Monday, November 09, 2015

21st ATM: Inisiatif Melestarikan Sektor Pengangkutan

Pada 5hb November lepas, telah berlansung satu Mesyuarat Menteri Pengangkutan ASEAN Kali Ke 21 di Dewan Tun Hussein Onn, Putra World Trade Centre dan dirasmikan oleh YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri. Menteri Pengangkutan; YB Dato' Seri Liow Tiong Lai telah menyambut ketibaan YAB Timbalan Perdana Menteri.

Ketibaan YAB Timbalan Perdana Menteri amatlah disanjung tinggi dapat merasmikan mesyuarat tersebut dalam mencapai inisiatif melestarikan sektor pengangkutan yang dilihat dalam tahap genting, kata Dato' Seri Liow.

Liow turut berasa bangga negara telah dilantik mempengerusikan 21st ATM dan melalui kesepakatan dari rakan-rakan Menteri Pengangkutan ASEAN mencapai beberapa ketetapan berkepentingan buat ASEAN dan isu yang berkaitannya.

Satu pelan induk 10 tahun telah diterimapakai, merujuk kepada Pelan Tindakan Pengangkutan Strategik Kuala Lumpur 2016-2025 (Kuala Lumpur Transport Strategic Action Plan; KLSP 2016-2025) bagi merangkumkan sektor pengangkutan agar lebih meluas kesinambungan, kecekapan, integrasi, keselamatan dan kemampanannya menjelang tahun 2025 dan ke arah pembentukan komuniti ekonomi ASEAN (AEC).

Turut ditandatangani satu protokol membantu pembentukan sebuah Penerbangan Tunggal ASEAN dengan mengambil langkah-langkah menyokong visi ASEAN di dalam integrasi ekonomi serantau melalui komuniti ekonomi ASEAN - salah satu tonggak komuniti ASEAN.

Kewujudan satu pasaran penerbangan tunggal ASEAN akan membolehkan masyarakat ASEAN terbang bebas di dalam rantaunya melalui liberalisasi perkhidmatan udara dan melancarkan komuniti ekonomi ASEAN menjelang akhir tahun yang dirancangkan.

Tidak ketinggalan isu jerebu merentas sempadan mendapat perhatian Menteri Pengangkutan ASEAN yang telah menjejaskan sektor pengangkutan rantau ini. Tambahan pula berdasarkan Konvensyen Kerangka Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Perubahan Iklim mendapati 22.9% pelepasan gas karbon dihasilkan oleh sektor pengangkutan, Manakala di Malaysia sahaja 40% hasil tenaga negara diguna oleh sektor pengangkutan.

Mengulas lanjut, Liow memberitahu berikutan Sidang Kemuncak Mengenai Iklim di Copenhagen pada tahun 2009, Malaysia berikrar dengan rancangan mengurangkan pelepasan gas karbon ke tahap 40% bersama-sama rakan-rakan dari ASEAN. 

Menteri-menteri Pengangkutan ASEAN juga mengakui kepentingan dan peranan yang dimainkan industri pengangkutan di dalam pembangunan infrastruktur dan peri pentingnya di dalam pertumbuhan ekonomi ASEAN. 

Perkembangan dan kemajuan matlamat yang telah dibincangkan bersama akan dikaji semula dalam sidang kemuncak ASEAN yang dijadualkan tidak lama lagi dan sesi dialog bersama rakan kongsi ASEAN dari China, Jepun dan Korea selepas mesyuarat ini.

Kenyataan media oleh YB Menteri Pengangkutan dipaparkan untuk makluman umum, seperti di bawah.


No comments:

Post a Comment