Monday, August 17, 2015

Tak Perlu Nama Low Yat 2 - Wee Ka Siong



Isu Low Yat begitu mendapat tempat di kalangan pembaca dan masyarakat dewasa ini. Ini lantaran beberapa insiden susulan ketegangan kaum yang memaparkan pelbagai kisah "penipuan, pergaduhan penangkapan dan pertuduhan".

Lebih menarik lagi, perbualan di dalam kumpulan tertutup media sosial, turut menghangatkan keadaan apabila, seorang Ketua Bahagian UMNO dipanggil untuk soal siasat dan dikenakan jaminan polis.

Terbaru Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah; YB Datuk Seri Ismail Yaakob telah mencadangkan sebuah pusat runcit IT untuk diusahakan peniaga-peniaga Melayu sahaja di Aras 3, Bangunan MARA, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur di dalam satu majlis sambutan Hari Raya Aildil Fitri di tempat yang sama.

"MCA menyokong penuh peranan Majlis Amanah Rakyat (MARA) membantu meningkatkan taraf keusahawanan perniagaan Bumiputera," begitu kata YB Datuk Ir. Dr. Wee Ka Siong, Menteri di Jabatan Perdana Menteri selepas melancarkan program untuk pengusaha kecil dan sederhana (SME) anjuran Sekratariat Kemajuan Usahawan Malaysia pada 13hb Ogos lalu. 

Walaupun demikian, Dr. Wee tidak bersetuju penggunaan nama diubah sebegitu rupa "Low Yat 2" memandangkan ia adalah sinonim nama seorang ahli perniagaan dan pemilik premis sediada.

"Saya telahpun menyatakan sokongan tidak berbelah bagi usaha MARA dalam mempertingkatkan usahawan Bumiputera. Namun mengguna nama itu di premis baru hanya untuk peniaga Melayu adalah tidak sesuai." tambah Wee apabila mengulas cadangan yang dibuat Ismail Sabri yang berkemungkinan "diambil luar konteks" oleh sebuah portal berita.

"Keadaan terbaik adalah - tidak memprofilkan mana-mana kaum untuk berniaga dalam usaha menarik pelanggan. Andai saya seorang tukang jahit dan 90% daripada pelanggan saya adalah Melayu, saya pasti akan membuka kedai di kawasan majoritinya adalah Melayu. Anda tidak boleh memaksa pelanggan untuk datang mengunjungi kedai anda." katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Dr Wee menggesa SME tempatan perlu bersedia menghadapi saingan dengan pelaksanaan Masyarakat Ekonomi Asean (AEC) pada 1hb Jan, 2016.

Dengan perlaksanaan AEC, tiada lagi sekatan di dalam pasaran terbuka di antara 10 negara ASEAN. 

"Golongan SME perlu mengambil peluang di dalam pasaran yang lebih luas dengan kependudukan seramai 650 juta orang. Anda tiada pilihan tetapi perlu menghadapi persaingan di dalam pasaran yang luas itu. Jika lambat dan leka, peluang akan terlepas dari genggaman." tegas Datuk Wee.

No comments:

Post a Comment