Sunday, February 22, 2015

Skim Pengiklanan Bas Sekolah, Menampung Pendapatan

Pihak pengusaha bas sekolah terpaksa berdepan dengan pelbagai kos dalam meneruskan kegiatan dan operasi mereka untuk kekal kompetitif. Kos operasi, alat ganti yang semakin meningkat serta jadual waktu persekolahan yang terhad mempunyai kesan yang serius ke atas pulangan pendapatan dan kekal menyediakan mutu perkhidmatan kepada pengguna.

Satu Skim Pengiklanan Bas Sekolah bersama Star Publication telah dilancarkan pada 10 Februari 2015 bertempat di I-City, Shah Alam oleh YBhg Tan Sri Dato' Seri Syed Hamid bin Syed Jaafar Albar; Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).


Bagi menanggani situasi sedemikian, pihak Kerajaan melalui SPAD telah menemui kaedah yang sesuai bagi membantu pihak pengusaha-pengusaha bas sekolah untuk terus kekal mengimbangi kos operasi dan pendapatan mereka.

Sebagai salah satu usaha untuk mempromosikan inisiatif pemasangan iklan ini, pihak The Star Publication telah tampil kehadapan bekerjasama bagi memastikan ia dapat direalisasikan dengan berkesan. Beberapa siri perbincangan dan mesyuarat telah dijalankan dengan Persatuan bas-bas sekolah untuk satu keputusan yang bermanafaat dan rata-rata pengusaha telah memberikan maklumbalas yang positif mengenai inisiatif tersebut.

Skim ini dilihat dapat:
  •      Mempertingkatkan pendapatan pengusaha-pengusaha bas sekolah.
  •      Menjadikan bas sekolah kelihatan lebih menarik tanpa mengabaikan ciri-ciri keselamatan bas sekolah.
  •      Menggalakkan pengusaha untuk menjaga rupabentuk dalam dan luar bas sekolah yang menarik dan bersih.
Cara-cara Permohonan:
  •      Syarikat pengiklanan yang berminat, boleh menemui pengusaha bas sekolah yang berminat atau melalui persatuan-persatuan bas sekolah dan menghantar permohonan ke pejabat SPAD berdekatan.
  •      Bagi pengusaha bas sekolah yang berminat, boleh berhubung dengan pihak The Star Publication atau persatuan-persatuan bas sekolah.

Kriteria Kelayakan:
  •      Memiliki Mempunyai lesen pengendali dengan S.P.A.D.
  •      Memiliki kontrak pengiklanan yang sah dengan syarikat yang ingin mengiklankan produk/perkhidmatan di badan kenderaan bas sekolah.
  •      Iklan yang ingin dipamerkan mestilah mematuhi syarat-syarat pengiklanan yang ditetapkan oleh S.P.A.D dan Kaedah-Kaedah Bas Sekolah (Warna Dan Tanda) 1987.
Adalah diharapkan dengan usaha murni ini, di peringkat permulaan ini, pengusaha bas sekolah dijangkakan meraih pendapatan tambahan sekitar RM200  hingga RM400 sebulan berdasarkan saiz iklan pada badan bas sekolah mereka. Pengusaha bas sekolah perlu lebih teliti dan bertanggungjawab memastikan bas-bas sekolah mereka dijaga dengan rapi dan di dalam keadaan baik andai terus menyertai skim ini.

     



SPAD sangat berharap usaha yang mendapat sambutan oleh The Star Publication ini, dapat mencetus minat syarikat-syarikat pengiklanan lain untuk bekerjasama dengan  pengusaha-pengusaha bas sekolah yang layak di seluruh negara untuk tujuan pengiklanan mereka.

No comments:

Post a Comment