Friday, August 21, 2015

ISBSF Memenuhi NKRA Pengangkutan Awam Bandar

Ketika Tambang Baru Perkhidmatan Teksi diumumkan tempoh hari, riuh rendah masyarakat tidak terkecuali mereka yang tidak pun menggunakan perkhidmatan teksi. Rata-rata di kedai-kedai kopi, pejabat malahan isi rumah menjadi agenda atau topik perdebatan "Parlimen Rakyat". Hakikat dan fakta sektor pengendalian perkhidmatan pengangkutan awam tidak menyaksikan kenaikan bagi menampung kos operasi yang ditanggung purata enam (6) tahun hingga ada yang terpaksa gulung tikar tidak pula dipedulikan. Mereka juga adalah Rakyat.

Tertanya pula pengendali bas. Bilakah mereka berpeluang untuk menyaingi kos operasi yang semakin menghimpit kehidupan mereka? Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) tidak leka malahan keresahan mereka mendapat perhatian dan pembelaan pihak berwajib. 

ISBSF (Dana Sokongan Sementara Bas Henti-henti) satu inisiatif oleh Kerajaan bagi memenuhi keperluan NKRA Pengangkutan Awam Bandar. Berikutan keprihatinan YAB Perdana Menteri, Dato 'Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak, dana ini telah ditubuhkan sejak 3hb Januari 2012, untuk membantu meningkatkan kualiti perkhidmatan bas yang akan menggalakkan penumpang untuk terus menggunakan bas henti-henti sebagai mod perjalanan yang berkesan. Inisiatif ini bertindak sebagai langkah sementara untuk menampung kekurangan dalam operasi harian pengendali bas henti-henti yang terjejas, terutama di laluan yang tidak ekonomikal.

Hari ini, Pengerusi SPAD, Tan Sri Dato’ Seri Dr. Syed Hamid Syed Jaafar Albar bersama Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, En. Mohamad Nur Ismal Mohamed Kamal telah menyampaikan cek replika kepada wakil-wakil daripada syarikat bas henti-henti yang berjumlah RM10.3 juta. Sejumlah 172 pengendali bas henti-henti dari seluruh Malaysia telah menerima bayaran dari Dana Sokongan Sementara Bas Henti-henti (ISBSF) bagi meneruskan operasi mereka daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dalam satu majlis yang diadakan pagi tadi.

Seramai sebelas (11) wakil pengendali yang menerima cek replika itu adalah Wawasan Sutera Travel & Tours (Seleangor), Seranas Sdn Bhd (Selangor), Setara Jaya Sdn Bhd (Kuala Lumpur), Sri Indah Jaya (Kuala Lumpur), The Combined Bus Service Sdn Bhd (Perak), The Kulim Baling Road Transport Co. Sdn Bhd (Kedah), KTB Group (SMKK, KKBB, SRT, STK, KLSK), (Selangor, Kelantan, Pahang & Negeri Sembilan), Syarikat Kenderaan S & S Sdn Bhd (Johor), Handal Indah Sdn Bhd (Johor), Mustika Enterprise Sdn Bhd (Sabah), dan City Public Link Bus Services Sdn Bhd (Sarawak).

Namun sebagai dana sementara untuk membantu pengendali bas henti-henti yang terjejas ekoran daripada peningkatan kos operasi, ia perlu digantikan dengan skim yang lebih kekal iaitu Skim Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-henti (SBST) dengan pelancaran myBAS di negeri-negeri lain.

“Pada bulan Ogos ini, RM28 juta telah dibayar kepada pengendali bas henti-henti di bawah ISBSF. Bayaran keseluruhan daripada dana ini dari permulaan sehingga kini adalah sebanyak RM386.16 juta. 

Dana ISBSF bagaimanapun akan digantikan oleh Skim Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-henti (SBST) yang menggunakan bas jenama myBAS sebagai penyelesaian jangka panjang untuk meningkatkan tahap perkhidmatan bas henti-henti di seluruh Negara.

Operasi myBAS telah bermula di Perlis sejak 1hb Ogos dan akan dilancarkan secara rasmi pada 25 hb Ogos nanti. Pelancaran myBAS yang seterusnya akan dilakukan di Seremban, Ipoh, Kuala Terengganu dan Kuching.” kata Tan Sri Dato’ Seri Dr. Syed Hamid.


“ISBSF telah memberi manafaat kepada 332,232 penumpang sehari yang merentasi 656 laluan di seluruh tanah air. Ini melibatkan perjalanan terkumpul sejauh 38,65 juta kilometer yang dikendalikan oleh 1,704 bas sebulan.” tambah En. Mohamad Nur Ismal.