orang yang dizalimi.

Keempat: Hak kepada Munkar dan Nakir - tidak berdusta, berkata benar, meninggalkan maksiat dan nasihat menasihati.

Kelima: Hak kepada Mizan (Neraca Timbangan Amalan Pada Hari Akhirat) - menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan sanggup menanggung kesulitan.

Keenam: Hak kepada Sirat (titian yang merentangi Neraka pada hari Akhirat) - membuang tabiat suka mengumpat, warak, suka membantu orang beriman dan suka berjemaah.

Ketujuh: Hak kepada Malik (Malaikat Penjaga Neraka) - menangis lantaran takut kepada Allah swt, berbuat baik kepada ibu bapa, bersedekah ketika terang-terangan serta sembunyi dan memperelokkan akhlak.

Kelapan: Hak kepada Ridhwan (Malaikat Penjaga Syurga) - berasa reda kepada qada Allah, bersabar menerima bala, bersyukur ke atas hikmat Allah dan bertaubat dari melakukan maksiat.

Kesembilan: Hak Kepada Nabi saw - bersalawat ke atasnya, berpegang dengan syariat, bergantung kepada As-Sunnah (hadis) menyayangi sahabat dan bersaing dalam mencari kelebihan daripada Allah.

Kesepuluh: Hak kepada Allah swt - mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah manusia daripada keburukan, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan

Semoga segala usaha yang dijalankan oleh Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia menampakkan kejernihan dari kekalutan selari dengan tuntutan Al Quran dan As Sunnah.

Wallahu a'alam Bishawab

Nikmat dan Rahmah Illahi Dalam Kehidupan

Allah swt telah mengurniakan nikmat dan rahmat dengan mengutuskan RasulNya dan menurunkan kitab al-Quran yang tidak ada sebarang keraguan dalam kandungan dari dahulu sehingga kini. Kitab wahyu yang diturunkan oleh Allah swt kepada RasulNya ini dipenuhi mukjizat dan keagungan yang tiada tolak bandingnya dengan kitab-kitab yang lain. Ianya juga sebagai sumber ilmu bagi umat Islam dan petunjuk jalan kebenaran serta kitab kecemerlangan. 

Firman Allah swt di dalam Surah al Israa’ ayat 9:

إِنَّ هَذَا الْقُرْآنَ يَهْدِي لِلَّتِي هِيَ أَقْوَمُ وَيُبَشِّرُ الْمُؤْمِنِينَ الَّذِينَ يَعْمَلُونَ الصَّالِحَاتِ أَنَّ لَهُمْ أَجْرًا كَبِيرًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Al-Qur'an ini memberi petunjuk ke jalan yang betul, dan memberi berita gembira kepada orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal salih, bahawa mereka beroleh pahala yang besar. ”

Imam al-Qurtubi dalam kitab tafsirnya al-Jami’ il Ahkam al-Quran menyatakan bahawa kalimah aqwam bermaksud jalan yang paling benar, paling adil dan paling tepat. Mereka yang menjadikan al-Quran sebagai sumber rujukan, akan membuahkan kesejahteraan dan kecemerlangan. Justeru itu, bagi mengekalkan al-Quran dalam kehidupan kita ianya perlu dijaga dengan sentiasa membaca dan menghafal serta memahami isi kandungannya agar berada di dalam jiwa dan hati setiap ummat Muslim. 

Firman Allah swt dalam Surah al-Hijr ayat 9:

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Qur'an, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.” 

Al-Quran sebagai sumbernya telah mengubah pola kehidupan sehingga berjaya membina tamadun yang gemilang. Perubahan dan kecemerlangan yang diraih ini tidak lain dituntas al-Quran. Oleh kerana itu, kita Atas sebab itu, sebagai umat Islam yang ingin mencipta kejayaan samada dari apa sudut sekalipun hendaklah menjadikan al-Quran sebagai kunci kejayaan. Al-Quran mampu membentuk jati diri yang teguh, menjadikan manusia terdidik dengan akhlak dan budi pekerti tinggi,  rajin berusaha dan berilmu tinggi. Segala-gala ini dapat dicapai apabila mereka bertadabbur  memahami al-Quran dan beramal dengannya.

