Showing posts with label FELDA. Show all posts
Showing posts with label FELDA. Show all posts

Wednesday, December 16, 2015

Gempak Keluarga FELDA, Meriah!!!

Pada 28hb November yang lalu, warga FELDA di Wilayah Segamat telah diraikan dengan kemeriahan "Gempak Keluarga FELDA" di Felda Palong Timur, Johor. Usaha yang disemangatkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), FELDA Global Ventures Holdings Berhad (FGV) dan Yayasan Felda bersama Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) telah mengadakan siri penjelajahan “Gempak Keluarga FELDA” di sepuluh lokasi utama rancangan Felda seperti di Felda Wilayah Terengganu; Felda Wilayah Trolak, Perak; Felda Wilayah Raja Alias, Negeri Sembilan dan Felda Wilayah Kuantan, Pahang yang mensasarkan kepada pelanggan Astro dan warga FELDA dan sekitarnya berbentuk karnival sebagai satu tanggungjawab sosial korporat badan tersebut.

Gempak Keluarga Felda telah membuka tirainya di Stadium Mini Pendang, Kedah pada 1 Ogos 2015 dilancarkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Razali Ibrahim dan turut dihadiri Pengerusi Kumpulan Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, Pengarah Besar FELDA, Dato’ Hanapi Suhada, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Dato’ Mohd Emir Mavani Abdullah, Pengarah Hal Ehwal Komuniti Astro, Datuk David Michael Yap, Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif Yayasan Felda, Dato’ Sri Dr. Emel Faizal Mohd Mokhtar dan Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh.
Di FELDA Palong Timur, karnival kali ini telah dirasmikan sendiri oleh Pengerusi Kumpulan FELDA; Tan Sri Mohd Isa Bin Hj. Abdul Samad. Maka pastinya kemeriahan dan kebersamaan yang disuarakan golongan anak muda, Majlis Belia FELDA Malaysia (MBFM) Wilayah Segamat telah didengari dan dipenuhi pihak penganjur.

Pelbagai aktiviti berkonsepkan kekeluargaan telah disusunkan kepada para pengunjung yang hadir ke Gempak Keluarga FELDA ini yang menampilkan kepelbagaian dan variasi serta sesuai bagi setiap peringkat umur dari kanak-kanak ke golongan dewasa megikut zon-zon yang telah diilhamkan. Para pengunjung berpeluang untuk menyuarakan sebarang soalan kepada peserta program Pencetus Ummah atau Imam Muda di slot ’Anda Tanya PU / Imam Muda Jawab’, belajar dengan lebih lanjut mengenai ’Seni Khat’ dan teka & jawab di slot ’Kuiz Agama’ di Zon Islamik @ Salam Muslim. Pengunjung juga boleh bertemu dengan pelawak-pelawak popular tanah air dan barisan artis-artis terkemuka.
Di Zon Lifestyle, para pengunjung telah berpeluang melibatkan diri dengan pertandingan-pertandingan berbentuk interaktif seperti Pertandingan Menghias Kek, Pertandingan Mencipta Resipi Bonda (Master Chef), Limbo Rock dan banyak lagi. Setiap pertandingan ini bakal diberikan suntikan tempatan apabila turut melibatkan wakil-wakil dari komuniti FELDA untuk tampil menjadi pengadil. 

Paling menariknya, dalam mencungkil bakat baru, program ’Bintang FELDA Akhir’ menyaksikan juara yang dinobatkan membawa pulang hadiah menarik sumbangan pihak penaja.
Kesempatan program ini dapat berjaya mengetengahkan para usahawan generasi FELDA serta mempekenalkan produk – produk mereka ke khalayak ramai dengan lokasi berdekatan bandar-bandar utama yang mana terdapat lebih 30,000 usahawan generasi FELDA yang terlibat dalam Perusahaan, Perniagaan, perdagangan, Tanaman, Akuakultur, Kraf, Ternakan.Tambahan pula usaha ini membantu membantu FGV dan Kumpulan Felda untuk mendekati serta beramah mesra dengan orang ramai khususnya golongan peneroka.

Kerjasama dengan Astro ini dilihat mampu memberi impak kepada ekonomi di 10 lokasi FELDA yang akan dijelajahi, menawarkan peluang perniagaan kepada penduduk tempatan selain menarik pelancong luar sepanjang program.

Plastik Mesra Alam Pertama Dunia oleh FGV

Hari ini, Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) diberitakan telah memeterai satu perjanjian persefahaman (MOU) dengan Newlight Technologies LLC serta Innogas Technologies Sdn Bhd bagi menghasilkan plastik mesra alam daripada sisa biojisim minyak sawit di Malaysia. 

Newlight Technologies adalah merupakan sebuah syarikat yang berpangkalan di California, dan berkemahiran di dalam menghasilkan bahan-bahan termoplastik yang diperbuat daripada gas rumah hijau serta udara. Manakala, Innogas Technologies pula berpangkalan di Malaysia, terlibat dalam perniagaan perundingan, kejuruteraan loji memproses dan teknologi untuk bahan kimia serta tenaga yang boleh diperbaharui. 
“Projek biojisim yang lestari ini bertujuan untuk mempelbagaikan dan seterusnya membangunkan aliran pendapatan syarikat yang baharu, sejajar dengan teras dalam strategi transformasi syarikat selama lima tahun bagi peningkatan hasil,” kata FGV dalam satu kenyataannya hari ini. 

Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Mohd Emir Mavani Abdullah, berkata sebagai sebahagian daripada komitmen FGV untuk kelestarian, ia sentiasa mencari cara-cara inovatif untuk menguruskan sisa kelapa sawit dengan berkesan. 

“Projek sisa kepada kekayaan akan meningkatkan standard kelestarian industri minyak sawit di Malaysia dan rantau ini secara keseluruhannya, sekaligus mengurangkan pelepasan karbon,” katanya. 

