Showing posts with label Bas Sekolah. Show all posts
Showing posts with label Bas Sekolah. Show all posts

Sunday, February 22, 2015

Skim Pengiklanan Bas Sekolah, Menampung Pendapatan

Pihak pengusaha bas sekolah terpaksa berdepan dengan pelbagai kos dalam meneruskan kegiatan dan operasi mereka untuk kekal kompetitif. Kos operasi, alat ganti yang semakin meningkat serta jadual waktu persekolahan yang terhad mempunyai kesan yang serius ke atas pulangan pendapatan dan kekal menyediakan mutu perkhidmatan kepada pengguna.

Satu Skim Pengiklanan Bas Sekolah bersama Star Publication telah dilancarkan pada 10 Februari 2015 bertempat di I-City, Shah Alam oleh YBhg Tan Sri Dato' Seri Syed Hamid bin Syed Jaafar Albar; Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).


Bagi menanggani situasi sedemikian, pihak Kerajaan melalui SPAD telah menemui kaedah yang sesuai bagi membantu pihak pengusaha-pengusaha bas sekolah untuk terus kekal mengimbangi kos operasi dan pendapatan mereka.

Sebagai salah satu usaha untuk mempromosikan inisiatif pemasangan iklan ini, pihak The Star Publication telah tampil kehadapan bekerjasama bagi memastikan ia dapat direalisasikan dengan berkesan. Beberapa siri perbincangan dan mesyuarat telah dijalankan dengan Persatuan bas-bas sekolah untuk satu keputusan yang bermanafaat dan rata-rata pengusaha telah memberikan maklumbalas yang positif mengenai inisiatif tersebut.

Skim ini dilihat dapat:
  •      Mempertingkatkan pendapatan pengusaha-pengusaha bas sekolah.
  •      Menjadikan bas sekolah kelihatan lebih menarik tanpa mengabaikan ciri-ciri keselamatan bas sekolah.
  •      Menggalakkan pengusaha untuk menjaga rupabentuk dalam dan luar bas sekolah yang menarik dan bersih.
Cara-cara Permohonan:
  •      Syarikat pengiklanan yang berminat, boleh menemui pengusaha bas sekolah yang berminat atau melalui persatuan-persatuan bas sekolah dan menghantar permohonan ke pejabat SPAD berdekatan.
  •      Bagi pengusaha bas sekolah yang berminat, boleh berhubung dengan pihak The Star Publication atau persatuan-persatuan bas sekolah.

Kriteria Kelayakan:
  •      Memiliki Mempunyai lesen pengendali dengan S.P.A.D.
  •      Memiliki kontrak pengiklanan yang sah dengan syarikat yang ingin mengiklankan produk/perkhidmatan di badan kenderaan bas sekolah.
  •      Iklan yang ingin dipamerkan mestilah mematuhi syarat-syarat pengiklanan yang ditetapkan oleh S.P.A.D dan Kaedah-Kaedah Bas Sekolah (Warna Dan Tanda) 1987.
Adalah diharapkan dengan usaha murni ini, di peringkat permulaan ini, pengusaha bas sekolah dijangkakan meraih pendapatan tambahan sekitar RM200  hingga RM400 sebulan berdasarkan saiz iklan pada badan bas sekolah mereka. Pengusaha bas sekolah perlu lebih teliti dan bertanggungjawab memastikan bas-bas sekolah mereka dijaga dengan rapi dan di dalam keadaan baik andai terus menyertai skim ini.

     



SPAD sangat berharap usaha yang mendapat sambutan oleh The Star Publication ini, dapat mencetus minat syarikat-syarikat pengiklanan lain untuk bekerjasama dengan  pengusaha-pengusaha bas sekolah yang layak di seluruh negara untuk tujuan pengiklanan mereka.

Monday, December 29, 2014

Tahun Baru; Bas Sekolah dan IbuBapa

Kelazimannya apabila cuti hujung tahun hampir tamat, maka kegiatan IbuBapa bagaikan penuh riuh rendah. Mana yang persiapan baju persekolahan anak-anak. Berkejaranlah si IbuBapa juga bagaikan pesta dengan ahli keluarga untuk menggenakan pakaian sekolah dari satu pasaraya ke pasaraya.

Tidak kurang juga, IbuBapa yang menghubungi kenalan, jiran dan pihak sekolah untuk mendapatkan perkhidmatan Bas Sekolah. Mendapatkan jadual perkhidmatan yang disediakan pengusaha Bas Sekolah dan memastikan pengusaha Bas Sekolah yang menggenakan harga yang berpatutan, kredibiliti pemandu, keadaan Bas Sekolah dan banyak lagi. Ini semua antara faktor yang penting di dalam menentukan perkhidmatan Bas Sekolah yang terbaik dan selamat untuk tanggungan mereka….iyalah, itulah intan payung, permata hati satu pasangan suami isteri.

Menyedari hakikat inilah antara kehidupan masyarakat dan Rakyat serta menjamin kepentingan generasi pewaris Negara, Kerajaan Malaysia telah menekankan sikap prihatin dalam aspek keselamatan murid-murid sekolah melalui Bajet 2013 dengan mengenalkan Skim Perlindungan Insurans Kemalangan Diri.

