Friday, August 26, 2016

Masih Berkobarkah Semangat Patriotisma?

Menghimbau kembali permasyhuran kemerdekaan Tanah Melayu pada 30 Ogos 1957. Tepat jam 12.00 tengah malam, bergema laungan kegirangan penuh berbangga dengan upacara menurunkan bendera Union Jack di Padang Kelab Selangor, Kuala Lumpur sebagai menandakan berakhirnya pentadbiran British bermula dari perlantikan Sir Andrew Clarke selaku Gabenor Negeri-Negeri Selat pada tahun 1873 berkesudahan dengan perlantikan penasihat-penasihat British di negeri-negeri Melayu. Maka berkibarlah bendera Persekutuan Tanah Melayu buat julung kalinya.

Satu detik penuh bersejarah, Persekutuan Tanah Melayu kini sebuah negara yang berdaulat dengan pengisytiharan kemerdekaan dibuat Yang Mulia Tunku Abdul Rahman; Perdana Menteri pertama pada 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka yang baru siap dibina.

Secara rasminya, lahirlah sebuah negara bernama Persekutuan Tanah Melayu, sebuah negara yang berdaulat sepertimana negara-negara lain di dunia. Satu peristiwa penuh simbolik dan penuh bermakna penyerahan watikah perlembagaan yang menyatakan pengunduran perlindungan British terhadap negeri-negeri Melayu dan kedaulatan terhadap Pulau Pinang dan Melaka.

Secara langsungnya, ia berupa penyerahan pemerintahan Persekutuan Tanah Melayu daripada pemerintahan British kepada warganegara Tanah Melayu.

Perutusan itu yang dibaca Putera Henry; Duke of Gloucester sebagai mewakili baginda Ratu Elizabeth II di dalam kehadiran Pesuruhjaya Tinggi British yang terakhir di Persekutuan Tanah Melayu, Sir Donald MacGilliray dan isteri, telah mengalukan kemasukan Persekutuan ke dalam Komanwel. Turut disaksikan peristiwa penuh bersejarah itu oleh Duli Yang Maha Mulia Yang di Pertuan Agong, Pemangku Yang di Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tengku Mahkota Johor, Sultan Perak, Sultan Terengganu, Sultan Kelantan, Sultan Kedah di samping pemimpin/kenamaan dari Thailand (Siam), Jepun, Afrika Selatan, India, Pakistan, Vietnam, Sri Lanka (Ceylon), Myanmar (Burma) Hong Kong, Amerika Syarikat, Australia, New Zealand dan def –def kehormat.

Laungan keramat 7 kali “MERDEKA” dibuat Perdana Menteri di depan 20,000 rakyat Persekutuan Tanah Melayu bergema dan lagu kebangsaan NegaraKu mula diperdengarkan buat kali pertamanya bersama mengiringi bendera Persekutuan Tanah Melayu dinaikkan berserta tembakan seratus satu das.

Bendera Persekutuan Tanah Melayu kemudiannya digantikan dengan Bendera Malaysia pada 16 September 1963 dengan pencantuman Sabah, Sarawak dan Singapura dengan Persekutuan Tanah Melayu, maka lahirlah negara Malaysia.

Jalur Gemilang pula diisytiharkan sebagai bendera Malaysia pada pengiystiharan yang dibuat Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad, pada malam 31 Ogos 1997 sempena Hari Kemerdekaan negara yang ke 40 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, pada jam 11.58 malam.

Dahulu lain, sekarang lain. Kibaran Jalur Gemilang bagaikan satu pesta dengan bangunan Kerajaan, premis swasta dan kediaman rakyat Malaysia dihiasi bendera dengan penuh kebanggaan. Di jalanraya, bersimpang siur, kenderaan turut dihiasi bendera menyuntik semangat kecintaan kepada negara. Peluang bercuti bersempena Hari Kebangsaan turut menjadi tradisi rakyat ke padang-padang ibunegeri yang mengadakan sambutan Hari Kebangsaan. Penuh warna-warni, penuh kemeriahan.

Kini, walau Hari Kebangsaan tinggal 4 hari sahaja lagi, begitu hambar sambutannya. Pelbagai usaha dibuat, hinggakan Jalur Gemilang diserahkan kepada Ketua-ketua masyarakat untuk dihiasi, tiada lagi pembuktian semangat kebangsaan seperti sebelumnya. Tiada lagi/kurang sambutan kibaran Jalur Gemilang di premis awam, swasta dan perumahan. Benarlah barang yang diberikan percuma tidak dihargai…apatah lagi sehelai bendera bernama Jalur Gemilang. Tak dapat tertanya-tanya.

Hari Kebangsaan kini lebih berupa peluang merancang bercuti atau bersantai dengan keluarga atau menonton TV. Pada malam hari sambutan, berduyunlah kenderaan dengan pemiliknya berpeleseran di bawah percikan bunga api. Evolusi kehidupan di atas penggorbanan membebaskan dari belenggu pemerintahan asing, bagai habis madu sepah dibuang. Runtuh sudah keinsafan dan kesyukuran pembangunan negara oleh pemimpin dan masyarakat terdahulu. Masih Berkobarkah Semangat Patriotisma?

No comments:

Post a Comment