Projek itu dijangka bermula pada suku kedua 2016 dengan pembinaan kilang pertamanya dibuat pada suku keempat tahun depan dan dijangka siap selepas 14 bulan. Di dalam jangkaan lima tahun, ia akan diperluaskan kepada 10 kilang minyak sawit syarikat. 

Mohd Emir menambah persefahaman ini akan membawa teknologi kos efektif yang pertama di dunia bagi menghasilkan plastik mesra alam dengan memproses 100 peratus sisa bio daripada kilang minyak sawit FGV.

Sunday, October 25, 2015

FELDA dan #Bajet2016

Ternyata YAB PM Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak bersungguh dalam usaha membela nasib peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan menghargai penat lelah dan menjerih keringat membuka hutan belantara rancangan tanah yang diperkenalkan ayahanda beliau Allahyarham Tun Abdul Razak.

Sejarahnya bermula dengan penempatan 30 orang peneroka pada 2hb Ogos 1959, di bawah rancangan pertama yang dibangunkan di rimba Lembah Bilut, Pahang. Kini, setelah 58 tahun mengorak langkah, FELDA mempunyai kira-kira 1.6 juta keluarga peneroka di 317 buah tanah rancangan seluruh negara, terus berkembang dan telah memasuki era pasaran global dengan pelancaran Felda Global Ventures Holdings (Felda Global) pada 2006 sebagai konglomerat yang tersohor. 

Kini, peneroka FELDA telah memasuki generasi kedua dan ketiga. Apakah peneroka ini mampu dilonjakkan status sosio-ekonomi bagi tempoh mendatang dan seiring dengan kemajuan glokal? 

Tanpa diragui, melalui Pembentangan Bajet 2016 yang dibuat kelmarin  di Dewan Rakyat, bagaikan satu wasiat yang diamnahkan kepada Dato Sri Najib, generasi FELDA masih dan terus dibela. Tema "Mensejahterakan Kehidupan Rakyat" memperlihatkan kesungguhan dan prihatin Kerajaan Malaysia kepada golongan pertengahan dan bawahan amat jelas.

Berbanding Bajet 2015 dengan peruntukan RM999.4 juta, Bajet 2016 bukan sekadar satu peruntukan yang boleh dinilai dalam bentuk "tangible" tapi juga "intangible" yang mencakupi aspek perumahan dan kemudahan infrastruktur serta keselamatan.

Sejumlah RM523 juta diperuntukan untuk pembangunan kem tentera Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) di FELDA Sahabat, Lahad Datu, Sabah. Keadaan ini sudah pasti membuktikan unsur keselamatan turut diberikan keselamatan sebagai usaha mengelak peristiwa hitam di Lahad Datu, tempoh dulu.

Sebagai usaha menjamin peningkatan produktiviti di samping keselesaan perhubungan warga FELDA di dalam kawasan luar bandar dan bandar, sebanyak RM200 juta diperuntukkan untuk infrastuktur jaringan jalanraya. 

Pastinya sesuai dengan keadaan semasa, isu perumahan menjadi antara asas psikologi di dalam kehidupan tambahan pula generasi kedua mempunyai citarasa semasa. Kerajaan menurut Dato' Sri Najib menyediakan pengurangan sebanyak RM20,000 dari nilaian setiap rumah RM90,000

Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) sejak diperkenalkan pada tahun 2012 kini memasuki tahun kelima, dinaikkan mengikut kategori kelayakan sebanyak RM50, tidak dikecuali dan pasti warga FELDA terus layak mengecapinya.

1. Bagi isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah, BR1M layak diterima sebanyak RM1,000
2. Bagi isi rumah berpendapatan antara RM3,001 hingga RM4,000, sebanyak RM800 BR1M bakal diterima
Tidak terkecuali bagi golongan individu bujang 21 tahun ke atas, berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan, mereka bakal menerima BR1M sebanyak RM400

Sebanyak mana peruntukan disediakan pasti tidak dapat menanggani kadar kos barangan dan perkhidmatan semasa. Yang penting adalah Rakyat perlu bersikap berhemah dan bersyukurlah...atau Rakyat terkontang-kanting.

Saturday, October 17, 2015

Fitnah Ruji MalaysiaKini, Mangsa Terbaru MP Johor

Terbaru dipaparkan FITNAH mengatakan seorang Ahli Parlimen dari Johor ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan. Usaha ini ternyata untuk mengabui mata rakyat dan pengundi situasi sebenar pihak Pembangkang yang sudah tidak ketentuan dan  kehilangan taring perjuangan. Maka menabur FITNAh dijadikan senjata yang sering diasah menusuk kehidupan.

Apa sahaja pembabitan dan perlaksanaan dasar Kerajaan akan dicemuh dan dicemar dengan dakwaan tanpa asas. Benarlah fahaman untuk berkuasa masakini bukan sekadar, "Winning with large number" tetapi juga "War of perception". Anehnya mereka yang memburukkan imej atau pentadbiran terlepas bebas dari pendakwaan dan hukuman dengan kepercayaan "Kebebasan Bersuara" tanpa sempadan.


Isu dicetuskan AMK Johor itu tanpa segan silu menuduh Ahli Parlimen Kota Tinggi ditahan SPRM, dan seolah mempersenda pertuduhan dan tahanan walaupun tanpa mengetahui kesalahannya? Siapakah gerangan Ahli Parlimen tersebut melainkan YB Datuk Noor Ehsanuddin. Memandangkan beliau mempengerusikan Majlis Latihan Khidmat Negara juga salah seorang dari Lembaga Pengarah Kumpulan FELDA, pasti berupa usaha mempengaruhi pasaran saham dan sokongan para peneroka kelapa sawit negara dan melumpuhkan ekonomi negara dengan harapan menjayakan hasrat anasir dari luar.

Pertuduhan yang dilemparkan itu bagaimanapun disangkal oleh Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdul bahawa tiada sebarang penahanan telah dibuat ke atas Datuk Ehsanuddin seperti yang dilapurkan.


