Monday, August 17, 2015

Belia Kota Tinggi Libat Diri Jana Ekonomi

Sosio-ekonomi warga Kota Tinggi, Johor dan masa depan warga belia adalah antara agenda Ahli Parlimennya, Datuk Noor Ehsanuddin Haji Mohd Harun Narrashid.  Maka tidak hairanlah beberapa program dilahirkan di dalam menjuruskan keselesaan dan kestabilan ekonomi selari dengan pembangunan dan keperluan negara dengan kerjasama pelbagai agensi tempatan.

Pada 14hb Ogos lalu, seramai 25 orang belia dari sekitar daerah Kota Tinggi telah diberi peluang mengikuti Program Pemasangan dan Servis Penghawa Dingin Domestik oleh RTC Johor dan MIC Kota Tinggi.

Kursus tersebut telah dijalankan di Pusat Latihan Putra Kota Tinggi selama tujuh hari bertujuan membantu para peserta menjana pendapatan tambahan.

"Program ini sangat baik. Saya berharap para peserta tidak menoleh ke belakang dan terus bergerak ke hadapan untuk sama - sama bersaing dalam dunia yang serba maju dan pantas. Untuk maju dan berjaya, ia lahir dari kemahuan sendiri. Dengan kemahiran yang anda perolehi ini saya berharap para peserta hendaklah bersungguh sungguh memperbaiki diri menambah ilmu dalam masa yang sama menjana pendapatan. Tahniah pada pihak penganjur dan syabas para peserta." begitu pesanan Haji Mesran Bin Tugiman wakil Ahli Parlimen Kota Tinggi.

"Menerusi program RTC ini, kursus berasaskan industri ini julung-julung kalinya diadakan di Johor dan juga Malaysia. Tahniah atas inisiatif ini dan saya yakin ianya mampu membantu para peserta menjana ekonomi dan berdaya saing merebut peluang yang sedia ada contohnya dengan Rapid Pengerang. RTC juga akan cuba membantu para peserta mendapatkan peluang pekerjaan atau perniagaan yang berkaitan." menurut kata Dr Azlan Hj Abd Jalil, Pengurus RTC Johor

"Saya berharap dengan adanya kursus sebegini dapat membantu belia-belia kita berjaya menjana ekonomi dan dapat mengurangkan gejala sosial. Program sebegini juga dapat membantu belia-belia yang kurang cemerlang dalam bidang akademik berdaya saing dalam dunia yang serba maju ini." kata Encik Subramaniam, Ketua Pemuda MIC.

Salah seroang peserta dari Felda Lok Heng, Huzaifah Bin Hj Miskan yang turut sama menyertai program ini menyatakan "Saya mengucapkan ribuan terimakasih pada pihak penganjur kerana memberi peluang pada kami menimba ilmu dan sekaligus menjana pendapatan kami. Saya bercadang untuk membuka perniagaan sendiri dengan ilmu yang ada. Saya juga berharap diperbanyakkan kursus-kursus sebegini untuk membantu kami para belia." 

No comments:

Post a Comment