SUKAR menjadi pemimpin Cina yang berada di pihak Kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam suasana politik hari ini.
Itu yang dialami Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk
Wee Ka Siong, dari MCA apabila dikutuk dan diejek hanya kerana mahu mendengar
dan mencari penyelesaian kepada isu sekolah Cina yang dibawa Gabungan
Jawatankuasa Sekolah Cina Malaysia (Dong Zhong), Ahad lalu.
Walaupun tidak dijemput, Wee insaf dia perlu hadir pada mesyuarat itu
untuk mendengar sendiri masalah sekolah Cina. Dengan restu kepimpinan tertinggi
BN, Wee hadir tanpa menghiraukan risiko bakal dialami.
Nyata pemimpin MCA ini bukan saja dikutuk dan
diejek, malah sampai ada yang mahu mengetuk kepalanya dengan surat khabar dan
hampir ada tangan melayang ke mukanya.
Namun, Wee masih boleh bertenang kerana sudah
menjadi tanggungjawabnya untuk mendengar suara rakyat, apa lagi kaumnya yang
kelihatan marah dengan kerajaan kononnya tidak membela nasib kaum Cina, malah
ada yang mendakwa dilayan seperti warga kelas kedua.
Begitu banyak komen dan analisis mengenai kejadian
menimpa Wee dan ramai pula tidak percaya dengan tuntutan yang dibuat Dong Zhong,
yang kelihatan sering muncul apabila politik negara memasuki musim pilihanraya
umum.
Tuntutan Dong Zhong nyata mencabar kesabaran bangsa
Melayu. Antara tuntutan yang mendesak Kementerian Pelajaran mengambil tindakan
serta merta ialah:
- Memindah keluar semua guru yang tidak mempunyai
kelayakan Bahasa Mandarin peringkat SPM dari sekolah rendah Cina;
- Menyediakan kursus khas untuk guru Bahasa
Mandarin yang mengajar Bahasa melayu (BM) atau Bahasa Inggeris (BI) bagi tempoh
sekurang-kurangnya tiga tahun, bagi membolehkan mereka layak untuk mengajar
ketiga-tiga matapelajaran Bahasa Mandarin, BM dan BI.
- Membuat reformasi silibus latihan guru bagi
memastikan lebih ramai guru boleh berbahasa Mandarin yang diperlukan sekolah
Cina.
- Mengkaji semula Akta Pendidikan bagi memastikan
sekolah vernakular diberi status yang sama dan dijamin kedudukannya sebagai
sebahagian sistem pendidikan kebangsaan.
"Melihat semua tuntutan ini bukan sahaja orang
Melayu marah, tapi orang Cina yang sayangkan Malaysia juga marah... di mana
agenda nasional Dong Zhong?
"Mengapa mereka tidak terus meletakkan syarat
- tidak ada seorang pun guru berbangsa Melayu atau bangsa lain dibenarkan atau
layak mengajar sekolah Cina.
"Bagaimana kami pemimpin Cina boleh
mempertahankan kewibawaan sebagai pemimpin Malaysia daripada pelbagai bangsa,
jika kami tunduk dengan tuntutan Dong Zhong," kata Wee ketika ditemui di
Parlimen, khamis lalu.
Soalan Wee ini wajar diajukan kepada Dong Zhong -
apakah matlamat meletak tuntutan jelas menjurus kepada usaha menyekat secara
halus kemasukan guru bangsa lain di semua sekolah Cina.
"Malaysia ialah sebuah negara pelbagai kaum.
Penyerapan nilai murni sebagai rakyat Malaysia bermula di sekolah, tuntutan
Dong Zhong ini hanya akan menimbulkan kemarahan bangsa lain.
"Justeru, Kementerian Pelajaran akan bertegas
dan kekal dengan keputusan yang sudah dipersetujui. Tuntutan tidak praktikal
dan bertentangan dengan nilai 1Malaysia sudah pasti tidak diterima," kata
Wee.
Penulis politik, Prof Madya Dr Ridhuan Tee
Abdullah, seorang Cina beragama Islam juga tidak lari daripada meluahkan rasa
marah apabila berkata, tuntutan Dong Zhong ini amat tidak logik dan melampau
dan kerajaan sepatut boleh membaca strategi lapuk ala komunis mereka.
"Jangan gentar sama sekali dengan ugutan
menjelang pilihanraya. Biar kalah tetapi bermaruah, daripada menang tetapi
tergadai segala-galanya. Generasi akan datang menderita, kita akan dikutuk
selama-lamanya," kata Ridhuan.
Ridhuan yang mengajar di Universiti Pertahanan
Nasional Malaysia, menggelar kumpulan Cina seperti Dong Zhong ini sebagai 'ultra kiasu' dan akan menggunakan apa
saja demi kepentingan mereka.
Ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak,
memperkenalkan konsep 1Malaysia, mereka 'memperalatkan' konsep itu untuk
menuntut hak samma rata dengan golongan pribumi yang dilindungi perlembagaan.
Tuntutan Dong Zhong bukan saja bertentangan konsep
1Malaysia, bahkan ia bertujuan menutup terus pintu sekolah Cina kepada guru
bangsa lain.
Tuntutan Dong Zhong juga langsung tidak
mencerminkan sikap toleransi sebagai sebahagian rakyat Malaysia. Mereka tidak
kisah sekiranya masih ramai bangsa Cina yang tidak tahu berbahasa Melayu atau
berbahasa Inggeris, malah tidak teragak-agak mencipta koloni bangsa Cina tanpa
sedikit menghiraukan keperluan untuk menjadi rakyat Malaysia yang sejati.
"Apabila melihat pemimpin DAP berada di
barisan hadapan menyokong tuntutan Dong Zhong ini, terbukti ini adalah golongan
pemimpin yang talam dua muka. Kita tidak payah bercakap mengenai konsep
1Malaysia BN, kerana tindakan DAP ini sekaligus menghapuskan konsep 'Malaysian
Malaysia' mereka sendiri," kata seorang wartawan dan blogger.
Satu lagi persoalan timbul dengan tuntutan Dong Zhong
ini, apa
gelaran yang perlu kita beri kepada mereka yang mengaku sebagai rakyat Malaysia
tetapi terus terkial-kial berbahasa Melayu dengan sempurna, layakkah mereka
diberi status sebagai warga Malaysia?
Petikan: Berita Harian, Ruangan Rencana, Tulisan
Jamhariah Jaafar, 06 April 2012
No comments:
Post a Comment