Wednesday, January 28, 2015

Bakat Baru Kepimpinan MCA DiCari

Presiden MCA; YB Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam satu sidang media (18hb Januari), mendedahkan parti MCA sedang mengambil langkah mencungkil bakat-bakat kepimpinan baru dalam usaha “transformasi parti” untuk diketengahkan pada Pilihan Raya Umum ke 14 akan datang.berkata langkah ini juga adalah sebahagian daripada transformasi parti.

"Seperti yang saya katakan dahulu bahawa transformasi parti kita adalah terbuka dan apabila perkara mengenai memilih calon, kita akan membuat kajian melalui proses parti dan juga proses komuniti, yang komuniti juga boleh memberi pandangan mereka mengenai calon kita.

"Walaupun terlalu awal untuk diperkatakan tetapi proses mengenal pasti calon berwibawa dan berkaliber berjalan berterusan. Ini sebagai sebahagian daripada persediaan parti bagi menghadapi cabaran PRU14," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Khidmat MCA Parlimen Seremban.

Turut hadir Timbalan Presiden MCA yang juga Pengerusi MCA Negeri Sembilan Datuk Dr Wee Ka Siong.

Liow yang juga Menteri Pengangkutan berkata antara kriteria penting pemilihan calon ini ialah mereka yang berkualiti, komited dan berkeperibadian baik untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat.

Katanya dalam masa sama, MCA perlu memberi perkhidmatan berterusan di peringkat komuniti dan ini memerlukan kerja berpasukan yang kuat.

"Saya tahu calon itu penting dan kita sentiasa mencungkil bakat-bakat yang terpendam dalam kalangan anggota parti dan juga mana-mana individu atau wakil yang boleh kita tonjolkan.

"Tapi struktur parti juga penting dan perlu sentiasa berada di akar umbi untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat. Kalau struktur itu tidak kuat dan kukuh, maka susah untuk kita mendapat sokongan. Jadi, kita memerlukan komitmen di semua peringkat," katanya.

"Malah saya telah tubuhkan satu jawatankuasa induk di peringkat pusat, negeri dan bahagian. Untuk itu, semua kawasan MCA yang dikenal pasti telah diwujudkan bilik gerakan dan telah pun kita laksanakan apa yang patut kita buat untuk kita hadapi cabaran PRU14,” katanya lagi selain menekankan usaha mengukuhkan sokongan kepada MCA adalah agenda utama sejak mengambilalih pucuk pimpinan parti untuk menghadapi PRU 14.

"Bagi MCA dan Barisan Nasional (BN), PRU14 adalah sangat penting. Oleh itu, kita perlu bersedia dari sekarang. Ini adalah misi penting untuk kita pastikan kekuatan parti. Kerana itu kita hendaklah sentiasa mendampingi rakyat serta membantu dan memenuhi kehendak mereka," katanya.


- sumber dari BERNAMA

No comments:

Post a Comment