Malahan portal MalaysiaKini.com yang sering menjadi rujukan dengan melemparkan persepsi negatif terhadap Kerajaan atau agensi dan kepentingan negara, telah bertindak liar dan mencabuli asas pemberitaan mencetak berita palsu dan berniat menghina dan mainkan peranan menjatuhkan maruah mana-mana individu tanpa belas demi kepentingan politik yang sempit. 

Berita yang dimuatkan pada 6hb Oktober itu bagaimanapun masih mampu dibuat carian di laman sesawang membuktikan penerbitan yang dibiaya anasir subversif, Yahudi tidak pernah leka dari merobek institusi pentadbiran dan Perlembagaan di bawah kepercayaan segala usaha mereka adalah betul walaupun bertentangan dengan undang-undang negara dan terang-terangan ingin menjatuhkan kredibiliti korporat di mata rakyat dan dunia terutama dalam bidang komersial dengan bantuan dan sokongan ahli politik Pembangkang serta penyokong mereka.

Ikrar integriti yang telah ditandatangani Kumpulan FELDA dan anak syarikatnya; FGV dengan SPRM sejak tahun 2012 bertujuan memastikan segala bentuk pengurusan pemerolehan, aktiviti urusniaga dan sebagainya yang berkaitan adalah menurut garis panduan "due diligence" dan menepati standard khusus amalan dunia korporat dan global.

Dalam satu kenyataannya, “Saya tidak pernah dipanggil sehingga hari ini. Tanyalah orang yang melaporkan dan tanyalah SPRM. Saya tak buat salah apa-apapun, jadi apa nak dibimbangkan. Malah saya sedia berikan kerjasama jika diminta,” kata Datuk Ehsanuddin.

Thursday, October 08, 2015

Hubungi Kami - Dato' Mohd Emir Bavani

Pada 28hb September yang lalu, sebuah akhbar berbahasa Inggeris telah menyiarkan berita yang bertajuk, "No Bank Negara green light yet for FGV purchase of PT Eagle stake". Berita tersebut mendakwa kegagalan FELDA Global Ventures Holdings Bhd (FGV) membayar deposit untuk pembelian pegangan terbesar di dalam syarikat PT Eagle High Plantations (EHP) yang berpengkalan di Indonesia adalah disebabkan belum mendapat sebarang kelulusan dari pihak Bank Negara Malaysia (BNM).


Menurut sumber berita tersebut lagi, BNM tidak meluluskan permohonan FGV untuk membuat bayaran sebanyak 23% dari sejumlah AS$174.5 juta (RM780.87 juta) sebagai sebahagian pembayaran perjanjian awal yang dibuat pada bulan Jun berpunca dari beberapa sebab.

Lantaran itu sebagai usaha menenang pemegang saham dan tanggapan negatif masyarakat pasaran akan senario yang sebenar, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan FGV, Dato' Mohd Emir Mavani Abdullah mengulas bahwa segala usaha pembelian kepentingan ke atas EHP masih giat berjalan.

“Jadi, adalah sesuatu yang tidak membantu apabila membuat spekulasi berkenaan hasil proses usaha wajar yang komprehensif atau faktor-faktor yang boleh memberi kesan kepada keputusan perniagaan,” kata Emir.

Pada Jun lalu, FGV telah menandatangani satu perjanjian dengan Rajawali Group bagi membolehkan FGV memiliki 37 peratus saham dalam EHP dengan nilai AS$680 juta (RM2.55 bilion) dalam bentuk dana tunai dan saham.

Melalui perjanjian tersebut, anak syarikat Felda Holdings Berhad itu akan mengambil alih kira-kira 95% kepentingan dalam perladangan gula Rajawali Group dengan nilaian AS$67 juta (RM252.5 juta) secara tunai dan saham.

Transaksi sebegini besar pastinya mendapat perhatian ramai terutamanya dari kalangan pelabur termasuklah pihak pembuat dasar; Kerajaan Malaysia.


“Mereka me­nunjukkan kepada kami komitmen tadbir urus yang tinggi dan ke­telusan bagi memastikan semua pihak yang mengikuti perkembangan terkini bergerak selaras de­ngan keperluan undang-undang,” tambah Dato' Emir lagi.

Penulis turut berasa terkilan pemberitaan ini, hanya mengundang lebih banyak permasalahan dan ketidakpercayaan terhadap FGV dan sekaligus mengundah-gulanakan hati-hati generasi peneroka akan keringat mereka selama ini hingga FELDA mampu menongkah pasaran dunia. Keadaan sedemikian rupa hanya kan menjadi agenda politik dan dipolemikkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Dato' Emir menasihatkan semua pihak menghubungi Komunikasi Korporat FGV dan/atau jabatan Perhubungan Pelabur untuk mendapat maklumat yang bernas dan betul.

Friday, August 14, 2015

Kerjasama FGV-EHP DiMeterai


Baru-baru ini pada 6hb Ogos, YAB Perdana Menteri, Dato' Sri Mohd Najib Tun Razak memaklumkan FELDA Global Ventures Holdings Berhad (FGV) telah memeterai perjanjian kerjasama dengan syarikat perladangan sawit ketiga terbesar Indonesia, PT Eagle High Plantation (EHP).

