Sunday, April 05, 2015

Wee Anggap JJ Ibarat Abang

Lewat petang semalam seluruh negara dikejutkan dengan berita nahas yang mengorbankan nyawa, terutamanya seorang pemimpin yang kehilangannya amat dirasai.

Helikopter milik Ipoh Garden Berhad (IGB) yang dipandu Capt Cliff Fournier dengan bantuan co pilot, Ajdiana Baiziera telah terhempas pada jam 4.50 petang Sabtu di sebuah ladang getah berdekatan Kampung Pasir Baru, Semenyih, Kajang.

Nahas telah mengorbankan enam orang penumpang termasuk krew penerbangan seperti berikut:

1. Tan Sri Dr. Jamaluddin Jarjis, ahli Parlimen Rompin
2. Datuk Tan Chin Nam, ahli perniagaan dari Kedah
3. Datuk Seri Azlin Alias, KSUS kepada YAB PM
4. Ajdiana Baiziera, pembantu juruterbang
5. Capt Cliff Fourneir, juruterbang dan
6. Mohd Raskan Seran, pengawal peribadi Tan Sri Jamaluddin

Pemergian mereka turut dirasai terutamanya, pemergian Tan Sri Jamaluddin Jarjis oleh YB Datuk Ir. Dr. Wee Ka Siong, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Timbalan President MCA

Dalam sebuah kenyataan oleh Wee, sejurus pengesahan dibuat....

"Saya berasa amat terkejut dan sedih sebaik menerima berita Tan Sri Jamaluddin Jarjis terkorban dalam nahas helikopter di Semenyih.

Kali terakhir saya bertemu dengan Tan Sri Jamaluddin ialah ketika saya duduk di sebelahnya di majlis Akad Nikah anak Perdana Menteri di Sri Perdana pada 19 Mac lalu.

Kali terakhir saya berbual dengannya di telefon ialah pada 29 Mac lalu ketika saya menghadiri Persidangan Inter Parliamentary Union (IPU) di Hanoi.

Dalam perbualan telefon itu beliau berpesan beberapa strategi untuk menangani situasi politik terkini.

Beliau juga mengatakan mahu berjumpa minggu depan untuk membincangkan beberapa perkara yang mendesak berhubung projek PRIMA.

Tan Sri Jamaluddin yang saya kenali adalah seorang yang suka berjenaka tetapi pada masa yang sama tidak lokek berkongsi idea mengenai percaturan politik. Beliau, bagi saya ibarat seorang abang yang sentiasa memberi tunjuk ajar kepada adiknya.

Saya kali pertama mengenalinya dengan rapat apabila beliau menjadi Menteri MOSTI. Dari situ saya mengamati JJ sebagai seorang teknokrat yang berpengetahuan luas.

Sejak saya jadi Ahli Parlimen biasa, dari semasa ke semasa beliau memberi nasihat bagaimana untuk menjadi MP yang kritikal tapi konstruktif.

Semasa Rang Undang-Undang PR1MA dibentangkan kami berbincang tentang kandungan serta implikasi. JJ sedia mendengar dan meminda mana-mana yang munasabah.

Sejak setahun ini kami sering berbincang mengenai projek PR1MA di Johor, khasnya di kawasan parlimen Ayer Hitam.

Bagi saya pemergian beliau adalah satu kehilangan besar dalam dunia politik dan korporat.

Kepada keluarga Tan Sri Jamaluddin saya mengucapkan takziah dan berharap mereka tabah menghadapi ujian ini."

Sama-samalah Salam takziah diberikan kepada ahli keluarga mangsa nahas juga yang tersayang. Semoga tabah mengharungi pemergian yang turut sama dirasai Rakyat Malaysia amnya.

No comments:

Post a Comment