Tuesday, January 17, 2017

PERKASA Kedah membantah pengambil-alihan tanah di Sungai Petani

Bertitik-tolak sebuah mesyuarat perjumpaan khas NGO-NGO dan beberapa pertubuhan mengenai pengambilan-alihan tanah “Green Lung” (Taman Jubli Sungai Petani) pada 16hb Januari 2017, sekali gus mengekalkan warisan sejarah di kawasan tersebut, satu surat bantahan telah dibuat dan dihantar kepada Tuan Pegawai Daerah Kuala Muda dan Pentadbir Tanah Daerah Kuala Muda di Pejabat Tanah dan Galian Daerah Kuala Muda, Sungai Petani pada jam 10.00 pagi tadi. 
Ahli NGO-NGO dan pertubuhan yang turut disokong oleh PERKASA Negeri Kedah telah menyatakan bantahan keras terhadap cadangan untuk mengambil-alih 13 buah lot tanah kerajaan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) menegaskan:-

1. Keperluan mengekalkan kawasan tersebut sebagai kawasan “Green Lung” seterusnya sebagai pusat riadah bagi bandar Sungai Petani yang semakin pesat membangun dan bilangan penduduk yang bertambah. Tambahan pula kawasan ini, terletaknya warisan sejarah dengan bangunan lama seperti rumah kediaman Pegawai Daerah yang pernah didiami Almarhum Tunku Abdul Rahman, Masjid Abdul Rahman, Balai Polis Daerah Sungai Petani, Menara Jam Besar dan Bangunan HSBC. Turut terdapat stesen lama keretapi ditempatkan di Taman Jubli yang mampu menjadi tarikan dan ikon pelancongan ke daerah Kuala Muda. 

2. Kawasan tersebut diperhatikan tidak sesuai untuk pembangunan berskala komersial atau pembangunan perumahan memandangkan masa kini telah dikelilingi 8 buah sekolah termasuk sekolah yang sinonim dengan sejarah Sungai Petani, yang mana pembangunan yang tidak dirancang teliti hanya akan mengakibatkan kesesakan lalulintas bagi pengguna di dalam dan sekitarnya.

3. Memastikan syiar Islam terus menjadi aktiviti di Masjid Sultan Muzaffar Shah dengan penyertaan ramai anak-anak qariah mendapatkan didikan agama, dengan harapan kisah yang pernah berlaku ke atas pengambilan tanah di Masjid Abdul Rahman tidak berulang lagi.

4. Pembangunan di kawasan tersebut juga dilihatkan dari “commercial value” dengan pembinaan pusat perdagangan dan/atau perumahan skala mewah mempunyai kesan yang nyata berdasarkan kemampuan milik hartanah masyarakat Melayu akan terus terpinggir. Kawasan ini turut menempatkan kawasan perumahan bagi penjawat awam berpendapatan rendah ke menengah yang berdekatan dengan tempat mereka bertugas.

5. Selain dari itu, pembangunan di kawasan tersebut akan melibatkan projek infrastuktur yang besar dan secara langsung mengambil masa yang panjang dengan penempatan semula yang agak tinggi kepada kemudahan awam dan keselamatan yang sediada seperti Kem Wataniah, Kolam Air SADA, Klinik Pergigian Kementerian Kesihatan, Perpustakaan Awam, Pejabat JPAM, Rumah SP Malay, Gimnasium Rakyat, Tapak semaian MPSPK, tapak riadah Taman Jubli dan Rumah PERKIM.

PERKASA Negeri Kedah turut mensarankan kawasan ini diwartakan sebagai “Green Lung” buat bandar Sungai Petani yang mampu menjadi warisan generasi dengan sejarahnya yang memenuhi kelestarian alam sekitar dengan keharmonian penduduknya.

No comments:

Post a Comment