Sebelum itu pada Jun lepas, FGV telah memeterai perjanjian induk dengan Rajawali Group untuk membeli kepentingan dalam EHP pada harga US$680 juta dalam bentuk tunai dan saham. Langkah ini membolehkan Rajawali Group memiliki 2.6 peratus asas saham FGV yang diperbesarkan.
FGV akan menyumbang kepakaran dalam penyelidikan dan pembangunan serta akan menubuhkan syarikat usahasama dengan Rajawali Group di Indonesia untuk mewujudkan kawasan industri khusus itu.
Rajawali Group, syarikat usahasama Malaysia – Indonesia ini akan diberi tanggungjawab sebagai peneraju utama pelbagai aspek, termasuk pemasaran. Setelah projek itu siap kelak, Indonesia, menerusi gabungan kepakaran Malaysia akan muncul sebagai hab industri kelapa sawit terbesar di dunia dan penglibatan FGV adalah pengiktirafan kepada negara yang mempunyai kepakaran dalam industri hiliran kelapa sawit.
Dalam langkah yang sama, FGV akan mengambilalih antara 93 dan 95 peratus kepentingan dalam projek gula Rajawali Group dengan nilai US$67 juta. Kepentingan dalam EHP dan projek gula Rajawali Group itu akan dipegang oleh FGV Kalimantan Sdn Bhd., sebuah anak syarikat FGV.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sebagai menunaikan tanggungjawabnya, FGV telah membentangkan segala butiran dengan jelas tentang rancangan kerjasama tersebut.

"Akhirnya terpulang kepada pemilik saham untuk membuat keputusan... tapi fikirlah secara waras dan rasional. 
Jangan terbawa-bawa dengan hasutan mana-mana pihak sehingga yang baik jadi tak baik, yang hak menjadi batil," katanya ketika berucap pada majlis Salam Perantauan Warga Felda itu.

Najib turut mengingatkan kesilapan dalam membuat keputusan akan menyebabkan peluang keemasan yang sukar diperoleh terlepas dan mungkin tidak akan didapati lagi pada masa akan datang.

"Jangan biarkan apa yang kita bina selama ini musnah kerana tak buat apa yang patut untuk pertahankan. Marilah kita pertahankan kejayaan Felda demi anak cucu kita," katanya.

Menjelas lanjut Najib berkata kerajaan sedang meneliti secara terperinci rancangan kerjasama antara FGV dengan EHP itu dan mahu satu formula yang menguntungkan kedua-dua pihak diwujudkan.

"Saya yakin dan percaya kalau dapat satu formula yang menguntungkan, maka FGV dan masyarakat Felda boleh mengaut keuntungan yang besar. Harga yang kita tentukan kalau setuju, boleh kita pertahankan," katanya.

Untuk terus mengubah kualiti hidup masyarakat Felda, pasaran yang menjangkaui sempadan negara amat perlu, termasuk kawasan ladang yang besar selain tanah yang subur.

"Kita ada kekuatan dan kekurangan, maka kekurangan FGV ditampung melalui usaha sama dengan EHP ini," tambah Dato' Sri Najib lagi.

Tuesday, July 21, 2015

Peneroka FELDA Dilupa Tiada

Dalam kesibukan menyambut Hari Raya Aidil Fitri, golongan peneroka yang telah menabur bakti tidak pernah dilupakan jasa perit jerih membanting tulang empat kerat membangunkan hasil negara melalui Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA). Tanpa penglibatan dan kesefahaman kedua-dua belah pihak, pastinya kejayaan tidak akan tercapai. Bersyukurlah nikmat yang diterima.
Dalam satu majlis penyerahan dividen sejumlah RM4.47 juta kepada 5,229 peneroka dari 10 buah tanah rancangan FELDA di dalam kawasan Pengerang, Ahli Parlimen Pengerang YB Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan pembayaran itu membuktikan FELDA dan kerajaan amnya, mengambil berat tentang kebajikan warga peneroka, lebih-lebih lagi ketika menyambut perayaan Aidilfitri.
Kawasan yang terlibat adalah Felda Air Tawar Satu melibatkan 629 peneroka, Air Tawar Empat (512), Air Tawar Lima (589), Semencu (628), Sungai Mas (697), Papan Timur (429), Adela (390), Tunggal (530), Sening (505) dan Kledang (320).
“Perlu diingat bahawa pembayaran adalah pertimbangan budiman kerajaan dan Felda untuk sama-sama melihat warga peneroka menyambut Aidilfitri dalam suasana meriah,” katanya.
Turut hadir, Ketua Seranta Felda Wilayah Johor Bahru, Hazman Ismail, Penolong Pengurus Besar Felda Wilayah Johor Bahru, Mohd Nizam Abd Ghani dan Pengurus Rancangan Felda Semenchu, Ezrange Moin.
Golongan peneroka turut digesa tidak bertindak melulu menerima sebarang maklumat dari sesetengah pihak yang belum disahkan kesahihan dan ketepatannya. “Berprasangkalah positif dan sentiasa dapatkan kepastian dari pihak berkaitan dahulu. Jangan sesekali menyebar dan mengatakan sesuatu yang belum pasti belum pasti kesahihannya,” kata Datuk Seri Azalina lagi.
Pada majlis yang sama pada 15hb Julai lalu, seramai 50 anak yatim dari lima perkampungan iaitu Kampung Tanjung Buai, Kampung Sungai Layau, Kampung Tanjung Serindit, Kampung Pasir Gogok dan Bandar Mas, turut diraikan dan menerima sumbangan Hari Raya. 

Sunday, July 05, 2015

Usahasama Di Vietnam Bakal Menguntungkan

FGV mengumumkan kerjasama dengan peneraju industri konfeksi di Vietnam, Kinh Do Corporation dan penyedia penyelesaian serantau bagi logistik bersepadu, Indo Trans Logistics Corporation (ITL).

Perkongsian ini bakal tertumpu kepada pengeluaran, penjualan, pemasaran dan pengedaran minyak khusus dan barangan pengguna berasaskan minyak sawit yang dibungkus bagi pasaran Vietnam. Kinh Do Corporation menguasai 80% sektor pasaran minyak masak di Vietnam menerusi 51% pegangannya di dalam Vietnam Vegetable Oils Industry Corporation (Vocarimex); pengeluar minyak masak utama.

