Friday, February 27, 2015

Gong XI Fa Cai. Together We Can.

Terbisik lagu yang pernah disampaikan arwah Dato' Sudirman Hj Arshad apabila, beliau mewakili Malaysia di persada dunia di Prince Albert Hall, United Kingdom; One Thousand Million Smiles pada tahun 1989. Lagu yang sama dipilih sebagai lagu tema Malaysia semasa Hari Bangsa-Bangsa Bersatu.

Begitulah senarionya di dalam kehidupan majmuk rakyat Malaysia dari pelbagai latarbelakang budaya, adat resam dan Agama. Setiap perayaan merupakan pentas menjalinkan hubungan antara kaum memupuk perpaduan sejak tahun 1957 lagi.

Dato' Seri Liow Tiong Lai selaku Presiden MCA dalam menyampaikan mesej sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini, telah menyatakan harapan masyarakat Cina Malaysia bakal mencapai kejayaan ekonomi peringkat global. Ini hanya boleh dilakukan dengan memupuk perpaduan dan kerjasama di kalangan masyarakat majmuk dan kerjasama berbilang agama.

"Hasrat kedua saya adalah untuk orang Tionghua bersatu dalam senario politik Malaysia, membuka jalan untuk masa depan yang lebih cerah untuk anak-anak kita," kata beliau sambil menambah bahawa hasrat terakhirnya adalah untuk mengukuhkan lagi pendidikan Cina.

"Negara menghadapi cabaran yang getir pada Tahun Kuda yang lalu. Walaupun begitu, kita tidak mengalah dan berjaya mengharungi rintangan dan permasalahan dengan tabahnya", katanya.

MCA akan memulakan sebuah perancangan dinamakan "Civilisation Magnet" bagi menggalakkan kelebihan budaya dan ketamadunan Melayu dan Cina berpadu dan bekerjasama bagi mengembangkan ekonomi negara ke pasaran antarabangsa.

Liow menegaskan adalah penting bagi mengekalkan masyarakat yang bersederhana dan memuji usaha galakkan kesederhanaan di Malaysia.

"Sejak Pilihan Raya Umum ke-13, senario politik yang seimbang telah berubah wajah. Kekuatan semangat kesederhanaan yang semakin lemah menyebabkan pihak Pelampau kini semakin riak dan bertambah gagah."katanya.

Rakyat Malaysia diingat agar menghormati di antara satu sama lain dan mengelak daripada menyuarakan pandangan yang berkemungkinan mencetuskan rasa kurang senang.

"Hanya dengan ketulusan dan keikhlasan kita dapat hidup dengan aman dan harmoni," katanya.

Bersama isterinya Datin Seri Lee Sun Loo, Dato' Seri Liow mengucapkan, "Selamat menyambut Tahun Kambing yang bertuah kepada masyarakat Cina. Semoga anda menikmati kesihatan yang baik dan kejayaan dalam semua usaha anda," katanya.

Rakyat Malaysia boleh memastikan pembangunan yang berpanjangan di negara ini dengan bekerja bersama-sama. Bersama-sama sebagai satu, kita boleh mencapai kejayaan dalam ekonomi untuk memastikan pembangunan yang berpanjangan buat negara," katanya.

Together We Can! Sebaris ayat yang ringkas namun membawa maksud yang dalam penuh aspirasi perpaduan dan kesungguhannya buat sebuah negara yang masih muda.


No comments:

Post a Comment