Tuesday, July 21, 2015

Peneroka FELDA Dilupa Tiada

Dalam kesibukan menyambut Hari Raya Aidil Fitri, golongan peneroka yang telah menabur bakti tidak pernah dilupakan jasa perit jerih membanting tulang empat kerat membangunkan hasil negara melalui Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA). Tanpa penglibatan dan kesefahaman kedua-dua belah pihak, pastinya kejayaan tidak akan tercapai. Bersyukurlah nikmat yang diterima.
Dalam satu majlis penyerahan dividen sejumlah RM4.47 juta kepada 5,229 peneroka dari 10 buah tanah rancangan FELDA di dalam kawasan Pengerang, Ahli Parlimen Pengerang YB Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan pembayaran itu membuktikan FELDA dan kerajaan amnya, mengambil berat tentang kebajikan warga peneroka, lebih-lebih lagi ketika menyambut perayaan Aidilfitri.
Kawasan yang terlibat adalah Felda Air Tawar Satu melibatkan 629 peneroka, Air Tawar Empat (512), Air Tawar Lima (589), Semencu (628), Sungai Mas (697), Papan Timur (429), Adela (390), Tunggal (530), Sening (505) dan Kledang (320).
“Perlu diingat bahawa pembayaran adalah pertimbangan budiman kerajaan dan Felda untuk sama-sama melihat warga peneroka menyambut Aidilfitri dalam suasana meriah,” katanya.
Turut hadir, Ketua Seranta Felda Wilayah Johor Bahru, Hazman Ismail, Penolong Pengurus Besar Felda Wilayah Johor Bahru, Mohd Nizam Abd Ghani dan Pengurus Rancangan Felda Semenchu, Ezrange Moin.
Golongan peneroka turut digesa tidak bertindak melulu menerima sebarang maklumat dari sesetengah pihak yang belum disahkan kesahihan dan ketepatannya. “Berprasangkalah positif dan sentiasa dapatkan kepastian dari pihak berkaitan dahulu. Jangan sesekali menyebar dan mengatakan sesuatu yang belum pasti belum pasti kesahihannya,” kata Datuk Seri Azalina lagi.
Pada majlis yang sama pada 15hb Julai lalu, seramai 50 anak yatim dari lima perkampungan iaitu Kampung Tanjung Buai, Kampung Sungai Layau, Kampung Tanjung Serindit, Kampung Pasir Gogok dan Bandar Mas, turut diraikan dan menerima sumbangan Hari Raya. 

No comments:

Post a Comment