Bagaimanapun kerjasama ini akan dimuktamadkan dalam tempoh enam bulan dengan penubuhan syarikat usahasama di mana kedua-dua Kinh Do dan FGV memegang 40 peratus pegangan setiap satu, manakala ITL dan syarikat-syarikat sekutu lain memegang baki pegangan selebihnya.

Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) yakin akan meraih pulangan dua angka daripada pelaburannya dalam produk pengguna berasaskan minyak sawit di Vietnam itu. Berdasarkan perangkaan ekonomi Vietnam menunjukkan jumlah penduduk ketiga terbesar di ASEAN seramai 90 juta orang, merupakan pengimport ke-13 terbesar minyak sawit. Faktor ini mengesahkan keperluan pihak syarikat untuk membina kemudahan pengadunan dan pemprosesan bagi mengadun minyak sawit dengan minyak kacang tanah di negara tersebut dengan minyak sawit mentah sebagai bahan mentah dibawa dari Malaysia.  

“Dengan bekerjasama bersama pemain-pemain utama industri yang telah pun mempunyai pelanggan, kami boleh bertapak kukuh di Vietnam,” berikut kata Ketua bahagian kluster hiliran sawit FGV; Datuk Zakaria Arshad. FGV membuat penerokaan ke satu daripada pasaran pengguna minyak sawit terbesar dengan pertumbuhan penduduk tinggi dan penggunaan minyak sayuran yang besar. 

FGV berharapkan kepada faktor penduduk yang ramai dan penggunaan tinggi minyak sayuran di Vietnam. "Margin tinggi boleh dijangkakan di Vietnam. Tidak seperti Malaysia, yang minyak masak disubsidikan, harga minyak masak di Vietnam lebih tinggi kerana ia berdasarkan kepada kuasa pasaran," katanya;agi.

Satu unjuran rasmi menyatakan pengguna minyak sayuran Vietnam dijangka meningkat kepada 16 kilogram seorang setiap tahun menjelang 2020. Melihatkan itu pengimport utama dari Malaysia dan Indonesia mempertaruhkan unjuran ini kerana minyak sawit menyumbang 70 peratus daripada pasaran minyak sayuran di Vietnam.

Minyak sawit menjadi pilihan berteraskan kesedaran pengguna mengenai manfaat kesihatannya dan harganya yang lebih kompetitif walaupun terdapat minyak sayuran lain dalam pasaran Vietnam.

Wednesday, June 24, 2015

Pusat Selera Malaysia Kedua Di Arab Saudi

Ketika di Jeddah, Arab Saudi dalam lawatan kerja,  YAB Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak telah berkesempatan melancarkan dengan menandatangai plak Restoran Felda D’Saji cawangan Jeddah di Tahlia Street, cawangan kedua selepas Makkah, disaksikan Pengarah Eksekutif Kanan Felda D’Saji Sdn Bhd, En. Ahmad Zaki Abdullah.

Perdana Menteri seterusnya menyertai tetamu yang lain menikmati hidangan di restoran itu yang terletak di hab komersial paling eksklusif di Arab Saudi iaitu Tahlia Street. Tahlia Street menjadi pilihan jenama-jenama terkemuka dunia dengan barisan kedai-kedai bertaraf butik dan berkelas tinggi.

Najib turut ditemani Menteri Luar; Dato' Seri Anifah Aman, Menteri Dalam Negeri Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan; Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri; Mejar Jeneral (B) Dato' Seri Jamil Khir Baharom dan Duta Besar Malaysia di Arab Saudi; Tn Zainol Rahim Zainuddin di


pelancaran restoran tersebut.

Pada Disember 2013, cawangan Restoran Felda D’saji yang pertama memulakan operasi di Menara al-Safwa bersebelahan Masjidil Haram dilancarkan oleh YAB Datol Seri Najib. 

Ahmad Zaki berkata restoran D’Saji di Makkah terletak di sebuah medan selera, sedangkan cawangan Jeddah ini menggunakan bangunan yang disewa. Mampu menempatkan 112 orang pelanggan, dijangka dapat menarik pelanggan bukan sahaja dari Malaysia dan Asia malah ingin memanfaatkan kedudukan Jeddah yang menjadi pintu masuk ke Arab Saudi.

Restoran D’Saji cawangan Jeddah mensasarkan perolehan RM2.5 juta setahun menerusi konsep ‘fine dining'. Sejak pintu restoran dibuka 1 Mei lalu, sambutan pelanggan (lebih dari 70% merupakan pelanggan tempatan), amatlah menggalakkan dengan purata hingga 5,000 pelanggan telah berkunjung.

Restoran ini menghidangkan makanan ala Malaysia dan paling mendapat sambutan ialah nasi lemak, mi mamak, roti canai dan teh tarik dan dijangka terus positif dalam bulan Ramadan ini. FELDA telah peruntukan RM1.5 juta sebagai modal untuk operasi restoran D’Saji di Jeddah, sambung Ahamad Zaki.

Saturday, June 20, 2015

Sumbangan Peneroka Maju Setapak

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) telah ditubuhkan pada 1 Julai 1956 di bawah Ordinan Kemajuan Tanah (Land Development Ordinance) 1956. Menjangkaui usia ke 59, FELDA yang diperuntukkan di bawah Akta (Pindaan 1991) turut memberi perhatian kepada fungsi kelestarian yang melibatkan kalangan peneroka dan generasinya dalam membantu, membimbing, menasihati, mengurus dan menyelaraskan kegiatan-kegiatan skop pertanian dengan pesatnya dalam industri dan pengkomersialan dengan sosial penempatan dalam kawasan FELDA.

Kepentingan dan peranan faktor pendidikan dalam pembangunan sumber manusia telah menyebabkan masyarakat dunia memberi tumpuan khusus terhadap pembangunan pendidikan. Pelaburan dalam pendidikan memberi impak besar ke atas pembangunan ekonomi sesebuah negara. Di Malaysia, pembangunan pendidikan dijadikan strategi utama Dasar Ekonomi Baru yang bermatlamat membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat. Masyarakat mempunyai harapan besar terhadap pendidikan yang memberi peluang kepada generasi akan datang untuk mobiliti sosial dan sekaligus bebas daripada belenggu kemiskinan.

