Tuesday, April 28, 2015

Tambahbaik PLKN Kepada Versi 2.0

Menteri Pertahanan, YB Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein telah menghadiri Hari Terbuka Transformasi PLKN bertempat di IOI City Mall, Putrajaya pada 19hb April dan melancarkan Portal Maklum Balas Transformasi PLKN. Portal www.transformasi.khidmatnegara.gov.my adalah bagi mendapatkan maklum balas daripada rakyat berhubung program transformasi PLKN. 
Turut mengiringi DS Hishamuddin melawat pameran dan hari terbuka berkenaan adalah Pengerusi PLKN, YB Datuk Noor Ehsannudin Mohd Harun Narrashid. 
Sebanyak 50 inisiatif baharu mengenai modul latihan dan kaedah urus tadbir telah dicadangkan oleh makmal tersebut, dan daripada jumlah tersebut, 23 sahaja yang akan dikembangkan setelah proses penapisan dibuat. 
Menurut Datuk Seri Hishammuddin, inisiatif itu adalah diantara transformasi yang akan dilakukan bagi menambah nilai aspek latihan sedia ada. Justeru itu, pihak swasta dipelawa untuk terlibat sama, bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada peserta selepas tamat program itu nanti. 
Hari Terbuka Transformasi PLKN itu adalah anjuran Kementerian Pertahanan melalui Jabatan Latihan Khidmat Negara  (JLKN) dengan kerjasama PEMANDU dari Jabatan Perdana Menteri. Program ini merupakan kesinambungan selepas tamatnya Makmal Transformasi PLKN yang telah berakhir 27 Mac lalu. Ia juga diadakan bertujuan membolehkan hasil dapatan makmal dikongsi bersama rakyat dan membuka ruang serta peluang untuk orang ramai memberikan maklum balas, input serta ide terhadap perancangan transformasi PLKN sebelum ianya dilaksanakan dan sekaligus dijadikan dasar kerajaan yang baharu. 

Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan memperkenalkan modul latihan kemahiran dan vokasional kepada pelatihnya mulai pengambilan baharu pada awal tahun hadapan. 
"Latihan kemahiran dan vokasional itu akan memberi nilai tambah kepada sijil yang akan diterima setiap lepasan PLKN kelak," kata beliau lagi.

No comments:

Post a Comment