Antara lain, Skim Insurans Perlindungan Kemalangan Diri (hilang upaya kekal dan kematian) adalah satu kemestian ke atas semua murid sekolah yang menggunakan perkhidmatan bas Sekolah yang dilesenkan dan berdaftar dengan  Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bagi Semenanjung Malaysia dan Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) bagi negeri Sarawak dan Sabah.

Perlu ditekankan perhatian IbuBapa di dalam urusan ini:
1.      Skim Insurans Murid Sekolah SPAD diteruskan lagi untuk tahun 2015
2.      Murid-murid akan dilindungi insurans dengan Bas Sekolah yang berdaftar SAHAJA
3.      Bantuan khas turut disediakan Kerajaan Malaysia kepada Bas Sekolah yang layak

Begitupun SPAD telah memaklumkan melalui siaran media berkaitan perkara ini seperti berikut:

SKIM INSURANS MURID SEKOLAH DITERUSKAN

KUALA LUMPUR (19 Disember 2014) – Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (‘S.P.A.D’ atau ‘Suruhanjaya’) ingin mengumumkan bahawa murid-murid sekolah yang menaiki bas sekolah berdaftar, akan terus menikmati perlindungan Skim Insurans Murid Sekolah pada 2015. Skim insurans ini telah diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri semasa sesi pembentangan Bajet 2013 di mana kerajaan telah melantik S.P.A.D. sebagai agensi penyelaras skim ini.

Pihak kerajaan telah meluluskan penerusan perlaksanaan skim insurans ini berdasarkan kepada keperluan dan sambutan baik oleh ibubapa, pengurusan sekolah dan pengusaha bas sekolah. Skim insurans ini merupakan suatu langkah SPAD dalam mempertingkatkan perkhidmatan industri bas sekolah dan pada masa yang sama membantu murid-murid dan keluarga murid bagi menghadapi keadaan yang tidak diduga.

Untuk makluman juga, bantuan khas juga telah diberikan kepada pengusaha bas sekolah yang ingin menggantikan bas sekolah lama kepada bas baru melalui Skim Penggantian Bas Sekolah yang akan berakhir pada 31 Disember 2014. Sehingga kini sebanyak 200 pengendali bas sekolah telah berjaya mendapat bantuan tersebut.

S.P.A.D. juga ingin mengambil kesempatan ini, menjelang musim balik ke sekolah, untuk mengesyorkan agar ibubapa memilih pengendali bas sekolah yang berdaftar bagi keselamatan anak-anak. Suruhanjaya juga mengalakkan pengendali bas sekolah yang masih belum berdaftar dengan S.P.A.D., supaya tampil ke hadapan untuk mengesahkan perkhidmatan mereka dan dengan itu melayakkan mereka bagi Skim Insurans Murid Sekolah dan manafaat-manafaat lain.

Maklumat tambahan:
SKIM INSURANS MURID SEKOLAH

Skim Insurans Murid Sekolah memberi perlindungan insurans kemalangan diri, hilang upaya kekal dan kematian kepada semua murid sekolah yang menggunakan perkhidmatan bas sekolah yang berdaftar dengan S.P.A.D. bagi Semenanjung Malaysia dan LPKP bagi Sabah & Sarawak.
Inisiatif ini memberi manfaat kepada hampir 2 juta murid-murid sekolah dengan perlindungan maksimum sebanyak RM 100 ribu.
Antara bentuk perlindungan insurans yang diberikan adalah yang melibatkan kematian akibat kemalangan (RM100,000), hilang keupayaan kekal (sehingga RM100,000), bayaran perubatan sehingga RM3,000, manfaat hospital (RM100 sehari sehingga 30 hari) dan khairat kematian (RM2,500).
Skim perlindungan ini juga meliputi kegunaan bas sekolah untuk aktiviti-aktiviti luar seperti rombongan, lawatan sambil belajar dan sebarang kurikulum tambahan yang disahkan oleh pihak sekolah.
Sejak Januari 2013 hingga kini, 10 kes tuntutan telah direkodkan. Jumlah tuntutan adalah sebanyak RM 316,612.10. Skim ini telah membantu keluarga, waris dan murid-murid; seperti dalam kes Mohd. Sanusi Bin Ismail, murid SMK Seri Gadong. Bantuan telah diberikan bagi membolehkan pembedahan dilakukan untuk menyelamatkan kakinya yang tinggal.

SKIM PENGGANTIAN BAS SEKOLAH

Skim Penggantian Bas Sekolah adalah satu skim pinjaman dengan bantuan khas kepada pengusaha bas sekolah yang ingin menggantikan bas sekolah lama kepada bas baru.

Pihak kerajaan telah menyediakan bantuan rebet tunai sebanyak RM10,000 dan pemberian subsidi kepada kadar faedah tahunan sebanyak 2%.
Inisiatif yang diuruskan oleh Bank Simpanan Nasional turut menawarkan pinjaman sehingga RM 150,000 dan tempoh pinjaman sehingga 9 tahun.
Sebanyak 220 permohonan telah diterima oleh BSN dengan 200 permohonan diluluskan, 20 ditolak (pemohon telah diisytiharkan bankrap).
Skim ini akan berakhir pada 31 Disember 2014 dan pihak BSN masih menerima permohonan yang dihantar sebelum 31 Disember 2014.