Pembangunan pendidikan di FELDA (Federal Land Development Authority) adalah selari dan selaras dengan program pendidikan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia yang berusaha untuk melahirkan sumber manusia negara yang berkebolehan. Pelbagai program tambahan pembelajaran telah dilaksanakan untuk memastikan kejayaan pelajar dalam pelajaran mereka dan seterusnya sebagai jaminan masa depan generasi muda FELDA. Pihak FELDA sendiri telah mengeluarkan peruntukan yang besar untuk membiayai program pendidikan tambahan untuk dilaksanakan di semua sekolah di seluruh tanah rancangan yang dikelolakan oleh FELDA sejak tahun 1994.

Tambahan pula sejak bulan April 2004, FELDA telah diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri dan menteri yang bertanggungjawab ke atas FELDA ketika itu adalah Y.A.B. Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan kini dipertanggungjawapkan kepada Y.B Datuk Haji Ahmad Haji Maslan, Timbalan Menteri Kewangan 2.

Matlamat pembangunan pendidikan FELDA ialah untuk meningkatkan taraf pendidikan generasi kedua FELDA supaya pencapaian pendidikan mereka tidak berbeza berbanding dengan golongan lain di luar FELDA. Banyak kemajuan yang dicapai oleh remaja FELDA tetapi ramai juga yang kurang berjaya. Sejak FELDA ditubuhkan pada Julai 1965, sejumlah 114,897 buah keluarga telah ditempatkan di 304 buah tanah rancangan di seluruh negara. Sejak itu juga dianggar sejumlah 700,000 orang generasi kedua FELDA telah dilahirkan (data FELDA 1999). Daripada jumlah itu, sebahagian besar mereka berjaya melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan berjaya dalam bidang masing-masing. Malah terdapat lebih 6,000 orang generasi ketiga dan keempat FELDA kini sedang menuntut di IPT tempatan dan luar negara. 

Sehubungan itu, FELDA atas sikap tanggungjawapnya telah mengambil langkah yang proaktif berdasarakan penghidupan masyarakat peneroka dan aspirasi mereka terutamanya kepada menyediakan permulaan yang kondusif yang bermakna buat generasi muda di dalam bentuk pendidikan. Sebagai galakan ke arah pencapaian pendidikan yang lebih tinggi dan kemajuan diri, FELDA telah menaja 30% daripada jumlah pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang ditanggung oleh anak-anak FELDA yang layak melanjutkan pelajaran mereka ke menara gading sejurus bagi mengurangkan bebanan kewangan yang ditanggung mereka.

Menyedari kos sara hidup yang semakin meningkat dan bagi membantu meringkankan tanggungan sementara ke atas keluarga, PTPTN bukan sahaja membuka peluang kepada anak masyarakat Bumiputera meningkatkan taraf sosio-ekonomi keluarga malah turut dikongsikan kepada rakyat Malaysia yang melanjutkan pelajaran mereka.

Kini semua anak FELDA yang berkelayakan mendapat pinjaman PTPTN bermula 1hb Januari 2014 (tarikh surat tawaran PTPTN) di universiti-universiti terpilih.  Pengecualian diskaun yang diberikan kepada anak-anak peneroka FELDA merupakan satu daya inisiatif FELDA dalam meningkatkan kualiti hidup masyarakat peneroka. 

Jemaah Menteri pada 5 September 2012 telah bersetuju menanggung sebahagian daripada kos pengajian anak-anak warga FELDA melalui surat bertarikh 13 Mac 2014 untuk menanggung 30% daripada keseluruhan pinjaman PTPTN anak FELDA yang berjaya menamatkan pengajian.

Tidak dapat dinafikan, dewasa ini, FELDA kerap menjadi bahan serangan fitnah difitnah dari pelbagai sudut oleh pihak-pihak yang berkepentingan dan berniat buruk secara terus atau bersembunyi usaha-usaha murni Kerajaan di dalam membela untung nasib rakyatnya.

Tanah rancangan FELDA merupakan satu model pembangunan tanah yang paling berjaya di Malaysia. Model pembangunan ini berjaya men”tranformasi”kan kawasan luar bandar dan kawasan pedalaman kepada sebuah kawasan petempatan yang lebih moden dan kawasan perladangan komersil. Seiring dengan itu juga, kejayaan FELDA sebagai agen pembangunan tanah luar bandar dan wilayah dapat dilihat dari segi peningkatan taraf hidup terutamannya bidang pendidikan anak-anak peneroka.

Hasilnya sehingga kini telah ramai generasi kedua FELDA berjaya dalam pelajaran dan berjawatan tinggi dalam pelbagai sektor malah kecemerlangan ini diteruskan oleh generasi ketiga dan keempat. Sesungguhnya kepelbagaian inisiatif berjaya mematahkan buruk sangka dan persepsi buruk yang FELDA telah “BANKRUPT”.


Kebenarannya FELDA terus memberikan sumbangan kepada imej dan ekonomi negara dengan menitikberatkan golongan peneroka dan generasi akan datang khususnya serta rakyat Malaysia, amnya demi masa depan FELDA dan Malaysia yang cemerlang.

Tuesday, June 16, 2015

Mazlan Aliman DiArah Bayar GantiRugi


Pada 20hb Julai 2009, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) telah memfailkan satu saman terhadap Mazlan Aliman  dan penerbit buku berjudul, “FELDA, Dulu Tolong…Sekarang Ah Long…” dan mendakwa tajuk buku tersebut membawa maksud FELDA adalah Ah Long atau pemberi pinjaman wang haram dengan kadar faedah yang terlampau tinggi.

