Wednesday, March 11, 2015

Kota Tinggi Berpanji Baru Menyambut Istiadat Kemahkotaan

Dengan perkenan DYMM Tuanku Sultan Johor; Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 25hb Februari 2015, dengan megah dan rasminya bertitik tolak pada 1hb Mac 2015, sejarah baru di daerah ini apabila bendera Kota Tinggi mula berkibar megah buat julung kalinya. 
Perasmian telah dilakukan oleh Tuan Pegawai Daerah Kota Tinggi; YBhg Tn Noorazam Bin Osman bersama-sama Ahli Parlimen Kota Tinggi YB Datuk Haji Noor Ehsanuddin Bin Haji Harun Narrashid, ADUN Johor Lama dan ADUN Sedili serta Ketua-ketua Jabatan pelbagai agensi. Pengibaran sulung bendera dilakukan di Bangunan Sultan Iskandar, Kota Tinggi dengan setiap Jabatan akan dibekalkan dengan bendera rasmi daerah untuk dikibarkan pada setiap bangunan kerajaan berkuatkuasa pada 1 Mac 2015.

Peraduan mencipta panji daerah Kota Tinggi sejak dua tahun sebelumnya, kini menampilkan reka bentuk Bulan dan Bintang melambangkan agama Islam, Merah sebagai keberanian, Biru warna diraja Johor dan jalur Putih mewakili Sungai Johor yang merupakan permulaan kerajaan dan Kesultanan Johor.

Seluruh warga Kota Tinggi serta negeri Johor bakal meraikan Istiadat Kemahkotaan DYMM Tuanku Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagai Sultan Johor kelima dalam sejarah Johor Moden yang bakal diadakan di Istana Besar Johor pada 23 Mac ini.

Bertambahlah seri dan sambutan dengan perkenan Duli Tuanku Sultan Ibrahim memberi gelaran baharu kepada isteri baginda; Raja Zarith Sofiah Sultan Idris sebagai Permaisuri Johor, gelaran yang pertama kali digunakan di negeri ini.

Penulis mengucapkan sekalung tahniah buat Yang Berhormat Datuk Haji Noor Ehsanuddin Bin Haji Harun Narrashid; Ahli Parlimen Kota Tinggi, Cik Eaishah Aziz; anak bungsu daripada enam beradik kelahiran Felda Bukit Aping Timur pencipta bendera daerah Kota Tinggi dan seluruh warga negeri Johor Darul Takzim sempena istiadat serupanya sejak 55 tahun yang lepas pada 10hb Feb 1960 ketika Almarhum Sultan Ismail Sultan Ibrahim dimahkotakan.
Sultan Johor kelima; Tuanku Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan
 Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris

Daulat Tuanku. Daulat Tuanku. Daulat Tuanku.

Sembah patik harap diampun.

No comments:

Post a Comment