Tuesday, November 24, 2015

Coretan Pengalaman Pengangkutan Awam Darat: Pengendali dan Penguatkuasa

Pada 14hb November lepas, saya menaiki bas ekspres dengan hasrat memenuhi jadual kerja di Lembah Kelang. Harapan dapatlah badan berehat sepenuhnya sebelum tiba di sana nanti. Perjalanan dijadualkan bertolak jam 8.00 pagi serta dijangkakan tiba di Terminal Bersepadu Selatan, Bandar Tasik Selatan pada jam 12.30 tengahari. 
Namun sudah menjadi kebiasaan, sistem pengangkutan awam darat ini tidak menetapi jadual atau saranan penambahbaikan berbanding prasarana moden dan menarik yang disediakan bagi memulihkan imej dan perkhidmatan sejak berzaman lamanya. Sikap melepaskan batuk di tangga ternyata terlalu tebal di kalangan pengendali bas ekspres dan tidak terkecuali pemandunya. Kesalahan dan ada sahaja kekurangan ditudingkan kepada penguatkuasaan dengan pelbagai alasan lain diberikan.

Hanya pada jam 8.10 pagi, baru bertolak dari Perhentian Bas di Butterworth dengan 13 kekosongan. Pernah, saya ternanti hingga hampir 40 min lewat baru syarikat bas yang sama bertolak dari pengkalan di Butterworth. Tidak lama kemudian, bas ekspres yang dinaiki berhenti singgah di tepi jalan di Jalan Perai. Pejabat tiket bas ekspres di sebelah stesen minyak Caltex, mengambil seorang penumpang dan pemandu kedua. 
Pendapat penulis, bas tersebut akan meneruskan perjalanan ke ibukota, Kuala Lumpur meleset memandangkan pemandu bas memandu ke bandar Bukit Mertajam. Di sana, berhenti lagi di pejabat tiket yang kedua pula. Kekosongan dipenuhi di perhentian kedua, malahan ada penumpang lebih...disediakan kerusi plastik di sebelah pemandu. Amat membahayakan!
Gambaran dekat ketika berhenti di Hentian Rehat Gua Tempurung, Ipoh, Perak.

Setelah sekian lama, bas mula bergerak dari Bukit Mertajam pada jam 8.45 pagi dan tiba di Tol Juru pada kurang lebih jam 9.00 pagi. Sebagai "to make up time lost" (dengan izin, pemanduan dapat dirasai telah melebihi had laju bagi kenderaan pengangkutan; 90 km/jam.

Perjalanan bagaimanapun agak lancar kecuali kesesakan di lebuhraya Utara-Selatan melewati Rehat dan Rawat Sg. Perak arah Selatan ke Terowong Menora, memandangkan di laluan yang sama menuju ke Utara, sebuah lori treler telah terbalik merentangi dua laluan hingga menyebabkan kesesakan mulai terbina. Seperti lazimnya sikap "prihatin" pengguna di laluan yang tidak terlibatpun turut menyesakkan dengan kenderaan memperlahankan kelajuan untuk pemandu dan penumpang menjadikan sebagai bahan untuk bergosip dan bercerita.
 Pudu Sentral kini menjadi perhentian perkhidmatan bas 
henti-henti dalam bandar bermula pada 1hb November 2015

Hentian Duta merupakan perhentian bagi bas ekspres arah
Utara. 

Satu pandangan biasa di dalam kesibukan kenderaan pemilik kotaraya
bersimpang siur dengan pembangunan untuk keselesaan rakyat.

Ketibaan di kotaraya kali ini agak berbeza, memandangkan perhentian bas ekspres telah dipindahkan dari Pudu Sentral ke Terminal Bersepadu Selatan yang terletak di Bandar Tasik Selatan kira-kira 30 minit perjalanan dengan kesesakan dek penghuni kotaraya memenuhi jalanraya untuk pulang dari tempat kerja berhujung minggu. Tambahan pula, dengan pesatnya pembinaan Mass Rapid Transit (MRT) di kawasan yang terlibat demi keselesaan di masa depan pengguna. Antara usaha dalam pelan "The Greater Klang Valley" oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menghubungkan rakyat dan pengguna di dalam urusan mereka seharian agar lebih lancar dan memudahkan pergerakan. 

Bas ekspres yang dinaiki berhenti di Hentian Duta pada jam 1.40 tengahari. Saya mengambil keputusan turun di situ memandangkan tiba lewat dari jadual dan perlu awal menetapi satu janjitemu di KL Sentral. Dalam kesempatan itu melalui pemerhatian dan perbualan dengan orangramai di Hentian Duta, ada usaha yang perlu ditambahbaikkan di sini. Bagi pengunjung dari luar untuk memasuki ibukota Kuala Lumpur, kecuali ada saudara ataupun kenalan yang datang mengambil mereka, terpaksa menggunakan perkhidmatan teksi bermeter. Tidak terdapat perkhidmatan bas henti-henti seperti Rapid KL. Penulis sendiri dikenakan caj sebanyak RM13.70 tidak termasuk caj laluan (RM1.00) untuk keluar dari hentian teksi Hentian Duta untuk ke KL Sentral.
Suasana di dalam Terminal Bersepadu Selatan yang semakin menjadi 
titik sambung perjalanan ke pusat kotaraya.