FELDA dalam pernyataan tuntutannya mendakwa buku tersebut menggambarkan FELDA sebagai mengaut keuntungan yang banyak daripada pelbagai rancangan kemajuan sehingga memudaratkan peneroka yang kononnya hidup miskin dan melarat akibat salah laku plaintif, dan mereka tidak ubah seperti hamba abdi ekoran dasar yang didakwa menindas kehidupan peneroka.

FELDA turut mendakwa kandungan buku itu juga berniat jahat dan dibuat untuk merosakkan reputasi FELDA dengan merendah imej dan reputasinya di mata masyarakat.

Lewat bulan lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memerintahkan Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) itu; Mazlan Aliman dan syarikat penerbitan buku yang dimaksudkan untuk membayar ganti rugi RM350,000 sebagai ganti rugi am kepada FELDA kerana memfitnah lembaga itu dalam buku yang dimaksudkan yang penuh berunsur pernyataan fitnah.

Mereka turut diperintahkan oleh Yang Arif Hakim Datuk Su Geok Yiam membayar kos guaman sebanyak RM 150,000 dengan faedah 8% ke atas keuntungan penjualan buku tersebut dari tarikh buku dijual sehingga tarikh keputusan berpihak kepada FELDA.


FELDA telah diwakili oleh peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun dan Nor Emelia Iszeham, manakala peguam yang mewakili Mazlan dan Angkatan Edaran Enterprise Sdn Bhd tidak pula hadir pada hari keputusan dibuat Mahkamah Tinggi.

Tuesday, May 26, 2015

Sembang Santai Amalan Datuk Ehsan

Sebagai seorang Ahli Parlimen, bagaimana lagi untuk mengambil peluang mendekati dan dalam masa yang sama menyampaikan maklumat terkini sebagai seorang pemimpin yang menbawa dan mewakili ahli masyarakat dan pengundi.

Menyedari betapa pentingnya menjaga dan memupuk kefahaman dan sokongan, langkah yang diambil YB Datuk Noor Ehsanuddin Haji Harun Narrashid turun padang dan beramah mesra dengan para pengundi kawasan adalah satu tindakan yang bijak dan berani selari dengan agenda kepimpinan tertinggi di dalam transformasi kepimpinan dan inklusif.

Langkah sebegini amatlah proaktif di mana, beliau dapat mendengar sendiri keluh resah mereka berkaitan dengan pelbagai isu semasa yang membelenggu kehidupan mereka juga pandangan masyarakat tentang hal-hal yang membabitkan kehidupan dan impak sesuatu polisi Kerajaan. 

Program yang dinamakan "Sembang Santai" ini telah dihadiri sekitar 100 orang masyarakat tempatan yang secara sukarela hadir bagi memberi cadangan serta pendapat kepada Datuk Haji Noor Ehsanuddin tentang bagaimana cara untuk lebih memperbaiki kawasan Tanjung Sedili dan juga meluahkan permasalahan yang mereka hadapi terus kepada ahli parlimen. 

Lebih membanggakan lagi, program tersebut telah dianjurkan oleh JKKK Tanjung Sedili, UMNO Cawangan Tanjung Sedili dan Pusat Khidmat Kota Tinggi. Usaha ini membuktikan akar umbi UMNO di kawasan Parlimen Kota Tinggi bergiat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan sekaligus menjadikan UMNO sebagai pilihan masyarakat setempat untuk menjaga kebajikan mereka. 

Program ini membuka ruang kepada YB Datuk Noor Ehsanuddin menyampaikan maklumat berkaitan isu GST di mana beliau sempat menyeru rakyat Kota Tinggi melibatkan diri dalam projek Wilayah Pembangunan Iskandar, PIPC dan RAPID Pengerang kerana projek-projek ini dapat meningkatkan pendapatan penduduk tempatan. 

Inilah modus operandi yang sebenar dan jauh dari kebiasaan yang mana pemimpin mendapat "first hand administration" dan "personal touch" dengan rakyat lebih-lebih lagi pengundi sebagai seorang wakil yang dipilih rakyat.

FASSB Meneroka Bekalan Benih Ke Mindanao

Pelbagai inisiatif dilaksanakan untuk meletakkan FELDA sebagai satu organisasi yang bukan hanya mampu membantu meningkatkan kualiti hidup masyarakat peneroka bahkan bagi merealisasikan pelan transformasi FELDA. 
Transformasi FELDA secara besar-besaran bermula apabila FGV disenaraikan di Bursa Saham sebagai IPO ketiga terbesar di dunia selepas Facebook. Maka bermulalah langkah FELDA ke laluan yang lebih pantas dan mencabar menjadikan FELDA sebuah konglomerat yang disegani dunia. 
Terkini FELDA Global Ventures Holdings Bhd (FGV) anak syarikat FELDA Agriculture Services Sdn Bhd (FASSB) telah meneroka ke pasaran Filipina untuk membekal benih kelapa sawit bermutu tinggi kepada penanam kelapa sawit di Mindanao.

FASSB telah menandatangani Memorandum Kerjasama dengan syarikat Bali Oil Palm Produce Corporation (BOPPC) dari Filipina baru-baru ini untuk meneroka kemungkinan usahasama dalam bidang produk dan perkhidmatan kelapa sawit menurut kata FGV dalam satu kenyataannya. 
Di bawah usahasama itu, akan menjadi batu loncatan buat Mindanao menjadi salah satu pengeksport minyak sawit bertaraf dunia utama bersama FGV dan lain-lain pengeluar dunia utama. FASSB amat komited menghantar kumpulan pertama benih kelapa sawit kepada Lembaga Kelapa Filipina (PCA) dan BOPPC tahun ini. 
Ia menjangkan penghantaran 110,000 dan sejuta DxP bekalan benih kelapa sawit yang bercambah kepada PCA dan BOPPC masing-masing, bermula Jun tahun ini.
Naib Presiden Kanan FGV yang juga Ketua Penyelidikan dan Pembangunannya; S. Palaniappan berkata, "Kami amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan BOPPC dan memberikan kami peluang untuk melibatkan diri dalam pasaran Filipina melalui pengenalan benih kelapa sawit bermutu tinggi, baja dan lain-lain produk pertanian yang berkaitan." 
FGV menghasilkan lebih 25 juta biji benih kelapa sawit setahun dan pasaran ekspotnya termasuklah Indonesia, Papua New Guinea, Honduras, Kemboja, Sierra Leone, Ethiopia, Myanmar, Thailand, Sri Lanka dan Gabon.
FASSB telah membangunkan bahan tanaman kelapa sawit yang disokong program penyelidikan dan pembangunan yang komprehensif sejak 47 tahun lalu.

