Thursday, July 09, 2015

Jom BerETS, KL-Pdg Besar, ESOK!

"Perkhidmatan Keretapi Elektrik (ETS) akan berkhidmat dari Kuala Lumpur ke Padang Besar bermula esok."

Begitulah kenyataan yang dibuat Menteri Pengangkutan, YB Dato' Seri Liow Tiong Lai, di dalam satu sidang media yang dibuat di Stesen Keretapi Kuala Kangsar sebentar tadi. Ini adalah sempena menyediakan perkhidmatan tambahan Hari Raya Aidil Fitri yang akan disambut pada minggu hadapan dan memandangkan orang ramai ternanti-nanti perkhidmatan yang lebih selesa dan dan lebih cepat.

Menurut Datuk Liow, sebagai permulaannya perkhidmatan ETS hanya akan dibuat sebanyak dua kali sehari iaitu satu perjalanan dari Kuala Lumpur ke Padang Besar dan satu lagi dari Padang Besar ke Kuala Lumpur. Perjalanan  perkhidmatan ETS akan singgah di semua stesen utama dari kedua arah perjalanan termasuklah di Ipoh dan Butterworth dengan perjalanan antara Kuala Lumpur dan Padang Besar mengambil masa dijangkakan selama empat jam empat puluh lima minit (4 jam 45 minit) satu arah perjalanan.

ETS yang bakal memulakan perkhidmatannya boleh memuatkan 312 penumpang dengan enam (6) gerabak untuk satu perjalanan. Maklumat itu dikongsikan Liow setelah beliau bersama pegawai Kementerian Pengangkutan (MoT), Keretapi Tanah Melayu (KTMB), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan media menaiki tren baharu ETS dari Stesen Kereta Api Batu Gajah ke Kuala Kangsar, tadi. 

Bagi penulis, ini adalah satu usaha menambahbaik perkhidmatan awam darat hasil kerjasama MoT dan SPAD demi kemudahan rakyat Malaysia juga pelancung luar. Apalagi buat penulis yang amat menantikan untuk menaikinya yang lebih pantas berbanding perkhidmatan awam yang lainnya.

Hubungi Stesen KTMB setempat untuk jadual perjalanan dan pembelian tiket Anda. Atau layari laman sesawang KTMB di www.ktmb.com.my

Apa tunggu lagi...Jom kita berETS?!

No comments:

Post a Comment