Monday, December 14, 2015

Vape dan Amalan Muafakat Johor

Keghairahan kegunaan Vape sudah memuncak hingga campurtangan Sultan Johor bertitah mengharamkan penggunaan peralatan tersebut di negeri Johor Darul Takzim. Di dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor yang baru lalu, larangan atau pengharaman penjualan Personal Vaporizers (PV), atau yang kerap juga disebut vape, adalah satu dari banyak jenis rokok elektrik akan menempatkan negeri Johor secara rasminya yang pertama dan akur kepada titah yang dibuat Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor itu, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkuatkuasa pada 1hb Januari 2016.

Disebalik penafian oleh pelbagai pihak yang menampakkan kedegilan dan mencabar kuasa dan undang-undang, penggunaan Vape telah didapati menggunakan bahan kawalan 'nikotin' yang hanya boleh digunakan di bawah pemerhatian dan kawalan pengamalan perubatan yang terlatih dan berlesen. 
Tambahan lagi, Vape seolah satu fenomena baru dengan alasan berhenti merokok, yang mendapat liputan meluas di medan sosial hingga ada ketagihan penggunaannya di peringakat kanak-kanak seawal usia 11 tahun, amatlah mengemparkan khalayak ramai. Komuniti pengguna Vape juga dilihat seolah mencabar masyarakat umum dan penguatkuasa, menghela asap tebal di kawasan larangan menghisap rokok dan dengan terbuka.

Sebagai salah seorang Bangsa Johor, Yang Berhormat Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri merangkap Timbalan Presiden MCA, keputusan yang dibuat adalah bersesuaian dengan konsep Muafakat Johor yang diamalkan sekian lama dan menyanjungi titah ke bawah Duli Tuanku yang prihatin dan bimbang dengan gaya hidup yang melanda masyarakat sekarang sekaligus bakal menjejaskan tahap kesihatan rakyat.
Dakwaan yang dibuat oleh Pengerusi Pertubuhan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Mohd Ridzuan Abdulah bahawa 41% daripada 11 juta pengundi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu adalah golongan muda dan berhasrat mengumpul sejuta tandatangan bantahan usaha larangan Vape, merupakan satu usaha menggalak dan tegar akur kepada perintah dan Undang-undang.

Hasil kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan jurnal-jurnal perubatan dunia turut membangkitkan isu vape dengan penagihan nikotin, penyalahgunaan alat vape untuk menghisap dadah tanpa dikesan serta kesan jangka panjang vape yang mengandungi formaldehyde yang diketahui merupakan agen karsinogenik yang boleh mengakibatkan kanser.

Nikotin merupakan antara dadah yang termaktub di bawah Akta Racun. Membenarkan penggunaannya untuk menghasilkan liquid vape oleh orang ramai akan mendedahkan dan mengundang bahaya kepada kesihatan ramai.
Keputusan yang telah dibuat Kerajaan Negeri Johor berlandaskan titah Sultan Ibrahim Sultan Iskandar itu adalah berdasarkan pandangan dan keprihatinan kesihatan semata-mata tanpa sebarang agenda kepentingan atau perkauman.

Pandangan Datuk Wee, amanat menjalankan  arahan dan titah Sultan ini  menjadi mudah kerana ada Konsep Muafakat Johor yang diamalkan di negeri ini sekian lama. Pastinya arahan itu akan dikuatkuasakan tanpa sebarang bantahan.

Begitulah isu e-rokok ini. Adakah kita mahu menambah satu lagi masalah dengan vape/e-rokok pula?

No comments:

Post a Comment