Sunday, May 24, 2015

Laluan Metro Makkah Kebanggaan Negara


Kementerian Perbandaran dan Hal Ehwal Luar, Arab Saudi baru-baru ini telah menganugerahkan kontrak kendalian dan selenggaraan laluan Metro Al Mashaaer Al Mugaddasah - Makkah kepada Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana). Kontrak bagi tempuh tiga tahun yang bernilai 807 juta Riyal itu bakal beroperasi secara khususnya semasa musim umat Muslimin dunia berkunjung mengerjakan Haji di dalam struktur perkhidmatan yang telah sedia ada.

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menyifatkan kejayaan Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) memperoleh kontrak pengendalian operasi dan penyelenggaraan sistem metro musim haji di Makkah, sebagai satu pencapaian besar untuk negara.

Kejayaan itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Tn. Mohamad Nur Ismal Mohamed Kamal, turut menjadi satu pengiktirafan untuk sebuah syarikat tempatan yang diberikan peluang mengendalikan operasi sistem sedemikian di negara asing. Pada akhir tahun lalu, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) juga telah memenangi bida Makkah Metro mengalahkan saingan operator rel bertaraf dunia daripada Turki dan Korea.

"Ia sejajar harapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar lebih banyak syarikat tempatan mampu menjadi pengendali pengangkutan bertaraf dunia. Kita juga mengharapkan lebih banyak lagi (pengendali) bagi segmen lain pengangkutan seperti bas ekspres akan menyusulinya. Ini kerana perkhidmatan sebegini lazimnya ditawarkan sebagai bidaan kompetitif di serata dunia. Malaysia perlukan pengendalinya menjadi syarikat bertaraf dunia dengan menawarkan perkhidmatan lebih baik," katanya kepada wartawan selepas menghadiri majlis pra pelancaran bas dua tingkat RapidKL Prasarana, di sini, 15hb Mei lalu. 

Ditubuhkan pada 1998 dan beroperasi sejak 2002, Prasarana adalah pemilik aset dan pengendali dua rangkaian pengangkutan negara iaitu LRT dan KL Monorail selain perkhidmatan bas RapidKL, RapidPenang serta RapidKuantan.

Menembusi pasaran di Makkah bukan sesuatu yang mudah apabila yang pasti membida kontrak ini terdiri daripada syarikat-syarikat bas yang bertaraf dunia dengan menawarkan perkhidmatan yang sangat kompetitif dan berkesan.

Sekaligus, pengiktirafan dunia diberi kepada negara kita dan lebih membanggakan ia adalah sebuah syarikat tempatan. 
Syarikat tempatan juga perlu terus mencontohi langkah Prasarana untuk membangun dan memperbaiki pengendalian sistem pengangkutan mereka, tetapi juga aspek penyenggaraan dan baik pulih serta reka bentuk kenderaan pengangkutan awam.

No comments:

Post a Comment