Wednesday, March 25, 2015

Ulangtahun ke 66 Penuh Iltizam

66 merupakan angka yang membawa antara pengertian perjalanan yang lancar bagi kaum Tionghua. Frasa yang dekat dipercayai "kebahagiaan berkembar mengetuk pintu" memberi maksud yang amat baik, kerana kaum Tionghua percaya kepada perkara yang berpasangan. Tambahan pula disambut di dalam tahun Kambing mengikut Zodiak Cina mempunyai unsur dan karektor yang tersendiri.

Angka "'Double Six"' dalam tahun Kambing Jantan itu melambangkan tahun yang baik," kata Dato' Seri Liow Tiong Lai yang menerima tepukan gemuruh dari dewan bersejarah itu.

Angka 6 pada angka akhir itu mempunyai unsur "Api" dan "Yang" serta keperibadian "Dinamik, kemanusiaan, bertenaga, berkobar-kobar, berdaya usaha, suka mengembara, tidak mudah puas hati, berdaya saing, berkemahiran dalam memimpin, kuat, sepenuh jiwa raga, suka jenaka" di bawah Zodiak "Kambing" amat bermakna sekali.

Maka tidak hairanlah sambutan Ulangtahun ke 66 penubuhan parti Malaysian Chinese Association (MCA) bertempat di Dewan San Choon, Wisma MCA, Jalan Semarak, satu sambutan yang penuh pengertian dan penuh pengharapan.

Majlis yang disempurnakan oleh Presiden parti, Yang Berhormat Dato' Seri Liow Tiong Lai dihadiri lebih dari 2,500 anggota parti dari serata negara dengan tema "Merealisasikan Kesederhanaan, Membina Pragmatisme."
Ucaptama Presiden yang disampaikan Dato' Seri Liow turut menyentuh perkara-perkara semasa yang sedang dilanda dan dihadapi negara. Isu keganasan IS (Islamic State) yang semakin menular dan merupakan ancaman keselamatan, pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Hudud PAS dan agenda transformasi MCA diulaskan dengan penuh perhatian dari hadirin.
Walaupun terdapat perbezaan dan nada topik, namun yang jelas ia mempunyai halatuju yang satu; membentuk kestabilan semasa dan masa depan yang lebih terjamin buat rakyat Malaysia pada tika yang getir ini. 

Antara lain ucaptama Presiden parti menyentuh dan menumpu perhatian kepada: 

1. Kebangkitan MCA dari kekecewaan pada tahun 2008 dengan memulakan hari baru yang lebih menyinar. MCA perlu kerja dengan lebih kuat dan bersatu untuk meneruskan perjuangan dan kehendak masyarakat Cina. Menurut DS Liow Tiong Lai, masih banyak yang perlu MCA lakukan. Malah beliau sendiri mengejar masa untuk memastikan transformasi MCA berjaya.

2. Dari segi ekonomi, MCA akan berusaha untuk membantu pemilik Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menjadi lebih baik. Untuk membantu PKS untuk berkembang di peringkat global, MCA mesti membantu mereka untuk meneroka pasaran luar negara. MCA juga akan memperjuangkan nasib penduduk Kampung Baru berikutan jumlah populasi yang semakin meningkat.

3. MCA mahu memperkukuhkan usaha untuk memperjuangkan kolej dan universiti swasta supaya lebih ramai Rakyat dapat merasai hak pendidikan pengajian tinggi kepada lepasan sekolah. Beliau mengambil contoh Kolej Tunku Abdul Rahman yang dinaik taraf sebagai Universiti Tunku Abdul Rahman sebagai satu testimoni bagaimana MCA telah meningkatkan mutu pendidikan di kalangan Rakyat Malaysia amnya dan masyarakat Cina khasnya.

4. MCA meminta semua pihak di seluruh negara supaya mengamalkan kesederhanaan dan menolak ekstremisme bagi membantu mematahkan pengaruh militan Negara Islam (IS). DS Liow Tiong Lai berkata, lebih 60 rakyat Malaysia telah menyertai IS setakat ini, yang merupakan sebahagian kecil daripada jumlah keseluruhan.

5. MCA menolak perjuangan PAS untuk melaksanakan hudud. Presiden MCA berkata, DAP dan PAS telah menyeleweng fikiran Rakyat. MCA tidak yakin PAS akan berjaya melaksanakan Negara Berkebajikan.


"MCA percaya dengan amalan pragmatisme untuk kemajuan," kata Liow yang menarik perhatian penonton dengan ungkapan seorang pemimpin terkenal Cina, Deng Xiaoping: "Bercakap kosong hanya membahayakan negara, hanya tindakan yang praktikal membantu ia berkembang maju ke hadapan".

Mengakhiri ucapan beliau, DS Liow Tiong Lai mengharapkan agar MCA menjadi sebagai sebuah keluarga harmoni dengan mengamalkan perpaduan dan nilai-nilai yang kukuh untuk membantu parti berkembang dengan lebih baik. 

No comments:

Post a Comment