Monday, May 25, 2015

Nafas Baru Kepada Industri Penerbangan Negara


Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Najib Tun Razak dalam membentangkan Rancangan Malaysia Ke 11 (RMK 11) di Dewan Rakyat bertemakan "Pertumbuhan Berpaksikan Rakyat" antara lain menggariskan penubuhan sebuah suruhanjaya merangkumi lesen penerbangan, bayaran lapangan terbang, peruntukan laluan udara, penyelesaian pertikaian dan perlindungan hak pengguna dalam mengawal selia industri penerbangan.

Badan bebas itu akan diperbadankan pada Julai 2015 bagi membolehkan industri penerbangan menjadi lebih berstruktur dan sistematik.



YB Dato' Seri Liow Tiong Lai selaku Menteri Pengangkutan berkata suruhanjaya tersebut akan diletakkan di bawah seliaan kementeriannya akan turut menguruskan keupayaan dan persaingan dalam sektor penerbangan negara bagi menaik taraf perkhidmatan industri terbabit. 

"Saya yakin suruhanjaya ini mampu mengharungi cabaran mendatang bagi mempertingkatkan lagi sektor penerbangan negara," katanya dalam kenyataannya, berhubung hala tuju pengangkutan dalam RMK 11. 

Industri penerbangan bukan sahaja mampu menyumbang kepada hasil negara malahan ia adalah merupakan kebanggaan negara selepas kemerdekaan. Namun, selepas tragedi MH370 dan MH11, industri penerbangan dilihat sebagai amat penting untuk ditingkatkan agar mampu menghadapi cabaran di masa akan datang.

Malaysia adalah laluan pilihan utama logistik ke Asia dan kini berusaha meningkatkan kedudukan sebagai antara 10 tertinggi bagi Indeks Prestasi Logistik Bank Dunia menjelang 2020. 

Situasi itu memberi peluang untuk mencapai pertumbuhan tahunan sebanyak 8.5 peratus bagi sub sektor pengangkutan dan penyimpanan dan sekali gus mampu mewujudkan 146,000 peluang pekerjaan tambahan.

Bagi mewujudkan sistem pengangkutan logistik yang efisien, Kementerian Pengangkutan juga akan mengambil langkah menubuhkan satu bahagian khusus iaitu Bahagian Logistik.

Satu Pasukan Petugas Logistik Negera (NLTF) akan diwujudkan sebagai strategi utama bagi memperkukuh rangka kerja pengawal seliaan sektor logistik yang berperanan untuk melaksana Pelan Induk Logistik Negara dan Kemudahan Perdagangan juga menambahbaik proses-proses dan mempertingkatkan pertumbuhan perniagaan.

Di dalam menuju Wawasan 2020 dan seterusnya, dari fasa perancangan dan kini ke fasa pelaksanaan, RMK 11 telah menggariskan langkah-langkah jelas sebagai panduan untuk sistem perhubungan yang lebih efisien dan mampu memperkukuhkan kedudukan dan daya saing negara di peringkat dunia.

No comments:

Post a Comment