Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal
Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-68 yang bersidang pada 12 Apr 2005 telah
membincangkan Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama
Orang Bukan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa:
Dalam menentukan perayaan orang bukan Islam yang boleh dihadiri oleh orang Islam beberapa kriteria utama perlu dijadikan garis panduan supaya ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Kriteria-kriteria tersebut adalah seperti berikut;
1. Majlis tersebut tidak disertakan dengan upacara-upacara yang bertentangan dengan akidah Islam.
“bertentangan dengan akidah Islam” yakni sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan
menyebabkan tercemarnya akidah umat Islam.
Contohnya;
i. menyertakan simbol-simbol agama seperti salib, memasang
lampu, lilin, pokok krismas dan sebagainya.
ii. menyanyikan lagu-lagu bercirikan agama.
iii. meletakkan apa-apa tanda bercirikan agama pada dahi,
atau tanda-tanda lain pada anggota tubuh.
iv. memberikan ucapan atau isyarat yang berbentuk pujian
kepada agama orang bukan Islam.
Contohnya. OMG. Cross my heart.
v. tunduk atau melakukan perbuatan seolah-olah menghormati
upacara agama orang bukan Islam.
2. Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang
bertentangan dengan syarak.
Maksud “bertentangan dengan syarak” ialah sesuatu
perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan bertentangan
dengan ajaran Islam yang diamalkan oleh masyarakat Islam.
Contohnya:
i. Memakai pakaian berwarna merah seperti Santa Claus atau
pakaian lain yang melambangkan agama;
ii. Menghidangkan minuman atau makanan yang memabukkan dan
seumpamanya;
iii. Mengadakan bunyi-bunyian atau hiasan seperti loceng
gereja, pokok krismas, kuil atau memecah kelapa;
iv. Mengadakan acara yang berunsur perjudian, penyembahan,
pemujaan, khurafat dan sebagainya.
3. Majlis tersebut tidak disertakan dengan “perbuatan yang bercanggah
dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam” di negara ini.
Maksud “bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya
masyarakat Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan
yang jika dilakukan akan bertentangan dengan nilai dan norma kehidupan
masyarakat Islam Negara ini yang berpegang kepada ajaran Islam berdasarkan Ahli
Sunnah Wal Jamaah.
Contohnya:
i. Percampuran bebas tanpa batas dan adab sopan;
ii. Berpakaian yang menjolok mata;
iii. Mendendangkan lagu-lagu yang mempunyai senikata
berunsur lucah serta pemujaan;
iv. Mengadakan program seperti pertandingan ratu cantik,
laga ayam dan sebagainya.
4. Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang
boleh“menyentuh sensitiviti masyarakat Islam”.
“menyentuh sensitiviti masyarakat
Islam” bermaksud sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika
dilakukan akan menyinggung perasaan umat Islam tentang kepercayaan dan amalan
mereka.
Contohnya:
i. Ucapan-ucapan atau nyanyian berbentuk dakyah keagamaan
bukan Islam;
ii. Ucapan-ucapan yang menghina umat Islam;
iii. Ucapan-ucapan yang menghina agama Islam;
iv. Persembahan yang bertujuan mempersendakan pegangan agama
masyarakat Islam.
5. Pihak penganjur dan orang ramai diminta mendapatkan
pandangan pihak berkuasa agama sebelum menganjur atau menghadiri majlis
perayaan orang yang bukan beragama Islam.
Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia antaranya telah mengesani budaya ini dipandang enteng dan sebagai satu budaya yang dianggap terkini tapi telah menyimpang jauh dari ajaran Islam yang sebenar.
Masyarakat Agama Islam diajak lebih peka dan berpesan-pesan untuk menjaga kemuliaan dan martabat Agama yang dicipta sebagai Ad-Din.
No comments:
Post a Comment