Begitupun, aplikasi MeterOn yang diperkenalkan SPAD banyak membantu sebagai garis panduan kadar perjalanan sesuatu perjalanan teksi di Kuala Lumpur, yang sudah sewajarnya diikuti oleh pengusaha dan pemandu teksi di bandar-bandar lain. Malangnya, masih terdapat pemandu tersebut gagal mematuhi teksi bermeter sedang kadar baru atau kenaikan caj telah dikuatkuasakan sejak 19hb Mac lalu, terutama oleh mereka di luar Lembah Kelang. 

Lebih teruk lagi melihatkan sikap sesetengah pemandu yang sombong dan berkelakuan seperti "gengster" dengan bakal ataupun pengguna khidmat teksi. 

Sistem pengangkutan awam (bas dan teksi) yang sediada memperlihatkan sikap pengendali dan pengguna yang amat berbeza jika dibandingkan dengan sistem pengangkutan lain seperti keretapi. Adapun pengguna kerana keterpaksaan berdiam diri dan menerima keadaan tetapi di sudut lain hebat mempersoalkan kenapa dan bagaimana?

Melihatkan banyak usaha meningkatkan imej sistem pengangkutan awam darat telah dilakukan oleh SPAD dan masih giat berlangsung. Malangnya sesetengah pihak di kalangan industri bas dan teksi serta juga penumpang/pelanggan perkhidmatan ini, lebih bersifat mementingkan diri atau menudingkan jari.

Mahu permit teksi, dapat. Mahu permit bas, dapat. Mahu prasarana yang moden sejajar dengan pembangunan negara, pun dapat. Bila syarat-syarat dan terma industri tidak dipatuhi dan dikenakan tindakan, lantas melakukan protes jalanan dan memorandum bantahan. Kononnya telah dianaktiri dan dibohongi serta tidak berlaku adil. Penumpang dan pengguna perkhidmatan pula ramai yang merungut kerana perkhidmatan yang tidak memuaskan oleh pengendali industri, tetapi bersikap menyalahkan Kerajaan dan agensi yang bertanggungjawab, terlebih lagi terhadap SPAD.
 Kemudahan ruang simpanan di sini untuk RM5.00

Kemudahan ruang simpanan terletak di Aras 1, KL Sentral

Bermusafirnya saya di Kuala Lumpur berakhir pada 16hb November dengan menaiki tren menuju ke utara. Sebelum itu sempat menggunakan perkhidmatan simpanan barangan yang disediakan di KL Sentral. Mudah digunakan. Hanya pilihkan ruang simpanan berharga RM3.00, RM5.00 ataupun RM10.00 satu ruangan mengikut kesesuaian. Bayar Token di mesin dan masukkan di slot di ruang simpanan yang dipilih. Kuncikan dan Anda bebas bergerak.
Di Aras 2, kelihatan ramai penumpang perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB); Electric Train Service (ETS) dan Ekspres Rakyat yang bakal meneruskan perjalanan ke utara berkumpul di Platfom B, sedang di Platfom adalah untuk penumpang perkhidmatan tren yang turun di KL Sentral.

Terdetik juga pertanyaan melihatkan begitu ramai penumpang menantikan panggilan untuk menaiki koc Ekspres Rakyat. Dalam itu melalui siaraya diumumkan penumpang ETS untuk turun ke platfom bawah dan dalam jarak 5 minit, penumpang Ekspres Rakyat pula dipanggil.

Berlaku insiden kekeliruan penumpang disebab dua perkhidmatan ke utara berada di paltfom yang sama. Penulis berpendapat, andainya ada inisiatif oleh pihak KTMB mengguna pemisah (barrier) di kawasan yang bertanda anak panah, kemungkinan besar kecelaruan dapat dielakkan.  

Jom sama-sama perhatikan jadual perkhidmatan tren KTMB. 
 Jadual ETS berkuatkuasa 10hb Oktober 2015

Jadual tren Ekpres berkuatkuasa 10hb Oktober 2015


Perkhidmatan tren yang disediakan

Berdasarkan dua jadual di atas, sedikit sebanyak kegawatan yang berlaku adalah di atas perancangan yang kurang teliti memandangkan kebanyakan stesen persinggahan baik ETS mahupun tren Ekspres dan Komuter yang bertindih dipisahkan masa penjadualan perjalanan yang begitu hampir.
Tepat jam 4.15 petang, panggilan dibuat untuk penumpang Ekspres Rakyat menuju ke Butterworth menaiki koc yang telah ditetapkan. Koc yang yang dinaiki adalah yang terakhir dari sejumlah 10 koc canggih dan selesa dengan kemudahan yang menepati keperluan pelanggannya dan mampu menampung jumlah antara 600 hingga 1,000 orang penumpang.
Perkhidmatan menjadi pilihan memandangkan pengalamannya berbeza berbanding menggunakan jalanraya membelah bandar. Keretapi memberi peluang melihat keindahan alam semula jadi negara di sepanjang perjalanan bukan sahaja kepada pelanggan domestik malahan mendapat sam­butan yang baik daripada pelancong asing.
Selamat tinggal Kuala Lumpur...sehingga bertemu lagi...

