Tuesday, May 26, 2015

Kerjasama FGV Dan ECN, Hasilkan Pelet BahanApi

Pelbagai cabaran yang dilemparkan bagi menjatuhkan FELDA Global Ventures Holdings Bhd (FGV) yang merupakan  salah satu cabang perniagaan yang diuruskan oleh FELDA dalam membela kebajikan dan nasib peneroka dalam industri kelapa sawit negara. 

Namun segalanya tidak menghentikan aktiviti dan peluang FGV dalam industri kelapa sawit dan kepelbagaiannya. FELDA Global Ventures Holdings Bhd (FGV) pengeluar minyak sawit mentah (MSM) terbesar di dunia telah bekerjasama dengan Pusat Penyelidikan Tenaga Belanda (ECN) untuk menghasilkan pelet bahan api berkualiti tinggi.

FGV Applied Technologies (FGVAT), anak syarikat FGV, baru-baru ini telah menandatangani satu perjanjian kerjasama dengan ECN dalam program penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi tempoh 18 bulan untuk menggunakan teknologi TORWASH ECN. 

“Semua Harta Intelek (IP) yang dihasilkan menerusi program itu akan menjadi hakmilik bersama,” menurut kata kedua-dua pihak dalam satu kenyataan bersama, Sabtu lalu. 

Ketua R&D dan Kelompok Perkhidmatan Agri FGV S Palaniappan berkata, teknologi ini akan digunakan untuk mengubah tandan buah kosong sebagai bahan api pelet berkualiti tinggi yang boleh digunakan bersama dalam loji tenaga arang batu.

“Kilang perintis TORWASH akan dibina di kilang Pusat Teknologi Biomas (MBTC) di Kompleks Penyelidikan PPTR FGV di Tekam, Pahang,” kata Palaniappan. Teknologi TORWASH dijangka akan menjana RM10 juta bagi setiap kilang setahun, selari dengan aspirasi global FGV untuk mewujudkan produk biomas yang lebih mapan dan menguntungkan.

FGV menjangkakan potensi pasaran yang besar untuk pelet bahan api berkualiti tinggi ini dan untuk permulaan, ia mengintai peluang untuk menembusi Korea Selatan dan Jepun dengan permintaan untuk pelet bahan api, terutama bagi tenaga alternatif mesra alam dan rendah karbon yang semakin meningkat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi ECN, Robert Kleiburg berkata, perolehan global industri tenaga boleh diperbaharui menunjukkan pertumbuhan yang besar dengan perolehan global lebih daripada AS$300 bilion pada tahun lalu berbanding AS$40 bilion pada 2004. 

“Teknologi yang kami bangunkan masih perlu melalui demonstrasi pertama. Oleh itu, perkongsian dengan FGV sangat penting untuk bekerjasama dengan FGV bagi memastikan demonstrasi ini berjaya,” katanya.

1 comment: