Monday, August 17, 2015

Bauksit Lebih Lumayan vs Saman

Pulangan lumayan pemandu lori bauksit antara faktor mereka tidak menghiraukan peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa. Walaupun banyak aduan dibuat, tindakan penguatkuasaan dikenakan namun pemandu lori bauksit masih tidak serik dan terus bermaharajalela di jalan utama menuju ke Pelabuhan Kuantan, Pahang.

Terbaharu, dalam tempoh tiga jam Ops Hippo dijalankan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang bermula pada jam 8.00 pagi di Jalan Kampung Sungai Ular-Gebeng dekat Pelabuhan Kuantan, sebanyak 25 buah lori berjaya ditahan dan kesemuanya membawa muatan berlebihan kira-kira dua kali ganda berbanding had muatan asal.

Operasi yang dianggotai 42 anggota SPAD, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan Polis mendapati mereka yang ditahan melakukan pelbagai kesalahan lain termasuk menambah panel pada badan lori, membawa muatan yang tidak dibenarkan dan membawa muatan melebihi paras yang ditetapkan.

Ketua Jabatan Penguatkuasa SPAD, Datuk Che Hasni Che Ahmad maklumkan sebanyak  50 kes telah dikenalpasti pelbagai kesalahan mebabitkan lori bauksit di dalam operasi tersebut. 
Menurutnya lagi, ada antara pemandu lori yang ditahan melakukan kesalahan berulang sebanyak dua atau tiga kali namun terus berdegil kerana ditawarkan pulangan lumayan hasil aktiviti mengangkut bahan mineral itu.

“Mereka sedar bahawa tindakan tersebut  membawa muatan berlebihan adalah salah namun disebabkan sifat tamak dan ditawarkan komisen oleh majikan, mereka sanggup melanggar peraturan yang telah ditetapkan. 
Tindakan mereka mengangkut bauksit dengan muatan sehingga 80 tan meskipun had muatan asal lori mereka hanyalah 40 tan boleh membahayakan pengguna jalan raya yang lain selain menyebabkan kegagalan sistem brek dan masalah tayar,” kata Che Hasni selepas meninjau Ops Hippo di sini pada 14hb Ogos lalu.

SPAD akan terus mengesan pemandu lori menggunakan lori yang tidak sesuai untuk mengangkut bauksit. Kenderaan yang tidak sesuai boleh menyebabkan bahan mineral tersebut terkeluar dari kenderaan mereka dan merosakkan kawasan sekeliling, tambah Che Hasni. 

“Keadaan akan bertambah teruk pada hari hujan dan berisiko mengakibatkan kemalangan. Berdasarkan statistik sepanjang tahun ini,  sebanyak 699 buah lori telah diambil tindakan di negeri Pahang atas kesalahan membawa muatan berlebihan dan pelbagai kesalahan melibatkan keselamatan.” kata Datuk Che Hasni.

No comments:

Post a Comment