Kecemerlangan al-Quran bukan hanya terbukti dari sudut kerohanian semata-mata bahkan dari sudut saintifik. Al-Quran tidak hanya dikagumi oleh orang Islam, bahkan  ia juga dikagumi oleh orang bukan Islam. Sebagai contoh Dr Gary Miller adalah seorang pakar matematik di samping seorang tokoh dalam bidang teologi agama Kristian. Pada tahun 1978  beliau dihadiahkan sebuah al-Quran terjemahan dalam bahasa Inggeris, selepas membaca terjemahannya dan memahami lantas beliau memeluk Islam. Begitu juga Dr. Maurice Bucaille, seorang pakar bedah terkenal di Perancis. Semasa membicarakan berkenaan al-Quran dan Bible dalam konteks ilmu astrofizik, beliau berkata: “Tidak dapat sebarang percanggahan antara al-Quran dan ilmu-ilmu moden berhubung asal usul kejadian alam. ”

Sebagai umat yang beriman amat wajar al-Quran dijadikan panduan dan sumber rujukan yang utama dalam apa juga kegiatan hidup samada dari sudut akidah, syariat dan akhlak; khususnya dalam menangani pelbagai permasalahan, cabaran semasa untuk mencapai kehidupan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.  Namun persoalannya pada hari ini terdapat segelintir umat Islam yang lemah iman, goyah pegangan akidah dan akhlaknya menjadi kaku bibir dan kelu lidahnya  untuk menyebut ayat-ayat Allah swt dan keras hati apabila terdengar ayat al-Quran. Mereka lebih gemar mengalungkan dan mendengar nyanyian lagu-lagu yang melalaikan berbanding ayat al-Quran. Tidak kurang pula ada dikalangan kita yang hanya berbangga dengan menggantung ayat-ayat al-Quran yang mahal-mahal sebagai hiasan. Bahkan ada juga yang menjadikan al-Quran sebagai “kitab berkat”, Mereka membaca al-Quran bertujuan mendapat berkat tidak lebih dari itu, maka dibacanyalah beberapa potong ayat al-Quran untuk tujuan tertentu seperti murah rezeki, mencepatkan jodoh dan lain-lain tujuan tertentu.

Marilah sama-sama kita menjadikan budaya al-Quran sebagai gaya hidup. Kita mesti yakin bahawa al-Quran sahajalah yang mampu membawa kecemerlangan, menjadi ubat dan penawar kepada segala jenis penyakit samada rohani atau jasmani yang sedang melanda masyarakat masa kini. Janganlah kita hanya merujuk kepada al-Quran pada perkara perkara tertentu sahaja atau membacanya pada masa-masa tertentu seperti ketika dalam kesusahan, ketika sakit, ketika menghadapi saat kematian ataupun pada hari tertentu. 

Firman Allah swt di dalam Surah al Furqan ayat 30:

وَقَالَ الرَّسُولُ يَا رَبِّ إِنَّ قَوْمِي اتَّخَذُوا هَذَا الْقُرْآنَ مَهْجُورًا

Maksudnya: “Dan berkatalah Rasul: Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Qur'an ini satu yang tidak diacuhkan, diabaikan.”


Beberapa pandangan ulama’ mendapati ada 3 golongan manusia yang mengabaikan al-Quran. 
Pertama: mereka yang mengabaikan al-Quran dengan meninggalkan dari membacanya. 
Kedua: mereka yang mengabaikan dari sudut tadabbur maknanya serta memahami maksud al-Quran dan 
Ketiga: mereka yang mengabaikan al-Quran dengan mengabaikan hukum hakam dan beramal dengannya. Mereka membaca al-Quran, menghafalnya, mengetahui tafsir dan makna ayat yang dibaca tetapi tidak beramal dengan apa yang difahaminya.

Sekali lagi marilah sama-sama kita membudayakan al-Quran dalam kehidupan. Didiklah ahli keluarga dan anak-anak agar menjadi orang yang mencintai al-Quran. Memprogramkan penghayatan al-Quran dalam keluarga terutama kepada anak-anak dengan memperuntukkan masa seperti selepas Solat Maghrib sebagai waktu membaca, mempelajari dan mentadabbur al-Quran. Mengambil usaha dengan menghantar anak-anak ke kelas pengajian al-Quran samada di surau dan masjid atau di kelas yang telah disediakan.

Di samping itu mempelajari al-Quran juga boleh dilakukan dengan cara mendengar bacaan di radio, kaset dan di media-media elektronik dan sebagainya. Terangilah hati kita dengan memahami isi al-Quran, dan teguhkanlah keimanan dengan beramal dengan isi kandungannya. Yakinlah bahawa al-Quran yang memberi petunjuk ke arah kecemerlangan hidup dunia dan akhirat. 