Koc yang dinaiki penulis seperti 9 koc yang lain penuh dengan pelanggan.

Di salah satu stesen persinggahan yang nyata parkir kenderaan
penuh oleh pelanggan KTMB yang berpuashati.

Berbeza dengan dalaman koc yang sebelumnya, kini 
kontras lebih menarik, bersih dan bertenaga.

Konduktor tren yang mesra dan berbudi bahasa.

Lebih dari separuh perjalanan pulang ke utara, dihabiskan di koc Buffet (kantin) yang menawarkan pelbagai sajian siap dan sajian "made to order" yang terpilih. Kebetulan dua orang kakitangan KTMB sedang berehat. Penulis ambil peluang mendapatkan beberapa maklumat dari mereka.

Perbualan kami berkisar mengenai perkhidmatan tren dan kekalutan yang berlaku di KL Sentral. Dimaklumkan penjadualan ETS dan tren Ekspres turut gawat memandangkan trek di KL Sentral turut digunakan oleh perkhidmatan Komuter. Tambahan pula, perancangan dan kawalan pergerakan penumpang KTMB menurut mereka tidak dilakukan secara fizikal dan melibatkan semua agensi yang berkaitan.

Turut disarankan persinggahan perkhidmatan yang sama oleh ETS dan Ekspres Rakyat turut mengelirukan sesetengah pelanggan walaupun perjalanan mereka telah ditetapkan. Ini dapat dielakkan dari awal pemisahan perjalanan seperti yang dikongsikan melalui foto yang bertanda anak panah.

Diberitakan kerana perselisihanan masa jadual ETS dan Ekpres Rakyat, ada beberapa orang pelanggan ETS yang terlepas dan menumpang khidmat Ekspres Rakyat walaupun terpaksa turun luar dari laluan stesen ETS.
Perjalanan menuju ke Butterworth memasuki zon hujan sejak melewati Stesen Tanjung Malim dan secara langsung memperlahankan sedikit kelajuan tren. Saya mengambil masa yang berbaki menghayati keindahan alam dan berbual dengan pelanggan KTMB dalam kesempatan yang ada. 

Akhirnya perjalanan tren tiba di perhentian ke sepuluh dan terakhir di Stesen Keretapi Butterworth pada jam 10.00 malam, lewat dari jadual asal hampir lima belas minit kerana keadaan hujan di sepanjang laluan.

Dari kejauhan, kedengaran suara memanggil...."Bang, minta tolong satu perkara. Minta agar pihak pengurusan tukar semula Ekspres Peninsular kepada Ekspres Rakyat (pagi)
dan Ekspres Langkawi (malam)." Rupanya salah seorang dari kakitangan KTMB yang ditemui di koc Buffet sedang menanti saya turun dari koc terakhir.

Saya bertanya: "Kenapa?" Staf KTMB: "Dua nama itu sudah sebati dengan pengguna perkhidmatan KTMB sebelum ini. Ramai dapat kenalpasti masa perkhidmatan, lebih menarik kepada pengguna dari kalangan pertengahan. Abang buatlah penulisan harapan kami dengan harapan pelanggan akan sampai ke pendengaran pihak atasan."

Saya: "In shaa allah. Saya tuliskan. Terima kasih di atas layanan sepanjang saya mengguna khidmat KTMB (dalam hati, ada kebenarannya. Ini dapat elakkan kekeliruan penumpang dan kakitangan yg kendalikan kunjungan seperti yang saya perhatikan di 
KL Sentral itu)."

Untuk perjalanan yang dirancang terutama untuk menggunakan perkhidmatan Electric Train Service (ETS), adalah dicadangkan dibuat secara 'ONLINE" seminggu lebih awal di http://www.ktmb.com.my/

Manakala andainya terdapat sebarang pengaduan atau saranan mengenai pengangkutan awam darat bolehlah dibuat melalui laman sesawang SPAD dengan perincian gambar, tiket pembelian, masa dan tarikh kejadian, nombor kenderaan dan nama syarikat kenderaan di http://spad.spab.gov.my/eApps/sdmscasepool/SdmsCasePool/add.do

Bagi pengguna perkhidmatan teksi, ANDA boleh secara langsung melapurkan insiden melalui aplikasi MeterOn yang boleh didapati melalui 

No comments:

Post a Comment