Tuesday, June 16, 2015

Mazlan Aliman DiArah Bayar GantiRugi


Pada 20hb Julai 2009, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) telah memfailkan satu saman terhadap Mazlan Aliman  dan penerbit buku berjudul, “FELDA, Dulu Tolong…Sekarang Ah Long…” dan mendakwa tajuk buku tersebut membawa maksud FELDA adalah Ah Long atau pemberi pinjaman wang haram dengan kadar faedah yang terlampau tinggi.

FELDA dalam pernyataan tuntutannya mendakwa buku tersebut menggambarkan FELDA sebagai mengaut keuntungan yang banyak daripada pelbagai rancangan kemajuan sehingga memudaratkan peneroka yang kononnya hidup miskin dan melarat akibat salah laku plaintif, dan mereka tidak ubah seperti hamba abdi ekoran dasar yang didakwa menindas kehidupan peneroka.

FELDA turut mendakwa kandungan buku itu juga berniat jahat dan dibuat untuk merosakkan reputasi FELDA dengan merendah imej dan reputasinya di mata masyarakat.

Lewat bulan lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memerintahkan Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) itu; Mazlan Aliman dan syarikat penerbitan buku yang dimaksudkan untuk membayar ganti rugi RM350,000 sebagai ganti rugi am kepada FELDA kerana memfitnah lembaga itu dalam buku yang dimaksudkan yang penuh berunsur pernyataan fitnah.

Mereka turut diperintahkan oleh Yang Arif Hakim Datuk Su Geok Yiam membayar kos guaman sebanyak RM 150,000 dengan faedah 8% ke atas keuntungan penjualan buku tersebut dari tarikh buku dijual sehingga tarikh keputusan berpihak kepada FELDA.


FELDA telah diwakili oleh peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun dan Nor Emelia Iszeham, manakala peguam yang mewakili Mazlan dan Angkatan Edaran Enterprise Sdn Bhd tidak pula hadir pada hari keputusan dibuat Mahkamah Tinggi.

No comments:

Post a Comment