Ingatlah sabda Nabi  s.a.w yang bermaksud: "Sesiapa yang membaca satu huruf dari al-Quran, maka baginya diberi sepuluh pahala dan ditambah sepuluh lagi kewajiban seumpamanya, tidak aku katakan ( alif, lam, mim ) itu satu huruf, akan tatapi alif satu huruf dan lam satu huruf dan mim satu huruf.

Hadis Riwayat At Tirmizi. 

Renungi firman Allah swt dalam surah al-Israa ayat 45:

وَإِذَا قَرَأْتَ الْقُرْآنَ جَعَلْنَا بَيْنَكَ وَبَيْنَ الَّذِينَ لاَ يُؤْمِنُونَ بِالآخِرَةِ حِجَابًا مَّسْتُورًا

Maksudnya: “Dan apabila kamu membaca Al-Qur'an, Kami jadikan antaramu dan orang yang tidak beriman kepada hari akhirat itu, suatu dinding yang tertutup.”

Tuesday, December 30, 2014

Penggajian Pondok Dulu Dan Kini

Ada baiknya kita memahami konsep institusi penggajian ini yang sejak sekian lama di kalangan masyarakat Melayu di dalam mencari ilmu pengetahuan lebih-lebih lagi berkaitan ilmu agama. Banyak yang diperkatakan tidak kurang yang mempunyai pandangan yang tidak tepat malah bersifat negatif  terhadap pembelajaran pondok dewasa ini.

Pendidikan Islam sebenarnya telah beroperasi di bawah zaman penjajahan selama lebih 400 tahun; sejak Empayar Melaka lagi. Pendidikan pada zaman tersebut adalah berteraskan Islam hasil daripada kedatangan agama suci tersebut ke rantau Asia yang kemudiannya merebak ke Melaka. Sejarah ada menyebutkan bahawa pendidikan Islam pada awal usianya mula diajar di rumah-rumah guru, kemudian berpindah ke masjid, surau, madrasah sebelum berpusat sepenuhnya di sekolah pondok.

Sehinggalah muncul Penyata Razak 1956 dan Penyata Rahman Talib 1960. Kedua-dua penyata ini telah menyebut untuk meletakkan mata pelajaran Pendidikan Islam dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan. Pernyataan tersebut telah dipersetujui maka pada tahun berikutnya, Akta Pelajaran 1961 telah memuatkan mata pelajaran Pendidikan Islam dalam jadual waktu persekolahan dengan diberi peruntukan masa sebanyak 120 minit seminggu.

Pada hujung tahun 1960-an hingga awal 1970-an, beberapa orang pelajar telah mengemukakan usul agar masa untuk mata pelajaran Pendidikan Islam ditambah. Selain itu, mereka juga menuntut agar mata pelajaran tersebut turut diajar di maktab-maktab perguruan, manakala subjek Agama Islam dan Tamadun Islam hendaklah diperkenalkan di pusat-pusat pengajian tinggi. Lebih prihatin akan keperluaan dan kehendak akan datang, mereka mendesak sebuah universiti Islam diwujudkan dalam negara dan mata pelajaran Agama Islam hendaklah diwajibkan dalam peperiksaan awam bagi memartabatkan lagi agama persekutuan ini.

Pondok adalah satu institusi teristimewa dan tinggi kedudukan dalam masyarakat Melayu yang mengamalkan ilmu secara tradisional. Sebuah gedung ilmu ini yang diwarisi secara turun-temurun yang berperanan dalam mengenal Allah dan Islam melalui ilmu Tauhid, Tafsir, Usul al-Fiqh, Tasawuf, Hadis, Tajwid, Sirah, Fardhu Ain dan sebagainya. Perkataan pondok berasal dari perkataan Arab " Funduqun" (فندوق ) yang membawa maksud rumah tumpangan atau tempat menginap pengembara-pengembara zaman lampau di dalam perjalanan. Terdapat juga definisi sebagai rumah kecil atau pondok kecil yang didirikan untuk sementara waktu di sawah-sawah, ladang atau lain-lain tempat yang mempunyai deretan rumah kecil. Ada pula yang mengatakan perkataan langgar yang berasal dari perkataan Parsi seerti dengan pondok.

Di Tanah Melayu yang tertumpu di Pattani, Kelantan, Terengganu dan Kedah; pondok-pondok itu dikenali berdasarkan nama guru yang menjadi pengasas atau nama tempat/kampung seperti pondok Tok Kenali dan pondok Pasir Tumbuh di Kelantan. Proses pemindahan ilmu dan budaya dalam hidup bersyariat samaada secara formal atau tidak formal. Selain itu, institusi pondok adalah sistem pendidikan secara formal dan tinggi.

