Friday, January 25, 2013

Seminar Nusantara - Islam Di Asia Tenggara; Cabaran dan Harapan

Berakhir sudah majlis yang julung kalinya, penggabungan golongan pemikir, Ulama dan penulis di dalam usaha membentengi dakwah Islamiyyah dan ke arah penyatuan Ummah di Nusantara.

Seminar Nusantara - Islam DI Asia Tenggara; Cabaran dan Harapan, dari 6hb - 8hb Rabiul Awal 1434Hijriah bersamaan 18hb -20hb Jan 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, berjaya membentang dan membuka kotak minda peserta dari pelusuk dalam dan luar negara.

Persidangan turut disembahkan tajuk:

1. Ucaptama - Islam Di Asia Tenggara: Cabaran dan harapan
2. Kertas 1 - Islam di Indochina: Perjuangan Masyarakat Islam di Selatan Thai
3. Kertas 2 - Islam di Kepulauan: Kebangkitan Baru Bangsamoro
4. Kertas 3 - Sejarah Perkembangan dan Sumbangan Islam di Nusantara
5. Kertas 4 - Islam di Indochina: Cabaran dan Harapan Muslim di Myanmar
6. Kertas 5 - Islam di Kepulauan: Muslim Singapura di Arus Kemajuan dan Pemodenan
7. Kertas 6 - Islam di Kepulauan: Pemurnian Pemikiran dan Pembangunan Umat Islam di Indonesia
8. Kertas 7 - Islam di Indochina: Pembangunan Sosioekonomi Muslim Kemboja 

Sekian soal-jawab, bernas mahupun yang tidak gemar, namun itulah realiti yang diharungi masyarakat dari kacamata mikroskop jiran yang lain. Pastinya, pengaruh Islam mesti disinari, mesti kekangi dari pengaruh luar yag sudah lantang menerjah kehidupan ummat Islam yang berpusat jumlah besarnya di Nusantara, lantaran juga, merupakan 'the Last Islamic Frontier' selepas Arab Spring yang dibibiti pengaruh luar untuk bangun menuntut hak dari kacamata dan acuan bukan ahli Kitab.

Maka, dirumuskan dan diformulasikan satu Resolusi Seminar Nusantara - Islam Di Asia Tenggara: Cabaran dan Harapan

MENYEDARI sejarah ketamaddunan Melayu - Islam serumpun, alam Nusantara, yang telah lama wujud di Asia Tenggara.

MENGAKUI realiti semasa sempada negara bangsa yang wujud dan hakikatnya adanya pelbagai cabaran yang melingkari persoalan hidup umat Islam di negara-negara rantau Asia Tenggara ini dalam bidang ekonomi, politik, budaya dan agama.

MENGINSAFI keperluan dan tuntutan untuk membina kembali kekuatan, keharmonian, kemakmuran dan kesatuan di kalangan umat Melayu - Islam di negara Asia Tenggara.

MAKA, SEMINAR NUSANTARA - ISLAM DI ASIA TENGGARA: CABARAN DAN HARAPAN yang bersidang selama tiga hari dari 6hb hingga 8hb Rabul Awal 1434 bersamaan 18 hingga 20 jan 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, dengan ini merumuskan resolusi Seminar pada dua (2) bahagian penting; sekaligus merungkai tujuh (7) fakta dan rumusan utama yang boleh diangkat untuk perhatian dan tindakkan pemimpin-pemimpin umat islam Islam Nusantara dan masyarakat Melayu - Islam secara keseluruhannya.

A. PERPADUAN UMMAH

Kita sama-sama mengakui bahawa wujud keperluan untuk memperinci, memperkukuh dan menyebarluaskan kefahaman PERPADUAN sebagai teras dalam membina kekuatan umat Melayu - Islam di rantai Asia Tenggara melalui tiga (3) mekanisme/alat penyatuan iaitu: SEJARAH BANGSA, AGAMA ISLAM DAN BAHASA MELAYU:

