Sunday, April 26, 2015

FGV Bakal DiStruktur Semula

Desas-desus yang melingkari perkembangan anak syarikat FELDA menjemput kepada beberapa pembetulan dan pelarasan untuk menjamin kedudukan kewangan dan kepentingan warga peneroka dan pemegang sahamnya.


Lantaran itu dalam usaha memulihkan kredibiliti dan imejnya, penstrukturan semula anak syarikat di bawah Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) dengan liabiliti dilihat perlu dilaksanakan. 

Dalam Persidangan Dewan Rakyat, baru-baru ini, YB Dato' Razali Ibrahim; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri telah memaklumkan penstrukturan itu juga dilihat memberi faedah yang positif bagi masa depan saham FGV. 

Jumlah penanaman pokok kelapa sawit telah turun 57% pada tahun 2012, walau bagaimanapun pada 2013 ia telah dapat dikurangkan pada kadar 43%. Adalah dijangkakan pada 2020 pengurangan ini akan dapat melepasi tahap 60%.

Dakwaan yang mengatakan harga minyak sawit rendah, Razali menjawab, “Selepas ia mengeluarkan hasil, saya yakin ia akan memberi faedah yang lebih besar kepada peneroka dan seterusnya dapat meningkatkan saham FGV itu sendiri. Dengan pengumuman ini diharap dapat menarik mana-mana pelabur yang ingin buat pelaburan dalam bidang komoditi minyak sawit kerana prospek FGV di masa hadapan amat baik kerana mempunyai pokok-pokok muda yang bakal sekitar beberapa tahun lagi,” sambil menjelaskan masih ada tanaman yang belum mengeluarkan hasil. 

Dalam satu laporan menyatakan kemarau panjang yang dialami semasa suku pertama tahun lepas menjejaskan pengeluaran dan menyebabkan keuntungan pracukai lebih rendah pada RM826.37 juta bagi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014, berbanding RM1.563 bilion pada 2013. 

Bagaimanapun, pendapatan kumpulan menokok 30.8 peratus kepada RM16.434 bilion tahun lepas berbanding RM12.568 bilion yang dicatat pada 2013, disebabkan terutamanya oleh kesan tahun penuh penggabungan Felda Holdings Bhd ke dalam FGV. 

FGV mengunjurkan 2015 sebagai satu lagi tahun mencabar bagi kumpulan dan industri disebabkan harga minyak mentah lebih rendah, kelembapan ringgit berbanding dolar AS dan ketidaktentuan harga MSM. Syarikat telah mengumumkan pembayaran dividen akhir empat sen sesaham dengan jumlah keseluruhan RM145.93 juta.

- sumber dari BNBBC

No comments:

Post a Comment