Institusi pengajian pondok adalah institusi pendidikan yang tertua di Tanah Melayu. Namun, tidak ada sebarang bukti atau catatan yang jelas dan sahih akan  tarikh sebenar kewujudan institusi ini. Apa yang pasti, sekolah pondok muncul tanpa dirancang. Ia telah berkembang atas dasar keperluan dan  sambutan orang ramai yang amat dahagakan ilmu hingga ramai yang datang ke satu-satu tempat untuk berguru dengan Tok Guru mereka.

Dari perspektif Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, ‘sekolah pondok’ merupakan institusi pengajian dan pendidikan  Islam mengikut kaedah tradisional.  Terdapat pelbagai nama yang diberikan kepada sekolah pondok seperti Pesantren di Jawa, Penjentren di Madura, Ranggang di Aceh dan Surau di Minangkabau.

Sekolah pondok  adalah sebuah kawasan yang di dalamnya terdapat institusi pengajian Islam yang berbentuk tradisional. Terdapat rumah-rumah kecil yang didirikan berasingan. Bentuknya hampir sama antara satu dengan yang lain. Rumah-rumah ini didirikan secara tersusun yang berhampiran dengan rumah Tuan Guru dan Surau atau Masjid.  Rumah-rumah kecil tersebut merupakan tempat tinggal pelajar, manakala Surau atau Masjid dijadikan tempat belajar dan beribadah.

Ciri-ciri Pendidikan Sekolah Pondok

Sepertimana dikongsikan di atas, namun diperhalusi mengikut skop pemahaman yang lebih jelas dibawah ini.

Ilmu agama
Dari segi pembelajaran sukatan pembelajaran yang didedahkan kpd para pelajar adalah tidak tersusun, ia bergantung kepada kemahiran guru. Antara mata pelajaran yang diajar ialah tauhid, tafsir, fekah, nahu saraf, hadis, doa-doa yang ada kaitan dengan kehidupan seharian. Para pelajar juga didedahkan dengan kaedah menulis dan menguasai kaedah jawi dan bahasa Arab.

Ilmu perubatan
Sesetengah institusi pendidikan pondok mendedahkan ilmu perubatan tradisional yang menggunakan bahan-bahan seperti akar kayu di samping jampi-jampi yang menggunakan ayat-ayat Al-Quran. Antara kitab yang berkaitan ialah Tashil al Manafi fi al Tibbi wa al Hikmah, Kitab Mujarabad dan lain-lain.

Mata pelajaran sampingan
Untuk menghilangkan rasa jemu di kalangan para pelajar mata pelajaran seperti berNasyid, berZanji, Marhaban dan Qasidah sebagai selingan dan menarik minta yang lebih mendalam.

Bahasa pengantar
Pembelajaran dijalankan dalam bahasa Melayu memandangkan banyak kitab-kitab Arab telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu.

Tenaga pengajar
Para pelajar kebiasaannya diajar secara percuma, guru di sekolah pondok hanya mendapat khidmat tenaga anak-anak muridnya yang mengerjakan tanah sawah atau kerja-kerja pertukangan.

Keadaan sedemikian Berjaya menjalin hubungan antara guru dan anak-anak muridnya menjadi  rapat, bukan sahaja kerana kealiman guru berkenaan, bahkan rasa tanggungjawab guru berkenaan apabila para IbuBapa menyerahkan anak-anak mereka untuk dididik oleh guru berkenaan maka tersimpul satu hubungan keluarga.

Tempoh belajar 
Tempoh masa belajar di sekolah pondok tidak terhad, ada di kalangan para pelajar berada di institusi ini selama 10 tahun, malah ada di kalangan yg berpindah dari satu pondok ke pondok yang lain 

Kaedah pembelajaran
Kebiasaannya dalam bentuk “Halaqah”, di mana para pelajar akan membuat separa bulatan mengelilingi guru mereka. Selain itu guru-guru juga menggunakan kaedah Hafalan, syarahan (kuliah), perbincangan (muhadatah), soal jawab perdebatan (mujadalah), pengembaraan (rehlah) dan lain-lain.

Lepasan pondok
Mereka akan menjadi tenaga pengajar di institusi pondok. Bagi yang berpeluang melanjutkan pelajaran ke Aceh, Mekah dan Madinah, apabila kembali mereka lazimnya akan mengajar di pondok yang sama atau di tempat lain. Mereka turut bertindak menjadi pendakwah di surau atau masjid berdekatan atau setempat.

