Tuesday, July 21, 2015

Awas! Ops SPAD Pasti Terjerat

Sudah lumrah sambutan Hari Raya Aidil Fitri, warga kota akan bersesakan di perhentian pengangkutan awam lebih-lebih lagi di Kuala Lumpur; Pudu Sentral, KL Sentral mahupun di Terminal Bas Ekspres (TBS). Begitu jugalah pemberi perkhidmatan umpamanya teksi dan bas ekspres, ramai yang menangguk di air keruh.
Bercakap kepada pemberita selepas mengetuai satu operasi penguatkuasaan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) di Pudu Sentral, pada hari Khamis lepas, Ketua Jabatan Penguatkuasaan SPAD; Mejar Jeneral (B) Datuk Paduka Che Hasni Che Ahmad memberitahu SPAD telah berjaya menyita sebanyak 55 buah kenderaan persendirian yang digunakan sebagai 'kereta sapu' di Lembah Kelang sejak bulan Oktober tahun lepas.

Sebanyak 89 buah kenderaan persendirian turut dikesan melakukan kesalahan yang sama di dalam tempoh yang sama, melalui penggunaan aplikasi telefon pintar. Ini adalah hasil kerjasama orang ramai dan aduan dari pemandu-pemandu teksi berlesen yang terjejas pendapatan akibat aktiviti haram itu. 

"Menggunakan aplikasi pintar bukan bermakna mereka boleh menjadi pemandu teksi. Kenderaan ini haram dan tidak mempunyai permit yang dikeluarkan SPAD serta tiada perlindungan insurans untuk penumpang," kata Datuk Che Hasni lagi. 

Mengenai Ops Serkap yang dijalankan ketika itu, Datuk Che Hasni memaklumkan adalah tertumpu kepada pemeriksaan penjualan tiket serta perjalanan bas-bas sempena cuti Aidil Fitri.
Seramai sepuluh orang pegawai dari unit penguatkuasaan SPAD di dalam operasi itu yang bermula dari 10hb Julai, memberikan penumpuan ke atas perkhidmatan bas berikutan cuti sambutan Hari Raya. Sebanyak 2,800 bas dan teksi dengan pelbagai kesalahan telah ditahan sehingga kini. Dimaklumkan juga SPAD telah mengeluarkan kelulusan Lesen Perkhidmatan Sementara (LPS) sebanyak 547 lesen sementara untuk bas tambahan bagi menampung permintaan yang sering tidak mencukupi setiap musim perayaan sebegini.

Dalam Ops yang sama, SPAD berjaya menahan dua buah kenderaan milik persendirian yang digunakan sebagai 'kereta sapu' untuk mengambil penumpang pulang berhari raya.

No comments:

Post a Comment