Sunday, May 24, 2015

HSR Menghubungkan Kuala Lumpur-Singapura


Pada 2013, Malaysia dan Singapura mencapai persetujuan untuk membina landasan kereta api laju menjelang 2020. Apabila pembinaan landasan berkenaan siap kelak, ia dijangka mengurang masa perjalanan antara Kuala Lumpur dan Singapura kepada 90 minit. 

Projek usaha sama dua negara yang melibatkan jarak 330 kilometer itu dianggar menelan kos sebanyak AS$12 bilion (RM40 bilion). 

Sebagai di antara pengguna pengangkutan darat awam; keretapi, berita ini disambut baik kerana sistem pengangkutan ini banyak membawa kenangan dan nostalgik dengan kebangkitan negara dari sebuah negara berasaskan pertanian kepada negara industri berteknologi dan strategik di benua sebelah tenggara Asia. 

Tidak hairanlah Jepun menunjukkan minat yang bersungguh-sungguh untuk terlibat dalam membekalkan gerabak kereta api berkelajuan tinggi (HSR) antara Malaysia dan Singapura itu. Begitu juga negara China serta Korea Selatan tidak mahu ketinggalan untuk berkerjasama membangunkan projek HSR tersebut. 

Dalam itu, pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dipetik berita daripada MalayMail Online melalui dua rencana http://www.themalaymailonline.com/malaysia/article/report-on-kl-singapore-high-speed-rail-link-finalised dan http://www.themalaymailonline.com/print/malaysia/spad-kl-singapore-rail-link-users-to-pay-below-rm400-per-round-trip bahawa, Malaysia sedang mengkaji had kadar tambang kereta api berkelajuan tinggi (HSR) perkhidmatan baru yang menghubungkan Kuala Lumpur ke Singapura di bawah RM400 (S $148) untuk tiket dua hala. 

"Harga tiket, akan berpatutan bagi menampung setiap sudut pasaran, termasuk perniagaan dan para pelancong." begitu kata Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Tn. Mohamad Nur Ismal Mohamed Kamal. 

"Bagi melaksanakan projek HSR itu, kami menjangkakan purata harga yang lebih rendah sehingga kurang dari RM200 untuk satu perjalanan. Walaupun pulangan pelaburan akan mengambil masa yang lebih lama, pengendali akan mempunyai beberapa pilihan untuk mendapatkan balik pelaburannya dalam projek ini," jelas beliau. 

Tambahnya lagi, HSR dijangka akan merancakkan sektor pelancongan tempatan kerana para pelancong boleh ditawarkan lawatan ke Malaysia dan Singapura sebagai satu pakej. 

Pada kelajuan 350-450 km/h, HSR dijangka dapat mengurangkan masa perjalanan dari Jurong East di Singapura ke ibu negara Malaysia Kuala Lumpur kepada 90 minit, berbanding dengan 5 jam melalui jalanraya atau 7 jam melalui perkhidmatan rel sedia ada. 


Kereta api berkelajuan tinggi (HSR) akan menjadi perkhidmatan baru yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura di beberapa stesen di Malaysia; Kuala Lumpur, Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh, Batu Pahat, Muar dan Nusajaya. 

Bagi pengguna perjalanan jauh, pastinya tidak sabar menantikan berita perkhidmatan HSR dan tentunya, kos perjalanan yang ekonomikal.

No comments:

Post a Comment