Faktor-faktor yang Menyebabkan Sekolah Pondok Masih Kekal

Sebelum ini, kita telah melihat sejarah perkembangan sistem pengajian pondok yang pada mulanya mendapat sambutan tetapi kian merosot permintaannya berikutan kewujudan sekolah-sekolah sekular dan sekolah-sekolah agama. Walaupun institusi ini mengalami pasang surut, para alim Ulama dan guru tidak pernah berpatah hati berputus harap sebaliknya terus berusaha memperjuang institusi warisan Rasulullah S.A.W. ini. Hal ini terbukti apabila sistem pengajian pondok mencapai zaman kegemilangannya pada abad ke-20. Kejayaan ini adalah hasil usaha para alim Ulama yang terdahulu  telah berjaya melahirkan ramai anak murid berkebolehan dan menanam semangat kecintaan mereka dan masyarakat terhadap agama Allah.

Sebab lain yang menjadi pendorong masyarakat menerima semula institusi ini adalah kerana kitab-kitab yang digunakan telah diterjemah oleh para guru yang mahir. Tambahan pula, kitab-kitab tersebut tidak lagi ditulis tangan tetapi dicetak mengikut peredaran zaman. Dengan adanya kitab-kitab bercetak ini, masyarakat dapat mengikuti “Halaqah” pengajian agama di pondok-pondok mahupun di masjid-masjid. Kewujudan kitab yang dicetak dan dikarang dalam Bahasa Melayu turut membantu perkembangan institusi pondok menjadikan ia sebuah institusi yang paling terkenal dengan pengajaran agama.

Tahun demi tahun berlalu, pusat pengajian pondok telah mengalami era kebangkitan semula setelah sekian lama dipulaukan. Demi mempertahankan fungsinya sebagai pusat pengajian agama yang paling berkesan pada tahun 1981, Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan telah diserapkan ke dalam Universiti Malaya dan dikenali dengan Akademi Pengajian Islam. Manakala pada tahun 1995, para guru dan alim Ulama telah mengambil inisiatif menubuhkan Pusat Pembangunan Pondok Berhad (PPPB).

Pusat yang dibina di Kelantan itu bermatlamat membangunkan pondok-pondok yang bernaung di bawahnya samaada dari aspek pentadbiran pondok, kemudahan asas ataupun guru-guru yang yang mengajar. Antara sekolah-sekolah pondok di bawah naungan PPPB ialah:
1) Madrasah Diniah Bakriah (Pondok Pasir Tumbuh)
2) Madrasah Rahmaniah (Pondok Lubuk Tapah)
3) Madrasah Muhammadiah (Pondok Sungai Durian)
4) Madrasah Yusufiah (Pondok Gelang Mas)
5) Madrasah Fununiah Tunjuniah (Pondok Tunjung)

Institusi pondok semakin tersinar indah dan jelas kelihatan apabila ia melahirkan ramai cendekiawan terkenal di rantau ini. Walaupun sistem pendidikan moden tumbuh bagai cendawan selepas hujan, itu  sedikit pun tidak menggugat sistem pengajian pondok secara keseluruhannya. Para pencinta dan pendokong institusi pondok masih mengekalkan sistem pengajian pondok yang asal, dan ada juga yang menggabungkan kedua-dua sistem persekolahan dan sistem pengajian pondok, dikenali sebagai “sistem ala-pondok”. Di antara sekolah-sekolah pondok yang masih mengekalkan identiti dan sistem pengajian tradisional adalah Pondok Pasir Tumbuh Kota Bharu, Pondok Sungai Durian Kuala Krai dan Pondok Lubuk Tapah Pasir Mas.

Walaupun begitu, terdapat sedikit pengubahsuaian dari sudut kurikulum dan kokurikulum dalam sistem pengajian pondok. Umumnya, kurikulum di sekolah pondok selepas Merdeka masih mengekalkan asasnya.

Tahap 1 : Mengenal al-Quranul Karim.
Tahap 2 : Belajar kitab-kitab Jawi kecil dan asas Bahasa Arab
Tahap 3 : Belajar kitab-kitab Jawi besar dan kitab Arab kecil
Tahap 4 : Menghabiskan kitab-kitab.

