Friday, December 18, 2015

Datuk Ehsan Hargai Peranan Skuad Sayang

Perhimpunan Agung UMNO telahpun berlalu pada 12hb Disember 2015. 69 tahun usianya, UMNO memperjuangkan nasib orang Melayu dan Islam di bumi bernama Malaysia. Paling ketara penglibatan golongan wanita dalam arena politik terbenih bersama gerakan semangat kebangsaan untuk memerdekakan tanah air lagi. 

Cadangan penubuhan Malayan Union pada 1945 secara harfiahnya untuk menamatkan hak orang-orang Melayu telah memcetuskan kemarahan yang menzahirkan penentangan secara besar-besaran. Umumnya golongan wanita sebelum ini lebih tertumpu pada pertubuhan berunsurkan kebajikan turut terlibat buat pertama kalinya secara terbuka dalam gerakan politik tanah air.

Bermulanya penceburan golongan wanita di dalam UMNO pada tahun 1945 di dalam Mesyuarat Agung UMNO oleh tiga tokoh wanitanya, Putih Mariah Ibrahim Rashid dari Persatuan Melayu Perak, Zainab Abdul Rahman dari Persatuan Melayu Seberang Perai dan Salena Ali dari Persatuan Melayu Selangor telah berbincang mengenai penubuhan sebuah pergerakan wanita Melayu.

Maka tertubuhlah Jabatan Kaum Ibu pada tahun 1947 yang setahun kemudiannya bertukar nama kepada Pejabat Setiausaha. Pada 25hb Ogos 1949, di dalam Perhimpunan Agung Wakil Wanita telah memutuskan namanya bertukar kepada Ahli-ahli Perempuan UMNO (APU).

Ekoran dari itu tertinta beberapa peristiwa dan perkembangan APU, sehinggalah pada tahun 1956 ditukarkan kepada Pergerakan Kaum Ibu UMNO. Peristiwa 12 Mei 1969, telah mempengaruhi corak politik tanahiar, lantaran pada Ogos 1971 di dalam Persidangan Agung Khas UMNO telah meminda Pergerakan Kaum Ibu kepada Pergerakan Wanita UMNO; sayap paling kanan malah merupakan tulang tunjang UMNO sehingga kini.

Sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) kali ini, Skuad Sayang Wanita UMNO salah satu skuad kepasukan Wanita UMNO telah meraikan sukarelawannya yang membanting tulang menguruskan perjalananan PAU, di dalam satu majlis makan malam di Hotel Dynasty, Kuala Lumpur.
Majlis tersebut telah turut diserikan dengan kehadiran Yang Berhormat Datuk Ehsanuddin Hj Mohd harun Narrashid, Ahli Parlimen (BN - Kota Tinggi) yang menyifatkan Skuad Sayang Pergerakan Wanita UMNO sebagai cukup bersemangat dan penuh tanggungjawab dalam melaksanakan tugas yang diberikan serta begitu 'energetik'. 

Penghargaan yang dibuat Datuk Ehsan sebagai mengesahkan jasa bakti sukarelawan Skuad Sayang yang banyak membantu melicinkan perjalanan perhimpunan di dalam semangat setia bersatu memberi khidmat dengan penuh tanggungjawab. 
Dalam masa yang sama, Datuk Ehsan turut berkongsi pendapat bersama Komandan Skuad Sayang Kebangsaan, Datin Reny Rahayu peri pentingnya memainkan peranan menangkis tohmahan yang berlegar di medan sosial. Kekuatan medan sosial mesti digembelingkan dan mampu menangkis fitnah dan putar belit pihak Pembangkang dengan mengukuhkan lagi sebaran maklumat dan makluman kepada akar umbi dan rakyat Malaysia.

Datuk Ehsan telah menyarankan Skuad Sayang mengerakkan program bersama agensi-agensi kerajaan seperti JASA, KEMAS, Seranta FELDA dan BTN  dalam usaha mereka memberi bantuan dan khidmat kepada rakyat. Beliau turut berasa puashati dengan golongan mahasiswa di IPTA dan IPTS telah menerima dengan baik usaha-usaha Kerajaan di dalam pembangunan negara dan rakyat. Ini adalah kesan dan hasil dari kupasan-kupasan isu sepanjang pilihanraya universiti yang berpihak kepada mahasiswa pro Aspirasi. 

Dalam kesempatan berucap di majlis tersebut, Datuk Ehsan mengambil peluang menjawab soalan menyentuh tentang kekangan Bajet 2016 mengenai perbelanjaan berhemat negara. Dijelaskan keadaan harga minyak yang turun dan harga kelapa sawit serta getah yang rendah menyebabkan perolehan pendapatan negara mengucup. Maka dikaitkan bagimana perlaksanaan cukai GST telah membantu menyelamatkan ekonomi negara. 

Ancaman terhadap negara bukan hanya pada struktur ekonomi negara namun negara sedang berdepan dengan ancaman keganasan dari pihak luar. Keselamatan dan kepentingan Selat Melaka yang dimudik kapal perdagangan pesisir dan antarabangsa memerlukan pengurusan yang cekap dan infrastruktur terkini. Kegagalan menjamin keselamatan di kawasan tersbut pastinya membawa padah kepada lebih 90% industri perkapalan dunia dan secara langsungnya kepada ekonomi negara.

No comments:

Post a Comment