Kerjasama FGV Dan ECN, Hasilkan Pelet BahanApi

Pelbagai cabaran yang dilemparkan bagi menjatuhkan FELDA Global Ventures Holdings Bhd (FGV) yang merupakan  salah satu cabang perniagaan yang diuruskan oleh FELDA dalam membela kebajikan dan nasib peneroka dalam industri kelapa sawit negara. 

Namun segalanya tidak menghentikan aktiviti dan peluang FGV dalam industri kelapa sawit dan kepelbagaiannya. FELDA Global Ventures Holdings Bhd (FGV) pengeluar minyak sawit mentah (MSM) terbesar di dunia telah bekerjasama dengan Pusat Penyelidikan Tenaga Belanda (ECN) untuk menghasilkan pelet bahan api berkualiti tinggi.

FGV Applied Technologies (FGVAT), anak syarikat FGV, baru-baru ini telah menandatangani satu perjanjian kerjasama dengan ECN dalam program penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi tempoh 18 bulan untuk menggunakan teknologi TORWASH ECN. 

“Semua Harta Intelek (IP) yang dihasilkan menerusi program itu akan menjadi hakmilik bersama,” menurut kata kedua-dua pihak dalam satu kenyataan bersama, Sabtu lalu. 

Ketua R&D dan Kelompok Perkhidmatan Agri FGV S Palaniappan berkata, teknologi ini akan digunakan untuk mengubah tandan buah kosong sebagai bahan api pelet berkualiti tinggi yang boleh digunakan bersama dalam loji tenaga arang batu.

“Kilang perintis TORWASH akan dibina di kilang Pusat Teknologi Biomas (MBTC) di Kompleks Penyelidikan PPTR FGV di Tekam, Pahang,” kata Palaniappan. Teknologi TORWASH dijangka akan menjana RM10 juta bagi setiap kilang setahun, selari dengan aspirasi global FGV untuk mewujudkan produk biomas yang lebih mapan dan menguntungkan.

FGV menjangkakan potensi pasaran yang besar untuk pelet bahan api berkualiti tinggi ini dan untuk permulaan, ia mengintai peluang untuk menembusi Korea Selatan dan Jepun dengan permintaan untuk pelet bahan api, terutama bagi tenaga alternatif mesra alam dan rendah karbon yang semakin meningkat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi ECN, Robert Kleiburg berkata, perolehan global industri tenaga boleh diperbaharui menunjukkan pertumbuhan yang besar dengan perolehan global lebih daripada AS$300 bilion pada tahun lalu berbanding AS$40 bilion pada 2004. 

“Teknologi yang kami bangunkan masih perlu melalui demonstrasi pertama. Oleh itu, perkongsian dengan FGV sangat penting untuk bekerjasama dengan FGV bagi memastikan demonstrasi ini berjaya,” katanya.

Rumah Generasi Kedua FELDA Seluruh Negara

Baru-baru ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Datuk Razali Ibrahim memberitahu kesemua rumah di 33 kawasan Felda di bawah projek Perumahan Generasi baharu FELDA, termasuklah di Parlimen Rompin telah hampir siap dibina dan dalam proses tender. 
“Daripada jumlah itu, sebanyak 2,150 rumah akan siap dibina dan boleh diduduki oleh golongan generasi kedua Felda pada tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah tapak projek PGBF Perantau Damai untuk peneroka Felda Keratong 8, 9 dan 10. 
Harga tawaran sebanyak RM90,000 bagi skim jual beli seunit rumah di bawah projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) akan melibatkan keseluruhan 8,570 unit rumah projek itu di seluruh negara. Keputusan menurunkan harga rumah itu dari RM125,000 seunit kepada RM90,000 seunit telah lama dibincangkan antara pihak berkepentingan termasuk Majlis Belia Felda Malaysia, dan bukannya disebabkan oleh Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin tersebut. 
“Harga tersebut tidak termasuk kos prasarana seperti jalan raya, kos perunding dan insurans yang akan ditanggung oleh Felda…tidak salah Felda membantu dari segi kesemua kos berkenaan,” kata Razali lagi.
Bagaimanapun kerajaan masih belum menimbang harga bagi baki 11,430 unit rumah PGBF yang dirancang dilaksana sejak 2013. Pada pembentangan Bajet 2013, Kerajaan telah mengumumkan pembinaan sebanyak 20,000 unit rumah PGBF yang akan dilaksana dalam tempoh lima tahun.
“Harga bagi baki rumah ini akan dibincangkan oleh pihak pengurusan Felda dan ia mungkin lebih rendah dan mungkin juga lebih tinggi bergantung kepada pelbagai faktor,” tambah Datuk Razali.
Pemilihan pembeli rumah akan mengambil kira status perkahwinan, golongan muda yang tinggal di tanah rancangan Felda dan mampu untuk membayar pinjaman perumahan. Kerajaan begitu prihatin akan generasi baharu yang tidak berkeupayaan mendapatkan pembiayaan untuk pembelian rumah berkenaan dari itu akan menyediakan skim sewa dan beli di mana mereka dapat menduduki rumah itu selama lima tahun secara sewaan dengan kadar munasabah.