Kaedah digunakan sebelum merdeka diteruskan, seseorang pelajar akan didedahkan kepada kitab yang rendah (asas) sebelum berpindah ke kitab yang besar. Berkaitan dengan kokurikulum pula, para pelajar diajar cara-cara untuk bersyarah, berzanji, berzikir, menjadi Imam solat dan menyampaikan ceramah atau tazkirah. Tidak terhad dengan itu, para pelajar juga didedahkan dengan kerja-kerja kebajikan yang membabitkan masyarakat setempat.

Terbukti sudah, sistem pengajian pondok telah mengambilkira keperluan semasa dengan mendedahkan pelajar kepada aktiviti-aktiviti sosial. Bermuamalah dengan orang sekeliling adalah salah satu cara mereka berdakwah selain cara berpakaian dan perilaku yang sopan yang mampu menjadi teladan terutama kepada golongan belia di luar.

Kesimpulan

Institusi pondok terus tersergam dengan wajah-wajah generasi yang berganti-berganti, mereka dinilai sebagai penyambung warisan para Ulama. Sejarah telah menceritakan bagaimana institusi warisan Rasulullah S.A.W. ini telah mengalami jatuh bangun sehingga ada sebilangan sekolah pondok terpaksa ditutup. Sejarah juga menceritakan jerit perih para alim ulama yang bergadai usaha dan tenaga demi menyelamatkan institusi ini Semuanya hanya kerana satu matlamat; memartabatkan agama Allah.

Dewasa ini, kita melihat kewujudan sekolah pondok di kebanyakan negeri. Setiap satu tetap menjunjung cita yang sama, dari dulu, kini dan selamanya, yakni melahirkan generasi celik al-Quran dan cintakan Islam. Namun, kita harus berpijak ke bumi yang nyata berdasarkan perkembangan semasa, matlamat ini hanya tinggal cebisan kata-kata kerana masyarakat sekarang fikirannya sudah jauh berbeza berbandingkan dengan masyarakat dahulu. Kalau dulu sekolah pondok ini diagung dan dipuja, tapi sekarang sekolah pondok semakin dilupa kerana mereka lebih mementingkan pendidikan yang lebih moden. Tidaklah menjadi suatu kesalahan untuk menghantar anak-anak ke sekolah biasa kerana manusia punya pilihan. Sekolah harian biasa juga ada kelebihannya sendiri. Tetapi jauh dari itu, jika difikir dalam-dalam, sebenarnya hal ini menyebabkan negara semakin tandus pimpinan Ulama.

Siapa lagi yang boleh diharapkan untuk menyebarkan dakwah Islam secara terus dan telus kepada masyarakat kalau bukan mereka? Di mana lagi tempat untuk melahirkan golongan agama serupa ini kalau bukan di sekolah-sekolah pondok? Bila lagi mahu si anak menjadi insan yang mampu menghafaz dan mengamalkan al-Quran, kalau bukan dari sekarang?

Memang bertepatan seperti yang disabdakan Rasullullah s.a.w,

“Bahawasanya Allah SWT tidak mencabut (menghilangkan) ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) manusia. Tetapi Allah SWT menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim Ulama. Maka apabila sudah ditiadakan alim-Ulama, orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai peminpin mereka. Maka apabila pemimpin yang jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan orang lain.”

Diharapkan semoga kita semua dapat menjadikan hadis ini sebagai pedoman dan perhatian. Kalau bukan orang Islam sendiri yang mempertahankan institusi pondok, siapa lagi? Adalah diharapkan agar institusi ini terus mendapat tempat dan mekar di jiwa masyarakat supaya agama Islam terus gah di hati rakyat, di mata dunia.

Semoga usaha yang dilakukan oleh warga-warga sekolah pondok ini tidak terhenti di tengah jalan dan terus bernafas demi menaikkan lagi nama institusi tersebut dan seterusnya meningkatkan penguasaan mereka dan masyarakat sekeliling terhadap agama Allah dengan kalimah

Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!

Rujukan

Buku:
Choon Lean Keow, 2008, Falsafah dan Pendidikan di Malaysia, Kumpulan Budiman Sdn. Bhd., Subang Jaya, Selangor.
Haji Abdullah Ishak, 1995, Pendidikan dan Pengaruhnya di Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka, Selangor Darul Ehsan
Ismail Ab. Rahman, 1992, Pendidikan Islam Malaysia, Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, Selangor Darul Ehsan


Internet:
http://www.al-bakriah.com.my
http://kongrespendidikan.blogspot.com
http://www.iluvislam.com
http://melayu-pipi.tripod.com
http://mohamadzahrawi.blogspot.com
http://riwayat-hidupku.blogspot.com
http://tunteddy.blogspot.com