1. SEJARAH BANGSA: Menyedari akar sejarah yang sama umat Melayu - Islam di Nusantara ini, maka tindakan berikut harus dilakukan untuk membina perasaan kekitaan, kebersamaan dan serumpun di kalangan umat Melayu Nusantara. Tindakan tersebut: 
  • Menggali dan membugar semula sejarah tamaddun Melayu - Islam di negara-negara rantau Asia Tenggara, untuk disebar luas dalam pendekatan yang menjurus kepada perpaduan umat membina, tetapi tidak merosakkan hubungan anatar Negara-negara serantau sediaada
  • Pengalaman sejarah yang menampilkan elemen wasatiyyah, hikmah dan toleransi harus menjadi asas usaha pembugaran sejarah tamaddun Melayu - Islam alam Nusantara tersebut.
2. AGAMA ISLAM: Menyedari persamaan akidah Islamiah yang benar mampu menjadi elemen penyatuan umat, maka ia harus diperkasakan dalm aspek kehidupan sambil memelihara 'maqasid al-syariah' yang berteraskan kesederhanaan (Wasatiyyah) dan keseimbangan (Tawazun), melalui tindakan berikut:
  • Membanteras penyebaran virus Liberalisme dan Pluarlisme yang menjadi ancaman kepada kesucian akidah Agama Islam memlalui diskusi dan wacana berterusan yang memberi kefahaman kepada umat Islam serantau. 
  • Menetapkan kesatuan pemikiran umat (wahdatul fikr) berasakan akidah Islamiah luhur demi perpaduan serumpun berpaksikan pendekatan Ahlul Sunnah Wal Jamaah dan menolak mana-mana pendekatan yang terlalu 'rigid' dan terlalu longgar.
3. BAHASA MELAYU: Menyedari persamaan bahasa Melayu sebagai alat komunikasi dan penyatuan untuk hubungan kerjasama yang erat sejak dahulu hingga kini, maka keunggulan martabat bahasa Melayu ini harus diangkat menerusi tindakan berikut:
  • Mengukuhkan aspek penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan, keilmuan dan perdagangan di rantau Nusantara.
  • Meperkasakan aspek pembelajaran bahasa Melayu di kalangan minoriti Melayu Muslim dengan menyediakan prasarana pendidikan dan latihan yang mencukupi. Di samping mengadakan penganjuran wacana dan penerbitan serantau bagi menggalakan penggunaan bahasa Melayu. 

B. TINDAKAN SEGERA
  1. Keperluan kepimpinan negara untuk berfikir dan bertindak ke arah menjadikan Malaysia sebagai negara peneraju atau fasilitator dunia Melayu - Islam Nusantara dalam konteks membina jaringan dan kerjasama serantau dalam bidang keilmuan dan pendidikan - latihan dan perniagaan, politik dan pentadbiran serta budaya dan kemasyarakatan.
  2. Membantu umat islam serantau yang memerlukan, untuk menghadapi cabaran di negara mereka, dalam kerangka diplomatik, wasatiyyah dan hubungan semangat ASEAN yang harmoni demi kebaikan bersama.
  3. Meletakkan martabat ilmuan - ulama sebagai penasihat membina kesalingan hubungan dengan pemimpin - umara sebagai pentadbir dalam menangani isu-isu setempat di wilayah Asia Tenggara ini.
  4. Mewujudkan Sekretariat Kerjasama Nunsantara (SUTERA) yang akan melaksanakan perkara-perkara berikut: 
  • Sekretariat penganjuran Seminar Nusantara sebagai acara tahunan bagi membincangkan isu-isu di pelbagai bidang dan penyelesaian strategik meliputi komuniti umat Melayu - Islam di negara-negara Asia Tenggara terbabit.
  • Menjalin kerjasama strategik dengan pelbagai institusi dan organisasi dari Negara-negara terbabit yang menjurus kepada kesatuan dan kerjasama umat Melayu - Islam Nusantara.
  • Mengumpul penyelidikan sediada dan melaksanakan penyelidikan baru untuk memperkayakan korpus sejarah dan ilmu dunia Melayu - Islam Nusantara.
  • Mengenalpasti, mencadang dan memantau tindakan-tindakan strategik yang boleh dilaksanakan oleh institusi, organisasi, komuniti dan kerajaan negara-negara terbabit demi kemaslahatan umat Melayu - Islam Nusantara.
  • Menjadi pusat sehenti pembinaan jaringan kerjasama dan perkongsian kepakaran, ilmu serta pengalaman antara komuniti Melayu - Islam Nusantara dalam pelbagai bidang-bidang strategik yang dikenalpasti.
                                              Sekian.
Moga Resolusi in Membuahkan Budi dan Amal Tindakan Bersama.

 
    
 


No comments:

Post a Comment