Friday, September 18, 2015

Mati Katak Guna Teksi Haram

Perkhidmatan 'kereta sapu' atau bahasa yang kerap digunakan sebagai 'teksi haram' bagaikan satu penyakit kronik di dalam sektor pengangkutan awam darat. Liat dan amat tegar dicegah lantaran sikap para pengguna itu sendiri.

Sikap para pengguna yang tidak ambil kesah kesahihan perkhidmatan teksi banyak mengundang keburukan kepada industri teksi yang sering dicemuh juga kerana sikap sesetengah pemandu teksi berlesen sendiri. Ada pemandu yang bersikap terlalu memilih pelanggan, laluan dan "jual mahal" apabila terdapat pengguna yang ingin mendapatkan perkhidmatan mereka.

Para pengguna juga bagai memekak telinga akan realiti sebenar di sebalik menggunakan perkhidmatan 'teksi haram'. Berbanding teksi berlesen, andai berlaku sebarang kemalangan, perlindungan tetap diberikan kerana perlindungan insurans "First party compensation" kepada pemandu, kereta dan penumpang perkhidmatan. 

Dengan 'teksi haram'...MATI kataklah!

Benarlah 'kereta sapu/teksi haram' mudah sebab tidak ada karenah laluan perkhidmatan. Murah??? Tidak juga,jika dikirakan penumpang mempertaruhkan nyawanya di dalam keadaan sebuah kereta yang tidak "berpermit", berjadual penjagaan kenderaan ataupun seorang pemandu yang berkelayakan di belakang stering teksi. Sebenarnya harga yang dikenakan pemandu kereta sapu/teksi haram adalah jauh lebih mahal dan memberi keuntungan penuh kepada pemandu dan bukan keselamatan pengguna.

Bagi pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sikap pengguna yang sebegini menyukarkan lagi operasi membanteras perkhidmatan 'kereta sapu/teksi haram'. Ini berikutan perkhidmatan tersebut mendapat permintaan yang menggalakkan terutamanya di kawasan pelancongan atau 'tourist belt'.

Bercakap kepada pemberita dalam sidang media setelah satu operasi banteras teksi sapu di Johor Bahru semalam, Ketua Jabatan Penguatkuasa SPAD; Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata, "Di Johor Baharu sahaja, kenderaan sapu boleh didapati di setiap pelosok termasuk di Mersing. Perkhidmatannya juga bukan hanya terdiri daripada kereta jenis Perodua Myvi malah melibatkan kereta mewah seperti BMW dan Mercedez. Ini yang menyukarkan usaha kita, sebab itu SPAD meminta orang ramai menggunakan perkhidmatan yang sah".

Dalam sidang media tersebut, Datuk Che Hasni turut memaklumkan sejak bulan Oktober tahun lepas, hampir 450 kes membabitkan kereta sapu/teksi haram atau kenderaan persendirian yang menawarkan perkhidmatan sewaan tanpa permit di Semenanjung telah direkodkan SPAD. Di Johor sahaja, sebanyak 93 buah kenderaan yang melakukan kesalahan tersebut ditahan.

"Sejak Oktober tahun lepas juga, SPAD telah menyita sebanyak 130 kenderaan, 13 telahpun didenda oleh pihak Mahkamah. 96 kes dipohon untuk dilucutkan hak pemilikan kenderaan dan 49 lagi kes sedang dihadapkan ke Mahkamah untuk proses pendakwaan," menurutnya.

Bagi menekankan betapa SPAD memandang serius perkara ini, Datuk Che Hasni mengingatkan mana-mana individu yang melakukan kesalahan memberi perkhidmatan sewaan tanpa permit boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 atau dipenjara selama setahun atau kedua-duanya sekali jika tersabit kesalahan di bawah Seksyen 16 Akta Pengangkutan Darat.

Denda maksimum RM100,000 akan dikenakan ke atas pengusaha syarikat yang memiliki kenderaan yang terbabit di bawah akta yang sama.

No comments:

Post a Comment